Monday, December 21, 2009

Jalan Dakwah Jalan Kebenaran


Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Kalau sekirannya jalan yang kamu lalui itu dekat dan perjalanan yang kamu tempuhi mendatangkan banyak keuntungan, nescaya mereka berbondong-bondong mengikutimu, tetapi (jalan dakwah) itu penuh dengan kesusahan."
(Surah at-Taubah ayat 42).

Jalan dakwah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w adalah jalan yang penuh dengan cabaran, dugaan dan rintangan, tetapi Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabatnya tetap istiqamah, dan yakin sepenuhnya akan janji-janji Allah. Allah akan memberi kemenangan dan kejayaan samaada hidup di dunia dan juga kehidupan di hari Akhirat.

Dalam sejarah telah membuktikan bahawa Rasulullah s.a.w. dalam misi dakwah dan penyebaran Islam di muka bumi ini, baginda telah menghantar sahabat-sahabatnya keluar berdakwah hingga ke negeri Cina di sebelah timur, Sepanyol di sebelah barat dan Afrika di sebelah utara. Apakah jalan ini jalan mudah?

Sahabat yang dimuliakan,
Dimanakah kita sekarang ini? Adakah kita berada di atas jalan dakwah atau masih berada di tepi-tepinya atau sedang memilih jalan berehat-rehat atau berseronok-seronok? Hanya mereka-mereka yang luar biasa sahaja terpilih untuk memikul amanah yang berat di atas jalan ini. Allah membuat pilihan dikalangan hamba-hamba-Nya untuk di serahkan tugas dan kekuatan untuk membantu Islam, sudah tentu mereka itu akan mendapat pandangan istimewa di sisi Allah s.w.t.

Amat sedikit manusia yang sanggup bersabar untuk terus berada di atas jalan dakwah. Iman adakalanya naik  dan adakalanya ia turun.

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, " Sesungguhnya setiap amal ada masanya naik (rajin) dan setelah itu ia akan turun (futur). Barang siapa yang turun (amalnya) masih dalam  (batas-batas) sunnahku, sungguh ia dalam petunjuk (Allah). Dan barang sesiapa yang turun (amalnya) ia telah keluar dari sunnahku sungguh celaka ia."

Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam madrasah Rasulullah s.a.w. sebelum sahabat-sahabat dihantar untuk berdakwah dan menyebarkan Islam di seluruh pelusuk dunia mereka telah menjalani proses tarbiyyah Imaniah. Hati dan jiwa mereka telah di isi dengan iman yang kuat kepada Allah s.w.t. Asas Tauhid Rububuyah dan Tauhid Uluhiyah benar-benar telah meresap masuk dalam jiwa mereka, sehinggakan mereka sanggup menyerahkan segala-galanya demi mencari keredhaan Allah s.w.t. Mereka menganggap sepi di atas kehidupan di dunia ini dan mengutamakan kehidupan yang kekal abadi di hari Akhirat nanti.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Sebagaimana Kami telah mengutus bagi kamu seorang Rasul, yang ia membacakan ayat-ayat Kami, membersihkan (jiwa) kamu serta mengajarkan kamu (ilmu) al-Kitab dan hikmah dan mengajarkan kamu (apa-apa) yang tidak kamu ketahui."
(Surah al-Baqarah ayat 151)

Ayat ini mengambarkan bahawa Rasulullah s.a.w melaksanakan misi melalui tiga pendekatan iaitu :
1. Membaca dan memberi pemahaman tentang ayat-ayat al-Qur'an, agar umat Islam mengenali dan mengetahui hakikat hidup di dunia ini secara jelas dan tepat. Mereka tahu mana yang Islam mana yang bukan, walaupun dalam perkara-perkara yang kecil.

2. Membersihkan jiwa umat Islam dari unsur-unsur syirik seterusnya menyucikan hati dan sifat-sifat terkeji dan berusaha mengisi dengan sifat terpuji dan akhlak yang baik.

3. Mengajarkan ilmu dan hikmah, yang mana ianya dapat diperolehi melalui apa yang Allah turunkan melalui al-Qur'an dan diperjelaskan oleh Nabi s.a.w.

Sahabatku,
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk dan berbaring serta berfikir mengenai penciptaan langit dan bumi (oleh Allah), 'Ya Tuhan kami tidaklah Engkau ciptakan (semua ini) dengan sia-sia'." (Surah Ali-Imran ayat 191)

Allah s.w.t telah mengambarkan persepaduan antara zikrullah denga berfikir dapat menunjukkan pengenalan kepada Tuhan secara tepat. Persepaduan zikir dan fikir yang sesuai akan menghantarkan seseorang kepada pengenalan Tuhan dan alam semesta dengan tepat dan kemudian ia dapat memanfaatkan alam dan seisinya dengan petunjuk wahya. Kefahaman yang benar dan asli dan zikir dan fikir akan mampu menunjukkan kepada jalan yang benar.

Akhirkata,marilah sama-sama kita fikir dan renungkan sejenak bahawa untuk mendapat kebahagiaan mengikut nilai dan neraca Allah bukanlah suatu yang mudah tetapi ianya bukanlah terlalu sukar untuk kita capai. Allah s.w.t. tidak memaksa kita diluar kemampuan kita. Oleh itu marilah kita berusaha untuk berada di atas jalan dakwah ini. Tugas kita adalah memahami dan meyakini Islam dan seterusnya menyampaikan Islam kepada orang lain. Tidak ada kerja yang lebih mulia melainkan mengajak kepada yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar dan mengajak manusia untuk memperhambakan diri kepada Allah s.w.t

No comments: