بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Hidup di dunia ini adalah sementara, akhiratlah kehidupan yang kekal abadi. Janganlah kita merasa seolah-olah umur kita masih panjang kerana lamunan seperti itu banyak membawa kepada kelalaian.
Sesiapa yang sentiasa bersyukur bermakna dirinya mengingati Allah. Rasa bersyukur terhadap Maha Pencipta yang memberikan segala kehidupan ini dan rasakan diri sentiasa hampir kepada Allah. Justeru, Allah membalasnya dgn melimpahkan nikmat yg lebih baik.
Allah berfirman yang bermaksud: “ Maka ingatlah Aku nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurlah atas nikmat- Ku dan janganlah sekali2 kamu kufuri nikmat Ku. ” (Surah al-Baqarah, ayat 152).
Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada seluruh manusia, tanpa mengira orang beriman atau tidak beriman. Orang yang ingkar akan menanggung kerugian di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Kehidupan orang yang tidak bersyukur sentiasa tertekan dan gagal memanfaatkan apa yg dimilikinya.
Manusia bukan sahaja tidak pandai berterima kasih kepada sesama manusia, malah tidak pandai berterima kasih kepada Allah; Tuhan yang mencipta, menjaga dan memberi nikmat yang tidak terhitung. Berterima kasih kepada Allah itulah yang dinamakan bersyukur.
Dalam bahasa mudah, syukur itu ialah seperti yang diungkapkan oleh Imam al-Jurjani: "Suatu ungkapan atau penyataan kerana memperoleh nikmat, baik secara lisan, tindakan mahupun hati."
Bersyukur itu sangat sukar. Sukarnya untuk manusia bersyukur ini ditegaskan oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: "Sangat sedikit dikalangan hamba-Ku yang bersyukur." (Surah Saba' (34) ayat 13)
Sifat syukur itu wajib ada pada setiap orang Islam. Ia salah satu daripada sifat mahmudah yang wajib dipelajari, difahami dan diamalkan oleh setiap mukallaf. Manusia yang tidak berterima kasih kepada manusia pun sudah dikira tidak beradab, apatah lagi jika manusia tidak bersyukur kepada Allah.
Oleh sebab itu, Allah mendidik manusia supaya bersyukur kepada Nya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Ya Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku bagaimana mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau beri kepadaku dan kepada ibu bapaku. Jadikanlah amal perbuatanku sesuai dengan keredaan-Mu dan berikanlah kebaikan kepadaku berlanjutan sampai kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan aku ialah orang yang berserah diri."
(Surah al-Ahqaf (46) ayat 15)
Sifat syukur tidak boleh dipaksa. Ia perlu muncul dari dalam hati dengan kerelaan. Manusia diberi pilihan, sama ada untuk bersyukur atau sebaliknya. Jika manusia memilih untuk bersyukur, itu adalah baik untuknya. sebaliknya jika memilih untuk tidak bersyukur, akibat buruknya ditanggung sendiri.
Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis air mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu kami jadikan dia mendengar dan melihat. Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir." (Surah al-Insan (76) ayat 2-3).
Namun, kerana kasih sayang-Nya, Allah SWT mengulang-ulang kalimah syukur dan kalimah-kalimah lain yang berkaitan dengannya sebanyak 60 kali dalam al-Quran. Allah SWT ingin mendidik manusia akan peri pentingnya sifat syukur. Maha Suci Allah yang tidak akan meletakkan sesuatu yang tidak penting dalam kitab-Nya yang agung dan mulia. Sekiranya disebut sekali sahaja, itupun sudah memadai untuk membuktikan kepentingannya, apatah lagi diulang-ulang sebanyak itu. Tegasnya, syukur itu satu sifat yang sangat penting diketahui, difahami dan diamalkan.
Apa erti syukur?
Dari segi bahasa, syukur maknanya pujian. Yakni pujian apabila mendapat kebaikan atau kelebihan kepada pihak yang memberi kebaikan dengan menyebut kebaikannya. Apabila manusia menghargai kelebihan yang ada pada dirinya, maka itulah modal awal untuk bersyukur. Jadi, sudah sewajarnya setiap manusia bersyukur kerana setiap manusia mempunyai kelebihan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Jika engkau mahu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan terhitung."
(Surah Ibrahim (14) ayat 34)
Sedarilah kita bahawa kita mempunyai kelebihan, kemudian hargai kelebihan itu. itulah langkah awal untuk bersyukur. Sebaliknya, orang yang kufur (dalam konteks ini kufur nikmat), hanya nampak kekurangan lalu mengeluh atau "menyumpah" kekurangan itu. Orang yang bersyukur akan rasa cukup dengan yang sedikit. Sebaliknya, orang yang kufur tidak akan puas dengan yang banyak.
Sahabat yang dimuliakan,
Kalimah syukur juga bererti penuh atau lebat. Jika diibaratkan pokok, ia mempunyai daun yang lebat dan rimbun. Maka begitulah orang yang bersyukur, rezekinya akan subur. kesan bersyukur, rezekinya yang sedikit akan ditambah oleh Allah menjadi banyak. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah menerusi firmanNya yang bermaksud: "Jika kamu bersyukur, sungguh pasti Aku akan tambah apa yang ada pada diri kamu. (Surah Ibrahim (14) ayat 7)
Rahsia ketenangan dan kejayaan adalah dengan menghitung kesyukuran, bukan kesukaran. maksudnya, dalam apa-apa keadaan sekalipun, hendaklah berfikir secara positif dengan melihat kepada kelebihan, bukan kekurangannya. Orang yang bersyukur akan berusaha menampakkan kesan nikmat Allah kepada dirinya.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi daripada Amru Ibn Shuaib: "Sesungguhnya Allah suka diperlihatkan kesan daripada nikmat-nikmatNya"
Namun menampakkan kesan nikmat tidak sama dengan sifat menunjuk-nunjuk. Menampakkan kesan nikmat dibuat dengan hati yang mengingati Allah (zikrulla). Tujuan menampakkan kesan nikmat adalah untuk menunjukkan kebesaran Allah yang mengurniakan nikmat itu. Sebaliknya, perbuatan menunjuk-nunjuk dibuat dengan tujuan mahu menonjolkan diri.
Sahabat yang dikasihi,
Kita disuruh bersyukur bukan saja apabila mendapat kemewahan atau apa yang dihajati tercapai. Sebaliknya, rasa bersyukur juga di atas ciptaan Allah yang menjadikan dunia ini untuk kemudahan manusia serta seluruh kehidupan lain di dunia ini.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah kekayaan itu dgn banyak harta, tetapi sesungguhnya kekayaan itu ialah kekayaan jiwa.” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah kekayaan itu dgn banyak harta, tetapi sesungguhnya kekayaan itu ialah kekayaan jiwa.” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Orang yang mampu bersyukur hanyalah mereka yang dapat melihat kelebihan diri. namun kelebihan itu dirasakan milik Allah, bukan milik dirinya. Apabila bersyukur kita memuji Allah, bukan memuji nikmat atau memuji diri sendiri. Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment