Tuesday, December 11, 2012

Empat Sifat Untuk Menjadi Mukmin Yang Mulia Di Sisi Allah SWT


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Terdapat empat sifat untuk menjadi mukmin yang mulia di sisi Allah SWT .

Sifat-sifat tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Bertawakal kepada Allah SWT.

Kedua : Bersyukur kepada Allah SWT.

Ketiga : Sentiasa beristighfar setiap hari kepada Allah SWT.

Keempat : Muraqabah kepada Allah SWT.

Huraiannya :

Pertama : Bertawakal kepada Allah SWT.

Nabi SAW sering mengajar umatnya supaya sentiasa berdoa dengan doa-doa yang mashur yang terdapat di dalam al-Quran dan sunahnya. Di dalam al-Quran terdapat banyak doa-doa yang diajarkan oleh Allah SWT untuk Nabi SAW ucapkan , untuk para rasul , orang-orang soleh dan mereka-mereka yang dekat dengan Allah SWT . Salah satu doa tersebut adalah seperti dalam surah at-Taubah ayat 129.

Dari Abu Darda' r.a dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda maksudnya ; "Barangsiapa diwaktu pagi dan petang membaca ; 'Hasbiallahu lailahaillahu alaihitawakkaltu wahuwarabbul 'arsilazim' (Cukuplah Allah bagiku; tidak ada tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal. dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy yang agung ' (Surah at-Taubah ayat 129), tujuh kali, maka Allah akan mencukupi apa yang diinginkan dari perkara dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Ibnu Sunni dan Ibnu Asakil secara marfu')
Orang mukmin yang mana hati dan jiwanya sentiasa dekat dengan Allah SWT akan merasai bahawa cukuplah dengan dia beriman dan  mengingati Allah SWT, meletakkan pegharapan sepenuhnya kepada-Nya, bertawakal dan bergantung kepada Tuhan yang Esa dan tidak ada tuhan lain selain daripada-Nya maka jiwa akan tenang, bahagia dan sejahtera.

Tawakal bererti menyerah diri kepada Allah dalam melaksanakan sesuatu perancangan bersandarkan kepada kekuatan-Nya dalam menjayakan suatu pekerjaan atau berserah diri di bawah lindungan-Nya pada saat menghadapi kesusahan.

Untuk memahami lebih jelas lagi konsep tawakal ini pernah Rasulullah S.A.W. menjelaskan kepada seorang lelaki yang datang berjumpa dengan baginda.

"Telah datang kepada Rasulullah S.A.W.  seorang lelaki yang hendak meninggalkan untanya begitu sahaja di pintu masjid tanpa ditambat terlebih dahulu. Lelaki tersebut bertanya kepada Rasulullah S.A.W. "Ya Rasulullah, adakah unta itu perlu saya tambat dahulu dan kemudian bertawakal atau saya lepaskan saja kemudian bertawakal?" Rasulullah S.A.W. menjawab, maksudnya : "Tambatlah terlebih dahulu dan kemudian bertawakal." (Hadis Riwayat al-Tarmizi)

Dalam ayat yang lain firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan bagi tiap-tiap sesuatu.”
(Surah ath-Talaq ayat 3)

Oleh itu, sebagai orang yang beriman, menjadi kewajipan kita menyerahkan diri kepada Allah terhadap segala keperluan hidup diatas muka bumi ini. Kerana Allah telah menjamin rezeki hamba-hamba-Nya. Rezeki yang dikurniakan Allah bukanlah untuk bermewah-mewah atau menunjuk-nunjuk, melainkan semua ini untuk bekalan dalam beribadah dan supaya hati kita menjadi tenang. Sebab, kadangkala kemiskinan itu mengganggu fikiran dalam beribadah kepada Allah.

Kedua : Bersyukur kepada Allah SWT.

Sesiapa yang sentiasa bersyukur bermakna dirinya mengingati Allah. Rasa bersyukur terhadap Maha Pencipta yang memberikan segala kehidupan ini dan rasakan diri sentiasa hampir kepada Allah. Justeru, Allah membalasnya dgn melimpahkan nikmat yg lebih baik.

Allah berfirman yang bermaksud: “ Maka ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurlah atas nikmat- Ku dan janganlah sekali2 kamu kufuri nikmat Ku. ” (Surah al-Baqarah, ayat 152). 

Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada seluruh manusia, tanpa mengira orang beriman atau tidak beriman. Orang yang ingkar akan menanggung kerugian di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Kehidupan orang yang tidak bersyukur sentiasa tertekan dan gagal memanfaatkan apa yg dimilikinya.

Bersyukur itu sangat sukar. Sukarnya untuk manusia bersyukur ini ditegaskan oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: "Sangat sedikit dikalangan hamba-Ku yang bersyukur." (Surah Saba' (34) ayat 13)

Sifat syukur itu wajib ada pada setiap orang Islam. Ia salah satu daripada sifat mahmudah yang wajib dipelajari, difahami dan diamalkan oleh setiap mukallaf. Manusia yang tidak berterima kasih kepada manusia pun sudah dikira tidak beradab, apatah lagi jika manusia tidak bersyukur kepada Allah.
Oleh sebab itu, Allah mendidik manusia supaya bersyukur kepada Nya. 

Ketiga : Sentiasa beristighfar setiap hari kepada Allah SWT.

Jadikanlah istighfar kepada Allah SAW amalan setiap hari yang tidak kita tinggalkan. Nabi SAW  sentiasa beristighfar sebanyak 100 kali sehari. Maka kita sebagai hamba Allah yang sentisa melakukan dosa dan kesalahan perlulah lebih banyak lagi daripada Nabi SAW. kerana baginda maksum sedangkan kita tidak maksum.

Sabda Nabi SAW. yang bermaksud : "Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali"(Hadis Riwayat Muslim).

Istighfar sebagai penebus dosa, dalam satu riwayat  Rasulullah Salallahu Alaihi Wasalam  pernah bersabda:

مَنْ قاَلَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمِ اَلَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُوْمُ وَ أَتُوْبُ إِلَيْهِ

"Barangsiapa mengucapkan 'Astaghfirullahal Adzim aladzi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaihi' akan diampuni dosa-dosanya, meskipun pernah lari dari medan peperangan" (Hadis Riwayat Al Hakim)

Jelaslah bahwa dengan beristighfar Allah akan mengampuni dosa-dosa seorang hamba,  sekalipun seperti buih di lautan, atau sebanyak tumpukan pasir, atau dedaunan pohon, atau hari-hari di dunia. Inilah ayat Allah s.w.t.yang menegaskan adanya pengampunan dosa bagi hamba yang berdosa.

Allah SAW. berfirman:

قُلْ يَاعِبَادِي الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنفُسِهِمْ لاَتَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللهِ إِنَّ الله
َ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا  إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ {53}

Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas (melakukan dosa) terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu terputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Az Zumar ayat 53)

Keempat : Muraqabah kepada Allah SWT.

Muraqabah terhadap Allah SWT  adalah sifat jiwa seorang mukmin.Dia sentiasa merasai dan yakin sepenuh hati bahawa Allah SWT  mengawasi segala perjalanan hidupnya, perasaannya, bisikan hatinya samaada dia berseorangan atau bersama orang lain.

Mukmin sejati yakin peristiwa di Padang Mahsyar tempat di hisap dengan seadil-adilnya segala amalan dan perbuatannya ketika di dunia ini. Perasaan takut, malu dan gementar untuk berhadapan di Mahkamah Allah SWT nanti membuatkan hati dan jiwanya sentiasa muraqabah terhadap-Nya.Ingatlah ketika di sini nanti lidah akan dikunci, giliran anggota lain yang akan berkata-kata mengeluarkan pengakuan dan saksi bagi semua perbuatan si tuan badan. Mata, telinga, tangan dan kaki serta alam yang ada disekitarnya, hari dan masa semuanya  akan mengaku perbuatan itu dan ini. Ketika itu manusia akan terperangkap dengan perbuatan dosa kerana anggota badan sendiri tidak menyebelahinya. Terbongkarlah rahsianya!

Hati orang mukmin dan hati yang dapat muraqabah bersedia menerima tarbiah  dan peringatan, kerana segala peringatan akan memandu seluruh anggata kita melakukan ketaatan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud "Oleh sebab itu berikanlah peringatan kerana peringatan itu bermenfaat." (Surah al-A'laa, ayat 9). 

Dengan saling memberi peringatan ini juga akan melahirkan perasaan takut untuk melakukan kesalahan terhadap Allah SWT seperti firmanNya yang bermaksud "Orang yang takut kepada Allah akan mendapat pelajaran." (Surah al- A'laa, ayat 10).

Sifat muraqabah akan membuatkan seorang mukmin akan berhati-hati dalam kehidupan di dunia dan akan meninggalkan perkara syubahat, melalaikan dan membuang masa yang sia-sia kerana setiap saat masa kita akan ditanya dimana kita habiskan samaada membawa kebaikan atau keburukan dan dosa.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita  menghiasi akhlak kita dengan empat sifat-sifat yang mulia di atas semoga kita menjadi mukmin yang di muliakan disisi Allah SWT. Mukmin yang mulia,  hebat dan kuat adalah mukmin yang bergantung hati dan jiwanya semata-mata kepada Allah SWT dan tidak mengharapakan pergantungan sesama makhluk Allah SWT







No comments: