Sunday, September 16, 2012

Di Manakah Terletaknya Kebahagiaan Sebenar?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Semua manusia ingin bahagia dalam kehidupan. Tetapi tidak semua mereka akan berjaya memiliki kebahagiaan yang di impikan .

Adakah kebahagiaan sebenarnya terletak pada harta kekayaan, wang jutaan ringgit , pangkat dan kekuasaan, anak-anak ramai , wajah yang cantik , sawah ladang , rumah banglow  , kereta mewah atau memiliki saham-saham dalam syarikat?

Belum tentu harta dunia yang dimiliki ini akan menjamin kebahagiaan yang hakiki kerana ramai dikalangan manusia dari dahulu hingga sekarang jiwanya tidak tenteram dan rumah tangganya porak peranda walau pun memiliki kekayaan duniawi.

Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah SWT di dalam Al Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” (Surah Al-Ra’du ayat  28).

Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:  ” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (Hadis Riwayat Bukhari Muslim)

Rasulullah S.A.W bersabda lagi: ” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “

Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki dan bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada. Terima seadanya dengan sifat qanaah.

Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipelihara agar sihat dan melahirkan sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya.

Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara sepontan tanpa paksaan.

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan sunah Nabi SAW yang menjelaskan maksud kebahagiaan sebenarnya. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Beriman dan beramal soleh.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Siapa yang beramal soleh baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.” (Surah an-Nahl ayat 97)

Ibnu ‘Abbas r.a. meriwayatkan bahawa sekelompok ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki yang halal dan baik (halalan tayyiban). Sayidina Ali k.wj. pula mentafsirkannya dengan sifat qanaah (merasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.

Kedua : Banyak mengingat Allah SWT.

Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah gulana.

Firman Allah SWT yang bermaksud :  “Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu.” (Surah ar-Ra’d ayat 28)

Ketiga : Bersandar (bertawakal) kepada Allah SWT.

Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. Allah SWT berfirman yang bermaksud :  “Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya.” (Surah ath-Thalaq ayat 3)

Keempat : Sentiasa mencari peluang berbuat baik.
Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.

Allah SWT berfirman maksudnya : “Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh ( manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan di antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu kerana mengharapkan keredaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar.” (Surah an-Nisa ayat 114)

Kelima : Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.

Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu kerana apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula. 

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata : Rasulullah SAW bersabda maksudnya : " Dalam semua perkara pada anak Adam yang akan menjadikan mereka tua adalah dua perkara : Tamak dan angan-angan." (Hadis Riwayat Bukhari - dalam al-Sahih 11/243 dan Muslim dalam al-Sahih 2/724 no. 1047 dan Abu al-Laith al-Samarqandi dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagi mu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah. Bila menimpa mu sesuatu (dari perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata: “Seandainya (kalau) aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu,” akan tetapi katakanlah: “Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan,” kerana sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ (kalau) itu membuka amalan syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Keenam : Melihat “kelebihan” bukan kekurangan diri.

Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki kerana dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan Allah kepada kita.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu kerana dengan (melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketujuh : Jangan mengharapkan ucapan terima kasih manusia.

Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada di antara hukama berkata, “sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa!”.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Kami memberi makan kepada kalian hanyalah kerana mengharap wajah Allah, kami tidak menginginkan dari kalian balasan dan tidak pula ucapan terima kasih.” (Surah al-Insan ayat 9)

Sahabat yang dikasihi,
Jelaslah kepada kita bahawa kebahagiaan hakiki itu bukan boleh dibeli dengan wang ringgit atau diperolehi apabila seseorang itu menjadi orang kaya atau mendapat pangkat kedudukan dan dihormati dan disanjung. Tetapi kebahagiaan sebenar adalah satu kurniaan Allah SWT kepada hati para hamba-Nya yang beriman , bertakwa dan beramal soleh dan sentiasa taat dan patuh kepada perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Hati yang tenang dan bahagia di dunia ini adalah petanda hati itu akan berbahagia pula di hari akhirat.




No comments: