Sunday, May 10, 2015

Kelebihan Ziarah Orang Sakit.

Doa yang di amalkan oleh Rasulullah SAW ketika menziarahi orang sakit : 

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا اشتكى منا إنسان مسحه بيمينه ثم قال اِذْهَبِ البَأْسَ رَبَّ النَّاسِ وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لاَ شِفَاءً إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَماً

Ertinya : Nabi SAW  ketika didatangi aduan (sakit) oleh seseorang, nabi akan menyapunya dengan tangan kanan baginda sambil membaca " Jauhkanlah dia dari kesakitan, wahai Tuhan sekalian manusia, sembuhkanlah dia, dan Engkaulah Maha Penyembuh yang tidak akan datang kesembuhan kecuali datang dari-Mu, kesembuhan dari jenis yang tidak akan kembali penyakitnya"( Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Menziarahi orang sakit adalah sunat dan digalakkan oleh Islam. Perbuatan ini dapat mempereratkan lagi hubungan ukhuwwah sesama muslim dan silaturrahim sesama keluarga.

Amalan ziarah sesama Islam dituntut dilakukan pada bila-bila masa bukan hanya sekadar pada masa sakit sahaja. Amalan seumpama ini mendapat ganjaran yang besar, sebagaimana sabda Baginda Rasulullah SAW dalam hadis-hadis di bawah ini:

Abu Hurairah ra meriwayatkan: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Kewajiban seorang muslim terhadap seorang muslim yang lainnya lima perkara, iaitu: Menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah (ke tanah perkuburan), memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari & Muslim)

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Sesiapa yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit, seolah-olah dia berada dalam ‘Kharfah’ sehinggalah dia pulang.” Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan ‘Kharfah’ itu?” Rasulullah saw bersabda: “Iaitu kebun di syurga (yang penuh dengan buah-buahan yang boleh dipetik pada bila-bila masa)”. (Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Daripada Ali ra, bahawa Rasulullah SAW. bersabda: “Tiada seorang pun yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat sehingga ke petang. Sekiranya dia menziarahi saudaranya pada waktu petang, maka 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat Allah sehingga ke pagi. Dia juga akan mendapat nikmat berupa buah-buahan syurga yang boleh dipetik pada bila-bila masa.” (Hadis Hasan Riwayat Tirmizi )

No comments: