Friday, May 15, 2015

Hukum Pelaris Makanan dan Cara Menghindari


Islam mengharuskan umatnya berjual beli. Dalam hal ini setiap peniaga sewajarnya mematuhi etika berjual beli yang ditetapkan dalam Islam. Antaranya berlaku jujur dan amanah terhadap jualan tersebut.

Isu menggunakan pelaris sebagai azimat dan tangkal dalam berjual beli adalah berdosa. Ini kerana ia bercanggah dengan akidah dan boleh membawa kepada syirik kepada Allah. Berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang bermaksud “Sesungguhnya jampi, tangkal, azimat dan ubat guna-guna adalah syirik.” (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud). Oleh itu, jauhkanlah diri daripada perbuatan yang sedemikian.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-40 yang bersidang pada 9 Ogos 1996 membincangkan Khurafat dan Azimat Menurut Perspektif Islam.

Muzakarah telah memutuskan bersetuju dengan garis panduan yang telah disediakan untuk dijadikan panduan kepada orang ramai iaitu amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu penjauh jin dan sebagainya yang dicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Dalam Kitab Mastika Hadis Jilid Pertama terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia tahun 2007 ada menyebut seperti berikut:

“Tawar jampi, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah haram sekiranya mengandungi perkataan yang tidak difahami maknanya atau yang berdasarkan sihir atau yang memuja hantu syaitan dan jin iblis atau yang mengandungi benda-benda najis atau kotor.” (halaman 191).

Penggunaan tangkal, azimat dan sebagainya daripada ayat al-Quran atau yang mengandungi nama-nama Allah SWT atau sifat-sifat-Nya adalah tidak diharuskan menurut Abdullah Bin Mas’ud, Al-Aswad dan Abdullah bin Hakim. Dr. Yusof Al-Qardhawi memilih pendapat ini.

Justeru, para peniaga sewajarnya menjalankan perniagaan dengan bersungguh-sungguh untuk maju dan berjaya dalam kehidupan.

Usaha yang berterusan perlu dipertingkatkan dan dengan perancangan strategik selagi tidak menyalahi hukum syarak dalam berniaga. Seterusnya berdoalah kepada Allah SWT agar segala usaha yang dilakukan diberkati dan dirahmati-Nya.

Cara Mengesan Pelaris dan Menghindarinya

Cara mudahnya nak tahu kedai itu ada pelaris (Khadam jin), baca Ayat Qursi 3 kali di luar dari kedai. Sebaiknya semasa dalam kereta. Kemudian buka tingkap dan tiup 7 kali ke arah kedai. Tak perlulah tiup macam bomoh puhh kiri puhh kanan. Cukup sekadar tiup perlahan-lahan sampai habis nafas (macam ustaz Ismail Kamus ajar)

Sekiranya ada pelaris di kedai tersebut, “khadam” tu akan marah dan kita akan rasa seperti satu angin menerpa ke muka kita. Kalau dah macam tu, eloklah kita jangan makan di kedai tersebut.

Beberapa cara di bawah bolehlah diamalkan untuk mengelak sihir :-

1) Al-Fatihah.

2) Membaca tiga surah terakhir / 3 Qul setiap hari.

Ia berdasarkan hadith :

Ertinya : Baginda S.A.W telah berkata kepadaku : “Bacalah Qul Huwa Allahu Ahad” (al-ikhlas) dan (surah an-Nas) dan (surah al-falaq) sebanyak 3 kali ketika pagi dan petang, ia mampu mencukupkan kamu dari segala sesuatu. At-Tirmidzi, Bab Doa yang disebut Ketika Ingin Tidur, no 3570 ; Sunan Abu Daud, Bab Apa Yang Dibaca Ketika Subuh, no 5072 ( Nuzhatul Muttaqin, no 1457 , 2/229 ) At-Tirmidzi : Hasan Sohih, An-Nawawi : Sohih.

No comments: