Thursday, September 5, 2013

Soal Jawab Agama Siri 79 (Bulu Kucing, Mengeluarkan Air Mani, Solat Jamak, Nikah Mut'ah Dan Jumpa Bomoh)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

 Soal Jawab Agama Siri 79 adalah membicarakan persoalan bulu kucing, mengeluarkan air mani, solat jamak bukan kerana musafir, nikah mut'ah dan hukum berjumpa bomoh.

681. Soalan : Bulu binatang seperti kucing di anggp bangkai bila tercabut daripada badannya. Bila kita dalam keadaan berwuduk, jika terkena bulu tersebut adakah wuduk kita batal?

Jawapan : 

Wuduk kita tidak terbatal apabila terkena bulu kucing yang tercabut daripada badannya. 
Ulama mazhab Shafi'i dan Hanbali yang berkata bulu kucing itu najis kerana berpegang pada pendapat bahawa apa yang terpisah dari binatang yang boleh dimakan tetapi tidak disembelih atau binatang yang tidak boleh dimakan adalah najis.


Ulama Mazhab Hanafi dan Maliki mengatakan bulu kucing tidak najis kerana berpandukan dalil berikut:

1. Hadis Nabi SAW yang menceritakan mengenai seorang sahabat yang bertanya mengenai hukum kucing. Nabi lalu jelaskan bahawa ia tidak najis kerana ia adalah binatang yang sering berkeliaran di rumah dan sekitaran kita. Kalau ia najis, akan pasti menyusahkan. Sedangkan Islam adalah agama yang memudahkan.

Hadis diriwayatkan dari Abu Qatadah, di mana Rasulullah SAW bersabda, "Kucing itu tidak najis, ia termasuk haiwan yang berkeliling dalam lingkunganmu.” (HR yang berlima. Kata Imam Tirmiddzi:’hadis ini hasan lagi sahih. Juga dinyatakan sahih oleh Imam Bukhari)

Sahabat Nabi SAW bernama Abu Hurairah dinamakan sedemikian kerana ia memang suka dengan kucing dan dia ada kucing peliharaan yang dibawa ke mana-mana. Kalau bulu kucing yang tercabut itu najis, dia pasti tidak melakukan sedemikian kerana hakikatnya amat sukar untuk menjaga diri dari bulu kucing yang tertanggal.Wallahu a`alam


682. Soalan :  Apakah hukumnya mengeluarkan air mani di luar faraj isteri sewaktu bersetubuh dengan tujuan untuk merancang keluarga? Saya harap dapat kiranya ustaz  memberi pandangan serta dalil-dalilnya.

Jawapan :
 
Mengeluarkan air mani diluar faraj isteri adalah harus jika berlaku dengan izin isteri dengan tujuan untuk mengelakkan isteri mengandung (merancang keluarga). Secara umumnya air mani itu adalah hak isteri (ditumpahkan ke faraj) dan dikeluarkan melalui usaha yang halal (nikah / jimak dengan isteri).


Daripada Jabir r.a beliau berkata : Kami pernah melakukan Al-‘Azal (mengeluarkan mani diluar faraj) di zaman Rasulullah SAW dan perkara itu sampai ke pengetahuan baginda SAW , tetapi Baginda SAW tidak pula menegah kami daripada melakukan perkara tersebut “

(Hadis Sahih Riwayat Muslim – Kitab An-Nikah – 2610)

Dalam kaedah fiqh, apabila tiada larangan jelas dari Al-Quran dan as-sunah menandakan keharusan tetapi hukum harus terbatas pula kepada adab dan etika suami isteri. Jika ada tujuan
kemasukan air mani memberi nikmat kepada isteri dan menghilangkan nikmat ini akan menyebabkan ketidakpuasan hati berlaku. Jika isteri redha dan mengizinkan maka tidak mengapa. Wallahu a'lam.

683. Soalan :  Saya ada satu kemuskilan berkenaan solat jamak. Kawan saya (perempuan) perlu menghadiri satu majlis makan malam yang memerlukan dia berada di majlis tersebut dari waktu maghrib sehingga lewat malam urusan syarikat ditempat dia bekerja. Bolehkah kawan saya jamak solat maghribnya ke dalam waktu isyak ?.. Sekian, Terima kasih..

Jawapan:

Tiada sebab yang diharuskan syarak yang membenarkan dia untuk menjamakkan solatnya. Alasan kerana hadiri majlis seperti ini tidak diharuskan kerana jelas program seperti ini tidak menghormati hak orang Islam untuk melakukan solat magrib.

Walaubagimana pun untuk dia memudahkan solat magrib dia boleh berwuduk sebelum majlis dan pergi menunaikan solat maghrib apabila masuk waktunya (siapkan telekung dan sejadah dan boleh cari tempat yang sesuai untuk solat magrib jika tidak ada bilik solat ditempat tersebut). Isyak ditunaikan setelah selesai majlis di haruskan. (sebaiknya keluar seketika untuk solat Isyak seperti solat maghrib tadi)
 

Perlu diingatkan solat lebih utama daripada urusan duniawi, tunaikan solat agar kita tidak berhutang dengan Allah SWT atas kewajipan kita kepadanya. Jika majlis tersebut mengandungi unsur-unsur maksiat atau sia-sia (lagha) sebaik-baiknya jangan menghadirkan diri. Wallahu a'lam.


684. Soalan. Ajaran sesat Syiah telah menghalakan nikah mut'ah tidak terbatas dengan bilangan wanita yang dinikahinya. Bolehkan ustaz jelaskan ciri-ciri nikah mut'ah tersebut dan hadis-hadis yang mengharamkannya?


Jawapan :

Nikah mut'ah ialah perkawinan antara seorang lelaki dan wanita dengan maskawin tertentu untuk jangka waktu terbatas yang berakhir dengan habisnya masa tersebut, dimana suami tidak berkewajiban memberikan nafkah, dan tempat tinggal kepada istri, serta tidak menimbulkan pewarisan antara keduanya.


Ada 6 perbedaan prinsip antara nikah mut'ah dan nikah sunni (syar'i):


1. Nikah mut'ah dibatasi oleh waktu, nikah sunni tidak dibatasi oleh waktu.


2. Nikah mut'ah berakhir dengan habisnya waktu yang ditentukan dalam akad atau fasakh, sedangkan nikah sunni berakhir dengan talaq atau meninggal dunia.


3. Nikah mut'ah tidak berakibat saling mewarisi antara suami istri, nikah sunni menimbulkan pewarisan antara keduanya.


4. Nikah mut'ah tidak membatasi jumlah isteri, nikah sunni dibatasi dengan jumlah isteri hingga maksima 4 orang.


5. Nikah mut'ah dapat dilaksanakan tanpa wali dan saksi, nikah sunni harus dilaksanakan dengan wali dan saksi.


6. Nikah mut'ah tidak mewajibkan suami memberikan nafkah kepada isteri, nikah sunni mewajibkan suami memberikan nafkah kepada isteri.


Dalil-Dalil Haramnya Nikah Mut'ah


Haramnya nikah mut'ah berlandaskan dalil-dalil hadis Nabi SAW juga pendapat para ulama dari 4 madzhab. 

Dalil dari hadis Nabi SAW yang diwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitabnya Shahih Muslim menyatakan bahwa dari Sabrah bin Ma'bad Al-Juhaini, ia berkata: "Kami bersama Rasulullah SAW dalam suatu perjalanan haji. Pada suatu saat kami berjalan bersama saudara sepupu kami dan bertemu dengan seorang wanita. Jiwa muda kami mengagumi wanita tersebut, sementara dia mengagumi selimut (selendang) yang dipakai oleh saudaraku itu. Kemudian wanita tadi berkata: "Ada selimut seperti selimut". Akhirnya aku menikahinya dan tidur bersamanya satu malam. Keesokan harinya aku pergi ke Masjidil Haram, dan tiba-tiba aku melihat Rasulullah SAW sedang berpidato diantara pintu Ka'bah dan Hijr Ismail. Baginda bersabda, "Wahai sekalian manusia, aku pernah mengizinkan kepada kalian untuk melakukan nikah mut'ah. Maka sekarang siapa yang memiliki isteri dengan cara nikah mut'ah, haruslah ia menceraikannya, dan segala sesuatu yang telah kalian berikan kepadanya, janganlah kalian ambil lagi. Kerana Allah Azza Wa jalla telah mengharamkan nikah mut'ah sampai hari kiamat (Hadis Sahih Riwayat Muslim II/1024).


Dalil hadis lainnya: Dari Ali bin Abi Thalib k.wj. ia berkata kepada Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi Muhammad SAW melarang nikah mut'ah dan memakan daging keledai jinak pada waktu perang Khaibar (Fathul Bari IX/71).

Dari Mazhab Syafi', Imam Syafi'i (wafat 204 H) dalam kitabnya Al-Umm (V/85) mengatakan, "Nikah mut'ah yang dilarang itu adalah semua nikah yang dibatasi dengan waktu, baik dalam jangka pendek maupun jangka panjang, seperti ucapan seorang lelaki kepada seorang perempuan, aku nikahi kamu selama satu hari, sepuluh hari atau satu bulan." Sementara itu Imam Nawawi (wafat 676 H) dalam kitabnya Al-Majmu' (XVII/356) mengatakan, "Nikah mut'ah tidak diperbolehkan, kerana pernikahan itu pada dasarnya adalah suatu aqad yang bersifat mutlaq, maka tidak sah apabila dibatasi dengan waktu."


685. Soalan :  Apakah hukumnya percaya kepada ucapan bomoh yang mengatakan bahawa dia telah di santau oleh orang tersebut yang dikenalinya? Dan adakah cara rawatan dengan menurun itu menggunakan khidmat jin kafir?

Jawapannya : 


Islam melarang keras umatnya berjumpa bomoh untuk mengetahui perkara-pekara ghaib , tenung nasib, mencari-cari berita sesiapa yang "buat" atau membencinya dan berubat dengannya maka  solatnya tidak akan diterima oleh Allah SWT selama 40 hari. Sebenarnya jin dan syaitan akan menceritakan berita bohong kepada bomoh tersebut supaya berlaku perpecahan dikalangan ahli keluarga atau jiran tetangga. Jangan percaya kata-kata bomoh tersebut dan jangan jumpa bomoh untuk mengubati penyakit yang kita hadapi.


Sabda Nabi SAW  bermaksud: “Barangsiapa datang kepada tukang tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.”(Hadis Riwayat Muslim).


Bomoh yang menggunakan khidmat jin atau syaitan ini selain mengubati mereka yang sakit, ia juga  menawarkan khidmat tanam susuk, serikan wajah, ilmu pengasih, pelaris perniagaan, pendinding diri (menggunakan bahan-bahan yang telah dipuja), mandi bunga, semahan darah ayam hitam atau kambing hitam (baru buka gelanggang silat atau rumah baru) dan berbagai-bagai amalan syirik yang amat dilarang keras oleh Nabi SAW.


Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib (menggunakan khidmat bomoh) adalah najis (haram) dan ia daripada perbuatan syaitan.”(Surah al-Maidah, ayat 90)


No comments: