Saturday, September 10, 2011

Tafsir Surah Al-Ahzab Ayat 43.

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Firman Allah SWT maksudnya : "Dialah yang memberi rahmat kepadamu dan para malaikat-Nya (memohon ampun untukmu) agar Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman." (Surah Al-Ahzab ayat 43)

Asbabun Nuzul ayat 43.

Mujahid r.a menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan ucapan Abu Bakar r.a. kepada Rasulullah SAW ketika turun Surah al-Ahzab ayat 56 maksudnya : 'Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan kepadanya.'. "Wahai Rasulullah SAW, kami pasti turut merasakan semua kebaikan yang diturunkan Allah kepadamu." (Hadis Riwayat Abdu bin Hamid. Lihat Qurthubi 8/5467)

Tafsirannya :

Sesungguhnya Tuhanmu yang selalu kamu ingat dan bertasbih kepada-Nya, Dialah yang memberikan rahmat kepadamu dan menguji kamu di hadapan malaikat yang berada di langit dan para malaikat pun memohonkan ampun untukmu supaya Allah mengeluarkan kamu dengan taufik, hidayah dan rahmat-Nya dari kegelapan kekafiran kepada cahaya keimanan. Dan Dia Maha Penyayang di dunia dan di akhirat kepada seluruh kaum muslimin. Adapun di dunia ialah Allah memberi petunjuk kepada mereka pada jalan yang benar, dan di akhirat diselamatkan dari kegoncangan dan malapetaka yang hebat.

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan ayat diatas jelaslah kepada kita bahawa Allah SWT telah memuliakan Rasulullah SAW yang mana Dia telah memberi rahmat kepada baginda Nabi SAW dan para malaikat pula memohon keampunan kepada Allah SWT. Allah SWT meminta orang-orang beriman agar berselawat kepada Nabi SAW tanda penghormatan kepada Rasul yang dikasihi-Nya.

Berselawat ke atas Rasulullah SAW bermakna kita berdoa memohon supaya Allah melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita, Nabi Muhammad SAW.

Nabi SAW bersabda maksudnya : " Siapa berselawat kepada Nabi SAW sekali. nescaya dia akan di selawatkan Allah dan para Malaikat-Nya sebanyak 70 kali."
(Hadis Riwayat Ahmad)

Asy-Syahid Sayyid Qutb rahimahullah dalam tafsirnya Fi Zilal Quran (dibawah Bayangan al-Quran) telah menafsirkan ayat 43 berbunyi :

"Maha Tinggilah Allah, dan amatlah besar nikmat dan limpah kurnia-Nya yang sentiasa ingat kepada hamba-hamba-Nya yang lemah, yang berkehendak kepada-Nya, yang fana, yang tidak mempunyai sebarang kekuatan dan tidak kekal dan tetap. Allah sentiasa ingat kepada mereka, mengambil berat tentang mereka, mencucurkan rahmat keatas mereka, dan para malaikat-Nya sentiasa mendoakan agar Allah melimpahkan rahmat-Nya ke atas mereka. Allah menyebut mereka dengan sebutan yang baik di alam al-Mala'ul-A'la dan seluruh alam al-wujud turut bersahut-sahutan menyebut mereka.

Sabda Rasulullah SAW  : Firman Allah Ta'ala yang bermaksud : "Barang siapa yang mengingati Aku di dalam hatinya nescaya Aku mengingatinya dalam diri-Ku, dan barang siapa yang menyebut-Ku di tengah kumpulan yang ramai nescaya Aku menyebut mereka di tengah kumpulan ramai yang lebih baik dari kumpulan itu." (Hadis Riwayat Bukhari)

Inilah limpah rahmat Allah yang amat besar (terhadap manusia) yang hampir-hampir tidak tergambar di dalam minda kita, sedangkan Allah mengetahui bahawa bumi dengan segala penghuni dan isinya tidak lebih dari sebiji debu yang kecil dan kerdil dibandingkan cakerawala-cekerawala ini pula hanya merupakan sebahagian dari milik Allah yang diciptakan-Nya dengan "Kun fayakun"

Nur Allah itu hanya satu, bersambung pada dan syumul. Dan selain dari nur-Nya ialah berbagai-bagai kegelapan yang berbeza-beza. Apabila manusia keluar dari nur Allah nescaya dia akan hidup dalam salah satu kegelapan itu atau hidup dalam semua kegelapan itu. Tiada sesuatu yang dapat menyelamatkan mereka dari kegelapan melainkan nur Allah yang menerangi hati mereka, menyelubungi roh mereka dan membimbing mereka kepada fitrah mereka (yang suci), iaitu fitrah alam al-wujud (sentiasa beriman kepada Allah). Limpah rahmat Allah terhadap mereka dan doa rahmat dari para malaikat kepada mereka itulah yang dapat mengeluarkan mereka dari berbagai-bagai kegelapan kepada nur apabila hati mereka terbuka kepada iman.

Itu kedudukan mereka di dunia selaku negeri tempat membuat amal. Ada pun kedudukan mereka di akhirat selaku negeri balasan, maka limpah kurnia dan rahmat Allah tidak akan terpisah dari mereka. Mereka akan dikurniakan kemuliaan, penghormatan, aluan-aluan dan pahala yang melimpah-ruah."

Sahabat yang dikasihi,
Bersyukurlah kita sebanyak-banyaknya diatas rahmat dan kasih sayang Allah SWT kepada kita semua. Nikmat iman dan Islam yang kita miliki adalah sebaik-baik nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT, oleh itu tanda kita bersyukur dan reda dengan kurniaan ini maka kita perlu istiqamah dengan iman dan Islam, tetap dijalan Allah SWT dan jauhi segala maksiat dan dosa supaya kita tetap berada didalam nur Ilahi yang akan menyelamatkan diri kita di dunia dan hari akhirat.

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum Ustaz,
Saya mahu bertanya.
Sebelum puasa yg lalu saya sudah bertaubat dan sekarang saya terlalu cintakan Allah dan Rasulullah SAW.Sebelum puasa saya dah buat apa yg sepatutnya untuk mendapatkan keredaan Allah dan sekarang saya masih meneruskannya cthnya berzikir/wirid ,istighfar dan melakukan solat2 sunat serta qada solat2 yg dahulu.Saya juga cepat merasa berdosa walaupun dosa itu mungkin kecil.Disini saya rasa Allah sudah menerima taubat saya.cumanya apabila saya terbaca mengenai dosa mengumpat yang kita kena minta maaf dari orang yg kita umpat,saya rasa tidak senang hati kerana saya tidak ingat lagi siapa2 yg saya telah mengumpat dulu.kalau ada pun yg saya ingat,cukupkah jika saya hanya meminta maaf darinya tanpa berterus terang yg saya telah mengumpatnya mengenai sekian2 hal?.contohnya jika masa bulan syawal ini,saya hanya memohon maaf salah dan silap seperti saya memohon maaf pada org2lain?cukupkah begitu Ustaz?Saya takut ustaz,jika benar dosa saya hanya boleh diampunkan oleh org yg saya umpat itu biarpun perkara itu benar..Saya tidak mahu masuk neraka kerana hal ini sedangkan sekarang saya sudah betul2 bertaubat.Tolonglah saya Ustaz..tolong jawab pertanyaan saya ya...