Saturday, November 21, 2009

Hari Raya Aidil Adha di Sambut Dengan Penuh Kesyukuran.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita akan sambut kedatangan hari kebesaran umat Islam pada 10 Zulhijjah  iaitu Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji. Dalam setahun terdapat hanya dua hari raya sahaja yang di syariatkan dalam Islam iaitu Hari Raya Aidil Adha dan Hari Raya Aidil Fitri yang disambut pada 1 Syawal.

Hari Raya Aidil Adha (عيد الأضحى) atau Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban, merupakan perayaan yang dirayakan diseluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam. Hari Raya Aidil Adha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidil Adha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidil Adha serta khutbah Aidil Adha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Hari Raya Aidil Adha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s.dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s.dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidil Adha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidil Adha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam a.s.dan isterinya Hawa dikeluarkan dari Syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Makkah.

Sahabat yang dimuliakan,
Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak awal sedikit berbanding Hari Raya Aidil Fitri. Di pagi hari sebelum berangkat ke masjid untuk Hari Raya Aidil Fitri di sunatkan menjamah sedikit makanan tetapi sebaliknya di pagi Hari Raya Aidil Adha tidak disunatkan menjamah makanan.

Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. lembu, kambing, dan biri-biri atau unta yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hari Raya Aidil Adha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Makkah, mengunjung Ka'abah dan melakukan korban sembelihan. Al-Qur'an tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim a.s untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.

Sahabat,
Umat Islam di negara kita menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan penuh meriah dan nampak kemeriaannya dengan pakaian baru, juadah dan kuih muih yang bermacam-macam jenis dan langsir dan perabut rumah serba baru. Ziarah menziarahi di antara satu sama lain dan bermaaf-maafan. Tetapi kenapa keadaan seperti ini tidak berlaku semasa menyambut kehadiraan Aidil Adha? Sedangkan Aidil Adha adalah hari kebesaran yang mempunyai sejarah yang besar untuk umat Islam iaitu pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. keatas anaknya Nabi Isamil a.s atas perintah Allah s.w.t. Pada Aidil Adha ini juga berlaku perlaksanaan Ibadah Haji di Makkah al-Mukaramah ianya merupakan perlaksanaan Rukun Islam yang ke lima.

Oleh itu marilah sama-sama kita sambut kedatangan Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini dengan penuh kesyukuran kepada Allah s.w.t., setelah mengerjakan solat sunat Aidil Adha kita teruskan ziarah menziarahi sesama saudara Muslim dan bermaaf-maafan sesama kita. Dan terus bertakbir memuji Allah s.w.t. setiap masa pada hari Tasyrik iaitu pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Sekiranya mempunyai peruntukan wang yang lebih janganlah lupa untuk berkorban kerana sesungguhnya tidak ada amalan yang lebih baik pada Hari Tasyrik melainkan melaksanakan penyembelihan binatang ternak sebagai ibadah korban.

No comments: