Friday, July 1, 2011

Siti Khadijah Binti Khuwailid-Mujahidah Sejati....

Assalammualaikum kepada sahabat-sahabat yang di rahmati ALLAH SWT sekalian.
Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW,kaum keluarga dan para sahabat Baginda.
 
“Demi ALLAH, tidak ada ganti yang lebih baik daripada dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan daripadanyalah aku mendapatkan keturunan.”

Begitulah Rasulullah SAW menggambarkan keperibadian Siti Khadijah binti Khuwailid, isteri pertama baginda. Seorang isteri sejati, Muslimah yang segenap kemampuan diri berkorban demi kegemilangan dan keagungan Islam.

Siti Khadijah r.a adalah wanita pertama yang menyatakan keimanannya kepada ALLAH dan Rasul-Nya. Beliau banyak membantu dalam meneguhkan tekad Rasulullah SAW ketika menyebarkan risalah dakwah. Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan yang dialami oleh suaminya, dalam menjalankan tugas dakwah menegakkan kalimah tauhid. Inilah keistimewaan dan keutamaan Saidatina Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam.

Beliau adalah sumber kekuatan yang sentiasa berada di belakang Rasulullah SAW.
Saidatina Khadijah merupakan wanita kaya dan terkenal. Beliau boleh saja hidup bermewah-mewah dengan hartanya sendiri. Bagaimanapun, semua itu dengan rela dikorbankannya demi memudah dan meringankan tugas-tugas suaminya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa beliau merupakan wanita yang gigih mendorong semangat dan usaha ‘pahlawan’ umat manusia, melindungi pejuang terbesar dalam sejarah dengan mewujudkan kedamaian dalam kehidupan rumah tangga dan masyarakat. Sikap inilah yang menjadi salah satu sumber kekuatan Rasulullah SAW sepanjang kehidupan mereka bersama.

Saidatina Khadijah adalah seorang srikandi yang berdiri teguh menyokong suaminya, Rasulullah SAW. Ummul Mukminin ini mendampingi Rasulullah SAW dalam keadaan suka dan duka, reda dan tenang, sabar dan senantiasa bertawakal dan mengharapkan keberkatan ALLAH SWT. pada saat-saat kesukaran dalam menyebarkan syiar Islam. Kepayahan dan kesanggupan Saidatina Khadijah dalam bersama-sama berjuang menegak dan menyebarluaskan agama Islam serta menghadapi cabaran merupakan satu jihad yang terpuji. Kasih dan sayang Rasulullah SAW terhadap Saidatina Khadijah begitu mendalam hingga ketika beliau meninggalkan alam yang fana ini, Rasulullah SAW menamakan tahun itu sebagai ‘Amil Huzni’ yang menggambarkan tahun yang begitu sedih.

Gambaran ini jelas membuktikan bahawa peranan dan sumbangan Ummul Mukminin dalam sejarah Islam begitu hebat dan haruslah dijadikan kebanggaan khususnya kepada kaum wanita dalam usaha menghayati dan mencontohi akhlak terpuji Saidatina Khadijah Al-Qubra ini.

Saidatina Khadijah juga merupakan peneman hati Rasulullah SAW ketika Baginda berada dalam ketakutan..Kisah ini berlaku ketika Rasulullah SAW menerima wahyu pertama di Gua Hira'...ketika Baginda berada dalam ketakutan, Siti Khadijah menjadi peneman Baginda.....menyelimut Baginda yang dalam ketakutan...menunggu dengan sabar sehingga keadaan reda, barulah Siti Khadijah bertanya kepada Baginda apa yang berlaku....Begitu beradabnya Siti Khadijah dengan suaminya, Rasulullah SAW.

“Demi ALLAH... ALLAH tidak akan menyusahkan dirimu selama-lamanya. Bergembira dan teguhkanlah hatimu. Sesungguhnya engkau seorang yang suka menyambung tali persaudaraan, suka menanggung beban orang (yang kurang bernasib baik), menghormati tetamu, memberikan sesuatu kepada orang yang tidak mampu, bercakap benar dan memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana”.

Sesungguhnya beliau telah menjalankan peranan politiknya dengan ketajaman dan kepekaan akalnya yang menjadikan beliau mampu untuk mencermati serta memahami dengan jelas masalah wahyu dan risalah yang diterima oleh Rasulullah SAW.

”Terimalah khabar gembira dan teguhkanlah hatimu! Demi Zat yang diriku di tanganNya, sesungguhnya aku berharap engkau menjadi Nabi umat ini”.

Perkhabaran dari Waraqah menjadikan beliau mampu memahami peranan yang bakal dipikul oleh Rasulullah SAW dengan turunnya wahyu tersebut.

”Khadijah, kalau engkau masih percaya kepadaku, sesungguhnya telah datang ”an-nams al-akbar” kepadanya. Dia adalah Nabi umat ini. Maka katakanlah kepadanya agar dia berteguh hati”.

Baginda bukan sahaja seorang suami, atau ayah kepada anak-anaknya, tetapi juga Utusan ALLAH dalam menyampaikan wahyu dan risalahNya untuk umat yang ada pada ketika itu sehinggalah ke hari kiamat.

Di sinilah titik mula kepada sebuah pengorbanan yang tiada surut dan gantinya. Beliau jugalah manusia pertama yang solat di belakang Rasulullah SAW bersama Saidina Ali radhiallahu anhu. Terus mengalir dukungan dan pertolongan dari beliau dalam menghadapi kaumnya. Beliaulah yang membantu Rasulullah SAW dalam mengibarkan bendera Islam, tegar bersama Rasulullah SAW sebagai angkatan pertama. Setiap kali beliau mendengar kata-kata kesat yang dilontarkan kepada suaminya, beliaulah yang setia di sisi baginda dan meringankan beban perasaan yang sangat berat ditanggung oleh kalbu manusia terpilih.

Bukan hanya itu sahaja kebaikan Khadijah radhialllahu anha. Beliau mengorbankan setiap harta yang dimiliki kepada suaminya. Bahkan, ketika Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam menampakkan rasa senangnya pada Zaid bin Haritsah, seorang hamba miliknya, beliau segera menghibahkan hamba itu kepada suaminya. Zaid diangkat sebagai orang yang sangat dekat di sisi Rasulullah SAW dengan menjadi anak angkat baginda sendiri. Turut tercatat, Zaid memperolehi kemuliaan sebagai salah seorang dari saf pertama yang mengimani dakwah Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam.

Sebagai seorang isteri, beliau merupakan pendorong utama bagi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam untuk selalu giat berdakwah, bersemangat dan tidak kenal menyerah. Beliau juga selalu berusaha meringankan beban berat di bahu Rasulullah SAW. Kebijakan, kesetiaan dan banyak lagi kebaikan Khadijah tidak pernah lepas dari ingatan baginda Rasul. Bahkan sehingga Khadijah meninggal dunia. Beliau benar-benar seorang isteri yang mendapat tempat tersendiri di dalam hati Nabi ALLAH ini. Betapa kasihnya baginda terhadap Khadijah sebagaimana di buktikan dari penceritaan Saidatina ‘Aisyah radhiallahu anha.

“Belum pernah aku cemburu terhadap isteri-isteri Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam sebagaimana cemburunya aku kepada Khadijah, padahal aku tidak pernah melihatnya. Tetapi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam selalu menyebut-nyebut namanya, bahkan adakalanya menyembelih kambing dan diberikannya kepada sahabat-sahabat Khadijah. Bahkan pernah aku berkata, “Bukankah Khadijah itu seorang wanita tua? Bukankah Allah sudah memberikan kepadamu pengganti, isteri yang lebih muda dan baik daripadanya?”.

Lalu Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam menyebut, “Tidak! Demi ALLAH !! DIA (ALLAH) Subhanahu wa Ta’ala tidak memberikan seorang pengganti yang lebih baik daripadanya. Dia (Khadijah) telah beriman kepadaku pada saat orang-orang mengingkariku. Dia membenarkan ajaran yang aku bawa di saat orang-orang mendustakanku. Khadijah membantuku dengan menginfakkan segenap hartanya ketika orang-orang menahan hartanya dariku dan Allah mengurniakanku beberapa orang zuriat dari rahimnya yang tidak diberikan oleh isteri-isteri yang lain” . [HR. Ahmad, Al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Ba’ar].

Ummul Mukminin ini sentiasa berada di samping Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dan memberikan pembelaan terhadap baginda. Beliau juga bergabung bersama Rasulullah SAW dan kaum Muslimin dalam memikul penderitaan lantaran sikap kaumnya yang mendustakan dan melecehkan dakwah baginda. Kesabaran dan keredhaan Khadijah dapat dilihat dengan jelas dalam siri hambatan terhadap dakwah Rasulullah SAW, termasuklah dalam fasa pemboikotan terhadap Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib oleh orang-orang Quraisy yang selama ini menjadi pelindung kepada Rasulullah SAW.

Wanita Teladan Sepanjang Zaman
Ditakdirkan ALLAH SWT, di usia 65 tahun iaitu 3 tahun sebelum Hijrah, Khadijah radhiallahu anha kembali kepadaNya di saat-saat dakwah melalui fasa genting yang bakal menentukan kelangsungannya. Pemergian beliau ditangisi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam, berlaku dalam selang waktu yang singkat selepas meninggalnya Abu Thalib, bapa saudara baginda. Sejak tahun kesedihan tersebut, hambatan-hambatan dakwah yang semakin getir dengan gangguan yang tidak putus-putus mula berani dilakukan oleh kaum kafir Musyrikin di Makkah.

Sesungguhnya nama Khadijah tercatat di dalam sirah sebagai wanita pilihan sehingga namanya disebut-sebut di kalangan penduduk langit dan bumi. Kemuliaan itu telah diraihnya sejak masih ada di muka dunia. Tatkala Jibril Alaihi Sallam datang kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan mengatakan,

“Wahai Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam. Ini dia Khadijah. Dia akan datang membawa bejana berisi makanan atau minuman. Bila ia datang kepadamu, sampaikanlah salam padanya dari Rabbnya dan dariku, dan sampaikan pula khabar gembira tentang rumah buatnya di dalam syurga dari mutiara, yang tak ada keributan di dalamnya, dan tidak pula keletihan”.

Khadijah lantas menjawab salam itu dengan katanya: “ALLAH Maha Penyelamat, daripada-Nya keselamatan dan kepada-Nya pula kembali keselamatan. Semoga keselamatan atas Malaikat Jibril.” [HR. Bukhari dalam Shahih Bukhari, Bab Perkahwinan Nabi SAW dengan Khadijah dan Keutamaannya, 1/539]

Wahai Muslimah yang dirahmati ALLAH,Sesungguhnya istana tersebut adalah jauh lebih baik dari pada gemerlapnya dunia fana yang telah memperdayakanmu. Dan ini adalah sebaik-baik khabar gembira dibandingkan dunia dan segala isinya. Tidakkah kalian ingin mendapatkannya pula?

Ya ALLAH.... Betapa mulianya Khadijah Binti Khuwailid, As-Sayyidah Ath-Thahirah. Seorang isteri yang setia dan tulus, mukminah mujahidah di jalan deenNya dengan seluruh apa yang dimilikinya dari perbendaharaan dunia. Semoga ALLAH memberikan balasan yang paling baik kerana jasa-jasanya terhadap Islam dan umat Islam seluruhnya. Aamiin Ya Robbal Alamiin......

Inilah Srikandi Islam yang menjadi contoh dan ikutan kepada wanita Islam. Mudah-Mudahan kita mendapat panduan dan barkah daripada srikandi Siti Khadijah r.a.  Insya'ALLAH........
  
Siti Khadijah srikandi sejati

Kaulah lambang cinta sejati
Srikandi pertama tika islam bermula
Hatimu menyalakan keyakinan
Hartamu membuktikan pengorbanan

Rasul keseorangan engkaulah teman
Dia tersisih engkau memilihnya
Dia terbuang engkau menyayanginya
Kerana iman kau sanggup berjuang

Siti Khadijah namamu indah
Qudwah hasanah tauladan ummah
Jikalau Rasul terpinggir
Engkaulah insan terhampir

Siti Khadijah mujahidah solehah
Agung jasamu dipersada sejarah
Pemergianmu ditangisi Nabi
Hingga kini tiada pengganti

Sunyi jalan menuju ALLAH
Menggamit hati mencari teman
Indah jalan menuju ALLAH
Jika teman seperti Khadijah
Masih ada lagi..
 
azita_idris79@yahoo.com
islamyangterindah.blogspot
 

No comments: