Tuesday, September 18, 2012

Penyesalan Dan Tangisan Di Hari Akhirat Sudah Tiada Berguna Lagi

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Jurang neraka terlalu curam, setiap penderhaka akan merasai seksa dihumbankan ke dalamnya. Pernahkah kalian membayangkan jatuh dari ketinggian sejauh 70 tahun perjalanan baru sampai ke dasar lantainya? Jika kejadian itu di dunia ini, bagaimana pula keadaan orang yang jatuh ke dasar jurang neraka itu nanti?

“Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh. Lalu Baginda bertanya: “Tahukah kamu semua suara apakah itu?” Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda yang maksudnya: “Itu adalah suara batu yang dilemparkan ke dalam Neraka Jahanam sejak 70 tahun yang lalu dan sekarang baru sampai ke dasarnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Begitulah hebat dan dahsyatnya seksaan di Neraka Jahanam, yang akan dipenuhi oleh jin  dan manusia yang derhaka dan melakukan dosa ketika di dunia.

Pada hari penghisaban, apakah akan terasa malu seperti si penjenayah yang malu apabila kesalahannya menjadi bahan laporan dalam akhbar? Bolehkah muka ini ditutup?

Bolehkah mereka mengupah peguam paling hebat untuk menghadapi segala pertuduhan ke atas dirinya sendiri?  Jika di dunia manusia boleh menipu dan memberi rasuah kepada hakim atau pendakwa raya tetapi bukan di mahkamah Allah SWT. Ketika ini tidak seorang pun boleh melarikan diri.

Sebagai manusia yang kerdil, tetapi mengapa kita tidak takut kepada Tuhan Pemilik alam in? Manusia sanggup diperkudakan oleh syaitan dan hawa nafsu, padahal dia berada dalam genggaman Tuhannya. Ketika dia merampas hak orang lain, sewenang-wenangnya melakukan fitnah dan pecah amanah, segala rekod perbuatannya itu disimpan kukuh sebagai bukti.

Mengapakah Allah SWT tidak menurunkan bala-Nya terus menerus pada saat seseorang itu melakukan dosa? Jawapannya adalah firman Allah bermaksud: “Berapa banyak penduduk negeri yang telah Aku beri tempoh, sedangkan mereka berbuat zalim, kemudian Aku seksa mereka dan kepada-Ku mereka kembali.” (Surah al-Hajj, ayat 48)

Biarlah pelaku dosa itu diberi tempoh selagi hayatnya di atas bumi ini belum berakhir. Allah Maha Penerima Taubat. Tetapi, sayang sekali, mereka suka menunda-nunda taubat, menganggap peluang itu untuk berpuas-puas terlebih dulu dan bertaubat kemudian.

Semakin dihulur setiap peluang, maka semakin buta matanya, pekak telinganya, keras hatinya dan hebat bergaya tidak insaf dan sedar bahawa kematian akan datang tidak kira waktu.

Diteguk segala kemanisan syahwat duniawi sehingga lupa kepanasan buah zaqqum tanaman neraka yang akan diletakkan di dalam kerongkongnya nanti.

Hatinya puas menikmati kesenangan yang memuncak pada hujung keghairahan. Tetapi, dia lupa di dasar lubang jahanam yang gelap itu nanti terpaksa melalui aksi pembakaran manusia, penyeksaan dan pembunuhan yang tidak pernah berhujung dengan kematian.
Sahabat yang dimuliakan,
Semua jenis tangisan di atas dunia ini tidak sehebat tangisan ahli neraka. Tangisan yang mengalirkan penyesalan tidak berhujung. Tiada harapan dan peluang.

Mereka merayu kepada Tuhan: “Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (kembalikanlah kami ke dunia) maka jika kami kembali kepada kekufuran, sesungguhnya kami adalah orang yang zalim.” (Surah al-Mukminun, ayat 107)

Allah menjawab rayuan mereka itu dengan firman-Nya bermaksud: “Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya dan janganlah kalian bercakap dengan Aku.” (Surah al-Mukminun, ayat 108)

Oleh itu, jika kalian menangis di dunia ini, pastikan tangisan itu adalah tangisan penyesalan dan taubat kepada Allah SWT. Barang siapa yang banyak menangis di sini, nescaya tiada air mata lagi yang akan jatuh menitis di Padang Mahsyar nanti.

Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya : "Tiap mata pasti akan menangis pada hari kiamat, kecuali mata yang dipejamkan dari segala yang haram dan mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah dan mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah." (Hadis Riwayat Abu Naim)

Balasan Allah SWT sangat adil. Saksi yang dipanggil adalah anggota badan kita sendiri, bumi, langit hari dan masa. Menunduklah wajah yang dulunya rasa sombong, kecutlah hati yang dulunya bongkak dan takbur serta menggigil sekujur badan bagai hendak melepaskan kulit.

Sesungguhnya mereka yang berada dalam neraka itu hidup dan merasai setiap kesakitan itu sedikit demi sedikit. Diganti setiap kulit yang hangus dengan kulit yang baru. Sehari di sana sama seperti seribu tahun di dunia ini.

Mengapakah mereka memilih keseronokan yang sebentar saja di dunia ini? Pada hal mereka  tahu membezakan makna sengsara dan bahagia, berakal tajam dalam menganalisis segala sesuatu. Allah SWT mengingatkan kita bahawa azab dan sengsara yang akan diderita itu bukan sebentar. Firman-Nya bermaksud; “Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu seperti seribu tahun daripada apa yang kamu hitung.” (Surah al-Hajj, ayat 47)

Sahabat yang dikasihi,
Kita perlu ulang-ulangkan kisah-kisah hari akhirat dan seksaan neraka sebagai motivasi supaya kita tidak terlalu buru keduniaan sehingga melupakan bahawa setiap di antara kita akan meninggalkan dunia yang fana ini. Dengan mengingatkan tentang kematian, seksa kubur, penderitaan di himpunkan di Padang Mahsyar, di hisab dan ditimbang segala amalan baik dan buruk, meniti siratul mustakim dan seksaan neraka maka akan menghidupkan hati yang leka dan lupa. Mengilapkan lagi hati yang berpenyakit kerana terlalu cintakan dunia dan takut mati. 

Jika kita sedang kejar kuasa (sedang sebuk berkempen) atau sebuk menghimpun harta dunia maka dengan kuasa dan harta yang akan diperolehi nanti akan digunakan untuk mencari reda Allah SWT bukan untuk bermegah-megah dan berlagak sombong dan bukan untuk menentang hukum-hukum Allah SWT.

Ingatlah setiap amanah yang diterima (jika berjaya mendapat kuasa) dan setiap ringgit harta di perolehi semuanya akan ditanya oleh Tuhan Rabbul Jalil dihari akhirat nanti. Jika kalian gagal melaksanakan amanah ini maka segala penyesalan dan tangisan di sana nati sudah tidak berguna lagi.

No comments: