Saturday, May 16, 2015

Kisah Perjalanan Israk & Mikraj.

Dalam perjalanan Israk Nabi Muhammad SAW dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya ialah

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka, apabila dituai, hasil yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai.

- kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum.

Bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula berulang kali.

- orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. 

- orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada disisi mereka.

- lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu.

- orang yang makan riba.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain.

- orang yang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa.

- orang yang membuat fitnah

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka.

- orang yang mengumpat dan menjatuhkan maruah orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit, tak dapat dimasukinya semula lubang itu.

- orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan
Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk ditengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti
orang yang mensiakan umurnya sampai tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan rasulullah untuk bertanyakan sesuatu.

- gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah SAW turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang 2 rakaat dengan segala anbia’, aulia’ dan mursalin menjadi makmum. Pada suatu ketika Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

No comments: