Monday, September 17, 2012

Tafsir Surah Adh - Dhuha Ayat 1-5

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Surah Adh-Dhuha adalah surah ke 93 , surah Makkiyah mengandungi 11 ayat. Maksud Adh-Dhuha adalah Waktu Matahari Sepenggalahan Naik.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Firman Allah SWT maksudnya :

"Demi waktu Dhuha". (93:01)

Penjelasan :

* Allah bersumpah dengan waktu Dhuha (waktu naik matahari)

* Allah bersumpah pada waktu Dhuha kerana Ummu Jamil telah menyebarkan fitnahnya tentang pemberhentian wahyu pada waktu-waktu tersebut.

"Dan demi malam apabila telah sunyi". (93:02)

Penjelasan :

* Allah bersumpah dengan waktu malam (apabila ia menjadi gelap)

"Tuhanmu tiada meninggalkanmu dan tiada (pula) benci padamu". (93:03) 

Penjelasan :

* Allah tidak sekali-kali meninggalkan Rasulullah SAW bersendirian sewaktu fitnah-fitnah terebut melanda.

* Allah bersumpah bahawa Allah tidak meninggalkan Rasulullah SAW pada waktu Dhuha ataupun waktu malam.

* Allah menyayangi dan menjaga baginda sejak dari dalam kandungan hinggalah pada ketika surah itu diturunkan.

Asbabun Nuzul ayat 1-3 : 

Jundub r.a. berkata bahawa Rasulullah SAW bersedih kerana Jibril tidak turun membawa wahyu beberapa hari. Lalu seorang wanita berkata, "Wahai Muhammad, mengapa aku melihat syaitanmu (maksudnya Jibril) telah meninggalkanmu." . Lalu turunlah ayat ini. (Hadis Riwayat Bukhari)

"Dan sesungguhnya akhir itu lebih baik bagimu daripada permulaan" (93:04)

Penjelasan :

* Allah menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai Pemimpin Agung di dunia dan di akhirat.

* Sebahagian ahli tafsir menyatakan bahawa akhir perjuangan Rasulullah SAW itu akan bertemu kemenangan-kemenangan, sedangkan permulaannya penuh dengan kesulitan-kesulitan. Ada pula sebahagian mufasir yang mengertikan akhirat dengan 'kehidupan akhirat' beserta segala kesenangannya dan 'ula' dengan erti 'kehidupan dunia'.

"Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu lalu hati kamu menjadi puas." (93:05)

Penjelasan :

* Akan diberikan kepada Rasulullah SAW (di akhirat) segala nikmat yang paling besar yakni boleh mensyafaatkan sekalian manusia dan juga sungai Al-Kautsar di dalam syurga.

Asbabun Nuzul ayat 5 :

Dari Ibnu Abbas r.a. dari ayahnya, dia berkata, "Telah dinampakkan kepada Rasulullah SAW sesuatu yang akan diberikan untuk umatnya tahap demi tahap. Kerana itu Rasulullah SAW merasa sangat gembira. Lalu turun ayat ini. (Hadis Riwayat Hakim, Baihaqi dan Thabrani)

Asy- Syahid Sayyid Qutb rahimauhullah mentafsirkan ayat 1-5 Surah Adh-Dhuha dalam tafsirnya Fi Zilalil Quran, beliau menyatakan :

Pokok pembicaraan surah Ad Dhuha ini, pengungkapannya dan pemandangan-pemandangannya,  bayangan-bayangan dan nada-nada pernyataannya merupakan suatu sentuhan kasih mesra, suatu hembusan rasa sayang, suatu belaian tangan yang belas kasihan yang menghilangkan sakit derita, suatu tiupan bayu yang membawa kerehatan, kerelaan dan harapan di samping mencurahkan rasa ketenteraman dan keyakinan. Semuanya itu adalah dituju kepada Rasulullah SAW. untuk menghibur dan mententeramkan hatinya.

Surah ini merupakan surah Makkiyah. Turun ketika Nabi SAW sedang bersendirian. Surah ini turun setelah berlaku suatu tempoh masa tiadanya wahyu baru yang turun kepada baginda sehingga menimbulkan fitnah di kalangan penduduk di Kota Makkah.

Hadis daripada Jundub r.a, ia berkata, bahawasanya Rasulullah SAW telah tidak bangun untuk berqiyamullail selama 1 atau 2 malam. Kemudian telah datang kepada baginda seorang wanita seraya bertanya, "Bagaimanakah syaitanmu wahai Muhammad?" Nabi SAW diam. Setelah itu Allah telah menurunkan surah Ad-Dhuha sebagai jawapan kepada wanita tersebut. [Muttafaqun Alaih]

Dalam hadis yang lain pula, Ibn Abbas r.a  berkata, bahawasanya Ummu Jamil (isteri Abu Lahab) telah berkata, "Malaikat dan wahyu sudah tidak turun lagi. Tuhan telah memutuskan hubungan dengan dia". kemudian Ummu Jamil telah menyebarkan perkara tersebut ke khalayak ramai. Akibatnya Rasulullah SAW berasa susah hati. Lalu Allah telah menurunkan Surah Ad-Dhuha.

Berbagai-bagai riwayat telah memberikan bahawa penurunan wahyu telah putus seketika kepada Rasulullah SAW. Malaikat Jibril telah terlambat membawa wahyu Allah kepadanya kerana itu kaum musyrikin melancarkan kempen bahawa Muhammad telah ditinggalkan Tuhannya! Lalu Allah turunkan surah ini.

Penerimaan wahyu, pertemuan dengan Jibril dan perhubungan dengan Allah, merupakan bekalan-bekalan kepada Rasulullah SAW dalam mengharungi jalan dakwah yang sukar, merupakan air minum di panas yang terik dalam menghadapi keingkaran. Dan merupakan angin sepoi bahasa dalam cuaca panas menghadapi pendustaan kaum musyrikin. Dengan inilah Rasulullah SAW. dapat hidup dalam panas terik yang membakar yang dialami beliau ketika menghadapi manusia-manusia yang liar, penderhaka dan degil, dan ketika menghadapi tipudaya, gangguan dan penindasan yang ditimpakan ke atas dakwah, keimanan dan hidayat oleh pelampau-pelampau kaum musyrikin.

Apabila wahyu terputus seketika, maka putuslah bekalannya, keringlah matairnya dan sepilah hatinya dari kekasih, dan tinggallah baginda seorang diri di tengah panas terik tanpa bekalan, tanpa air dan tanpa bau kekasih tercinta yang biasa dinikmatinya. Dan ini menjadikan Rasulullah SAW. begitu sengsara menanggungnya dari segala sudut.
Ketika itulah turunnya surah ini membawa kasih mesra, rahmat, perdampingan, kerelaan, ketenteraman dan keyakinan:

Tafsirannya :(ayat 1-5)

"Demi waktu Dhuha". (93:01)

"Dan demi malam apabila telah sunyi". (93:02)

Allah S.W.T. telah bersumpah dengan dua waktu yang jernih hening, dan menghubungkan di antara gejala-gejala alam dengan perasaan-perasaan jiwa serta menyarankan kepada hati manusia satu bentuk hidup yang sedar dan mempunyai hubungan saling mesra dengan alam yang indah dan dinamis, yang bermesra dengan setiap yang hidup.

Hati ini hidup dalam hubungan penuh kemesraan dengan alam ini dan tidak lagi merasa sepi dan dagang di alam ini. Dalam surah ini kesan rasa kemesraan itu benar-benar dirasai, seolah-olah Allah mahu menyarankan kepada Rasulullah SAW  dari awal surah lagi bahawa Tuhannya telah melimpahkan rasa kemesraan di sekeliling hidupnya di alam ini, ia bukannya terbuang dan terbiar dan bukan pula sebatang kara. Dan selepas menyampaikan saranan dari alam, maka secara langsung  Allah menekankan:

Tuhanmu tiada meninggalkanmu dan tiada (pula) benci padamu". (93:03)


Allah tidak sekali-kali membiar dan membuangmu sebagaimana dikatakan oleh kaum musyrikin yang mahu menyakiti hatimu dan merungsingkan fikiranmu, kerana Dia adalah “Tuhanmu” dan engkau adalah hamba-Nya yang dihubungkan kepada-Nya dan disandarkan kepada Rububiyah-Nya, dan Dialah Penjaga, Pelindung dan Penaungmu. Limpah kurnianya kepadamu tidak kunjung putus. Balasan-balasan yang disediakan untukmu di Akhirat adalah lebih balk dari limpah kurnia-Nya yang diberikan kepadamu di dunia:

"Dan sesungguhnya akhir itu lebih baik bagimu daripada permulaan" (93:04)

Itulah pengertian kebaikan dari awal hingga akhir. Dan Allah akan terus memberi taufiq yang dikehendakimu dalam menjalankan tugas dakwahmu, menghapuskan segala halangan dan rintangan dari jalanmu, memberi kemenangan kepada agama dan kebenaran yang diperjuangkanmu. Semua itu merupakan masalah-masalah yang merungsingkan Rasulullah SAW. sewaktu menghadapi kedegilan, pendustaan, gangguan, tipudaya dan penghinaan kaumnya. 

"Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu lalu hati kamu menjadi puas." (93:05)

Sahabat yang dimuliakan,
Surah Adh-Dhuha ini menjelaskan kepada kita bahawa setiap perjuangan dalam usaha kita ingin menegakkan kebenaran Islam dimuka bumi ini pasti akan ada ujian dan dugaannya. Rasulullah SAW di fitnah oleh  pembesar Quraisy dan di hinakan apabila wahyu tidak turun beberapa hari. Pada mulanya baginda merasai sedih di atas tohmahan mereka tetapi setelah turun surah ini telah mengembirakan hati Nabi SAW, dan bagimana Allah SWT menyatakan kasih sayang-Nya kepada kekasih-Nya Muhammad SAW. dan jaminan Allah SWT bahawa perjuangan baginda akhirnya akan memperolehi kejayaan.

Sudah menjadi fitrah bahawa permulaan dalam kerja-kerja dakwah untuk menegakkan hukum-hukum Allah SWT dan menjalankan amar makruf nahi mugkar memang sukar tetapi di akhir perjuangan akan beroleh kejayaan dan kebahgiaan. 

Begitu juga hidup di dunia ini adalah satu ujian dan penuh kesukaran iaitu perlu berjihad dijalan Allah SWT dan istiqamah dengan Islam kerana sesungguhnya hidup di dunia adalah sementara. Jika kita menjalankan tugas yang diamanahkan Allah SWT di dunia ini insya Allah di akhirat nanti adalah balasan syurga yang akan disediakan oleh Allah SWT.

No comments: