Thursday, September 6, 2012

Amalan Suka Bantu Membantu Dan Kesukarelawan Boleh Mendekatkan Diri Kepada Allah SWT



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah

Allah SWT mencintai dan memuliakan sesiapa sahaja di kalangan para hamba-Nya yang memiliki sifat suka bantu membantu sesama manusia terutama mereka yang susah dan memerlukan bantuan. Samaada bantuan tersebut berbentuk wang ringgit, tenaga sukarelawan, khidmat sosial, mencarikan pekerjaan, bantuan pendidikan dan khidmat nasihat (kaunseling) secara percuma adalah amalan mulia di sisi Allah SWT. Allah SWT akan memberikan pahala yang besar dan akan disediakan syurga yang penuh kenikmatan.

Daripada Abi Hurairah r.a dari Nabi SAW bersabda : "Barangsiapa melapangkan orang mukmin dari suatu kesusahan (menunaikan hajat) dari kesusahan dunia nescaya Allah SWT melapangkan daripadanya akan kesusahan dari kesusahan hari kiamat. Dan barang siapa memudahkan atas orang yang sedang dalam kesusahan, maka Allah SWT akan memudahkan ke atasnya daripada kesusahan di dunia dan di akhirat".(Hadis Riwayat Muslim).

Kerja-kerja sukarelawan yang sangat dipandang mulia oleh Islam adalah membantu negara-negara yang dilanda peperangan seperti di Palestin dan Syria, bantuan mangsa tsunami seperti di Acheh, bantuan banjir besar seperti di Pakistan, Thailand dan negeri-negeri di Malaysia dan kawasan dilanda gempa bumi seperti di Sumatera, Pulau Jawa dan ditempat-tempat lain.

Marilah sama-sama kita berusaha untuk mempertingkatkan takwa kita dengan gigih melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Sifat menghulurkan sumbangan dengan ikhlas hati adalah sifat yang sangat terpuji di dalam ajaran Islam. Malahan, kita dapati dari sejarah, bagaimana aktiviti manusia terdahulu kebanyakannya beredar dalam suasana kerja sukarela, yakni kerja yang ikhlas mengharapkan balasan Allah SWT. dan keredaanNya.

Al-Quran membawa kisah Nabi Nuh a.s, ketika mana baginda menyeru umatnya kepada segala bentuk kebaikan. Firman Allah SWT yang maksudnya: "Dan (ketahuilah) wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah menyampaikan agama Allah itu, tiadalah aku harapkan upahku melainkan dari Allah semata-mata. (Surah Hud ayat 29)

Nabi Musa a.s. pula membantu golongan yang lemah di zaman baginda, seperti di dalam kisah bantuan baginda kepada dua orang wanita (anak Nabi Syuib a.s) untuk mengambil air dari perigi yang dikerumuni kaum lelaki yang gagah perkasa.

Nabi Khidir a.s. pula membantu membangunkan tembok usang yang hampir roboh kepunyaan dua orang anak yatim untuk menyelamatkan harta tersebut jatuh kepada mereka yang tidak bertanggungjawab.

Para sahabat Nabi SAW pula sentiasa melakukan kerja sukarelawan demi menyebarkan kebaikan dan menyeru manusia kepada agama. Seperti kisah pembinaan masjid Quba’ di Madinah, sahabat bersatu hati membantu dalam menjayakan projek pembinaan masjid tanpa sebarang gantian wang.

Al-Arqam bin Abi al-Arqam menyediakan ruang rumahnya untuk Nabi SAW menyebarkan dakwah Islamiyah di Mekah tanpa menuntut sebarang balasan di dunia. Banyak lagi kisah dalam Al-Quran mahupun hadis yang menunjukkan semangat sukarelawan demi mengharap keredaan Allah SWT semata-mata.

Benarlah sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Ada 40 ciri (yang terpuji) yang paling tinggi nilainya ialah menghadiahkan seekor kambing betina, dan barangsiapa yang beramal dengan salah satu daripadanya dengan harapan pahala daripada Allah, dan yakin dengan janji-Nya, maka Dia (Allah) akan memasukkannya ke syurga. (Hadis Riwayat Bukhari)

Imam Ibnu Hajar berkata bahawa di antara 40 ciri yang disebut dalam hadis ini ialah menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Sahabat yang dimuliakan,
Oleh yang demikian, semangat sukarelawan dan bantu-membantu harus wujud pada diri kita semua. Pastinya kita semua yakin dengan kelebihan membantu orang dan berkhidmat secara sukarelawan. Namun, sebagai peringatan, marilah kita lihat tiga manfaat utama dari sifat sukarelawan ini:

Pertama: Ia mengukuhkan lagi sifat keikhlasan dalam hati. Apabila kita melakukan sesuatu dengan harapan mendapat ganjaran daripada Allah SWT, ianya akan lebih mendorong kita melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Kita tidak akan mudah terkesan dengan sifat dan reaksi orang, tetapi sebaliknya, kita akan tertumpu melakukan kebaikan, kerana kita hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Kedua: Ia membangkitkan kemesraan dan sifat rahmah serta ihsan dalam hidup kemasyarakatan. Membantu orang adalah terjemahan sifat rahmah yang ada pada diri kita, kerana kita tidak ingin melihat kesusahan pada orang lain, seperti mana kita tidak mahukan kesusahan bagi diri kita sendiri.

Ketiga: Ia menghasilkan ketenangan hati dan kepuasan dalam jiwa. Ini kerana kerja yang dilakukan secara sukarela bermula dari hati yang ikhlas lagi rela, tanpa paksaan. Bahkan, membantu orang akan mendatangkan ketenteraman pada diri, kerana kita akan bertambah syukur kepada Allah SWT. di atas kesenangan yang kita nikmati, dan juga kerana kita dapat menggunakan nikmat tersebut untuk membantu orang lain.

Suasana ekonomi hari ini memberi kita peluang untuk menilai tahap iman kita menerusi kerja sukarela. Sebagai langkah pertama, kita boleh memulakan usaha menghulurkan bantuan secara sukarela di masjid-masjid atau surau. Kita boleh bersama-sama tawarkan khidmat dan sumbangan untuk menjayakan program-program di sana. Sekiranya kita ada kelebihan, maka kita boleh kongsi bersama dengan saudara kita yang lain. Kita boleh berusaha melapangkan kesempitan yang dihadapi saudara kita. Mungkin ada pula saudara kita di sini yang perlukan nasihat dan pendapat dalam pembelajaran dan kerjaya.

Dengarlah sabda Rasulullah SAW yang mengingatkan kita nilai sumbangan yang maksudnya: "Sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling memberi manfaat kepada manusia yang lain. (Hadis Riwayat al-Tabarani)

Semoga dengan menghulurkan sumbangan secara sukarela, kita menjadi umat yang disayangi Allah SWT dan seterusnya dihargai oleh masyarakat dunia sebagai umat yang sentiasa melakukan kebaikan dan menyumbang ke arah kebaikan.

Sebagai peringatan, ingatlah kepada firman Allah SWT yang bermaksud :
"Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan kepada kebenaran serta berpesan kepada kesabaran." (Surah Al-Asr ayat 1-3)

Sahabat yang dikasihi,
Setiap pemimpin yang dipilih oleh rakyat perlulah membahagikan masa untuk membantu rakyat yang memerlukan bantuan. Samaada bantuan keperluan asas atau bantuan kemudahan-kemudahan lain yang diperlukan.

Rasulullah SAW melalui sebuah hadis riwayat Muslim sabdanya :

ما من عبد يسترعيه الله رعية يموت يوم يموت وهو غاش لرعيته إلا حرم الله عليه الجنة

Maksudnya: " Bukan daripada hamba yang mati di mana Allah meminta dia menjaga rakyat dimana pada hari kematiannya sedangkan dia menipu rakyatnya melainkan Allah mengharamkan ke atasnya syurga."

Pemimpin yang bertanggungjawab dan prihatin akan nasib rakyat dibawah perkhidmatannya akan disayangi dan dihormati. Rakyat akan mendoakan dan menyokong setiap usaha-usha kebaikan yang dirancang dan akan menemui kejayaan. Setiap bantuan yang berikan kepada masyarakat yang memerlukan bantuan samaada berbentuk sedekah wang ringgit, sumbangan makanan dan pakaian, memberikan khidmat nasihat dan kaunseling dan berbentuk perkhidmatan guaman atau mencarikan pekerjaan maka semuanya merupakan kebaikan yang akan diberikan pahala oleh Allah SWT dan ianya adalah sama seperti pahala sedekah.

Tugas memberikan bantuan dan kerja-kerja kebajikan bukan sahaja terletak dibahu pemimpin yang dipilih tetapi kita semua sebagai seorang mukmin akan bertanggungjawab dihadapan Allah SWT jika kita abaikan tugas bantuan dan pertolongan daripada golongan fakir miskin, , warga emas, insan kurang upaya dan anak-anak yatim. Amal soleh dan amal kebajikan ini sebenarnya merupakan hasanah yang akan memberatkan timbangan amal semasa dihisab di Mizan nanti.

Firman Allah SWT maksudnya : “Apa-apa yang kamu belanjakan daripada perkara yang baik, memberi sumbangan harta benda dengan tujuan dan nilai yang baik dimana kebaikan itu akan kembali kepada diri kamu. Dan apa-apa yang kamu belanjakan kerana mencari keredaan Allah” (Surah al-Baqarah ayat 272)

FirmanNya lagi yang bermaksud : ”Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa, Dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), Maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah (kejayaan).”
(Surah al-Lail (92) ayat 5-7)



No comments: