Sunday, August 1, 2010

Hubungkan Silaturahim Untuk Mencari Keredhaan Allah


Sahabat yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang-orang yang mendapat rahmat Allah Subhanahu Wata'ala di dunia mahupun di akhirat.
Dalam kehidupan kita di dunia ini, kita tidak mampu untuk hidup bersendirian kerana kita saling memerlukan di antara satu sama lain. Oleh kerana itulah Allah Subhanahu Wata'ala telah memerintahkan kepada kita semua untuk menghubungkan silaturahim dan melarang daripada memutuskannya.

Adapun menghubungkan silaturahim itu ialah berbuat baik kepada sesama manusia, menolong dan membantu jika mereka memerlukan, bersikap lemah lembut, nasihat-menasihati dan menjaga perasaan mereka. Dalam hal menghubungkan silaturahim ini adalah perlu diutamakan kepada kaum kerabat ataupun yang ada hubungan kekeluargaan seperti mana firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam Surah An Nisaa' ayat 36 maksudnya :

"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan jangan kamu sekutukan Dia dengan sesuatu pun jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri".

Sahabat yang dimuliakan,
Sesungguhnya dengan mengamalkan silaturahim kehidupan kita akan lebih harmoni, aman, damai dan sejahtera. Kesatuan sesama Islam lebih mantap dan erat umpama sebuah bangunan yang kukuh, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :

"Dari Abi Musa, dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : Sesungguhnya seorang mukmin kepada mukmin yang lain bagaikan satu bangunan yang saling mengukuhkan antara satu sama lain".
(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
 
Dalam hubungan silaturahim, ada beberapa cara yang boleh kita lakukan antaranya ialah sering memberi dan menjawab salam atau bertegur sapa, menghadiri undangan atau jemputan, menghulurkan bantuan dan sedekah, kunjung-mengunjungi di antara satu sama lain, menziarahi ketika ia sakit dan menghadiri jenazahnya.

Bahkan kita juga dituntut untuk menjaga lidah dan memelihara diri daripada perbuatan yang boleh menyakiti saudara sesama kita kerana ia termasuk di dalam perkara menjaga hubungan silaturahim, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu, dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda seorang Muslim adalah seorang yang apabila orang lain terselamat daripada lidahnya dan tangannya dan seorang mukmin adalah seorang yang apabila orang lain berasa aman daripadanya terhadap jiwa dan harta benda mereka". 
(Riwayat Al-Imam An-Nasaie)

Selain itu hubungan silaturahim juga boleh dieratkan melalui amalan-amalan sembahyang berjemaah baik di rumah atau di masjid kerana melalui amalan tersebut ia dapat menimbulkan kemesraan dan menguatkan lagi hubungan ukhuwah sesama kita.
 
Sahabat  yang dihormati.
Perlu diingat bahawa kita tidak boleh memutuskan silaturahim kerana dengan memutuskan silaturahim itu boleh menyebabkan mendapat kutukan dan laknat Allah Subhanahu Wata'ala serta tidak akan dimasukkan ke dalam Syurga, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :

"Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tidak akan masuk Syurga bagi yang memutuskan silaturahim". 
(Riwayat Al-Imam Muslim)

Adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk menjaga hubungan silaturahim dengan sebaik-baiknya. Janganlah disebabkan masalah kecil dan remeh-temeh menyebabkan hubungan menjadi renggang atau retak. Perkara sebegini boleh menimbulkan ketegangan yang menyebabkan mereka bermasam muka, saling benci-membenci, fitnah-memfitnah dan akhirnya boleh memporak-perandakan hubungan silaturahim dalam berkeluarga dan bermasyarakat.

Begitulah juga dalam menghubungkan silaturahim ini Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah menyuruh seorang sahabat untuk tidak memutuskan hubungan silaturahim walaupun ia dizalimi atau disakiti oleh saudaranya itu, sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim : Bahawa seorang sahabat bertanya kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam : Sesungguhnya saya mempunyai keluarga dan saya menghubungkan silaturahim dengan mereka tetapi mereka memutuskannya dan saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat kepada saya dan saya memaafkan mereka tetapi mereka berlaku zalim terhadap saya. Bolehkah saya buat sebagaimana yang mereka buat? Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam : 'Tidak boleh dan jika kamu buat yang demikian bererti kamu juga telah memutuskan silaturahim dengan mereka. Tetapi bersikap mulialah terhadap mereka dan teruskanlah menghubungkan silaturahim dengan mereka kerana sesungguhnya pertolongan Allah sentiasa bersama kamu selagi kamu berbuat yang demikian'.

Oleh yang demikian, hubungkanlah silaturahim dan jangan sekali-kali memutuskannya, sentiasalah berbuat baik kepada sesiapa sahaja, bergaullah dengan akhlak yang mulia dan bersabarlah terhadap perbuatan yang menyakitkan.

Akhirkata marilah sama-samalah kita berdoa semoga akan terbinalah keluarga yang bahagia dan sakinah dan terbentuklah sebuah masyarakat yang harmoni dan sekali gus akan menjadikan negara kita negara yang aman, makmur dan sejahtera. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Muhammad ayat 22-23 yang maksudnya :

"Kalau kamu tidak mematuhi perintah maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan, jika kamu dapat memegang kuasa, kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat? Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka dan dibutakan penglihatannya".


Cetak

No comments: