Monday, September 2, 2013

Enam Golongan Termasuk Di Dalam Golongan Memutuskan Silaturahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita tidak boleh memutuskan silaturahim kerana dengan memutuskan silaturahim itu boleh menyebabkan mendapat kutukan dan laknat Allah Subhanahu Wata'ala serta tidak akan dimasukkan ke dalam syurga, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :

"Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tidak akan masuk Syurga bagi yang memutuskan silaturahim".
(Hadis Riwayat Al-Imam Muslim)

Adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk menjaga hubungan silaturahim dengan sebaik-baiknya. Janganlah disebabkan masalah kecil dan remeh-temeh menyebabkan hubungan menjadi renggang atau retak. Tidak bertegur sapa selama 3 hari. Perkara sebegini boleh menimbulkan ketegangan yang menyebabkan mereka bermasam muka, saling benci-membenci, fitnah-memfitnah dan akhirnya boleh memporak-perandakan hubungan silaturahim dalam berkeluarga dan bermasyarakat.

Terdapat 6 jenis golongan yang termasuk dikalangan penghasut dan memutuskan silatuirahim :

1. Ibu bapa yang mencampuri urusan perkahwinan anak-anaknya. Ibu bapa yang membenci menatu dan menyuruh anaknya memutuskan ikatan perkahwinan (bercerai). Sanggup menghasut dan memfitnah menantunya . Jika menantunya melakukan sesuatu perkara yang tidak syarak sepatutnya sebagai orang tua memberi nasihat dahulu sekiranya perkara tersebut tidak berhasil barulah jalan terakhir mengusulkan perceraian. Setengah kes orang tua yang fasik ini sanggup mengunakan khidmat bomoh untuk mengenakan sihir keatas menantunya. Golongan ini adalah melakukan d dosa besar dan akan mengundang kemurkaan Allah SWT.

2. Rakan sepejabat yang menghasut pegawai atasan untuk memfitnah dan menimbulkan kebencian supaya rakannya tidak mendapat kenaikan pangkat atau gaji. Golongan ini sentiasa memiliki perasaan hasad dengki ini tidak merasai takut dengan azab Allah.

3. Dalam hidup berpoligami sering kita dengan isteri pertama membenci isteri kedua dan membuka rahsia suaminya dan membuat tuduhan kepada madunya dengan harapan untuk mendapat simpati daripada orang lain. Golongan ini jika tidak bertaubat dan menempah dirinya dengan azab Allah SWT kerana ramai wanita memasuki Neraka adalah kerana menyakiti hati suami dan suka mengadu domba.

4. Pemimpin politik sering menyerang peribadi pemimpin lain (berbeza fahaman politik) dan menghasut rakyat supaya membenci musuh politiknya dengan tujuan untuk mendapat pengaruh dan sokongan murahan. Jika yang diceritakan itu tidak benar maka ianya menjadi fitnah dan akan berlakulah pergeseran dan pergaduhan sesama Muslim. Golongan ini di hari akhirat nanti amat mudah menjadi muflis kerana dosa 'kering' yang dilakukan di dunia.

5. Permusuhan dan pulau memulau sesama jiran tetangga atau sekampung kerana berbeza pendapat.Perbezaan ini perlu di atasi supaya dapat mengujudkan ikatan persaudaraan Islam . Kerana semua orang Muslim adalah bersaudara. Jangan biarkan penyakit pulau memulau, kerana jika dibiarkan akan menjadi barah kepada penyatuan umat Islam dan akan mengakibatkan Islam akan hilang kekuatannya.

6. Perselisihan sesama adik- beradik kerana pembahagiaan harta pusaka peninggalan orang tua. Tidak mahu bertolak ansur hingga mengakibatkan terputus dan terungkai ikatan silaturahim dan kasih sayang di antara ahli keluarga. Golongan ke 6 ini amat sesuai dengan hadis Nabi SAW. yang menyatakan bahawa tidak akan masuk syurga sesiapa yang memutuskan ikatan silaturahim.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menjaga akhlak dan peribadi kita untuk sentiasa menghiasi hidup kita dengan sifat-sifat mahmudah dan menjauhi sifat-sifat mazmumah. Sifat suka penghasut, memecah belahkan perpaduan umat Islam, mengumpat, memfitnah dan memutuskan silaturahim adalah sifat-sifat mazmumah. Sifat ini amat dibenci oleh Allah SWT dan Nabi SAW sendiri memberi amaran keras kepada sesiapa yang hidupnya menyusahkan orang lain dan menimbulkan perpecahan sesama Muslim. Tidak ada tempat yang layak untuk mereka ini melainkan azab Neraka Jahanam.

No comments: