Friday, November 20, 2009

Bilakah Do'a Akan di Makbul?

Berdo'a adalah amalan yang dituntut oleh Islam. Seorang hamba yang merasa hina di sisi Tuhannya akan memanjatkan permohonan dan do'a kehadrat Allah s.w.t. agar ditunaikan segala hajat yang diperlukannya. Ia merasa amat kerdil dan tidak ada pergantungan dan pengharapan yang lain melainkan ditujukan kepada yang Maha Esa.

Sebagai seorang Mukmin yang yakin di atas Qada' dan Qadar Allah s.w.t. kalian kena berfikiran positif dan yakin apa sahaja keputusan Allah s.w.t.adalah keputusan yang terbaik, yang mana hanya Allah s.w.t. sahaja Maha Mengetahui di atas kehidupanmu pada masa sekarang dan masa akan datang. Terdapat tiga keadaan do'a kalian di sisi Allah s.w.t. iaitu seperti berikut :


Pertama : Apabila Allah cepat makbulkan do'amu, maka Dia menyayangimu.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu mereka) : Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdo'a apabila dia berdo'a kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul."


Kedua : Apabila Dia lambat makbulkan do’amu, Dia ingin mengujimu.
Menurut al-Khatabi : "Jika Allah tidak menjawab do’a seseorang, Dia akan memberikan kepadanya ketenangan dan kelapangan dalam hatinya atau mengelakkan dirinya daripada kecelakaan, atau menggantinya dengan pahala."


Menurut hukama : "Manusia menyangka do’a mereka tidak dimakbulkan, sedangkan sebenarnya ia dimakbulkan melebihi daripada apa yang dipohon atau ia menolak dengan musibah atau penyakit lebih banyak daripada apa yang dipinta, atau diberikan ganjaran pada hari Qiyamat.”


Ketiga : Apabila Dia tidak makbulkan do’amu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
(Surah al-Baqarah ayat 216).


Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Aku bersama sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, maka bersangka tentang-Ku apa sahaja yang kamu ingini."
(Hadis Qudsi)

No comments: