Wednesday, September 22, 2010

Umar Mukhtar- Tokoh Gerakan Islam Abad Ke 20.

Umar Mukhtar adalah ‘Hero’ umat Islam, yang sememangnya pernah wujud. Bukan lagenda, bukan khayalan seperti filem Rambo. Bukan cerita The Last Samurai. tetapi Umar Mukhtar sememangnya hero yang benar-benar wujud suatu ketika dahulu, menjadi pejuang Islam ketika itu. Siapa Umar Mukhtar?
‘Umar al Mukhtar – Lion of The Desert

Melangkah sejenak ke tahun 1892, kita menyingkap sejarah tentang kelahiran seorang bayi serba daif di sebuah kampung pada zaman pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah. Selepas ayahnya meninggal dunia pada usianya 16 tahun, anak muda ini diletakkan di bawah asuhan dan perhatian seorang syeikh (guru) di antara syeikh-syeikh yang ada di kampung beliau.
 
Berkat didikan Syeikh tersebut, lama kelamaan beliau mula mengamalkan cara hidup Islamiyyah di mana beliau hanya tidur selama 3 jam setiap malam agar mudah bagi beliau untuk bangun bersembahyang pada sepertiga malam. Tidak cukup sekadar itu, beliau juga gemar membaca ayat-ayat suci Al-Quran hingga fajar menyinsing. Walaupun menghadapi pelbagai kesukaran sepanjang hidupnya, beliau berjaya menghafaz Al-Quran, dan mengulanginya dengan lengkap setiap tujuh hari.
 
Keberanian dan kebijaksaan beliau memang dikenali di setiap pelusuk daerah. Malah, beliau menjadi ikutan dan contoh kepada orang ramai pada ketika itu. Bukti keistimewaan beliau terserlah pada ketika beliau berkafilah (berdagang) ke Sudan semasa beliau masih muda. Ditakdirkan Tuhan, seekor singa telah menghalang kumpulan kafilah-kafilah ini daripada memasuki satu laluan sehingga mereka terpaksa mengubah hala mereka kerana takut akan si singa tadi. Untuk menyelamatkan diri, ada yang terpaksa mengorbankan unta mereka sebagai percubaan terakhir untuk melepaskan diri, walaupun unta pada ketika itu merupakan salah satu harta yang berharga buat mereka.
Beliau yang mengetahui tentang ancaman singa berkenaan, lantas tampil untuk cuba meleraikan kekecohan. Tidak seperti kafilah-kafilah lain yang buntu mencari jalan penyelesaian, beliau tangkas menunggang kudanya bersama senapang beliau dan memburu singa tersebut. Sejurus kemudian, beliau mengejutkan kumpulan-kumpulan kafilah tadi apabila pulang dengan membawa kepala singa berkenaan. Mereka sangat bersyukur akan pengorbanan yang dilakukan beliau dan sejak dari itu lah beliau digelar ”Singa Cyrenaica”
 
Dibesarkan dengan ajaran agama dan diserapkan dengan nilai-nilai keberanian seorang pahlawan, telah memberi impak yang hebat buat beliau. Akhlak dan karisma yang dimiliki bukan hanya memberi kesan pada kaum, negara dan bangsanya, malah kepada umat Islam sedunia selepas zaman penjajahan.
 
Apabila umur beliau menjangkau lingkungan 20-an, beliau semakin dikenali berikutan kematangan dan kehandalan beliau dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang ditimbulkan suku bangsa beliau pada ketika itu. Pandangan serta nasihat beliau didengari oleh setiap penduduk kampung tidak kira di mana beliau berada. Kesopanan dan tata tertib yang dipamerkan dalam sikapnya yang disenangi ramai, memang cukup disegani. Kepetahan beliau tatkala berbicara, susunan ayat yang teratur, membuatkan orang ramai tertarik untuk mendengar ucapan mahupun ceramah yang disampaikan beliau. Keunikan inilah yang menjadi aset untuk beliau menyatukan puak-puak pada ketika itu di samping memudahkan usaha beliau untuk mengumpul kumpulan perang bagi melawan penjajah-penjajah yang datang untuk mengambil alih pemerintahan pada ketika itu.
 
Pada usia beliau 30an, bermulalah zaman penjajahan yang mula berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Fenomena ini telah membayangi kehidupan beliau untul tampil bertindak. Pada ketika dunia dirosakkan oleh anasir-anasir Eropah, beliau bangkit mempertahankan kedaulatan Islam dengan semangat kentalnya. Beliau bersama-sama dengan satu kumpulan bernama Banu Sanus, yang selepas itu dikenali dgn nama Sanusi, menentang penjajahan Perancis tanpa rasa takut walau sedikit pun. Mereka juga pernah menentang penjajah-penjajah Inggeris yang diselubungi rasa tamak dan haloba untuk menakluki tanah air mereka.
 
Apabila Itali bersekongkol dengan negara-negara Eropah yang lain dalam membuat kacau-bilau di hemisfera selatan dengan menjajah Afrika Utara, beliau yang ketika itu sudah pun menjangkau usia 50-an, mula mengumpulkan pejuang-pejuang bagi menentang penjajahan di tanah air mereka, Libya.
 
Itali yang mula resah akan tindakan berani beliau dan pengikut-pengikutnya, mula mengatur strategi dengan cuba untuk merasuah beliau agar menyerah diri, dan menerima tawaran mereka untuk mentadbir dengan jawatan tinggi dalam kerajaan, selain menjanjikan harta kekayaan buat beliau. Taktik kotor mereka ditolak mentah-mentah. Kata-kata beliau terhadap mereka ketika itu yang amat terkenal berbunyi..”Saya bukannya orang yang mudah dipengaruhi. Betapa kuat cabaran dan desakan mereka untuk mengubah pendapat dan kepercayaan saya, Allah tidak akan mengizinkannya.”
 
Gagal dengan strategi pertama, Itali mula menggunakan taktir kotor kedua mereka dengan menggesa beliau supaya meninggalkan bandar kediamannya, dan berpindah ke bandar yang lain, berhampiran dengan pusat pemerintahan kerajaan. Tidak cukup dengan itu, mereka juga cuba menawan hati beliau dengan menawarkan gaji bulanan yang tinggi supaya beliau akur dengan kehendak mereka. Walaubagaimanapun, sekali lagi usaha mereka gagal apabila beliau menolak dengan berkata, ”Tidak! Aku sesekali tidak akan meninggalkan tanah airku sehinggalah tiba waktunya aku bertemu Tuhanku. Ajal adalah perkara yang paling hampir denganku berbanding yang lain. Aku menunggunya setiap waktu.”
 
Keazaman dan kesungguhan beliau untuk menentang penjajahan walaupun pada usia 70-an telah berjaya membakar semangat bangsa dan kaum beliau untuk terus berjuang walaupun menderita. Beliau berikan mereka harapan dan keyakinan bagi menentang bala tentera penjajah yang jauh lebih ramai daripada pejuang-pejuang mereka sendiri. Di kala pihak penjajah dilengkapi alat-alat kelengkapan perang serba moden dan canggih, pejuang-pejuang ini tabah menahan lapar dan dahaga berbekalkan hanya senjata dan kuda-kuda mereka. Selepas kedudukannya kukuh, golongan Ummah mula mengelilinginya. Beliau berjaya menyerang bangsa Itali pada tempat kelemahan mereka. Beliau menyerang balas dengan tegas dan pantas terhadap golongan penjajah yang menyangka menguasai tanah orang Islam dan menindas mereka merupakan suatu kerja yang mudah.
 
Seorang pejuang yang berusia 90-an dari oasis Jalu, Abu Karayyim, merupakan salah seorang sahabat yang setia berjuang bersama beliau di selatan pedalaman. Walaubagaimanapun, kesukaran mendapatkan bekalan makanan menyebabkan kebanyakan daripada mereka kelaparan dan diserang penyakit. Ekoran itu, semakin berkuranglah bilangan pejuang-pejuang mereka bagi menentang Itali. Mengetahui situasi ini, askar-askar Itali telah mengambil kesempatan dengan membakar dan merompak kampung-kampung. Kaum wanita, warga tua, dan kanak-kanak tidak terkecuali dalam perbuatan jijik mereka. Atas desakan hidup, mereka terpaksa ditempatkan di kem-kem tahanan kerana tiada pilihan lain.
 
Muhammad az-Zaway, seorang pahlawan yang dulunya pernah bersama beliau memerangi tentera Perancis, cuba memujuk beliau untuk berundur ke Mesir dengan pejuang-pejuang yang lain. Tetapi beliau enggan untuk menyerah kalah walaupun mengetahui bahawa peluang beliau semakin tipis untuk mengalahkan musuh yang boleh menghapuskan beliau dalam sekelip mata dek kerana bilangan mereka yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.
 
Bila ditanya, mengapa beliau masih setia berjuang, beliau menyatakan yang beliau berjuang kerana agama dan beliau tidak sanggup untuk melihat pihak musuh menduduki tanah airnya. Beliau akan terus menentang dan menentang kezaliman, tidak kira sama ada menang atau kalah. Yang pasti, kejayaan datang hanya dari Allah swt. Beliau juga menolak untuk mengadakan perundingan damai dengan pihak penjajah dengan menyatakan bahawa ’mereka tidak mempunyai apa-apa melainkan untuk melawan musuh-musuh Allah.’
 
Selepas mengharungi beberapa peperangan yang tidak terkira banyaknya, akhirnya beliau tewas juga di tangan musuh. Di akhir peperangan tersebut, tinggal hanya beliau serta salah seorang pengikut setianya yang masih teguh berdiri di medan perang. Tangan dan kaki mereka dirantai dan dibawa ke bandar yang bernama Suluq di mana kubu tentera Italy berpusat.
 
Pejuang yang dihormati ini percaya bahawa Jihad adalah disyariatkan pada setiap umat Islam sekiranya tanah air mereka dikuasai penjajah. Dengan semangat yang berkobar di dalam jiwanya, di samping keberanian dan sifat kesungguhan yang tinggi, menyebabkan beliau dihormati dan disegani oleh sesiapa saja termasuklah musuh-musuh beliau sendiri.
 
Pegawai tentera yang menyoal siasat beliau berkata, “Apabila beliau tiba sampai ke pejabat saya, beliau kelihatan seperti seorang daripada beribu murabiteen yang saya lihat di medan perang padang pasir. Tangan beliau dirantai. Tulangnya patah akibat perang tetapi beliau memaksa dirinya berjalan dalam keadaan derita kesakitan. Beliau tidak seperti tawanan lain yang biasa ditangkap sebelum ini. Beliau berdiri di dalam pejabat saya dan menjawab segala soalan yang kami kemukakan dengan suara yang tenang dan jelas. Apabila beliau mahu mula beredar, tampak mukanya yang kelihatan bercahaya membuat saya terpegun dan terkejut. Terketar bicara saya di akhir perbualan kami semasa saya mengarah beliau kembali ke sel penjaranya sebelum upacara pengadilan di mahkamah pada sebelah petangnya.”
 
`Umar Al-Mukhtâr, ditahan oleh tentera Itali
 
Beliau adalah seorang lagenda yang tetap teguh pada agamanya walaupun teruk ditentang. Bilamana menteri-menteri dan ketua-ketua negara beliau yang lain menyerah diri begitu saja kepada Itali serta menyelamatkan diri sendiri dengan berpindah ke negara lain, beliau tanpa ragu-ragu tetap berjuang mempertahankan Islam dan tanah air daripada terus dijajah. Salah seorang ulama dari kalangan Sanusi, yang pernah bertarung bersama beliau menentang Perancis dan British, gagal menghantar bantuan kepada beliau tepat pada masanya. Malah, ramai di kalangan ulama-ulama ini sanggup berpaling tadah dengan menggadaikan tanah orang Islam bagi memperoleh belas simpati, gaji bulanan, serta bebas dari cukai pendapatan. Sikap seumpama inilah yang sering kita lihat pada sesetengah umat Islam yang belot pada hari ini.
 
Berlawanan dengan tindakan kebanyakan orang Islam pada waktu itu, beliau mengeluarkan sebuah Al-Qur’an, dan bersumpah dengan nama Allah s.w.t. bahawa beliau akan terus menentang golongan penjajah, biarpun secara berseorangan mahupun sehingga syahid. Dalam 20 tahun terakhir hidupnya, beliau telah memimpin dan berjuang dalam 1000 peperangan.
 
`Umar Al-Mukhtâr bersedia untuk syahid

Apabila Ketua Panglima perang Itali menawarkannya peluang terakhir untuk hidup di bawah pemerintahannya, dengan syarat beliau mesti mematuhi segala arahannya, beliau menjawab, “Aku tidak akan berhenti menentang kamu, sehinggalah kamu meninggalkan tanah airku, atau sehinggalah aku mati. Dan aku bersumpah kepada Allah Yang Maha Mengetahui sesuatu di dalam hati manusia, jikalau bukan kerana tanganku diikat sebegini, nescaya aku akan tetap melawanmu dengan tangan kosong, biarpun dalam keadaan yang tua dan cedar sebegini.”
 
Pada waktu itulah, Ketua Panglima perang itu ketawa, sambil mengarahkan supaya beliau digantung, selepas mengadakan sebuah perbicaraan ‘olok-olok’ yang direka untuk menjaga maruah kerajaan Itali. Walaupun perbicaraan untuk beliau masih belum bermula, tali gantung telah pun disediakan untuk beliau di luar mahkamah.
 
Penggantungan beliau telah disaksikan oleh ratusan puak pada tahun 1931. Namun demikian, kerjaan Itali tidak berjaya dalam usaha mereka untuk menakutkan golongan orang Islam. Bahkan, yang sebaliknya pula yang terjadi. Kematian beliau telah menggoncang jiwa umat Islam seluruh dunia, dan dari situlah pelbagai penentangan bermula, terutamanya di Utara Afrika.
 
Semoga Allah meninggikan darjatnya di syurga.
 
Orang-orang Itali yang berjiwa kotor telah mengambil gambar mayat beliau yang diikat, sambil dikelilingi oleh panglima-panglima perang yang tersenyum puas bersama mereka-mereka yang riang gembira dengan kematian beliau. Tanpa disedari mereka, kematian di tangan musuh demi memperjuangkan hak Allah inilah yang sebenarnya menjadi idaman setiap orang Islam sejati.
 
Syahid di tali gantungan
 
Pejuang unggul ini, tidak lain dan tidak bukan, adalah Omar Al Mukhtar, dan cerita tentang keperwiraannya akan kekal sehinggalah ke hari kiamat, insyaAllah. Dengan darahnya, beliau telah membawa cerita kejayaan, beliau telah menjadi lagenda di kalangan lagenda, dan beliau telah menjadi teladan untuk mereka yang ingin hidup dengan maruah Islam yang dihormati, walaupun pada saat-saat ditindas.
 
Golongan yang menyerah kalah dan para ilmuan yang telah berpihak kepada kerajaan Itali tidak dibunuh ataupun dipenjarakan. Mereka mati dalam keadaan biasa’ dan mugkin di dalam keadaan mewah dan selesa, di bawah perlindungan golongan penjajah Itali. Naumn demikian, kematian mereka tidak membawa sebarang erti. Dan, Neraka Jahanam adalah tempat bagi mereka yang bersekongkol dengan golongan penjajah yang kafir. Omar Al Mukhtar hidup dan berjuang demi Islam sepanjang hayatnya. Beliau diikat, dipenjarakan, dan dihukum gantung. Namun, cerita keperwiraannya kekal berterusan, dan insyaAllah, Syurga adalah tempat bagi mereka yang syahid.

Omar Al Mukhtar terikat kepada Allah s.w.t, bergantung hidup padaNya, dan sentiasa menerima takdir Ilahi. Beliau telah meminta daripada Allah s.w.t. untuk mati syahid, dan itulah yang telah beliau capai, InsyaAllah.

Siapakah pula Umar Mukhtar Abad ini ? Kita menunggu kemunculannya atau cuba menjadi sepertinya?


(Di petik daripada tulisan Ramli bin Abd Rahim)

No comments: