Friday, September 21, 2012

Tanggungjawab Ibu Bapa Melahirkan Anak-anak Yang Soleh

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Apabila Allah telah anugerahkan anak kepada pasangan suami isteri, secara pastinya mereka akan menyayangi anak mereka dengan penuh kasih sayang, memberi sepenuh perhatian kepada anak mereka dan mengorbankan segala apa yang ada untuk menjamin kebahagiaan anak mereka di masa akan datang.

Walaupun dalam keletihan dan baru pulang dari kerja, mereka sanggup lagi melayan karenah anak mereka dengan penuh senyuman dan kerinduan. Mereka sanggup meluangkan masa membawa anak-anak mereka keluar bersiar-siar dan bermain-main di tempat permainan, demi memenuhi tuntutan anak atau tanggungjawab sebagai ibu bapa.
 

Ketika anak mereka sakit, mereka sanggup meredah kesunyian dan kegelapan pada waktu malamnya dan sanggup mengambil cuti pada siangnya untuk memastikan sakit anak mereka dirawat di klinik, hospital atau di rumah. Yang penting bagi mereka, anak mereka selamat dan sihat seperti anak-anak atau kanak-kanak yang lain. Jiwa mereka menjadi tidak tenteram dan risau dengan keadaan anak mereka yang sakit. Selain dari ubat yang diambil daripada klinik atau hospital, mereka juga merawat anak mereka dengan kaedah perawatan tradisional yang telah diajar oleh ibu bapa mereka pada masa dahulu.

Adakah kasih sayang terhadap anak-anak hanya tertumpu kepada fizikal anak semata-mata? Adakah ibu bapa berfikir bahawa perkara yang paling penting adalah bagaimana ingin mendidik anak-anak itu supaya mereka semua menjadi anak-anak yang soleh dan solehah dan mementingkan kehidupan cara Islam.

Bagaimanapun dalam Islam ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak mengikut acuan Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka ibu bapalah yang bertanggungjawab sama ada menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani,” (Hadis Riwayat Muslim).

Dalam hal ini jika ibu bapa tersalah didik hingga anak-anak menjadi salah satu dari tiga golongan itu, sudah tentu anak-anaknya tidak akan menjadi seorang Islam yang baik. Jika ibu bapa prihatin sejak anak dalam kandungan lagi hingga di lahirkan apabila ajaran Islam di ajarkan dan telah menjadi sebati dalam jiwa dan diri anak-anak maka anak-anak itu sedang berada di dalam keadaan fitrah (bersih). Islam adalah agama fitrah yang bersih daripada syirik dan kemungkaran.

Sahabat yang dimuliakan,
Segala pengorbanan yang diberikan kepada anak semasa dia kecil hingga dewasa tidak akan merugikan ibu bapa, malah mereka dijanjikan dengan balasan yang baik dari Allah jika mereka mengharunginya dengan perasaan reda dan sabar. Mereka juga sedar jika Allah SWT tidak menganugerahkan kepada mereka anak, nescaya kehidupan mereka akan menghadapi kekurangan dan tidak memiliki keturunan.

Sebagai hamba Allah yang bertakwa, kita hendaklah menerima anugerah Allah SWT  ini dengan penuh kesyukuran, kerana cahaya mata itu adalah perhiasan dan penyeri rumahtangga kita. Firman Allah SWT maksudnya :

“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas Yang memberi harapan.” (Surah al-Kahfi  ayat 46)

Memang ada orang yang mengeluh mempunyai anak, kerana banyak wang yang diperlukan untuk memelihara anaknya. Ada juga orang yang tidak mahu mempunyai anak dan sanggup mengambil ubat-ubat pencegah kehamilan dengan alasan masih belum bersedia untuk memperolehi anak, menjaga badan, terlalu muda, belum mampu dan sebagainya. Mereka lupa sesungguhnya anak bukan membebankan tetapi ia adalah pembawa rezeki kepada keluarga tersebut. Setiap anak telah ditetapkan rezekinya semasa dalam kandungan lagi. Perkara ini telah dibuktikan di dalam firman Allah :

“Sesungguhnya Allah Dialah sahaja yang memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Maha kuat kukuh kekuasaanNya.” (Surah az-Zaariyat ayat 58)

Alangkah baiknya ibu bapa yang mempunyai anak, melaksanakan tugasnya dengan penuh keikhlasan dan kesabaran untuk mendidik anak mereka sepertimana yang dikehendaki oleh Islam. Ujian yang sangat besar kepada kedua ibu bapa yang mempunyai anak, kadang-kadang waktu tidur malam dikejutkan dengan tangisan anak kerana kelaparan untuk minum susu ataupun buang air besar atau kecil.

Tindakan saling membantu antara suami dan isteri dalam segala urusan rumahtangga, adalah tindakan yang baik dan ia merupakan sunnah Rasulullah SAW. Dari Aisyah r.ha ditanya oleh seorang lelaki yang bernama Aswad :

“Apa yang di lakukan Rasulullah SAW di rumahnya? Aisyah r.ha menjawab : Rasulullah SAW membantu isterinya dalam menyelesaikan pekerjaan rumah dan jika baginda SAW mendengarkan azan baginda pun keluar (ke masjid)”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Ini tauladan yang sangat baik dan perlu dicontohi oleh semua umat Islam. Jangan anggap kerja rumah itu adalah kerja isteri sahaja dan suami tidak perlu membantunya. Suami perlu mempunyai sikap bertimbang rasa kepada isterinya untuk menjaga rumahtangga kerana ia adalah milik bersama.

Sahabat yang dihormati,
Ramai ibu bapa di luar sana yang gagal mendidik anak mereka menjadi manusia yang mempunyai akhlak yang baik. Contoh yang dapat kita lihat, ibu bertudung dan menutup aurat, tetapi anaknya membuka aurat dengan memperagakan pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh mereka. Si ayah pula berkopiah dan sentiasa menunaikan solat di masjid, tetapi anaknya memakai seluar pendek dan tidak pernah sama sekali melakukan solat.

Semua perbuatan yang menyalahi prinsip Islam ini tidak pernah ditegur oleh kedua ibu bapa mereka. Malah ibu bapa mereka memberi alasan bahawa anak mereka sudah besar, bukan masanya untuk menegur dan mereka sendiri sudah tahu yang mana baik dan yang mana buruk.

Ibu bapa seperti inilah yang lemah dan tidak mampu untuk melaksanakan segala amanah yang diberikan oleh Allah kepada mereka. Segala kesalahan mereka terhadap anak mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak nanti. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadis 


Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah mereka telah memeliharanya atau mensia-siakannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)

Beginilah apabila manusia tidak lagi memiliki iman dan tidak takut lagi dengan kekuasaan Allah, mereka akan lakukan apa sahaja mengikut nafsu amarah mereka tanpa mengira dosa dan pahala. Perbuatan seperti ini juga boleh dikatakan seperti perangai binatang yang hanya mementingkan dirinya sendiri.

Untuk melaksanakan amanah ini seperti mana yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT, maka ibu bapa perlulah bersedia dari segi jasmani dan rohani seperti melengkapkan diri masing-masing dengan pengetahuan agama yang baik dan mengamalkan cara hidup Islam di dalam keluarga. Dari segala pengetahuan penghayatan agama yang ada di dalam diri kedua ibu bapa, maka curahkanlah segalanya kepada anak-anak supaya mereka dapat menjauhkan diri mereka dari segala anasir-anasir jahat yang sentiasa berusaha untuk merosakkan akidah dan iman mereka. Cara ini mampu melahirkan generasi Rabbaniah yang mempunyai jati diri yang kuat dan tidak tergugat apabila ia memasuki mana-mana kelompok masyarakat.

Alangkah baiknya kalau anak tersebut menjadi manusia yang berguna dan taat kepada Allah, dia akan menjadi harta yang sangat tidak ternilai berbandingkan dengan harta dunia yang lain, kerana anak yang soleh akan membantu ibu bapanya untuk masuk ke syurga Allah.

Al-Afnaf Bin Qias menjawab apabila Khalifah Muawiyah bertanya kepadanya tentang anak :

“Wahai Amirul Mukminin! Adapun anak itu ialah buah hati kita, tulang belakang kita. Kita ini adalah bumi yang lebar tampanya berpijak, langit tempat mereka berlindung teduh dan bernaung dari kerananyalah berani kita menempuh kesukaran bagaimana sulit. Dari itu bila mereka meminta, berikan, bila mereka kecewa, senangkan hatinya agar di balasinya dengan cinta pula dan hargainya kepayahan kita.”

Sahabat yang dikasihi,

Ibu bapa yang bertakwa akan sentiasa merindukan anak-anak yang soleh dan solehah yang akan mendoakan mereka ketika mereka berada di alam barzakh, kerana doa anak yang soleh mustajab di sisi Allah SWT.

Seorang anak yang soleh adalah anak yang taat dan patuh kepada Allah dan Rasul-Nya dan taat dan menghormati kepada kedua ibu bapanya semasa kedua ibu bapanya masih hidup. Apabila kedua ibu bapanya telah meninggal dunia dia sentiasa bersedekah, membuat amal kebajikan dan mendoakan untuk mereka. Doa anak yang soleh mustajab disisi Allah SWT.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Apabila seorang diantara kamu meninggal dunia maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)


Oleh itu pastikan anak-anak perempuan kita menutup aurat ketika keluar rumah (di ajar memakai tudung kepala diawal usia), anak lelaki perlulah dipantau tidak memakai seluar pendik ketika di padang permainan atau ketika keluar rumah, ajar mereka mengenai batas aurat dan pergaulan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.