Sunday, September 27, 2009

Memberi Salam Boleh Melahirkan Kasih Sayang


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. Dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah kamu saya tunjukkan kepada sesuatu jika kamu lakukan kamu akan berkasih sayang? Sebarkanlah salam antara sesama kamu". (Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a).

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Apabila kamu memasuki rumah-rumah, maka hendaklah kamu memberi salam kepada sesama kamu, sebagai penghormatan yang berkat, lagi baik disisi Allah".(Surah An-Nur ayat 61).

Islam mengalakkan umatnya supaya memberi salam dan menyebarkan salam antara satu dengan lain apabila bertemu, kerana salah satu hak dan kewajipan seorang Muslim adalah apabila bertemu ia memberi salam dan menjawab salam.

Apabila Rasulullah SAW bertanya Iblis apakah tindakkannya apabila umatnya memberi salam sesama mereka, maka Iblis berkata : "Ya Nabi Allah, akan pecahlah daku apabila umatmu bertemu dijalanan lantas salah seorang daripadanya memberi salam dan yang lain menjawabnya sehingga aku menangis, melolong kesedihan. Kerana keduanya telah mendapat keampunan setelah keduanya berpisah".

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah kita amalkan memberi salam kepada saudara seagama walaupun kita tidak mengenalnya kerana dengan ucapan salam boleh mendatangkan ukhwah dan kasih sayang. Jangan malu-malu atau teragak-agak kerana memberi ucapan salam adalah ciri-ciri orang mukmin.


No comments: