Sunday, August 26, 2012

Amalkan Doa Bangun Tidur Dan Membuka Tiga Ikatan Syaitan.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dari Abu Hurairah r.a katanya;” Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
“Syaitan itu memberikan ikatan pada hujung kepala seseorang di antara engkau semua sebanyak tiga ikatan, jikalau ia tidur. Ia membuat ketentuan pada setiap ikatan itu dengan kata-kata yang berbunyi: “Engkau memperoleh malam panjang, maka tidurlah terus!” Jikalau orang itu bangun lalu berzikir kepada Allah Ta’ala maka terurailah sebuah ikatan dari dirinya, selanjutnya jikalau dia terus berwuduk, lalu terurai pulalah ikatan satunya lagi dan seterusnya, jikalau ia bersolat, maka terurailah ikatan seluruhnya, sehingga berpagi-pagi ia telah menjadi bersemangat serta berhati gembira. Tetapi jikalau tidak sebagaimana yang tersebut di atas, maka ia berpagi-pagi menjadi orang yang berhati buruk serta pemalas.”
(Hadis Riwayat Muttafaqun ‘alaih).

Huraiannya :

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa apabila tidur setiap anak Adam maka syaitan akan membuat tiga ikatan di hujung kepala. Ikatan-ikatan tersebut adalah berbunyi :

“Engkau memperoleh malam panjang, maka tidurlah terus!”

Apabila terjaga sahaja daripada tidur di malam hari  untuk mengerjakan solat tahajud atau apabila terbit fajar untuk mengerjakan solat subuh maka perlulah membuka ikatan-ikatan tersebut  dengan amalan yang di ajarkan Nabi SAW iaitu :

Pertama : Untuk membuka ikatan pertama perlulah membaca doa bangun tidur :

Amalan Nabi SAW bangun sahaja daripada tidur baginda akan usap wajah yang terkesan bekas tidur dengan telapak tangan. Menurut Imam Nawawi dan al-Hafiz Ibnu Hajar, perbuatan ini dianjurkan berdasarkan hadis riwayat Muslim: "Rasulullah SAW. bangun tidur kemudian duduk sambil mengusaap bekas tidur dari wajah dengan tangannya.

Kemudian baginda berdoa ketika bangun tidur: "Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah Dia menidurkan kami, dan kepada-Nya kami dibangkitkan." (Hadis Riwayat Bukhari)

Kedua : Untuk membuka ikatan kedua adalah dengan berwuduk.

Amalan Nabi SAW  sebelum berwuduk adalah seperti berikut :


1. Bersiwak. "Apabila Rasulullah SAW. bangun malam, baginda membersihkan mulutnya dengan bersiwak." (Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih)

2. Mengeluarkan atau menyemburkan air dari hidung setelah menyedutkan (tidak terlalu dalam). Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud: "Apabila sesorang di antara kamu bangun daripada tidur, maka berbuatlah demikian tiga kali, kerana sesungguhnya syaitan bermalam di hujung (rongga) hidungnya." (Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih)

3. Mencuci tangan tiga kali. Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud: "Apabila salah seorang daripada kamu bangun tidur, janganlah memasukkan tangan (keseluruhan) ke dalam bekas air sebelum mencucinya tiga kali." (Hadis Riwayat Muttafaq 'Alaih) 

Ketiga : Untuk membuka ikatan ketiga adalah dengan bersolat samaada solat tahajud (di tengah malam atau solat subuh bila terbit fajar)

Sahabat yang dimuliakan,
Amalkanlah beberapa sunah yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada kita semua supaya tiga ikatan syaitan terbuka dihujung kepala kita. Jika kita tinggalkan amalan ini itulah sebabnya kenapa umat Islam merasai lemah dan letih selepas bangun tidur. Walaupun mereka bangun tidur tetapi selepas solat mereka sambung tidur semula, mungkin mereka tidak membaca doa bangun tidur sehingga ikatan pertama syaitan tidak terbuka.

Amalan tidur selepas solat subuh adalah umpama menutup rezeki kerana di pagi hari malaikat rahmat mendoakan orang mukmin yang bangun solat subuh di masjid atau di surau dan bersedekah di pagi hari (masuk wang di tabung masjid).

Nabi SAW berwasiat kepada Saidina Ali k.wj maksudnya : "Wahai Ali ! Sedekah yang sembunyi-sembunyi itu dapat mereda murka Allah dan dapat menarik rezeki dan berkah yang banyak. Maka berpagi-pagilah kalau bersedekah. Kerana sesungguhnya bahaya itu turun pagi hari, sebelum bahaya turun, bersedekahlah sehingga dapat menolak bahaya di udara."

Berdasarkan hadis diatas jelaslah kepada kita bahawa bahaya (bala) akan turun pada waktu pagi maka jika kita bersedekah pada waktu pagi boleh menolak bahaya di udara dengan izin Allah SWT.

Bagaimana cara-cara kita hendak bersedekah pada waktu pagi?

Perkara ini amat mudah kerana di masjid atau di surau terdapat tabung-tabung derma samaada untuk mesjid atau surau atau tabung khusus untuk anak yatim maka semasa datang kemasjid atau surau untuk solat subuh berjemaah maka masukkan kedalam tabung tersebut walaupun satu ringgit. Amalkan setiap hari niatkan semata-mata kerana Allah SWT.

Malaikat akan mendoakan kesejahteraan mereka yang bersedekah waktu pagi.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidaklah hamba-hamba Allah bangun di pagi hari, kecuali disertai dengan turunnya dua malaikat. Salah satu dari keduanya lalu berkata : ‘Ya Allah berilah orang yang berinfaq ganti (dari barang yang diinfaqkan)’. Dan salah satu lagi berkata ; ‘Ya Allah berilah orang yang menahan (bakhil) akan kerugian.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


2 comments:

Anonymous said...

seronok baca blog ni :)

Anonymous said...

seronok bila baca hadith ni, tapi bolah tak tulis bahasa arab dia sekali.... saya teringin nak menghafalnya.