Sunday, October 17, 2010

Menghormati Ibu Bapa Satu Kewajipan Seorang Anak

Sahabat yang di rahmati Allah,
Bagi anak-anak jasa dan pengorbanan ibu bapa sangat besar nilainya. Mereka dengan penuh rasa tanggungjawab membesar, mendidik dan memelihara anaknya hingga menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat dan negara. Seorang anak yang diasuh dan dididik dengan nilai agama, hendaklah memberi penghormatan dan kasih sayang sewajarnya kepada mereka. 

Kita hendaklah menunjukkan rasa terima kasih dengan sentiasa berbuat baik dan tidak melanggar segala perintahnya, menjaga perasaannya jangan sampai terluka serta menjaganya ketika mereka dalam tua atau uzur. 

Sememangnya, kedudukan atau darjat ibu bapa di sisi Allah sangat mulia dan tinggi sekali, sehingga menjadi sebagai ukuran penentu bagi keredaan dan kemurkaan Allah. Ini sebagaimana sabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: "Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah pula terletak pada kemurkaan ibu bapanya." (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Hakim).

Berdasarkan maksud hadis di atas, seharusnya sebagai insan yang memiliki kesempurnaan akal, kita berusaha untuk mencapai keredaan ibu bapa. Namun dalam masyarakat kita, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang ini, kenyataannya masih ramai yang belum insaf dan tidak prihatin terhadap keterangan hadis di atas. Mereka dengan tanpa rasa segan silu, melakukan penderhakaan terhadap ibu bapa yang banyak berjasa. 

Sahabat yang dimuliakan,
Penderhakaan yang sering diperhatikan ialah:

i- Apabila bercakap dengan ibu bapa kerap meninggikan suara.
ii- Mencaci, mengherdik atau menengking apabila ibu bapa membuat kesilapan atau melakukan perkara yang tidak disukai dan tidak sesuai dengan kehendaknya.
iii- Sanggup melanggar perintah atau membantah nasihat ibu bapa.
iv- Mengabaikan atau membiarkan mereka apabila tua atau uzur. 

Ingatlah bahawa orang yang derhaka kepada ibu bapa, akan mendapat balasan buruk yang disediakan oleh Allah. Antaranya ialah:

i-Segera mendapat balasan Allah.
Orang yang derhaka kepada ibu bapanya, akan disegerakan Allah balasannya tanpa ditangguh-tangguhkan. Ini sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Setiap dosa mungkin ditangguhkan seksanya sesuai dengan kehendak Allah sampai hari kiamat kecuali dosa terhadap ibu bapa..." (Hadis riwayat at-Tirmizi).


ii-Segala amal ibadatnya sia-sia.
Amalan baik yang kita lakukan akan menjadi `kosong' dan sia-sia, tidak diterima Allah sekiranya melakukan penderhakaan terhadap ibu bapa. 

Hal ini dapat difahami melalui sepotong hadis yang bermaksud: "Tiga hal yang menyebabkan sia-sia amal iaitu menyekutukan Allah, menentang kedua ibu bapa dan melarikan diri daripada medan perang." (Hadis riwayat Tabrani).

iii-Tidak akan masuk syurga.
Balasan setimpal disediakan Allah bagi orang yang menderhaka kepada ibu bapa ialah tidak akan dapat masuk Syurga. Perhatikan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"Hak Allah atas empat orang yang tidak akan dimasukkan ke dalam Syurga dan tidak akan merasakan kenikmatannya iaitu, orang yang sentiasa minum arak, pemakan riba, pemakan harta anak yatim dan orang yang tidak suka kedua orang tuanya." (Hadis riwayat al-Hakim).

Sahabat,
Oleh itu, sebagai Muslim yang takut seksaan Allah serta selalu mengharapkan keredaan-Nya, hendaklah selalu berbuat baik, menunjukkan muka manis, menyenangkan hati ibu bapa dan sebagainya sebagai tanda terima kasih dan kesyukuran kepada Allah. 

Sikap yang baik inilah yang selalu diinginkan oleh ibu bapa daripada anaknya. Jika terlanjur melakukan penderhakaan terhadap mereka, segera meminta ampun ampun serta bertaubat kepada Allah yang bersifat Maha Pengasih, Maha Penyayang sentiasa bersedia untuk memberi keampunan kepada setiap hamba yang memohon keampunan daripada-Nya. 

Ini kerana keredaan ibu bapa terhadap anak-anak, keredaan suami terhadap isteri, sebaliknya juga terlahirnya perasaan redha isteri terhadap suaminya adalah suatu kemanisan yang menyumbang kepada wujudnya penghidupan yang bahagia.

1 comment:

Azizul Aiman said...

sedih bila teringatkan apa yang saya dah katakan pada mak saya .. kalau boleh saya putarkan masa balik..