Friday, September 7, 2012

Perubatan Islam Tidak Menggunakan Khidmat Jin Untuk Mengubati Penyakit

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah
,
Islam mempunyai cara tersendiri dalam memberi rawatan perubatan kepada pesakit samaada sakit daripada penyakit fizikal atau sakit berpunca daripada ilmu sihir atau  gangguan jin-jin kafir.

Umat Islam perlu berhati-hati apabila berubat secara tradisional menggunakan khidmat bomoh atau dukun kerana sebahagian daripada mereka menggunakan kaedah rawatan menggunakan  bantuan jin-jin kafir kerana perbuatan ini  boleh memesongkan  akidah kita.

Islam mementingkan kebaikan dan kesihatan. Di samping itu Islam menyuruh umatnya berikhtiar mengubat apabila dijangkiti sebarang penyakit. Ada banyak ayat al-Quran dan hadis berkaitan penjagaan kesihatan dan mengubati penyakit.

Malah ada enam kali sebutan syifak atau kesembuhan dalam al-Quran antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak menambah kepada orang yang zalim melainkan kerugian juga.” (Surah Al-Israk ayat 82)

Dari Abu Said al-Khudri r.a. “Pada suatu hari kami bersama-sama dalam perjalanan, bermalam di satu dusun. Datang kepada kami seorang budak perempuan dan berkata : “Sesungguhnya kepala desa ini sakit dan tak seorangpun di antara kami yang dapat mengubatinya, adakah diantara tuan-tuan yang dapat mengubatinya ?” 

Salah seorang dari rombongan kami berdiri dan mengikuti budak tadi. Kami tidak mengira yang ia dapat menjadi dukun. Si sakit itu lalu dijampinya dan sembuh. Kepadanya diberi hadiah 30 ekor kambing, dan kepada kami disuguhkan susu. 

Ketika ia kembali kami bertanya : “Apakah engkau membolehkan jampi, dan apakah engkau tukang jampi ?” 

Ia menjawab : “Tidak, saya bukan tukang jampi, tetapi aku hanya membacakan Ummul-Kitab (al-Fatihah).” 

Kami katakan : “Kejadian ini jangan dikabarkan kepada siapapun, sebelum kita tanyakan kepada Rasulullah SAW. lebih dahulu”. 

Sesudah kami sampai di kota Madinah, kami datangi Rasulullah SAW. dan kami ceritakanlah kejadian itu. Rasulullah lalu berkata : “Siapa tahu bahwa surah itu (al-Fatihah) adalah jampi (ubat) bagilah hadiah itu dan berikan saya sebahagian darinya”.(Hadis Riwayat Bukhari)

Sahabat yang dimuliakan,
Amalan perubatan menggunakan doa ,surah al-Fatihah atau bacaan ayat al-Quran adalah satu daripada cabang rawatan diakui syarak sebagai amalan mulia. Ia dipanggil ruqyah ataupun jampi bersesuaian syarak. Malah ia diamalkan pada zaman Rasulullah SAW dan salafussoleh.

Daripada Auf bin Malik katanya: “Kami pandai menjampi pada zaman jahiliah, maka kami bertanya Nabi SAW, Ya Rasulullah SAW apakah pandangan anda mengenai jampi? Lalu Baginda SAW meminta mereka memperdengarkan jampi digunakan sejak zaman jahiliah itu. Baginda SAW menyatakan harus dilakukan, selagi tidak menyebabkan syirik.” (Hadis riwayat Muslim)

Kalangan masyarakat menamakan rawatan secara ruqyah saja dianggap perubatan Islam. Manakala rawatan secara saintifik di hospital adalah perubatan moden semata-mata. Hakikatnya perubatan moden sebahagian daripada perubatan Islam.

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah sendiri dalam kitabnya Tibb al-Nabawi dan Zaad al-Ma’ad menceritakan bagaimana Nabi SAW merawat menggunakan kaedah berbekam, penggunaan biji habbatussauda, madu dan bermacam lagi makanan kesihatan.

Namun, sejak akhir-akhir ini ada kaedah rawatan mula menjadi tumpuan masyarakat iaitu pembedahan batin. Selepas meneliti unsur terdapat dalam pembedahan batin diamalkan sesetengah perawat maka beberapa nas hukum perlu diperjelaskan agar tidak memberi kecelaruan kepada masyarakat dalam menilai benar atau salah.

Rawatan itu ada yang membedah tubuh badan dengan tangan kosong atau tanpa peralatan moden, membetulkan tulang tanpa sentuhan fizikal, menggunakan peralatan ghaib, perubatan jarak jauh dan seumpamanya.

Penggunaan ayat al-Quran atau doa diharuskan tetapi jika disertai dengan sihir, iaitu membabitkan jin, perbuatan itu salah kerana amalan berkenaan termasuk dalam kategori dosa besar yang membinasakan iaitu sihir.

Walaupun pengamal perubatan batin menyatakan ia berpegang kepada ayat al-Quran dan kaedah syarak, namun difikir secara logik, ternyata bukan mudah seseorang itu, terutama orang awam memastikan status amalan itu.

Apabila sesuatu yang di luar adat kebiasaan itu dilazimi secara berterusan seperti upacara pembedahan batin, sekali gus jelas bagi kita ia sudah terkeluar dari kaedah asas perubatan yang diizinkan.

Ia jauh daripada perubatan secara saintifik moden, ruqyah serta tibb al-Nabawi yang menepati syarak. Jelaslah kaedah perubatan secara pembedahan batin ini meminta bantuan jin kerana sesuatu yang magis dan di luar adat tidak boleh berlaku secara berterusan.

Biasanya bomoh, dukun atau pawang yang mengaku menggunakan kaedah bedah batin adalah termasuk dalam perbuatan  sihir dengan mendapat bantuan daripada jin-jin kafir, sedangkan jin-jin kafir ini akan menyesatkan manusia dengan berbagai cara.

Allah SWT juga berfirman maksudnya :
"Dan bahwasannya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan… (Surah al-Jin ayat 6)

Meminta pertolongan jin untuk mengubati penyakit atau mohon keselamatan dari jin untuk mencelakai orang lain atau untuk menolong orang lain, meminta pertolongan kepadanya untuk menjaga diri dari kejahatan orang lain yang dengki kepadanya, kesemuanya adalah perbuatan syirik. Orang yang berbuat demikian, tidak ada lagi pahala solat dan puasa. 

Allah SWT berfirman maksudnya : "Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) sebelummu:"Jika kamu mempersekutukan (Allah), niscaya akan hapus amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi." (Surah az-Zumar ayat 65) 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-39 pada 21 September 1995 juga memutuskan bersahabat dengan jin dengan tujuan mendapatkan pertolongan dalam perubatan, mencari kekuatan dan kehebatan ditegah syarak dan haram.

Masyarakat Islam dinasihatkan meninggalkan rawatan syubhah seperti pembedahan batin. Umat harus memahami, setiap penyakit ada penawarnya tetapi setiap penawar tidak dijamin boleh menyembuhkan. Semoga Allah membebaskan kita dari segala penyakit dengan reda-Nya, bukan diberi kesihatan dengan kemurkaanNya.

Sahabat yang dikasihi,
Jauhilah amalan syirik ketika kita mencari ubat untuk rawatan alternatif dengan menggunakan khidmat bomoh yang jelas amalannya bertentangan dengan syariat Islam. Berbeza jika kita cari dan menggunakan kaedah rawatan menggunakan ayat-ayat al-Quran atau ruqyah dalam berubat dan mencari penawar penyakit yang kita hadapi. 

Sebenarnya lebih baik kita bersabar di atas penyakit yang kita hadapi daripada sembuh daripada penyakit tetapi kita menggunakan cara syirik (dengan meminta pertolongan jin kafir) hingga menyebabkan kita jauh daripada kebenaran dan rahmat Allah SWT.  Setiap penyakit itu ada ubatnya kecuali mati. Jika sudah sampai masanya (saat kematian) maka doktor yang paling hebat didunia pun tidak akan mampu memulihkan penyakit tersebut atau ubat yang paling cangih sekalipun di dunia ini tidakkan dapat menyembuhkannya. Semuanya adalah berada di dalam ketentuan Allah SWT.


No comments: