Monday, December 10, 2012

Bahaya Ajaran Sesat Syiah Melanda Umat Islam Di Malaysia


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Umat Islam di negara Malaysia dan semua negara umat Islam  di dunia wajib menolak fahaman Syiah kerana terbukti ia merupakan satu fahaman sesat dan menyeleweng daripada al-Quran serta Sunah.

Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi berkata, terdapat beberapa perkara pokok yang menunjukkan fahaman Syiah bertentangan dengan ajaran Islam sebenar antaranya ia tidak pernah mengiktiraf kesemua sahabat Rasulullah SAW.

Berbanding golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah (sunni) beliau berkata, mereka mengiktiraf kesemua sahabat Rasulullah SAW termasuk Saidina Ali Abi Talib k.wj. yang bersama-sama berjuang menegakkan agama Allah di bumi ini.

Puak Syiah hanya menghormati dan mengiktiraf Saidina Ali dan keturunannya manakala sahabat-sahabat besar yang lain langsung tidak diiktiraf. Hakikat sebenarnya Puak Syiah berbohong atas nama Saidina Ali k.wj.

Malah, ada di kalangan puak-puak pelampau di dalam Syiah menganggap Saidina Ali adalah mulia sehingga ke peringkat lebih mulia daripada Rasulullah SAW sendiri, katanya.

Untuk rekod, Sheikh Sulaiman juga adalah pensyarah di Universiti Ummul Qura, Mekah selain memegang jawatan sebagai Ketua Majlis Pentadbiran Pejabat Dakwah dan Kesedaran Islam di Mekah.

Beliau merupakan pakar dalam fahaman Syiah dan bidang kajiannya ketika mengambil sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) juga berkaitan dengan fahaman itu.

Sheikh Sulaiman berkata, fahaman Syiah juga menganggap al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW boleh berubah dan ada kekurangan. Jelaslah disini akidah Syiah telah rosak kerana menolak beriman kepada Kitab suci al-Quran. 

Iktikad ini jelas bertentangan dengan Islam kerana al-Quran terpelihara daripada sebarang perubahan serta kekurangan kerana Allah SWT sentiasa memeliharanya. Ini merupakan jaminan Allah dan ia disebut di dalam al-Quran.

Walau apa pun berlaku, 114 surah di dalam al-Quran daripada al-Fatihah sehingga an-Nas tidak akan berlaku perubahan apatah lagi kekurangan. Ayatnya, kalimah mahu pun hurufnya akan sentiasa terpelihara, kata Sheikh Sulaiman.

Beliau berkata, antara penyelewengan lain yang dilakukan oleh Syiah ialah mereka mencipta iktikad akidah yang tiada sandaran.

Sebagai golongan Sunni kita menjadikan pegangan akidah yang dijelaskan di dalam al-Quran dan Sunah sebagai iktikad kerana ia bersumberkan daripada wahyu Allah.

Berbanding Syiah, iktikad akidah mereka bersandarkan kepada akidah taqiyah dan akidah rajah. Akidah taqiyah boleh dikatakan juga akidah munafik

Sahabat yang dimuliakan,
Revolusi Iran sebenarnya bukanlah kejayaan Islam, tetapi kejayaan satu puak Syiah, menumbangkan puak-puak Syiah lain yang dikatakan zalim dan menindas. Setelah beratus-ratus tahun Shah Iran golongan Syiah yang menzalim dan menindas rakyat jelata, maka akhirnya seluruh rakyat  bangun memberontak. Oleh sebab kepimpinan Khomeini agak menonjol, maka semua golongan  bersatu di bawah pimpinannya untuk menumbangkan Shah Iran.

Ada Ahli Sunnah Wal Jamaah di Iran selepas Revolusi Iran yang dibunuh dan dipenjara oleh orang-orang Khomeini.

Perlembagaan yang dipakai di Iran sekarang adalah bermazhab Syiah Imamiah. Jadi dengan kata-kata yang lain, kejayaan revolusi Iran ialah kejayaan Syiah. Syiah jauh bezanya dengan Ahli Sunnah. Malah salah satu musuh Syiah ialah orang-orang Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Golongan Syiah di Iran telah meracang untuk menjadikan bumi Syam (Palestin, Jordan, Syria dan Lebnon) dibawah jajahan takluknya termasuk Iraq supaya mereka dapat mensyiahkan negara-negara Arab dan menghapuskan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Puak Syiah ini terdapat juga di Yaman, Pakistan, India, Bahrin dan Kuwait . Itulah sebab kenapa Iran bersungguh-sungguh membantu kerajaan zalim Syria Rejim Bashah Assad laknatullah. Ulama Iran menganggap pengawal revolosi yang mati mempertahankan Rejim Bashah Assad sebagai syuhadah.

Suatu yang mengemparkan kita menurut sebuah artikel di dalam majalah yang diterbitkan di Najaf, Iraq, bilangan orang Melayu yang menyertai Syiah adalah seramai 30 ribu sehingga 35 ribu orang.

Golongan  Syiah ini juga memiliki markaz atau pusat gerakan yang dikenali sebagai Hauzah Ar-Redho di seluruh negara termasuk di Kedah, Gombak dan di Kelantan. Di Johor terdapat 4 hauzah Syiah.
Mereka menggunakan isu cinta ahli bait sebagai kunci untuk menarik umat Islam menyertai mereka.

Menurut Al-Kulaini (Ulama Syiah) semua orang telah murtad selepas kewafatan Rasullullah kecuali 3 orang iaitu Miqdad bin Al-Aswad, Abu Zar Al-Ghifari dan Salman Al-Farisi. Ini adalah bukti jelas kesesatan Syiah yang menuduh para sahabat adalah kafir dan kenyataan ini tertulis di dalam buku yang bertajuk Ar-Raudhah minal Kafi.

Selain itu, Syiah juga mengatakan Al-Wilayah (kepimpinan Saidina Ali selepas kewafatan Rasulullah) termasuk daripada rukun Islam. Kenyataan ini juga dipetik daripada kata-kata Al-Kulaini di dalam buku Usul minal Kafi. Bagi puak Syiah rukun Islam ada 6 bukan lima.

Syiah beriman dengan taqiyyah (berselindung untuk menyelamatkan diri), menghalalkan nikah mut’ah dan mendakwa berlaku penyelewengan Al-Quran yang merupakan kalam Allah.

Perkembangan di Malaysia , di beritakan pengikut Syiah kini semakin agresif di dalam menyebarkan aliran mereka. Pada 17 Disember 2010, pihak JAIS telah menyerbu hauzah di Gombak dan telah menahan 200 orang yang menghadiri majlis yang diadakan di situ.

Pada 25 Mei tahun ini, 4 orang pemimpin Syiah telah ditangkap oleh JAIS kerana telah cuba menarik keanggotaan ahli baru. Mereka ditangkap semasa diadakan majlis meraikan kelahiran Saidatina Fatimah di Gombak. Empat orang pemimpin tersebut yang merupakan penganjur majlis itu bernama Mohd Kamil Zuhairi, Radin Ahmad Faizul, Syed Syafiq dan Asyraf.(mereka semua adalah orang melayu yang telah beriman dengan akidah Syiah).

Pada 25 Ogos pula, Jabatan Agama Islam Melaka telah menyerbu sebuah rumah di Taman Paya Dalam, Melaka yang dipercayai menjadi markaz sebuah kumpulan penganut fahaman Syiah. Sebanyak 35,000 buku dan risalah Syiah yang diharamkan KDN ditemui dalam keadaan siap dibungkus untuk diedarkan melalui pos ke seluruh masjid dan jabatan kerajaan.

Kemungkinan usaha Syiah di Malaysia disokong dan dibantu oleh rakyat Iran yang menetap di Malaysia.
Berdasarkan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bertarikh 5 Mei 1996, aliran Syiah telah diwartakan sebagai bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Sudah ada markas Syiah di Wilayah Persekutuan, katanya lebih kurang 200 orang ahlinya. Mereka berjuang untuk meluaskan lagi gelanggang, mereka hantar pelajar-pelajar untuk belajar di Iran atau Pakistan.

Sahabat yang dihormati,
Dalam sejarah perjuangan Syiah, Ahli Sunnah adalah musuh ketatnya. Syiah jual nama Islam sebab itu mereka dapat bertapak kuat dan berpengaruh di Iran, Iraq, Pakistan dan India. Jadi kejayaan revolusi Iran bukanlah sesuatu yang membanggakan kita. Malah bagi orang yang mengenal Syiah, kejayaan revolusi dirasakan satu tamparan pada Ahli Sunnah. Revolusi itu kecil saja ertinya pada Islam dibandingkan dengan besarnya kesilapan Syiah pada Islam.

Tapi aneh, ketika berita kejayaan Khomeini menumbangkan Shah sampai pada kita, umat Islam khususnya setengah pejuang-pejuang Islam di Malaysia berlompatan gembira. Ada sebahagian mereka sanggup belajar di Universiti Qom semata-mata untuk menjadi ulama Syiah yang taksub dengan ajaran sesat Syiah Khomeini.

Pemimpin Islam di Malaysia perlu berhati-hati jangan sampai ada dikalangan barisan kepimpinannya berfahaman Syiah dan menjadi "gunting dalam lipatan" atau "musuh dalam selimut". Di luar nampak hebat memperjuangkan Islam menentang sekular tetapi hakikat sebenarnya menjadi musuh kepada Ahli Sunnah Wal Jammah.

Perhatian diarahkan ke Iran. Semangat revolusi ditiup merata-rata dan Khomeini dipilih sebagai imam mereka. Hingga sekarang, sudah ada orang-orang Malaysia yang bermazhab Syiah atau paling tidak mengiktiraf kewujudan Syiah. 

Syiah pegangan Khomeini adalah Syiah yang bertentangan dengan akidah dan ajaran Islam yang sebenarnya.

Syiah menghalalkan nikah mut‘ah. Sedangkan hadis  mengenai nikah mut'ah sudah dimansuhkan dengan hadis yang lain. Sebab bagi orang Syiah, nikah mut‘ah bukan setakat untuk lepas nafsu, tapi adalah satu jihad dan tidak sempuma iman, kalau tidak kahwin mut‘ah.

Majoriti umai Islam dan para ulama  di Malaysia yang tidak terima Syiah. Ini berdasarkan hadis yang turun temurun kita baca:-

Nabi SAW bersabda maksudnya, "Demi Tuhan yang memegang jiwa Muhammad, akan berfirqah umatku sebanyak 73 firqah, yang satu masuk syurga dan yang lain masuk neraka, Bertanya para sahabat, siapakah firqah yang tidak masuk neraka itu ya Rasulullah?” Nabi menjawab: “Ahli Sunnah Wal Jamaah.” ( Hadis Riwayat Imam Tabrani)

Orang Syiah kata merekalah satu puak yang dimaksudkan itu. Sebab itu mereka berjuang menyebarkan pengaruh dan ajaran mereka. Sedangkan kita Ahli Sunnah Wal Jamaah bungkam seribu bahasa. Kerana keadaan tertentu atau kerana hendak jaga hati golongan tertentu kita benarkan musuh kita menyebar jala dan pukat untuk mengaut anak buah kita.

Ini tidak patut, membiarkan Syiah masuk bererti membenarkan satu jurang lagi dibuat untuk memecah-belahkan umat Islam (khusus yang cinta pada Islam). Selain itu kemasukan Syiah memungkinkan pergaduhan dan peperangan. Sebab sejarah Syiah ialah mereka perangi siapa saja yang tidak sealiran dengan mereka apalagi kalau menentang mereka.

Hari ini sudah terdapat 73 mazhab (mengenai aqidah) di kalangan umat Islam seluruh dunia. Tepat seperti yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W. Antara mazhab-mazhab itu ialah Qadariah, Khawarij, Muktazilah, Rawafidh, (Syiah), Najariah, Jahmiah,  Mujasimah, Musyabihah.

Terjadinya Syiah Imamiah yang dipegang oleh Ayatollah Khomeini adalah ekoran dari perpecahan lebih 1000 tahun dulu. Golongan Syiah Imamiah adalah serupa golongan Syiah yang lain yang rosak akidahnya , dasarnya tetap sama yakni menolak akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pandangan mereka tentang Al Quran, tentang hadis, tentang sahabat, Ahlul Bait dan tentang Sayidina Ali dan keturunannya jauh bezanya dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Perbezaan ini bukan sahaja dalam soal furuk (cabang) tapi adalah juga dalam persoalan akidah.

Syiah Imamiah mengubah susunan dan bilangan ayat Al Quran, menolak sebahagian besar hadis, mereka menolak hadis-hadis riwayat Abu Hurairah, Aisyah , Habsah, Abu Bakar, Umar dan Uthman. Sedangkan bagi Ahli Sunah Wal Jamaah hadis-hadis sahih daripada riwayat sahabat-sahabat Nabi SAW dan isteri-isteri Nabi SAW adalah menjadi sumber kepada bab akidah dan syariat Islam. Syiah suka mengkufur dan melaknat sebahagian besar dari para sahabat dan seterusnya banyak berbohong tentang Saidina Ali.

Jika Nabi SAW menyatakan 10 orang sahabat dijamin masuk syurga termasuk Saidina Abu Bakar, Umar dan Uthman sedangkan Syiah mengkafirkan mereka apakah mungkin umat Islam yang waras akal fikirannya masih boleh terima golongan Syiah yang sesat lagi menyesatkan ini? Nauzubilah.

Bermacam-macam keganjilan dan penyelewengan yang dibuat oleh Syiah terhadap Islam.

Di antaranya ialah:-

Tentang ibadah sembahyang.

1. Imam sembahyang mereka, sembahyang di depan tapi berada dalam satu lubang separas lutut (tempat yang lebih rendah dari makmum). Di Qom pun sama.

2. Mereka sujud di atas seketul batu yang bulat leper atau empat segi. Ertinya dahi dan hidung tidak kena lantai. Batu itu disediakan dalam masjid atau mereka bawa sendiri ke mana mereka pergi. Batu yang paling suci pada mereka ialah diambil di Karbala kemudian Masyad dan di Qom. Kalau tidak dapat juga boleh juga gunakan batu-batu di tempat lain. Kalau tidak ada batu, mereka akan gunakan apa-apa yang tumbuh dari bumi sebagai tempat sujud (letak dahi). Paling tidak, sujud atas tapak tangan. Tujuan mereka buat begitu kerana kata mereka manusia jadi dari pada tanah.

3. Bila selesai baca tahiyyat akhir mereka akan tepuk kedua-dua peha tiga kali dengan kedua-dua tangan. Walhal ikut mazhab kita menggerakkan anggota tiga kali berturut-turut akan membatalkan sembahyang. Setengah mereka ada memberi salam sambil berpaling ke kanan tapi setengahnya tidak. Mungkin pada mereka itu  sunat saja.

4. Azan pun berbeza. Selepas mengucapkan Asyhadu Anna Muhammadur Rasulullah  ditambah kalimah: Wa Anna Aliyyan Wali Yullah. Dan selepas mengucapkan Haiyya ‘Alal fallah’ ditambahkan lagi dengan “Haiyya Ala Khairil ‘Amal’.

5. Wuduk mereka tidak payah basuh kaki. Cukup disapu saja dengan air.

6. Syarat untuk sembahyang Jumaat di satu tempat ialah tidak boleh buat dua Jumaat kecuali sudah sampai kawasan dua marhalah. Kalau di bandar Tehran maknanya semua penduduk bertumpu ke satu masjid saja.Jadi beratus-ratus ribu oranglah sembahyang di satu masjid. Khutbahnya panjang tidak kurang dari satu jam. Gambar Khomeini dan timbalannya besar-besar diletakkan di kiri dan kanan masjid (dalam hadis riwayat Bukhari jelas bahawa malaikat tidak masuk rumah yang ada gambar makhluk bernyawa) Seelok-elok saja selesai sembahyang Jumaat, mereka jamak dan qasarkan asar ke zuhur.

7. Waktu sembahyang Jumaat ada seorang tukang seru berdiri di depan imam. Bila imam rukuk dia pun seru kuat-kuat: “Rukuk “. Kalau berdiri dia seru: “Qiyam!“. Dan seterusnya dia sendiri tidak sembahyang Jumaat sampailah ke akhir.

8. Setiap pagi hari Jumaat tanah perkuburan penuh dengan beribu-ribu orang, termasuk ulama. Jadi macam pesta. Tanah perkuburan meriah dengan doa, syarahan dan majlis makan.

Di Syria, maqam-maqam Ahlil Bait diziarahi oleh rakyat Iran sambil memukul-mukul badan ke maqam, meratap-ratap dan mengongoi menangis. Perempuan ramai buat begitu. Lelakinya tolong melagukan lagi supaya lebih kuat dan lebih lama tangisan itu. Bising tanah perkuburan dengan suara-suara ratapan itu. Berbeza sungguh cara orang Iran dengan kita. Tiap-tiap kubur di Iran diletakkan bendera-bendera dan gambar-gambar si mati. Setengahnya pula gambar Sayidina Ali dan gambar Imam Mahdi.

9. Tentang Imam Mahdi, orang Iran percaya Mohammad bin Al Askari, Imam mereka yang ke 12, yang ghaib waktu kecil (belum baligh) akan datang lagi untuk jadi Imam Mahdi.Mereka menunggu-nunggu kedatangannya dengan ghairah sekali. Sebab itu di dinding-dinding bangunan, di tembok dan di kubur-kubur ada ditampalkan gambar “Imam Mahdi” sedang tidur.(jelas disini bahawa amalan-amalan kurafat Syiah merosakkan akidah dan sama seperti kepercayaan kurafat agama Yahudi)

Kita Ahli Sunnah Wal Jamaah percaya juga akan kedatangan Imam Mahdi. Tapi namanya bukan Mohammad bin Hassan Al Askari tapi Muhammad bin Abdullah (hadis sahih)

10. Di Iran, jubah, serban hanya dipakai oleh ulama dan pelajar agama, yang bukan ulama pakai macam biasa; berseluar ketat dan kepala gondol. Walhal jubah serban ialah pakaian Rasulullah dan layak dipakai oleh sesiapa juga umatnya.

11. Setiap hari 10 Rejab, di Iran khususnya di Karbala orang-orang Syiah buat perayaan memukul diri,meratap-ratap dan menangis-nangis dengan suara tinggi menyesali kematian Saidina Hussin. Jelas sekali Rasulullah melarang meratapi mayat. Tapi Khomeini tidak pernah tegur anak buahnya yang buat begitu. Kalau benar perjuangkan makruf dan mencegah kemungkaran, kenapa maksiat sebesar itu didiamkan saja.? Ini bukti jelas kesesatan ajaran Syiah Imamiah.

SYIAH IMAMIAH

DALAM Kitab Maqalatul Islamiyyin muka surat 5, Imam Abu Hassan Ashaari mengatakan Syiah ialah kumpulan yang taksub dengan Sayidina Ali. Mereka mengutamakan Saidina Ali atas segala sahabat. 
Mazhab mereka sepakat mengatakan bahawa lmamah ( kepimpinan ) itu bukan dari kemuslihatan umum yang boleh diserahkan pada pandangan ummah.

Pemimpinlah yang menentukan jawatan kepimpinan iaitu imam berikutnya dan kepimpinan itu rukun agama dan tiang Islam. Dan tidak harus bagi Nabi melupakannya dan tidak boleh serah pada umat. Wajib mengatakan imam mereka adalah maasum dari dosa kecil dan besar. Dan sesungguhnya Sayidina Ali k.w  telah ditentukan oleh Rasulullah (kepimpinannya) dengan nas-nas.

Demikianlah pendirian atau pegangan umum orang-orang Syiah. Mereka mengatakan pengganti Rasulullah untuk memimpin umat Islam hanyalah layak bagi Saidina Ali dan keturunannya sahaja.

Walhal apa yang sebenamya berlaku ialah sepakat (ijmak) sahabat melantik Saidina Abu Bakar As Siddiq menjadi khalifah pertama sesudah Rasulullah S.A.W.

Saidina AIi k.w sendiri tidak menimbulkan apa-apa keributan dalam kepimpinan ini. Beliau yang mula meredakan kepimpinan ketiga-tiga Amirul Mukminin yang sebelum beliau. Ini nyata dari ucapan beliau yang tertulis dalam kitab Mukhtasar At Tuhfah Al Isna Asyariah oleh Ad Dahlawi.

“Bai‘ah kamu sekarang ini ialah di atas Kitabullah dan Sunnah Rasul termasuk juga Sunnah Abu Bakar dan Umar.”

Dalam setengah kitab lain dinamakan Syiah Imamiah ialah kerana mereka meyakini bahawa Muhammad bin Hassan Al Askari, sebagai Imam ke 12, yang ghaib semasa belum baligh lagi itu berselisih pendapat (ada kata 4 tahun, ada kata 8 tahun) akan muncul kembali sebagai Imam Mahdi.

Dipanggil juga Syiah Imamiah ini sebagai Syiah Isna’ Asyariah kerana golongan ini mengiktiqadkan bahawa imam (pemimpin) mereka hanya 12 orang sahaja.

Bermula dengan Saidina Ali diikuti oleh anak cucunya hingga diakhiri oleh Muhammad bin Hassan Al Askari (yakni Imam Mahdi). Syiah Imamiah digelar sebagai Raafidhah (enggan dan degil) kerana keengganan mereka untuk menolong imam mereka dan tidak ikut ke medan perang.

Dalam kitab Asy Syiah Wat Tasyaiyyu’ dikatakan Rawaafidh (Raafidhah atau degil) kerana keengganan puak ini menerima Zaid bin Ali bin Hussin kerana beliau itu telah memuji Sayidina Abu Bakar As Siddiq dan Sayidina Umar Ibnu Khattab.

Juga kerana enggan mengiktiraf 3 orang Khulafaur Rasyidin ( yakni yang selain Sayidina Ali k.w).

Terkenal juga Syiah Imamiah ini dengan nama Jaafariah. Ini adalah kerana mazhab pegangan dan amalan mereka dalam masalah halal dan haram (furu‘iah) ialah mazhab Imam Jaafar bin Muhammad As Sodik.

Memandang pada namanya sahaja, kita sudah boleh nampak palsunya ajaran Syiah Imamiah yang dipegang oleh Khomeini. Menganggap Imam Mahdi bernama Muhammad bin Hassan adalah bertentangan dengan keyakinan kita Muhammad bin Abdullah. Memang terjadi khilaf antara ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah sendiri tentang siapa Mahdi, tetapi mereka sepakat bahawa namanya
Muhammad bin Abdullah, bukannya Muhammad bin Hassan.

Kemudian Syiah Imamiah beriktiqad pemimpin ummah sesudah Rasulullah hinggalah ke Imam Mahdi hanya 12 orang yakni semuanya keturunan dari Saidina Ali. Walhal secara realitinya begitu ramai pemimpin atau pemerintah Islam yang memerintah negara-negara Islam serta umat Islam dari dulu hinggalah sekarang. Apa orang Syiah mahu mengenepikan semua kepimpinan yang wujud itu? Apa alasan mengatakan pemimpin-pemimpin selain 12 orang itu tidak layak memimpin?

Syiah Imamiah juga menolak kekhalifahan Saidina Abu Bakar, Sayidina Umar dan Sayidina Usman. Ini sangat bertentangan dengan apa yang sebenamya berlaku. Ribuan sahabat mengiktiraf mereka, begitu juga seluruh Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kenapa orang Syiah mahu kucar-kacirkan kewujudan dan realiti ini. Nampak sangat puak ini mencari pecah belah dan pergaduhan di kalangan umat Islam. Lagipun Syiah hanya wujud di zaman akhir Saidina Ali k.w, iaitu pada tahun 37 Hijrah. (Satu fakta yang jelas Syiah sebenarnyadi asaskan oleh Puak Yahudi Bani Saba' yang menyamar sebagai orang Islam semata-mata menimbulkan pergaduhan dan permusuhan sessama umat Islam menggunakan tiket Ahlul Bait dan kepimpina Saidina Ali k.wj.)

Bukannya zaman Rasulullah S.A.W masih ada. Ertinya Syiah wujud sesudah wafat Rasulullah dan khalifah yang tiga. Kalau begitu Syiah bukan merupakan puak atau ajaran yang seperti apa yang diperjuangkan oleh Rasulullah dan Khulafaur Rasyidin.

Malah ia termasuk dalam golongan yang terpisah dari ajaran asal yakni Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selain dari perkara-perkara di atas, terdapat banyak lagi iktiqad Syiah yang jauh bertentangan dengan iktiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah. Antaranya ialah:

Dipetik dari Kitab Mukhtasar At Tuhfah Al Isna’ Asyariah oleh Ad Dahlawi:-

1. Syiah Imamiah mengiktiqadkan bahawa mengutus para Nabi adalah wajib atas Allah Taala. Walhal bagi Ahli Sunnah Wal Jamaah, mengutuskan para Nabi adalah harus bagi Allah dan itu juga termasuk satu kurnia dan rahmat-Nya pada kita.

2. Syiah Imamiah mengiktiqadkan bahawa sepanjang zaman tidak sunyi dari kenabian atau wasi yakni orang yang berdiri pada tempat Nabi. Ini juga bertentangan dengan Al Quran yang mana banyak ayat-ayat menunjukkan adanya zaman fitrah atau zaman yang sunyi dari kenabian.

Firman Allah: Ertinya: “Tidak Kami mengazab hinggalah Kami mengutuskan Rasul.”
(Surah Al Israk ayat 15)

Lagipun dalam sejarah kita sendiri saksikan bahawa ada zaman-zaman di dalamnya tidak ada Nabi. Contohnya, antara Nabi Isa a.s.  dengan Nabi Muhammad, sekian lama tidak ada Nabi.

3. Syiah Imamiah mengiktiqadkan harus para Nabi melakukan pembohongan atau dusta. Bahkan kata mereka adakalanya wajib bagi Nabi melakukan taqiyah (helah). Ini pun jauh bertentangan dengan firman Allah yang bermaksud : "Agar engkau jelaskan kepada manusia apa yang diturunkan kepada mereka.” (Surah An Nahli ayat 44)

Firman-Nya lagi yang bermaksud :“Hai Rasulullah! Sampaikanlah kepada umat apa yang diturunkan Tuhanmu kepadamu.” (Surah Al Maidah ayat 67).

Demikian jaminan Al Quran bahawa Rasul tidak berbohong atau menipu. Kalaulah para Rasul menipu, rosaklah hukum-hukum Allah, tidak betullah undang-undang yang diperintahkan selama ini. Lagipun kalau para Nabi boleh menipu perlu apa dibiarkan orang kafir memerangi mereka siang dan malam hingga berbunuh-bunuhan. Itu bukti bahawa Rasul-Rasul tegas memperkatakan kebenaran samada orang setuju atau tidak.

4. Syiah Imamiah beriktiqad bahawa mereka para Nabi asalnya tidak mengetahui usul akidah. Pengetahuan itu baru didapati ketika mereka dilantik menjadi Nabi yakni ketika munajat atau berkata-kata dengan Allah S.W.T. Moga-moga kita diselamatkan dari iktiqad demikian kerana sebenarnya Nabi-Nabi itu tidak pemah jahil tentang usul akidah walaupun sebelum kenabian, kerana kalau jahil tentang itu boleh bawa kekufuran.

5. Syiah Imamiah beriktiqad setengah daripada Rasul yang bergelar Ulul Azmi  pernah meminta keuzuran dari Allah S.W.T untuk tidak menyampaikan risalah. Masing-masing menyatakan sebab-sebab keuzuran masing- masing, yang mana berbeza antara satu sama lain.

Contoh Nabi Musa enggan menyatakan tentang akan datangnya Nabi Muhammad kerana bimbangkan umatnya tidakpercaya. Ini adalah satu pembohongan terhadap Ulul Azmi. Mereka itu yang kita kenal ialah orang-orang yang sangat amanah dan sangat menyampaikan risalah Allah. Dan sangat sabar menanggung kesusahan dari perjuanganmereka.

Firman Allah yang bermaksud : “Maka sabarlah engkau (tahanlah dalam percubaan) sebagaimana ketahanan Rasul-Rasul Ulul Azmi.” (Surah Al Ahqaf ayat 35).

6. ‘Syiah Imamiah mengiktiqadkan bahawa ketuanya (amir) diberi wahyu. Cuma bezanya wahyu Nabi dengan wahyu amir ialah Nabi nampak malaikat yang menghantar wahyu tapi amir dengan suara saja. Iktiqad ini bertentangan dengan sabda Rasulullah SAW yang dibawah.

‘Dikeluarkan oleh Imam Bukhari dari Abi Hurairah r.a ia berkata, aku mendengar Rasulullah S.A. W bersabda, “Wahai manusia sesungguhnya tidak kekal selepasku daripada kenabian melainkan mubasyarat. Sahabat bertanya, “‘Apakah mubasyarat itu?” Rasulullah bersabda, “ltulah mimpi yang benar.”

7. Syiah Imamiah mengiktiqadkan harus hukum-hukum syarak itu dimansuhkan oleh Imam. Ini sama dengan padri dan pendita Kristian dan Yahudi yang merubah hukum-hukum Allah SWT mereka boleh jatuh murtad.

8 . Ada satu puak daripada Imamiah mengakui Saidatina Fatimah penghulu perempuan itu pernah menerima wahyu selepas Rasulullah S.A.W. Sesungguhnya wahyu itu dikumpulkan menjadi mushaf Fatimah. Mereka menganggap al-Quran sekarang ini tidak lengkap kerena mereka ada tambahan ayat-ayat baru. Ini cukup jelas pembohongan yang dahsyat kerana Allah SWT sendiri menjamin kesucian al-Quran daripada tokok-tambah.

9. Usulul Kafi muka surat 187 jilid 1.Menganggap ada wahyu sesudah wafat baginda Rasulullah bererti mengatakan masih ada lagi orang selepas baginda yang boleh dapat wahyu. Ini sangat bertentangan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan boleh bawa murtad.

10. Setengah daripada Imam Syiah Imamiah ada yang berkata,pempimpin mereka bersekutu dalam mikraj ertinya turut mikraj sama-sama Rasulullah. Tapi ada yang kata tidak ikut naik cuma turut menyaksikan dari bawah. Ini sangat dahsyat. Israk dan Mikraj adalah mukjizat besar yang dikurniakan pada Nabi seorang. Mana ada manusia lain boleh bersekutu dengannya? Kemudian menganggap ada orang boleh menyaksikan apa yang di langit tanpa naik mikraj, ini bermakna orang itu ada kebolehan luar biasa yang tidak ada pada Nabi sendiri. Ini mustahil dan inilah satu lagi pembohongan besar yang dibuat oleh Syiah.


Sahabat yang dikasihi,
Cukup jelas ajaran Syiah adalah ajaran yang sesat lagi menyesatkan . Oleh semua umat Islam perlulah menjelaskan kepada saudara-saudara kita yang lain supaya menjauhi ajaran sesat ini. Bertindak segeralah melapurkan kepada pihak berkuasa agama jika kalian dapati ada dikalangan umat Islam yang telah terpengaruh dengan ajaran Syiah. Kalian sendiri perlu menjadi juru bicara umat untuk menangkis serangan dan dakyah Syiah yang telah bertapak di negara kita ini. Semoga kita semua terselamat daripada kesesatan akidah samaada dibawa oleh Syiah atau ajaran-ajaran sesat yang lain.








1 comment:

Anonymous said...

Alhamdulillah.... Terima kasih atas penerangan saudara... Syukur.. Masih ada insan seperti saudara..