Friday, October 2, 2009

Sepuluh Dasar Muhasabah Harian.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Mari kita mulakan dengan doa ini : "Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih. Tuhan yang menguasai hari pembalasan. Kepada-Mu kami menyembah dan kepada-Mu sahajalah kami memohon pertolongan. Tunjukkanlah kami kejalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat, bukan jalan orang-orang Engkau murkai, dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat."

Persaksikan bahawa tidak ada pengatur kecuali Allah SWT dan bersyahadahlah bahawa Nabi Muhammad SAW itu sebagai hamba dan utusan Allah. Fokuskan hati kalian kepada memuja dan mentaati Allah serta mengikut contoh kehidupan Rasulullah SAW.

Peliharalah diri kalian dari terikut rentak dan ragam manusia yang dimurkai Allah SWT. Sedarilah tekanan kehidupan hari ini terlalu banyak. Semua gejala tamadun baru yang direka menurut keinginan nafsu hanya bertujuan menyesatkan dan meruntuhkan nilai norma yang tinggi. Sekaligus menghancurkan sendi-sendi budi dan akhlak yang mulia yang mengembangkan sifat kejahilan di kalangan umat.

Sahabat yang dimuliakan,
Janganlah merasai jemu apabila risalah yang ditulis ini berulang-ulang untuk membicarakan perkara yang sama. 

Ingatlah sahabat! Sememangnya tabiat tarbiah itu dinyatakan berulang-ulang. Untuk menghidupkan balik hati yang keras dan mati, untuk menaikkan semula iman yang telah turun dan untuk memulihkan balik akhlak yang telah rosak, bukanlah satu perkara yang mudah. Nabi SAW sendiri mendidik dan mentarbiah sahabat-sahabat baginda di Mekkah mengambil masa 13 tahun. Proses ini berterusan di Madinah dan memakan masa 10 tahun pula.

Didalam al-Quran sendiri Allah SWT sentiasa mengulang-ulangkan asas iman, tauhid dan perkara-perkara ghaib dan kehidupan dihari akhirat. Selagi hayat dikandung badan dan masih bernafas di bumi Allah proses tarbiah imaniah dan takwa perlu berterusan dan berjalan tanpa berhenti.

Sahabat yang dihormati,
Al-Ustaz Fathi Yakan dalam menghuraikan tatacara memelihara diri dari dorongan nafsu serta bisikan syaitan telah menyarankan 10 dasar muhasabah harian. Yakinilah dasar ini akan dapat memelihara jiwa kalian untuk terdorong memusatkan pemujaan dan ketaatan kepada Allah. Juga memperteguhkan iman diatas jalan yang diredhai.

Pertama : Qiyamulail merupakan pendidikan rohani yang tidak patut diabaikan. Ia boleh melahirkan kekuatan iman yang tidak dapat dihasilkan oleh ibadat-ibadat yang lain.

Kedua : Sedapatnya solat Subuh berjemaah kerana akan beroleh jaminan perlindungan dari Allah, seperti maksud hadis : "Siapa yang solat Subuh berjemaah maka ia berada dalam jemaah Allah. Allah tidak sekali-kali meminta sesuatu dari kamu kerana jaminan-Nya."
(Hadis Riwayat Muslim) .

Ketahuilah malaikat menjaga kita dan mereka datang berhimpun serta bergilir masa kerja pada waktu Subuh dan Asar.

Ketiga : Al-Quran itu sebagai penawar dan kita sangat berhajat rawatan hati dari ayat-ayatnya. Dengannya, hati akan tenang, tenteram dan dapat merasai suasana hening. Berwirid dengan al-Quran sewajarnya diamalkan sehingga berlinangan air mata.

Keempat : Setiap kali menghadap hidangan makanan telitilah sumber ia diperolehi. Pastikan rezeki yang diperolehi itu adalah halal dan suci serta sedaya upaya menjauhkan diri dari berbuat yang haram. Disamping itu, kita patut menyedari tujuan utama makan adalah untuk menambah kekuatan beribadah kepada Allah SWT, dan bukannya melakukan kerosakan.

Kelima : Bersihkan diri dari sifat malas. Islam tidak menyukai hamba Allah yang tidak berusaha atau menganggur. Sepatutnya setiap muslim perlu bersungguh dalam melaksanakan apa jua tugas dan pekerjaan. Di samping itu, tidak lupa untuk membersihkan rezeki dengan mengeluarkan zakat, insaf dan sedekah. Usaha yang gigih serta rezeki yang bersih akan membawa kebahagiaan hakiki.

Keenam : Dalam setiap waktumu berada dikhalayak, sentiasalah menjaga dan mengawal pandangan mata serta perasaan. Jauhkan diri daripada tergoda atau digoda. Malahan, tidak juga terdorong kepada perkara-perkara syubahah atau yang tidak jelas halal atau haramnya.

Ketujuh : Perhatikan setiap tingkahlakumu supaya dikuasai akhlak Islam. Sebaliknya, jadilah muslim contoh yang akan membawa kebaikan kepada manusia lain. Sesungguhnya, engkau akan beroleh pahala seperti orang yang mendapat hidayah kerana kebaikanmu.

Kelapan : Tanyakan dirimu adakah setiap saat dan sepanjang hayatmu dipergunakan untuk menuntut serta menambah ilmu khasnya ilmu Islam itu sendiri.

Perhatikan maksud hadis berikut : "Pelajarilah ilmu! Dalam mempelajarinya kerana Allah akan menambah takwa; menuntutnya ibadah, muzakarah menjadi tasbih, membahas menjadi jihad dan mengajarkannya menjadi sedekah. Mewariskannya kepada ahli keluarga menjadi ibadah qurban. Ilmu itu menunjukkan perbezaan halal dan haram. Juga menjadi lampu isyarat dijalanan ahli syurga. Ilmu menjadi teman keseorangan, menjadi sahabat kepada perantau, dan menjadi penghibur dalam suka dan duka. Juga menjadi senjata berhadapan dengan musuh, dan perhiasan dalam persahabatan. Dengan ilmu juga Allah mengangkat darjat Muslim untuk memimpin setiap insan."
(Hadis Riwayat Ibnu Adil Barri)

Kesembilan : Sejauh mana telah engkau bulatkan hati untuk sentiasa melaksanakan tuntutan syarak serta sentiasa berada dalam tanggungjawab mengutamakan kehidupan Islam atas kepentingan-kepentingan lain.

Kesepuluh : Usah dilupakan hak jasad. Kesihatan dan kekuatan fizikal wajib dipelihara. Ingatlah! Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah. Hindari diri dari kerja yang meletihkan dan merosakkan ketangkasan badan. Oleh itu bersederhanalah dalam bekerja dan makan-minum.

Sahabatku,
Jadikanlah sepuluh perkara diatas sebagai KPI untuk muhasabah diri yang mesti berjalan setiap masa dan saat selagi denyutan nadi kalian berfungsi bukan hanya berjalan dalam waktu tertentu sahaja.

Ingatlah! Kalian semua harapan Islam untuk membawa risalah yang mulia ini dan untuk memakmurkan alam dan membawa kebahagiaan dalam kehidupan insan. Berhati-hatilah dalam menghadapi cabaran baru yang mendatang!

No comments: