Saturday, December 15, 2012

Tiga Golongan Tidak Akan Masuk Syurga

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
 
Sahabat yang dirahmati Allah,
Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Tidak akan masuk syurga orang yang memperdaya, orang yang kikir, dan orang yang suka mengungkit-ungkit pemberian.” (Hadis Riwayat Ahmad)


Berdasarkan hadis di atas terdapat tiga golongan tidak akan masuk syurga iaitu :

Golongan Pertama : Suka memperdaya orang lain (menipu)

Golongan Kedua     : Orang yang kikir (bakhil)
Golongan Ketiga     :  Orang yang suka mengungkit-ungkit pemberian.

Huraiannya  : 

Golongan Pertama :Suka memperdaya orang lain (menipu)

Menipu perbuatan keji yang dibenci Islam kerana suka memperdaya orang lain (menipu) perbuatan ini boleh mengguris hati seseorang yang memberi kepercayaan kepadanya.Akibat perbuatan itu,orang lain yang jujur akan teraniaya kerana orang yang menjadi mangsa penipuan itu tidak akan percaya kepada orang yang jujur itu.

Juster,Islam menganjurkan urusan hutang piutang atau pinjam meminjam diadakan perjanjian bertulis dengan dua saksi atau mengambil cagaran bagi memastikan kepentingan orang yang memberi hutang terjamin

Keadaan umat Islam menjadi memilukan apabila, aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini, ia mungkin tidak pelik bagi mereka yang tidak berkemampuan, tetapi ia telah menjadi kaedah dan teknik yang terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan dan mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu.

Maka lahirlah ramai individu yang berkemampuan untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam membeli kereta dan rumah. Hujah mereka mudah sahaja dalam hal ini, iaitu jika bayar tunai maka kita akan RUGI, RUGI dan RUGI. Inilah satu fenomena kurang sihat yang telah di anggap sihat oleh masyarakat hari ini.  Ia berpunca daripada kurangnya maklumat berkenaan bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.

Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramainya peminjam-peminjam yang enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta, syarikat mereka, ada juga yang lebih rela di gelar muflis asalkan tidak perlu membayar jumlah hutangnya yang menimbun. Ia kelihatan seronok untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi ia pasti akan menjadi malapetaka di akhirat.


Pandangan Islam dalam hal hutang ini. Nabi SAW bersabda :-

يغفر للشهيد كل شيء إلا الدين
 

Maksudnya : " Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)" ( Hadis Riwayat Muslim, 6/38)

Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Sebagaimana Sabda Nabi SAW :

من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه الله
 

Maksudnya : "Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Hadis Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )

Rasulullah SAW juga kerap mengajar umat Islam agar berdoa dilepaskan dari hutang :

اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : " إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف"


Maksudnya : "Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah ? ; Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutuang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari" ( Hadis Riwayat Al-Bukhar, 1/214 )

Jika seseorang berhutang tetapi dia berniat dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membayarnya maka dia tidak berdosa. Allah SWT Maha Mengetahui kemampuan hamba-hamba-Nya. Setiap amalan itu bergantung kepada niat.

Golongan Kedua     : Orang yang kikir (Bakhil)

Sesuatu yang sangat penting untuk diketahui setiap muslim ialah bahawa harta yang dimiliki dalam bentuk apapun yang ada di sekitarnya adalah milik Allah Subhanahu Wa Ta’ala. 
Tidaklah seseorang itu boleh mendakwa bahawa harta yang dimiliki adalah haknya secara mutlak kerana apa yang dia miliki adalah dengan izin Allah, manusia tidaklah berkuasa sepenuhnya pada harta tersebut. Status harta itu hanya amanah atau pinjaman dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala sahaja.

Sesungguhnya harta yang dimiliki seseorang itu adalah amanah Allah dan mereka tidak boleh bersikap bakhil atau kedekut kerana bukan miliknya secara mutlak.     

Bakhil adalah sifat yang tercela kerana sifat ini terlahir dari godaan syaitan. Bakhil dijadikan oleh syaitan sebagai jalan untuk menuju jalan ke neraka. Definisi bakhil adalah perbuatan seorang hamba untuk menahan harta yang ada padanya tanpa menunaikan hak dan kewajiban yang patut dilaksanakan dengan harta tersebut. 

Dalil yang melarang dari perbuatan bakhil di antaranya adalah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ» قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا هِيَ؟ قَالَ: «الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالشُّحُّ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْغَافِلَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ»
 
Dari sahabat Abu Hurairah radiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam telah bersabda : "Jauhillah tujuh kehancuran yang dapat menimpa kalian." Lalu (sahabat) bertanya, "Apakah itu wahai Rasulullah?" Lalu baginda menjawab, "Menyekutukan Allah, bakhil (kikir), membunuh jiwa yang diharamkan Allah, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari peperangan, menuduh zina wanita mukminat yang suci.” (Hadis Riwayat an-Nasai)

Banyak contoh tentang kehancuran orang-orang yang bakhil. Salah satunya adalah Qarun sebagai raja kebakhilan yang pernah muncul di muka bumi ini. Di mana Allah SWT akhirnya menenggelamkannya beserta gedung dan harta kekayaannya. Kisah tersebut boleh  dibaca dalam Al-Quran pada surah Al-Qashash. Perkara ini perlu dijadikan sebagai pelajaran bahawa bakhil dapat membawa kepada kehancuran di dunia dan akhirat.

Sifat bakhil terbena akibatkan kecintaan yang berlebihan terhadap dunia, tidak adanya keyakinan tentang kemuliaan yang ada di sisi Allah SWT, sifat tamak dan kagum kepada diri sendiri serta sebab-sebab lainnya.
 
Sikap kedekut dipandang keji oleh Islam kerana seseorang itu cuba menyekat aliran rezeki yang didatangkan Allah kerana ada ketikanya Allah memberi rezeki kepada seseorang melalui saku orang lain.     

Tetapi,disebabkan orang yang menjadi saluran rezeki itu bakhil maka tersekatlah rezeki orang lain.

Golongan Ketiga     : Suka mengungkit-ungkit (pemberiannya)

Firman Allah yang bermaksud,"Hai orang yang beriman,jangan kamu batalkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebut dan mengungkit-ungkit (perasaan si penerima) seperti orang yang menafkahkan bertanya kerana riyak kepada manusia dan dia tidak beriman dengan Allah dan hari akhirat" (Surah al-Baqarah ayat 264).    

Mengungkit pemberian terhadap seseorang pasti akan menyinggung perasaan orang yang menerimanya. Perbuatan itu mendatangkan kesan buruk terhadap diri sendiri dan orang yang diungkitnya.

Dalam sebuah hadis disebutkan, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tiga golongan yang tidak akan diajak bicara oleh Allah pada hari kiamat kelak, serta tidak akan dipandang-Nya, dan tidak pula disucikan-Nya, iaitu orang yang mengulurkan kainnnya, orang yang suka mengungkit-ungkit kebaikannya dan orang yang menjual dagangannya dengan sumpah palsu.” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, dan Nasai dari Abu Dzar al- Ghifari).

Mengungkit pemberian bukan sekadar menghapus pahala sedekah tetapi berdosa kerana menyakiti hati orang lain.Sesungguhnya, ia bercanggah dengan seruan persaudaraan yang diwajibkan menjaga hati dan perasaan saudaranya. Lebih besar dosanya apabila seorang anak mengungkit-ungkit pemberiananya kepada kedua ibu bapanya. Anak tersebut menjadi anak derhaka selagi dia tidak bertaubat kepada Allah SWT dan meminta ampun kepada kedua ibu bapanya.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menjauhkan diri daripada tiga sifat yang dibenci oleha Allah SWT sehingga tidak dapat masuk syurga Allah SWT seperti hadis di atas. Berlawaan daripada sifat-sifat di atas adalah sifat orang mukmin yang jujur, amanah, pemurah dan sentiasa ikhlas dalam sedekah dan memberikan pertolongan kepada orang lain. 

Pilihan terserah kepada kita semua samaada kita nak memilih sifat-sifat ahli nereka atau sifat-sifat ahli syurga. Beruntunglah sesiapa yang diberi taufik dan hidayah oleh Allah SWT hingga dia istiqamah dengan akhlak yang mulai dan terpuji dan dijauhi daripada sifat-sifat mazmumah yang tercela dan dibenci oleh Allah SWT.




    

1 comment:

outbound malang said...

kunjungan gan , bagi-bagi motivasi
semoga menjadi semangat .. :)
Tidak ada yang namanya hari yang tidak penting dalam kehidupan manusia ini. Setiap saat berharga.