Sunday, September 8, 2013

Tafsir Surah Az-Zumar Ayat 23

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,


Firman Allah SWT :

اللَّهُ نَزَّلَ أَحْسَنَ الْحَدِيثِ كِتَابًا مُتَشَابِهًا مَثَانِيَ تَقْشَعِرُّ مِنْهُ جُلُودُ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ ثُمَّ تَلِينُ جُلُودُهُمْ وَقُلُوبُهُمْ إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ ذَلِكَ هُدَى اللَّهِ يَهْدِي بِهِ مَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَادٍ (23)


Maksudnya : "Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (iaitu) al-Quran yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gemetar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, nescaya tak ada baginya seorang pemimpinpun.
(Surah Az-Zumar (39) ayat 23)

Asbabun Nuzul Surah Az-Zumar Ayat 23.

"Saat bin Abi Waqash memaparkan bahawa suatu ketika telah diturunkan kepada Nabi salah satu ayat al-Quran, kemudian baginda membacakannya pada mereka. Lalu mereka berkata, "Wahai Rasulullah, hendaklah engkau mengisahkan itu kepada kami." Lalu turunlah ayat ini." (Hadis Sahih Riwayat Hakim, lihat Hakim: 2/345)

Allah SWT menerangkan bahwa Dia menurunkan perkataan yang paling baik, iaitu al-Quran yang mulia, sebahagian ayat-ayatnya menyerupai ayat-ayat yang lain baik dalam menjelaskan hukum-hukum, kebenaran, pelajaran, mengemukakan hujah, hikmah-hikmah, dan sebagainya, sebagaimana beberapa bahagian air menyerupai beberapa bagian udara, beberapa bagian suatu negeri menyerupai beberapa bahagian negeri yang lain. Kerana ada suatu kisah diulang-ulang menyebutnya di beberapa tempat demikian pula perintah-perintah, larangan-larangan dan sebagainya. 

Orang-orang yang beriman biIa mereka mendengar bacaan al-Quran meremang bulu romanya, dan bergoncang hatinya kerana takut kepada Allah SWT. Hal itu mendorong hati mereka mengikuti semua perintah-perintah Allah dan menghentikan larangan-larangan-Nya. Jiwa mereka menjadi hidup semangat mereka bertambah untuk melaksanakan amal-amal yang soleh dan berjihad di jalan-Nya.

Dengan al-Quran Allah SWT memberikan petunjuk kepada hamba-hamba-Nya, membimbing orang-orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus serta mempertebal iman di dalam hatinya. Tetapi orang yang disesatkan hatinya, mereka hampa dan kosong, mereka tidak akan memperoleh manfaat sedikitpun dari al-Quran itu.


Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa di antara sifat-sifat al-abrar adalah mereka yang memiliki sifat-sifat yang dimiliki oleh para sahabat antaranya; apabila dibacakan ayat-ayat Allah (al-Quran) kulit badan mereka bergementar, kemudian menjadi luluh bersama kalbunya untuk berzikir kepada Allah SWT.

Mereka tidaklah berteriak seperti kena hasutan dan menangis yang dibuat-buat, akan tetapi mereka memiliki ketegaran, keteguhan dan kesopanan dan rasa takut yang tidak akan ada menyamai sifat seperti itu. 

Oleh sebab itulah mereka beroleh kepujian yang sangat tinggi di sisi Allah SWT. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, jld: 4, hlm: 51)

Tidak semudah yang disangka bagi air mata mengalir di dalam mengenang nasibnya di hadapan Rabbul Jalil. Seseorang yang menangis di dalam solat kerana Allah SWT maka solatnya tidak batal selagi mana tangisannya tidak mengeluarkan suara yang kuat, seperti meraung sehingga mengganggu orang lain atau didengari oleh orang lain. 

Sebab itu dalam banyak keadaan kita akan dapati imam-imam di Masjid Haram mahupun masjid-masjid yang lain apabila mereka mula menangis mereka akan cuba mengawal suara supaya tidak terkeluar suara tangisan yang kuat. 

Bagi mengelakkan suara mereka tidak terkawal biasanya mereka akan berhenti bagi menenangkan perasaan sebelum menyambung bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Maksudnya tangisan dalam solat harus dikawal supaya tidak melampuai keharusan.

Sahabat yang dikasihi,
Hati orang mukmin akan terkesan apabila mendengar ayat-ayat al-Quran. Apabila mendengar ancaman Allah SWT hati rasa gementar dan takut akan azab Allah SWT yang akan ditimpakan keatas  orang-orang fasik, zalim, munafik dan kafir. Hati dan jiwa yang gementar ini akan membuatkan dirinya sentiasa patuh dan tunduk akan perintah-perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-larangan-Nya. Oleh itu marilah kita berazam untuk berpegang teguh di atas kebenaran dan meninggalkan dalam hidup kita semua kejahatan dan kepalsuan.


No comments: