Thursday, October 1, 2009

Menghiasi Diri Dengan Akhlak Yang Mulia

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanpa di sedari, masa terlalu pantas berlalu. Setiap masa berlalu ini bermakna umur kamu telah meningkat dan kamu sedang menuju ke distinasi abadi. Hidup bermula dari alam kanak-kanak, memasuki alam remaja dan sekarang masuk pula ke alam dewasa, sebahagian kita sudah sampai ke alam usia emas.

Di zaman manapun kalian berada sekarang, yang penting amal ibadah dan amal soleh perlu berterusan, kerana setiap masa dan usia yang di habiskan akan ditanya oleh Allah SWT dihari akhirat nanti. Sekarang ini kalian berhadapan dengan zaman pancaroba, dugaan dan cabaran. 

Cabaran yang sering menganggu iman dan hati, perasaan dan fikiran serta kewibawaan tugas kalian. Ketika inilah kalian ingin merasai semua keadaan beserta kenikmatan hidup yang sedang dicari.

Ingatlah hidup didunia ini adalah persinggahan sementara, tempat rehat yang tidak kekal dan segala kesenangan yang dinikmati yang amat sedikit berbandingkan kenikmatan dihari akhirat iaitu di syurga Allah SWT.

Sedarlah kalian bahawa hakikat kehidupan seperti yang dimaksudkan dalam Surah al-'Ash "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran."

Sahabat yang dimuliakan,
Kawallah diri kalian dengan iman serta perindahkanlah akhlak kalian dengan akhlak Islam. Tanpa kawalan iman nescaya lunturlah segala kekuatan dan hancurlah segala kebaikan. 

Hati-hati dalam berfikir dan bertindak. Batasilah setiap keinginan dengan rasa takut kepada Allah SWT. Ketahuilah tiada siapa yang tidak dicatat amal dosanya. Waspadalah selalu terhadap cabaran yang dilalui, hadapi dengan tenang serta tepislah segala kehendak nafsu. 

Berilah perhatian yang lebih kepada kesihatan hati. Usahlah biarkan hati kalian dihinggapi penyakit sehinggakan hati mati sedangkan jasad masih bernyawa.

Hidupkanlah hatimu dengan zikrullah, bersihkan hati dengan bertaubat dan istighfar dan lembutkan hati dengan banyak membaca al-Quran. Pastikan tidak ada makanan haram masuk dalam perut kalian kerana sesungguhnya hati akan menjadi gelap apabila ada makanan yang haram dan doa-doa kalian kepada Allah SWT tidak akan dimakbulkan-Nya.

Janganlah membazirkan masa dan hartamu kejalan yang tidak berfaedah kerana sesiapa yang suka membazir adalah kawan syaitan. Jadikanlah syaitan itu musuhmu dan janganlah mengikut langkah-langkahnya. Salah satu daripada hasutan syaitan adalah suka menangguhkan kerja-kerja kebaikan. Jika hatimu tergerak untuk bersedekah hari ini, jangan ditangguh pada hari esok. Jika kamu telah berjanji dalam apa urusan sekalipun pastikan kamu menunaikan janji kerana salah satu sifat nifaq adalah apabila berjanji dia mungkiri tanpa alasan yang syarak benarkan.

Sahabat yang dikasihi,
Jadilah kamu pencinta ilmu, timbalah ilmu hingga keakhir hayat dan manfaatkanlah ia untuk membantu orang lain. Hiasilah diri dengan akhlak Islam dan jagalah batas-batas pergaulanmu dan sentiasa beradap sopan dalam berjalan dan bertutur kata. Layanilah rakan-rakan secara adil dan janganlah sombong dan meninggikan diri kerana Allah SWT  tidak menyukai mereka-mereka yang sombong dan takjub dengan kelebihan diri sendiri.

Disamping menjaga kekuatan iman serta kesihatan hatimu, usah dilupakan pakaian yang melindungi dirimu. Pakaian yang dimaksudkan adalah pakaian takwa. Takwalah yang akan mengawal serta menghindari dirimu daripada berbagai gejala yang merosakkan iman serta hati.

Bersihkan hati daripada sebarang kedengkian, berdendam, dan iri hati terhadap keberhasilan orang lain. Peliharalah lidah daripada mencela, mengumpat dan menyakiti hati orang lain. Kawallah mata daripada melihat yang dilarang oleh syari'at.

Akhirkata marilah kita ambil iktibar dari kata-kata nasihat Al-Ustaz Shaari Che In untuk menjadi pedoman kita semua :
"Manusia dikirim oleh Allah s.w.t kemuka bumi adalah sebagai buruh kontrek, maka setiap kontrek itu bila dikirimkan tentu ada kerjanya yang hendak dia laksanakan. Apabila habis kontrek itu maka dia perlu kembali ketempat asalnya, apabila habis kontreknya dia tidak dapat menyambung kontreknya kecuali kembali ketempat asalnya, samaada dia suka atau tidak, samaada dia bersedia atau tidak, dia mesti kembali.

Bagi manusia yang berakal waras dan faham tentang kedatangannya kemuka bumi ini ianya akan berusaha siang dan malam untuk mengumpulkan bekalan akhirat, kerana dia tahu apabila kontreknya sudah habis, kerja yang dia buat sama ada sudah dibuatnya atau pun tidak dibuatnya ia tetap akan kembali ketempatnya.

Wahai saudara-saudaraku hidup kita di dunia ini tidaklah lama, mungkin sekejap lagi kita akan mati. Tetapi sebelum kita mati biarlah kita kerjakan kerja-kerja yang dituntut oleh Allah s.w.t., biarlah kerja yang kita buat itu berkualiti semoga Allah s.w.t akan memberikan peratus markah yang tinggi. Yang pentingnya kerja yang kita buat itu hendaklah benar-benar ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t. mudah-mudahan Allah akan mengampuni segala dosa kita dan memberikan kita Syurga yang menjadi idaman kita."

Firman Allah SWT  yang bermaksud : "Katakanlah; Sesungguhnya kematian yang kamu lari darinya, ia pasti menemui kamu, kemudia kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan." (Surah al-Jumu.ah ayat 8)

No comments: