Saturday, January 1, 2011

Orang Mukmin Sentiasa Mengurus Masa Dengan Baik dan Berkesan.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita baru sahaja menyambul tahun baru umat Islam (maal hijrah) 1432 H. Kini sampai pula tahun baru masihi iaitu tahun 2011 M. Biasanya umat Islam akan lebih bersemangat dipermulaan tahun baru dengan menyatakan bermacam-macam azam yg baik

Orang mukmin sentiasa menjaga dan menggunakan masa dengan baik. Masa yang ada digunakan sebaik mungkin supaya tidak sia-sia begitu sahaja.Begitu tinggi nilai masa dari pandangan seorang beriman kerana masa yang berlalu tidak akan berulang dan tidak boleh diganti.Masa itu bukan emas, tetapi masa itu lebih berharga dari emas iaitu kehidupan. Kehidupan didunia ini adalah jalan dan wasilah menuju ke alam akhirat. Kebahagian di akhirat adalah bergantung kepada amalan-amalan soleh kita ketika di dunia ini.

Sewajarnya setiap Muslim memulakan harinya dengan doa yang telah diajar oleh Rasulullah S.A.W. kepada para sahabat supaya dibaca pada waktu pagi dan petang. :

"Ya Allah! Aku berlindung dengan nama-Mu dari rasa sedih dan duka.
Aku berlindung dengan nama-Mu dari rasa lemah dan malas.
Aku berlindung dengan nama-Mu dari sifat bacul dan kikir.
Aku berlindung dengan nama-Mu dari beban hutang dan penindasan orang."

Doa ini memberi kesan kepada jiwa untuk lebih bersemangat, mengurus masa dan urusan lain samaada memberi idea, masa dan tenaga untuk manfaat bersama. Orang yang mensia-siakan masa dengan kerja tidak berfaedah, sebaliknya tidak suka  untuk berkongsi idea dan tenaga pada perkara kebaikan sangat dibenci oleh Allah S.W.T.

Pepatah Arab ada menyatakan :

"Masa itu seperti pisau. Jika kamu tidak memotongnya, ia pula memotong kamu!"

Generasi sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. telah bekerja keras untuk mempertingkatkan prestasi hidup mereka dari masa ke semasa. Konsep hidup mereka adalah, 'Hari ini mesti lebih baik dari semalam. Siapa yang pada hari esok sama dengan semalam, maka dia masih lemah. Siapa yang hari esoknya lebih buruk dari semalam, maka dia adalah orang yang terkutuk!"

Masa perlu diurus dengan baik agar tidak ada yang terbuang begitu sahaja. Perancangan perlu ada untuk setiap perkara yang ingin dilakukan. Perancangan dapat mengelakkan perkara yang penting terabai begitu sahaja.

Oleh itu setiap Muslim perlu mempunyai jadual waktu kerja harian yang teratur meliputi semua urusan keduniaan dan ibadat. Ini boleh mengelakkan urusan yang kurang penting diutamakan daripada urusan yang lebih penting.Pekerjaan penting mestilah disegerakan, manakala yang kurang penting bolehlah dilewatkan hingga selesai urusan penting.

Rasulullah S.A.W. juga ada menyebut tentang pembahagian masa seperti yang terdapat dalam Kitab Nabi Ibrahim a.s. : 'Sewajarnya setiap yang berakal, selagi akal fikirannya tidak hilang, membahagikan masa-masanya kepada empat masa iaitu :

1.Masa untuk bermunajat (berzikir) kepada Tuhannya.
2.Masa untuk dia bermuhasabah tentang dirinya.
3.Masa untuk dia berfikir berhubung dengan setiap ciptaan Allah.
4.Masa untuk dia menumpukan kepada keperluan, seperti mencari rezeki yang halal atau belajar.'

Pengajaran dan huraiannya adalah seperti berikut :

Pertama : Masa untuk bermunajat (berzikir) kepada Tuhan.

Kita perlu memperuntukkan masa kita untuk beribadah, solat, membaca al-Quran, berzikir, berdoa dan bermunajat. Seorang mukmin yang sentiasa dalam hidupnya  berdoa dan berzikir kepada Allah S.W.T.  kekuatan dalamannya amat luar biasa dan akan mencapai kecemerlangan dalam hidupnya berbanding mereka yang dalam hidupnya tidak mahu berdoa dan berzikir dan hanya bergantung pada akal fikirannya semata-mata untuk mencapai sesuatu perkara.

Perancangan macamana hebat sekalipun apabila ianya dibuat tanpa memohon pertolongan Allah S.W.T. maka ianya tidak akan berjaya dan kalau berjaya sekalipun ianya tidak akan berkat dan akhirnya akan menemui jalan buntu dan kegagalan.

Segala kekuatan lahir, pengalaman, kemahiran dan kekuatan batin daripada tenaga dalaman akan dipadukan untuk mencapai apa-apa yang dihajatkan. Apabila diketengahkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian doa dan zikir mampu menjadi senjata yang ampuh.

Nabi s.a.w. berwasiat kepada Muaz bin Jabal r.a agar dapat mengamalkan do'a ini setiap lepas solat :
"Allahumma inni ala zikrika wasyukrika wahusni ibadatik"
(Ya Allah, tolonglah aku agar dapat berzikir kepada-Mu (mengingati Allah), bersyukur kepada-Mu, dan memperelokkan ibadah kepada-Mu.) - (Hadis Riwayat Abu Daud).

Kedua : Masa untuk dia bermuhasabah tentang dirinya.

Ingatlah ketika Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Hasyr ayat 18)

Ayat di atas mengingatkan  agar selalu muhasabah diri. Jangan biarkan masa kita walaupun sedikit berlalu begitu sahaja. Gunakanlah masa itu untuk menghitung diri, hingga kita ketahui amalan mana yang harus dipelihara atau diperelokkan dan amal mana yang harus ditinggalkan. Dengan demikian, kita dapat meneruskan langkah-langkah sebagai seorang mukmin dengan lebih mantap untuk hari esok yang pastinya lebih mencabar akal, jiwa dan syaksiah kita.

Pesanan Saydina Umar al-Khattab r.a :
"Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab (Allah) dan timbanglah dirimu sebelum ditimbang (Allah) serta bersiap-siaplah untuk menghadapi hari peperiksaan yang paling besar (hari kiamat)".

Ketiga : Masa untuk dia berfikir berhubung dengan setiap ciptaan Allah.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (kebesaran Allah) kepada kaum yang mahu bertakwa." (Surah Yunus ayat 6)

"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberimu pendengaran, penglihatan, dan hati, supaya kamu bersyukur"
(Surah An-Nahl ayat 78).

"Dan Dialah (Allah) yang menundukkan lautan (untukmu) agar kamu dapat memakan daging (ikan) yang segar darinya, dan kamu mengeluarkan dan lautan itu perhiasan yang kamu pakai, dan kamu melihat bahtera berlayar padanya, dan supaya kamu mencari (keuntungan) dan karunia-Nya, dan supaya kamu bersyukur"
(Surah An-Nahl ayat14) .

"Bagaimana kamu mengkufuri (tidak mensyukuri nikmat) Allah, padahal tadinya kamu tiada, lalu kamu dihidupkan, kemudian kamu dimatikan, lalu dihidupkan kembali."
(Surah A1Baqarah ayat 28)

Berdasarkan ayat-ayat diatas jelaslah bahawa kita diminta oleh Allah S.W.T. untuk memerhatikan segala penciptaan-Nya yang Maha Sempurna samaada dilangit atau dibumi kerana dengan memikirkannya dengan hati yang tenang dan damai maka kita akan merasai keagungan dan kekuasaan Allah S.W.T.

Kita digalakkan pergi ketepi pantai, ke tempat air terjun dan dan hutan untuk memerhatikan bagaimana indah dan seimbangnya ciptaan-Nya. Dari sinilah melahirkan jiwa hamba dan merasai bahawa diri ini terlalu kerdil dan tidak sepatutnya kita menderhakai Allah S.W.T.

Keempat : Masa untuk dia menumpukan kepada keperluan, seperti mencari rezeki yang halal atau belajar.

Kita perlu kepada bekerja atau menjalankan perniagaan untuk mendapatkan rezeki Allah S.W.T. yang halal. Orang mukmin tidak boleh berpeluk tubuh sahaja tanpa berusaha dan berikhtiar untuk mencari rezeki Allah S.W.T.

Pada suatu hari selepas solat Jumaat, Khalifah Umar Khattab bertanya kepada sekumpulan jemaah yang bersantai pada satu sudut masjid: "Mengapa kamu masih berada di sini?

Mereka menjawab: "Kami adalah orang yang bertawakal kepada Allah."

Mendengar jawapan itu, Umar mengusir mereka keluar dari masjid, sambil berkata: "Jangan kamu berhenti daripada bekerja untuk mencari rezeki, sedangkan Dia mengetahui langit belum pernah menurunkan hujan emas atau hujan perak."

Allah berfirman yang bermaksud: "Apabila kamu selesai mengerjakan solat, bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah, dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung."
(Surah AI Jumu'ah ayat 10).

Bertebaranlah di muka bumi bermakna bergerak mencari rezeki halal, manakala mencari kurnia Allah bermakna bekerja, berniaga dan berusaha.

Orang beriman dituntut bekerja untuk urusan dunia dengan bersungguh-sungguh, berjuang sekuat tenaga untuk membangunkan ummah, meneroka dan memakmurkan kehidupan dunia - dengan niat bukan semata-mata untuk kepentingan kehidupan di dunia tetapi juga untuk memenuhi tututan di akhirat.

Orang beriman adalah orang yang menggunakan kehidupan dunia yang bersifat sementara untuk mendapatkan kebahagiaannya yang abadi di hari akhirat. Dunia adalah ladang tempat bercucuk tanam untuk kehidupan akhirat. Dunia adalah tempat berhijrah untuk bekerja, beramal dan berusaha  sebagai saham kebahagiaan hidup di akhirat.

Orang beriman sepatutnya dapat menguasai semua bidang ilmu dan kehidupan dan menggunakannya untuk kepentingan dirinya sama ada di dunia atau di akhirat. Orang beriman sepatutnya dapat menjadi pemilik, penguasa dan pentadbir kehidupan di dunia bukan pekerja sahaja kepada orang kafir.

Sahabat yang dimuliakan,
Individu yang bijak membahagikan masa akan sentiasa kelihatan sibuk mengisi masanya. Peruntukkanlah masa kita untuk melaksanakan amanah, tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan. Setelah mental dan fizikal dikerah melaksanakan berbagai tugas dan urusan perlulah diambil sedikit masa untuk beristriehat. Kerehatan perlu untuk mengumpul kembali tenaga untuk melakukan berbagai kerja yang seterusnya.

Melakukan kerja tanpa rehat menyebabkan badan menjadi lemah, dan akhirnya menganggu kesihatan. Umpama sebilah parang yang sentiasa digunakan akan menjadi tumpul, tetapi apabila diasah semula barulah boleh digunakan.

Sayyidina Ali r.a ada berkata, " Berilah kerehatan kepada hati beberapa ketika. Maka sesungguhnya hati bila dipaksa akan menjadi buta!"

Cara bekerja hingga kelesuan adalah bertentangan dengan apa yang Rasulullah s.a.w. anjurkan walaupun ia ibadat yang Allah suka seperti berpuasa dan berjaga malam. Ibadah yang dilakukan sedemikian rupa tidak akan berkekalan.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Ambillah amal ibadat sekadar kemampuan kamu. Maka sesungguhnya Allah tidak akan jemu hingga kamu berasa jemu. Dan sesungguhnya amal ibadat yang paling Allah suka ialah amal ibadat yang berterusan walaupun sedikit."

Sabda baginda lagi yang bermaksud :
"Sebenarnya aku seorang yang paling takut dan takwa kepada Allah dari kamu. Disamping itu aku juga bangun dan tidur diwaktu malam, aku berpuasa dan berbuka dan juga aku berkahwin. Maka sesiapa yang benci dengan sunnahku, bukanlah dia pengikutku."

Inilah antara contoh keseimbangan Islam. Suatu sistem yang mengimbangkan dengan adil terhadap tuntutan spritual (rohani) dan material (fizikal), dan mengimbangkan keperluan fitrah manusia dengan tuntutan Allah.

Ingatlah! kita akan di tanya di akhirat nanti masa yang kita habiskan di dunia ini, samaada kita gunakan untuk jalan maksiat dan kerja sia-sia atau masa yang ada kita pergunakan sepenuhnya untuk beribadah dan mencari keredhan Allah s.w.t.

1 comment:

Anonymous said...

terima kasih.. mohon kebenaran qoute beberapa citation