Friday, December 25, 2009

Takutlah Allah Ketika Sunyi


Sahabat yang dikasihi Allah,
Takutlah kamu kepada Allah ketika bersunyian, kerana sesungguhnya jiwa yang takut kepada Allah adalah jiwa orang-orang yang beriman dan bertakwa samaada kamu berada berseorangan atau ketika bersama-sama dengan orang lain.

Thauban meriwayatkan satu pesanan junjungan , bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : “ Aku sangat jelas mengetahui bahawa ada golongan dari umatku yang akan datang pada hari Qiyamat dengan amalan soleh sebesar gunung Tihamah, tetapi Allah akan menjadikannya seperti debu-debu berterbangan.”

Thauban bertanya : “Wahai Rasulullah, ceritakanlah tentang mereka kepada kami dan beritahulah kami lagi, supaya kami tidak menjadi seperti mereka.”

Baginda bersabda lagi yang bermaksud : “Mereka adalah saudara kamu dan dari kaum kamu, melakukan ibadah malam seperti kamu, tetapi mereka adalah orang yang apabila mereka bersendirian, mereka akan melanggar larangan Allah.”

(Hadis Riwayat Ibn Majah)

Bayangkanlah bagaimana seseorang yang banyak melakukan amal soleh, tetapi apabila dibawa kehadapan Allah s.w.t di hari Akhirat nanti amalan tersebut menjadi debu-debu yang berterbangan kerana tidak diterima oleh Allah s.w.t. Apakah sebabnya boleh jadi demikian? Nabi s.a.w. menjelaskan dalam hadis di atas bahawa apabila seseorang itu melakukan dosa ketika berada berseorangan tanpa dilihat oleh orang lain, akibatnya segala amal solehnya tidak akan diterima oleh Allah s.w.t. Ini menunjukkan kepada kita bahawa amal soleh yang tidak disertai dengan rasa takut kepada Allah s.w.t. ketika bersendirian masih belum sempurna lagi. Mungkin amalan soleh tersebut dibuat bukan kerana Allah s.w.t

Sahabat yang dimuliakan,
Orang Mukmin akan tetap istiqamah dan takut kepada Allah s.w.t. samaada ketika berseorangan atau ketika berada bersama keluarga, atau ketika bersama orang ramai. Dalam jiwanya tertanam keyakinan akan sifat-sifat kesempurnaan Allah s.w.t. iaitu Allah Maha Melihat segala perbuatannya dan Allah Maha Mendengar segala bisikan hatinya dan Allah Maha Mengetahui segala apa yang berlaku di langit dan di bumi. Ia akan rasa takut kepada Allah kerana sifat-sifat kesempurnaan Allah s.w.t. menguasai dalam kehidupannya.

Perasaan takut inilah yang dipanggil sifat takwa kepada Allah s.w.t. Nabi s.a.w sentiasa memberi amaran agar kita takut akan Allah terutama ketika bersendirian. Maka, berhentilah melakukan dosa ketika bersendirian apatah lagi berbangga melakukannya dihadapan manusia lain.

Setiap hari apabila kita membaca di dalam akhbar ada sahaja jenayah yang dilakukan oleh manusia. Kes ragut, merompak, membunuh, merogol dan lain-lain lagi seolah-olah tidak ada kesudahannya. Walaupun undang-undang jenayah diubah kepada hukuman yang lebih berat lagi tetapi penjenayah masih tetap teruskan kerja-kerja mereka dan tidak takut sedikit pun pada pihak polis dan hukuman yang bakal mereka terima. Kenapakah keadaan ini boleh berlaku? Ini adalah kerana dalam jiwa mereka tidak ada perasaan takut kepada Allah, mereka beranggapan apabila tidak ada orang melihatnya maka mereka bebas melakukan sesuatu mengikut kehendak hati mereka.

Oleh itu jenayah hanya boleh dicegah dengan menanam rasa takut kepada Allah, bukan rasa takut kepada undang-undang dan autoriti manusia. Takut dengan Allah , kerana Allah boleh bertindak dengan tindakkan-Nya yang diluar jangkaan kita, baik di dunia dan di akhirat. Menanam rasa takut kepada Allah dan takut akan azab Neraka maka ketika kita bersendirian akan membuahkan hasil yang lebih berkekalan .

Inilah agen kawalan yang lebih ampuh pada diri kita dan semua manusia umumnya, sekali gus melindungi masyarakat daripada sebarang ancaman para penjenayah. Takutkan Allah ketika kita sendirian akan melindungi diri kita daripada cuba melakukan maksiat dan dosa yang kita malu jika orang lain mengetahui. Bisikkanlah kepada hati agar akan sentiasa takut akan Allah sentiasa, terutamanya ketika syaitan dan nafsu membujuk rayu untuk kita melakukannya.


Berdo’alah kepada Allah :
“Ya Allah, wahai Tuhan yang Maha Mengetahui. Ampunilah dosa kami atas segala dosa dan kesalahan yang kami lakukan, yang sengaja dan yang tidak disengajakan. Yang dilakukan secara tersembunyi ataupun secara terang-terangan. Ampunilah kelemahan kami. Bantulah kami untuk mentaati-Mu . Sesungguhnya tidak ada siapa yang dapat menyelamatkan kami melainkan dengan rahmat dan pertolongan-Mu.”

No comments: