Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Menurut Islam seluruh hidup kita ialah ibadah. Ibadah terbahagi dua iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. Ibadah khusus adalah ibadah seperti solat, puasa, haji dan membaca al-Qur'an. Manakala tolong menolong, rajin, menjaga kebersihan, bercakap benar, taat pada ibu bapa, taat pada suami, mengasihi isteri dan seumpamanya dinamakan ibadah umum.
Islam mahukan penganutnya melakukan kedua-dua jenis ibadah itu iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. Apabila seorang Muslim melakukan kedua-dua ibadah itu bererti dia sentiasa dalam ibadah. Tiada waktunya yang disia-siakan kerana semua aktivitinya disukai oleh Allah s.w.t. dan mendapat pahala. Bagi menjadikan seluruh hidup kita sebagai ibadah maka beberapa perkara harus dihayati secara berterusan.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Hendaklah kita yakin bahawa Allah s.w.t. sahaja yang berkuasa, yakin kepada Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah. Juga yakin bahawa Nabi Muhammad s.a.w ialah seorang manusia yang dipilih oleh Allah s.w.t. untuk mendapat berita dari langit (wahyu) dan baginda menjadi contoh. Kita meniru contohnya dalam ibadah khusus dan ibadah umum. Kita mesti meyakini bahawa al-Qur'an ialah panduan tertinggi untuk semua manusia, dimana sahaja dan pada zaman mana sekalipun.
Sentiasa berusaha untuk menjadikan diri bermanfaat kepada orang lain, dan berlumba-lumba untuk membuat kebaikan. Sentiasa ringan tangan untuk bersedekah, bantu membantu dan sentiasa menganjurkan kebaikan sesama manusia.
Sebagai seorang Muslim perlu membina keluarga yang harmoni. Ibu bapa, anak-anak dan suami isteri hendaklah tahu tanggung jawab masing-masing dan melaksanakannya. Sebagai ketua keluarga seorang suami wajib mencari rezeki yang halal dan diberkati Allah. Untuk menjadikan rezeki itu berkat, segala usaha mencari rezeki itu tidak melalaikan ibadah khusus, contohnya tidak meninggalkan solat. Juga tidak melalaikan dari ibadah umum. Disamping itu usaha mencari rezeki tidak mencuri masa keluarga. Masa untuk mendidik lebih utama daripada gairah mencari pendapatan lebih dan lumayan. Perlu pastikan bahawa anak-anak membesar dengan diberi kasih sayang dan didikan yang sempurna supaya mereka akan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
Sahabat yang dimuliakan,
Hidup sederhana dalam pakaian, makanan dan perhiasan. Tidak mewah dan bermegah dengan apa yang dimiliki. Bermewah ialah berlebihan daripada yang diperlukan. Seorang Muslim pelu melihat apa yang ada disekelilingnya, anak-anak yatim, fakir miskin dan jiran-jirannya. Bersedia memberi bantuan jika mereka memerlukan pertolongan. Sesungguhnya tidak sempurna iman seseorang kamu apabila dia kenyang sedangkan jirannya kelaparan.
Seluruh kehidupan ialah nikmat dari Allah s.w.t. Kita disuruh menikmati nikmat yang diberi tetapi harus bersifat rendah diri kepada-Nya. Cuba perhatikan rayuan hati yang diisyaratkan oleh al-Qur'an sebagai adab manusia terhadap Penciptanya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "....Wahai Tuhanku, berilah aku keampunan supaya bersyukur kerana nikmat yang Engkau telah anugerahkan kepadaku dan kepada kedua ibu bapaku, dan supaya aku dapat mengerjakan perbuatan baik yang Engkau sukai dan perbaikilah keturunan aku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau, dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang Muslim."
(Surah al-Ahqaf ayat 15)
Sahabatku,
Kehidupan di dunia adalah kehidupan yang sementara, hakikat yang bernyawa akan mati. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "...di bumi ada tempat kediaman dan kesenangan hidup untukmu hingga ke waktu yang ditentukan." Selepas kematian akan terdapat alam lain yang lebih panjang iaitu alam Barzakh (kubur), alam Bangkit (Qiyamat), alam Mahsyar, alam Mizan (Timbangan), alam Pengadilan, alam Titian Sirat dan akhir sekali alam Akhirat iaitu samaada mendapat Syurga atau kecelakaan Neraka selama-lamanya.
Sesiapa yang menganggap kehidupan ini bersifat sementara akan bersedia menghadapi segala kesusahan hidup yang sementara, tidak berkeluh-kesah dan tidak kecewa. Kesenangan pula dianggap sebagai kesenangan sementara yang akan luntur dan luput bila-bila masa. Kesihatan dan kegagahan badan akan mengalami sakit dan tua. Kecantikan akan dilamar cacat dan kendur dimakan usia. Harta akan pupus kerana rosak, susut nilai atau hilang dicuri orang. Allah s.w.t. sahaja akan kekal selama-lamanya. Teman setia kita yang akan kekal bersama-sama kita adalah amal soleh dan ketaatan kepada Allah s.w.t. Tanda orang yang menganggap hidup ini sementara ialah dia tidak keberatan atau sedih berpisah dari dunia dan hartanya. Manakala terdapat orang yang ingin agar hidupnya lebih lama dan engan berpisah dengan dunia dan hartanya.
Kehidupan dunai adalah gurauan dan tipu daya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Dan tidaklah kehidupan dunia ini melainkan gurauan dan tipu daya." (Surah Ali-Imran ayat 185).Perkara gurauan tentunya olok-olok (main-main). Indah olok-olok, kaya olok-olok, seronok olok-olok, susah olok-olok,glamour olok-olok. Takkan kerana olok-olok kita harus menempah susah akhirat yang sebenar! Takkan kerana olok-olok kita tak menghiraukan larangan Islam! Kesenangan sebenar ialah ternanti di hari Akhirat.
Ketika Malaikat Maut melangkah masuk ke dalam rumah seseorang yang sedang nazak akan nampak yang sebenar. Ketika itu penyesalan tidak berguna. Jika dia memang bersedia dengan perbuatan taat kepada Allah s.w.t. dan menjalani hidup dalam Islam wajah Malaikat Maut kelihatan berseri ketika datang hendak mencabut nyawanya. Kubur pula akan berkata, "Kamulah antara orang yang aku suka semasa di dunia." Tergambar pada simati nikmat yang bakal dirasai dari alam Kubur hingga ke alam Akhirat.
Sahabat yang dimuliakan,
Usia kita umpama satu harga. Kemungkinan dengan harga itu kita membeli kehidupan dunia dan mengabaikan kehidupan akhirat kerana kehidupan dunia kelihatan masyhur direbut orang. Juga kerana kehidupan dunia dipersembah hingga mempersonakan mata. Kemugkinan juga kita meletakkan harga rendah pada kehidupan akhirat. Bagi orang beriman ia selalu berwaspada dan memilih kehidupan akhirat dan meletakkan harga mahal untuk kehidupan akhirat. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "...(Orang-orang beriman) tidak membeli ayat-ayat Allah dengan harga murah. Mereka memperolehi pahala di sisi Tuhan, sesungguhnya Allah itu cepat membuat perhitungan." (Surah Ali-Imran ayat 199)
Akhirkata, marilah sama-sama kita membeli kehidupan akhirat dengan harga yang mahal, dengan kita menjualkan kehidupan dunia ini. Orang yang cedik adalah menggunakan modal yang sedikit dan murah untuk mendapat keuntungan yang besar dan berkualiti. Jadikan hati kita sentiasa terpaut dan terpengaruh denga iklan akhirat yang terdapat dalam al-Qur'an dan hadis Nabi s.a.w , sahabat-sahabat baginda, ulama-ulama dan solihin. Dan jauhkan diri kita dari terpengaruh dengan iklan dunia yang dipromosikan oleh orang-orang kafir, munafik dan ahli maksiat. Sesungguhnya sesiapa yang mengambil kehidupan dunia ini habis-habisan dia akan tertipu. Orang yang bijak ialah mereka yang mengambil kehidupan dunia seperti bercucuk tanam dan ingin memetik hasilnya di akhirat dan tidak akan tertipu insya Allah.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
-
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online – Di era
dimana teknologi memudahkan segala aspek kehidupan, bermain judi slot kini
tak ...
1 year ago
No comments:
Post a Comment