Tuesday, December 22, 2009

Bantu Membantu Kerana Allah

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Telalu banyak nikmat daripada Allah s.w.t. yang telah kita terima. Nikmat iman, nikmat Islam, nikmat kesihatan dan nikamt kehidupan. Sekiranya kita beribadah selama seribu tahun sekali pun namun kita tidak akan dapat membalas segala nikmat dan kebaikan yang kita perolehi daripada Allah s.w.t.

Tanda kesyukuran kita kepada Allah s.w.t. kita diminta hanya untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada-Nya iaitu dengan melaksanakan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

Salah satu sifat yang mulia yang perlu ada pada orang yang beriman adalah sifat pemurah dan ada perasaan belas kasihan dan suka membantu kepada golongan fakir-miskin dan anak-anak yatim. Hidup ini akan lebih harmoni hanya apabila kita banyak memberi bukan menerima.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Manusia memikul peranan sebagai khalifah di muka bumi. Tugas khalifah itu adalah untuk memberi kebaikan untuk diri sendiri, untuk orang lain dan persekitarannya. Dengan itu makmurlah muka bumi ini dengan pembangunan material, keamanan dan keampunan Tuhan.

Tetapi reality masyrakat kita hari ini ramai yang mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan kesusuhan orang lain. Mereka merebut-rebut peluang yang ada dengan menggunakan apa cara sekali pun asalkan berhasil walaupun terpaksa merampas hak orang lain, rasuah dan mengunakan cara yang bertentangan dengan hukum syarak. Kenapakah mereka terpaksa memburu kekayaan dan berebut-rebut tanpa menghiraukan batas-batas akhlak Islam? Ini adalah kerana dalam jiwa mereka telah tertanam cinta dunia untuk mencari kemegahan dan kemewahan hidup demi memenuhi kehendak nafsu amarah yang tidak puas-puas!

Sahabat yang dimuliakan,
Islam mewajibkan zakat adalah semata-mata untuk membersihkan harta yang dimiliki, supaya terhindar perasaan tamak haluba dan mementingkan diri sendiri. Zakat dapat menaikkan ekonomi umat Islam dan dapat membantu merapatkan jurang diantara orang miskin dan kaya sekali gus membaiki hubungan sosial dalam masyarakat Islam. Selain zakat Islam menggalakkan umatnya yang berkemampuan untuk memberikan sedekah jariah dan memberi bantuan secara suka rela tanpa mengharapkan balasan duniawi, melainkan mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. semata-mata.

Dalam hadis Nabi s.a.w. ada menjelaskan bahawa sedekah jariah yang diberikan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah adalah salah satu saham akhirat yang akan mengalir terus pahalanya walaupun ia telah kembali menemui Allah s.w.t di alam Barzakh.

Kekayaan sebenar bukanlah kerana banyak ‘memiliki’ tetapi kerana banyak ‘memberi’. Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya, kerana Dia-lah yang banyak memberi. Jika kita banyak memberi akan meningkatkan kualiti jiwa. Jika kita banyak menerima kita akan hanya meningkatkan kuantiti harta. Kualiti jiwa itu matlamat, kuantiti harta itu cuma alat. Jangan tertukar antara alat dan matlamat.

Sahabatku,
Senyum itu adalah sedekah. Intailah hari-hari yang berlalu dalam kehidupan seharian. Pada hari yang ceria dan gembira, itulah hari yang kita lebih banyak memberi berbanding menerima. Untuk merasa gembira, gembirakanlah orang lain. Sebab itu senyum ada dua.

Pertama, senyum kerana gembira. Kedua senyum untuk mengembirakan. Senyum pertama kerana mendapat kegembiraan. Manakala senyuman yang kedua kerana hendak memberikan kegembiraan.

Senyum untuk mengembirakan itulah yang lebih tinggi nilainya seperti yang disebut dalam hadis, sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Senyumanmu di hadapan saudaramu adalah satu sedekah.” (Hadis Riwayat Tarmizi).

Orang yang sentiasa berfikir untuk menggembirakan orang lain insya Allah akan sentiasa dibukakan pintu kegembiraan buatnya oleh Allah s.w.t.

Akhirkata, berikanlah apa yang Allah berikan kepada kita kerana disana ada hak orang lain yang diamanahkan kepada kita. Jangan jadi seperti Qarun yang menganggap kekayaan diri kerana kepandaiannya. Memang benar kita yang memerah keringat, kita yang berusaha dan berfikir. Tetapi… kita perlu ingat siapa yang mencipat otak, tangan, kaki, mata, telinga, memberi tenaga, kesihatan, siapa yang menciptanya? Semua ini bukan milik kita,segala-galanya pemberian Allah. Kita bukan pemilik, kita hanya peminjam.

Sebagai khalifah, kita memikul amanah untuk memberi kebaikan dengan segala kebaikan yang kita terima. Dari itu teruskanlah memberi, insya Allah ganjaran besar akan diberikan Allah s.w.t. dihari Akhirat nanti.


No comments: