Monday, September 9, 2013

Soal Jawab Agama Siri 81 (Ucapan Insyaa Allah, Perasan Was-was, Perbezaan Aqiqah dan Korban, Perbezaan Mazhab dan Memberi Salam)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
 

Soal Jawab Agama Siri 81 adalah membicarakan persoalan ucapan insyaa Allah, perasaan was-was, perbezaan aqiqah dengan korban, perbezaan mazhab dan hukum memberi salam. di antara lelaki dan wanita.

691. Soalan :  Kita selalu dengar orang berkata “Insya Allah” setiap kali berjanji hendak melakukan sesuatu perkara yang diminta atau menghadiri sesuatu majlis jemputan dan sebagainya. Sesetengah mereka menggunakan ucapan “Insya Allah” sebagai alasan untuk tidak menunaikan janji yang dibuat itu malah kadangkala ucapan itu saja sudah menggambarkan bahawa janji-janji itu tidak mungkin ditunaikan. Apakah pandangan Islam terhadap perkara ini?

Jawapan :


Islam mengambil berat kesejahteraan dan keselesaan hidup umatnya.  Banyak ayat al-Quran dan hadis menganjurkan supaya umat Islam hidup berbaik-baik, hormat menghormati dan tolong menolong antara satu sama lain.

Menepati dan menunaikan janji adalah antara sifat yang sangat dituntut Islam seperti firman Allah yang bermaksud : “Dan penuhi (sempurnakanlah) perjanjian (dengan Allah dan manusia) sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”(Surah al-Israk ayat 34).

Malah, dalam ayat lain Allah menerangkan bahawa mereka yang sentiasa menunaikan janji adalah dianggap sebagai golongan yang beriman, yang benar dan bertakwa kepada Allah s.w.t., seperti firman-Nya yang bermaksud: “…..Dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan (menepati) janjinya apabila mereka membuat janji..” 

(Surah al-Baqarah ayat 177).

Di samping itu, banyak pula hadis yang menuntut supaya umat Islam menjadi umat yang menghormati janji. Malah, Rasulullah SAW sendiri pernah keluar menunggu beberapa hari kerana menunaikan janjinya hendak berjumpa seseorang.  Demikian juga umat Islam dituntut supaya menjadi umat yang bertanggungjawab terhadap janji yang dibuat, kecuali ada keuzuran atau halangan yang tidak dapat dielakkan.  Besar dosanya bagi orang yang suka membuat janji dan sengaja tidak mahu menyempurnakannya, kerana perbuatan itu boleh menyusahkan orang lain dan mempunyai ciri-ciri orang munafik.

Sebagai seorang muslim yang yakin bahawa segala sesuatu yang berlaku adalah dengan kehendak dan izin Allah, maka setiap kali membuat janji hendaklah menyebut “Insya Allah” yang bermaksud : “Jika dikehendaki Allah”.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa ucapan itu bukanlah satu alasan untuk tidak menunaikan janji yang dibuat.

Ucapan “Insya-Allah” itu hendaklah disertai dengan ‘azam untuk menunaikan janji itu supaya dia tidak tergolong dalam golongan orang yang munafik.  Sebutan “Insya Allah” itu adalah sebagai tanda keimanan dan keyakinan kita terhadap kekuasaan Allah, kerana kita yakin bahawa kita tidak mampu melakukan sesuatu kecuali dengan izin Allah.

Allah berfirman, maksudnya : “Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti”. Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insya-Allah”. Dan ingatlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan pertunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini”.  (Surah al-Kahfi ayat 23-24).

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menceritakan bahawa pada satu malam, Nabi Allah Sulaiman yang mempunyai ramai isteri. Nabi Sulaiman a.s. pernah bersumpah dengan menyatakan bahawa: “Pada malam ini aku akan mendatangani semua isteriku dan masing-masing akan mengandung dan melahirkan anak lelaki yang akan menjadi mujahid (pejuang) menegakkan agama Allah.”

Ucapan itu tidak disertai dengan “Insya-Allah” dan akhirnya yang mengandung hanyalah seorang isterinya.  Itupun melahirkan anak yang cacat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Kalaulah Nabi Allah Sulaiman berkata “Insya-Allah” nescaya akan lahirlah zuriat yang akan menjadi mujahid (pejuang) pada jalan Allah”. (Fath al-Bari; jld. 6; m.s.558)

Kesimpulan ; Berdasarkan kepada hujjah dan alasan yang tersebut di atas dapat kita faham bahawa  betapa pentingnya menjaga hubungan kita dengan Allah dan juga manusia. Sehingga Islam mensyariatkan bahawa seseorang itu melafazkan kalimah “Insya Allah” sekiranya ia berjanji hendak melakukan sesuatu perkara yang ia tidak pasti dapat melakukannya atau tidak, tetapi janganlah pula ini dijadikan alasan untuk melarikan diri daripada menyempurnakan janji yang dibuat. Kerana kalau kita tahu bahawa kita tidak akan dapat melakukan suatu perkara atau menunaikan janji itu maka seharusnya kita berterus terang sahaja, kalau tidak maka kita telah melakukan suatu pembohongan yang terancang.  Wallahua’alam.


692. Soalan :Saya mengalami masalah was-was yang teruk dalam segala hal dari segi kebersihan sampailah kepada hal-hal solat dan makanan. Contohnya kalau saya pergi tandas dan saya rasa macam ada setitik air mercik ke kulit kaki saya maka serta merta saya akan rasakan seluar saya juga terkena percikan tersebut. Begitu juga bila saya buang air besar, selesai membasuhnya saya akan mencium jari tangan saya berkali-kali  bagi memastikan bau najis hilang walaupun tangan saya sudah dibasuh berkali-kali.

Jawapan :


Menurut Imam Ibn-Qayyim sesungguhnya orang yang was-was sedar atau tidak, mereka telah mengikuti bisikan syaitan. Menurut beliau lagi, orang-orang yang sudah dikuasai oleh syaitan, mereka telah menuruti apa sahaja kemahuan syaitan, oleh itu lawanlah perasaan was-was ini dengan meminta perlindungan Allah SWT daripada gangguan syaitan.

Didalam Jami Imam Tarmizi, hadis daripada Ubai bin Kaab, sesungguhnya Nabi saw bersabda (maksudnya): Sesungguhnya untuk wuduk ada syaitan (yang menganggu) yang bernama Walhan. Maka jauhilah was-was air!” Menurut penterjemah kitab, hadis ini merupakan ucapan seorang sahabat. (Ibnu Qayyim al-Jauzi. Bahaya Sikap Was-Was. K.L. Pustaka Syuhada. m/s 63)
Nabi Muhammad SAW semasa menjelaskan berhubung dengan seorang lelaki yang tidak pasti sama ada wuduknya sudah terbatal ataupun tidak bersabda:”Apabila salah seorang antara kamu merasakan sesuatu dalam perutnya kemudian dia ragu-ragu sama ada keluar sesuatu ataupun tidak janganlah dia keluar dari masjid sehingga dia mendengar bunyi (kentut) ataupun menghidu baunya”. (Hadis riwayat Muslim dan Tirmizi.)

Bau yang tinggal setelah tangan kita dibasuh berkali-kali adalah dimaafkan, kerana bau dan warna juga kadang-kadang bukan mudah untuk dihilangkan walaupun dengan sabun. Air mutlak boleh menghilangkan apa jua najis. Tidak perlulah membawa sabun membawa sabun ke mana sahaja kita pergi hanya untuk tujuan itu kerana ini menyulitkan sedangkan Islam itu agama yang mudah.  Wallahu a'lam.


693. Soalan : Saya ingin tahu apakah perbezaannya di antara ibadah Qurban dengan ibadah Aqiqah

Jawapan :


Sebelum saya menjawab kepada soal perbezaan antara dua jenis ibadat ini maka sukalah saya maklumkan di sini bahawa hukum kedua-dua ibadat ini adalah sunat muakkad atau dengan kata lain ibadat yang sangat dituntut untuk dilaksanakan dan besar pahalanya. Namun ia akan menjadi wajib sekiranya dinazarkan.


Antara perbezaan yang wujud di antara aqiqah dan korban ialah;

1. Aqiqah dituntut perlaksanaannya sekali seumur hidup  paling afdhal pada hari ke 7 kelahiran. Ulama mengatakan masih boleh di aqiqahkan sehingga mencapai umur baligh. 


Rasulullah S.A.W. bersabda:“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W menuntut untuk dinamakan anak (yang baru lahir) pada hari ketujuh, dicukur rambutnya dan diaqiqahkannya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi). Manakala ibadah korban disunatkan perlaksanaannya setiap tahun iaitu pada Hari Raya Haji.iaitu pada tanggal 10 Zulhijjah dan pada hari-hari Tasyrik iaitu tanggal 11, 12 dan 13 Zulhijjah tiap-tiap tahun.

2. Daging sembelihan aqiqah sunat diagihkan setelah dimasak, adapun daging sembelihan korban pula sunat diagihkan dalam keadaan mentah.

3. Tidak digalak mematahkan tulang haiwan sembelihan aqiqah, sebaliknya haiwan sembelihan korban tidak dilarang.

4. Sunat menghadiahkan kaki kanan haiwan sembelihan aqiqah kepada bidan yang menyambut kelahiran, berbeza dengan korban tidak disunatkan demikian.

694. Soalan : Apakah puncanya hukum Islam itu tidak sama antara satu mazhab dengan mazhab yang lain?

Jawapan :


Untuk memberi jawapan yang benar terhadap soalan ini perlu diketahui dahulu bahawa Islam mempunyai dua bentuk hukum:

Pertama: Hukum yang telah ditegaskan dalam al-Quran atau as-Sunah dengan cara yang jelas dan tidak memerlukan kepada penafsiran dan perbahasan lagi seperti haram seorang anak berkahwin dengan ibunya sendiri. Hukum seperti ini adalah disepakati oleh semua mazhab. Ia dikenali sebagai hukum qat’ie (tetap dan tidak berubah)

Kedua : Hukum yang tidak disebut dalam al-Quran atau Hadis, atau disebut oleh salah satu daripadanya tapi secara tidak jelas, dan mengandungi pengertian yang berbeza-beza. Di sinilah para imam mazhab atau ahli feqah melaksanakan Ijtihad mereka bagi menentukan pengertiannya yang tepat. 


Walau bagaimanapun, untuk melakukan ijtihad mereka mengikuti metodologi pengeluaran hukum (proses istinbat) yang tertentu seperti yang terdapat dalam tradisi keilmuan Islam, yakni bukanlah semata-mata pandangan tanpa sebarang panduan mengikut akal fikiran yang bebas, atau terlalu rigid sehingga langsung menolak penggunaan akal. Sebelum berijtihad, mereka hendaklah melengkapkan diri dengan syarat-syarat yang dikehendaki sebagai mujtahid serta mahir atau mempunyai pelbagai kepakaran dalam pelbagai bidang ilmu Islam.

695. Soalan : Saya adalah seorang kakitangan kerajaan yang berkhidmat disebuah jabatan kerajaan yang agak besar dan ramai anggotanya. Sifat semulajadi saya suka menegur sapa dan juga memberi salam kepada semua yang saya temui tidak kira pegawai atau kakitangan biasa. Tidak kira lelaki atau pun perempuan. Tetapi baru-baru ini saya telah ditegur oleh seorang kawan yang menyatakan bahawa lelaki tidak boleh memberi salam kepada wanita. Pendapat ini amat mengelirukan saya. Harap mendapat penjelasan.

Jawapan :


Amalan memberi salam kepada sesama Islam adalah suatu yang sangat dituntut oleh Islam, kerana salah satu hak sesama Islam adalah menyebarkan salam. Dengan mengucapkan salam itu dapatlah kita mengeratkan lagi tali persaudaraan, mendekatkan yang jauh dan melahirkan rasa kasih sayang. Walaupun ucapan salam itu pendek saja, tetapi isi dan maksudnya adalah merupakan doa bagi mendapatkan kesejahteraan dan keselamatan. Merujuk dalil sama ada daripada al-Quran atau al-Hadis yang menggalakkan umat Islam memberi salam sesama Islam, ia adalah dalam bentuk yang umum serta tidak membezakan lelaki dan perempuan.

Antaranya firman Allah bermaksud : “Apabila kamu diberi penghormatan (dengan ucapan salam) hendaklah kamu menjawab dengan lebih baik atau jawab yang seumpamanya”. 

(Surah an-Nisa’ ayat 86.)

Mengikut kaedah syarak sesuatu arahan atau hukum daripada Allah dan Rasul-Nya adalah merangkumi lelaki dan perempuan kecuali dalil tertentu yang mengkhususkan sesuatu hukum itu kepada lelaki atau perempuan sahaja.

Dalam sahih al-Bukhari disebutkan bahawa Ummu Hani’ binti Abu Talib berjumpa Rasulullah SAW pada tahun pembukaan Makkah dan terus memberi salam kepada baginda, lalu baginda bertanya siapa itu? Fatimah memberitahu bahawa yang memberi salam itu ialah Ummu Hani’ dan Rasulullah SAW pun menjawab salamnya.

Umar al-Khattab juga pernah memberi salam ketika berjumpa dengan beberapa orang wanita sambil berkata: “Aku adalah utusan Rasulullah SAW kepada kamu sekelian.”

Bagaimanapun, kebanyakan ulama’ berpendapat bahawa lelaki boleh memberi salam kepada perempuan yang sudah berumur dan tidak kepada perempuan yang masih gadis atau muda.

Semua ini adalah pendapat atau pandangan ijtihad kalangan ulama’ berdasarkan kaedah “menutup pintu mungkar”. Namun terdapat beberapa hadis dan amalan di kalangan sahabat serta tabiin mengenai memberi salam lelaki kepada wanita. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Jarir yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah berjalan dan berjumpa sekumpulan wanita lalu baginda memberi salam kepada mereka.”

Begitu juga dengan apa yang dilakukan Umar al-Khattab dan Ibnu Umar. Ibnu Aun pernah bertanya kepada Ibnu Sirin: “Bolehkah saya memberi salam kepada seorang perempuan?” Jawabnya: “Tidak ada salahnya”. Demikianlah beberapa pendapat dan pandangan kalangan ulama’ mengenai hukum lelaki memberi salam kepada perempuan dan sebaliknya.

Satu hal yang mesti difahami, iaitu ucapan salam adalah satu ibadat, bukan sebagai satu ucapan atau kata-kata biasa yang diucapkan seseorang. Justeru, ia hendaklah diucapkan dengan hati yang ikhlas serta bertujuan merapatkan hubungan persaudaraan bukan sebaliknya. Kalangan ulama’ yang mengharuskan pun berpendapat bahawa wanita tidak wajib atau tidak perlu menjawab salam lelaki jika ucapan itu bukan dengan niat yang baik dan ikhlas.

Kesimpulannya, berpandukan pendapat jamhur (kebanyakan) ulama’ yang berasaskan hadis dan amalan Rasulullah SAW serta kalangan sahabat bahawa seorang, lelaki boleh memberi salam kepada wanita, jika sekiranya ia tidak menimbulkan sebarang fitnah. Wallahu a’lam







 

No comments: