Monday, November 2, 2009

Umat Islam di Serang Dengan Budaya Maksiat

Sahabat yang dirahmati Allah,
Hari demi hari dunia makin berkembang. Kehidupan manusia turut berubah. Usia manusia dan zaman juga pastinya mengalami peralihan. Faktor yang mempengaruhi kehidupan setiap individu semakin pelbagai dan rumit. Ini termasuklah wujudnya anasir yang baik dan anasir yang negatif saling mewarnai kehidupan anak Adam. Mungkin kerana itulah adanya pahala dan dosa, juga adanya Syurga dan Neraka.

Sahabat yang dimuliakan,
Jika anasir baik yang menguasai perkembangan dunia dan peralihan usia, tidak menjadi soal dan kerisauan. Sebaliknya, apa yang menjadi tanda tanya ialah pengaruh yang merosakkan bergerak aktif meresap ke dalam kehidupan seharian kita.

Di samping individu atau tokoh tertentu yang mempengaruhi corak hidup masyarakat, khususnya anak muda, faktor media juga memainkan peranan itu. Semua bentuk media, samaada majalah, akhbar, televisyen, radio, telefon bimbit, internet dan seumpamanya cukup kuat dalam menerapkan budaya hidup lucah dan sumbang mahram, terutama dalam kehidupan generasi muda.

Sebagai orang yang akan merasakan dirinya bakal bertemu dengan Allah dan menamakan dirinya Muslim, kita perlu serius melihat persoalan ini. Ini kerana, semua anasir yang sengaja dicipta ini tidak lain, bertujuan merosakkan peribadi generasi umat Islam, yang dilebel di atas nama hiburan atau keseronokan. Sama ada kita sedar atau tidak, tahu atau tidak, insaf atau tidak, agen-agen perosak ini terus berleluasa.

Sahabat yang dikasihi Allah,
Apakah segala bentuk kerosakkan ini berpunca dari teknologi? Kehidupan pada hari ini tidak boleh di pisahkan dengan teknologi termasuk yang menguasai semua bentuk media. Sebaliknya, apa yang wajar kita lakukan ialah waspada dan menyediakan benteng ketahanan diri untuk menghadapi semua kemajuan ini. Anak-anak muda perlu di berikan kesedaran mengenai akibat buruk dan baik yang di bawa oleh satu-satu teknologi itu.

Malah, kesedaran sebenar yang perlu diberi kepada mereka ialah kesedaran dan kefahaman Islam yang tulin. Dalam dunia hari ini ramai orang bercakap tentang Islam, tapi nak cari Islam yang sebagaimana Rasulullah s.a.w. bawa (tulin) agak sukar. Kita kena banyak berfikir dan mengkaji. Semua kemajuan yang datang mestilah diselaraskan dengan ajaran Islam. Setiap yang tidak menepati syariat hendaklah dijauhkan segera. Carilah apa yang Allah suka kelak kita tidak akan menyesal.

Sahabat,
Oleh itu marilah kita gunakan sepenuhnya usia, masa, kesihatan, kemampuan dan peluang yang ada untuk membaiki kehidupan umat Islam. Pastikan tidak sibuk dengan perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengan hidup sebagai seorang Muslim. Pendik kata, semua masa itu di gunakan untuk memperbaiki akhlak umat Islam seperti mana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Sepatutnya, apabila usia meningkat amal Islami pun makin bertambah. Bukan sahaja meningkat dari segi kuantiti tetapi juga sekaligus kualitinya. Oleh itu, kemampuan, kelapangan dan kesihatan yang Allah s.w.t. kurniakan sepatutnya dapat meningkatkan keelokan Islam seseorang.

Dalam hal ini , Nabi s.a.w telah mengingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud, "Keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan barang yang tidak berguna kepadanya." (Hadis Riwayat Tirmizi). Ini bermakna kita tak sepatutnya sibuk dengan perkara-perkara yang tiada kaitan dengan kebaikan hidup di dunia dan di akhirat. Sesuatu yang tidak berguna itu meliputi perkataan sia-sia dan juga perbuatan kosong yang menghabiskan masa serta umur secara percuma. Ruginya kita apabila umur bertambah, tapi amal masih sedikit. Bahkan yang sedikit inipun tidak elok atau kurang berkualiti.

Nabi Musa a.s. pernah menyebut bahawa masa orang yang berakal itu ada empat. Pertama, masa untuk bermunajat kepada Tuhannya. Kedua, saat untuk menghitung diri. Ketiga, saat untuk memikirkan perbuatan Allah dan keempat, saat untuk urusan hajat serta makan minumnya. Orang yang berakal juga tidak berusaha atau sibuk melainkan untuk akhiratnya, untuk kehidupan dan berlazat dengan benda yang tidak haram.

Sahabat yang dihormati,
Oleh itu dalam kesempatan ini marilah kita merenung diri masing-masing samaada kesibukan kita itu pada perkara yang menguntungkan kita di dunia dan di akhirat atau sebaliknya, tertipu. Sebab itu kegairahan kita menjalani kehidupan ini perlu seimbang di antara rohani, akal dan jasad. Untuk itu, kita seharusnya berusaha supaya kesibukan kita adalah untuk mencukupkan bekal menuju Allah s.w.t. Jika kita sibuk berusaha, biarlah apa yang kita usahakan dan cari itu menambahkan kualiti Islam dan takwa kita. Bukan pula kuantiti kerja atau amal yang tidak diterima atau dinilai oleh Allah s.w.t.

No comments: