Wednesday, March 28, 2012

Kenapa Umat Islam Sekarang Suka Memfitnah dan Mendedahkan Aib Saudaranya?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Perkembangan mukthair ini setiap hari akan ada berita-berita sensasi dalam akhbar arus perdana, umat Islam sesama mereka berlumba-lumba mengaibkan saudaranya seagama, malah berasa bangga apabila pihak lawannya tidak mahu saman ke mahkamah atau membisu tidak mahu melayan cabarannya. Orang yang suka mengaibkan orang lain adalah mereka yang ego, sombong dan takabur.

Amalan songsang ini bertentang sungguh dengan roh Islam, adab-adab yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan menyalahi dengan sifat orang mukmin iaitu yang bersifat lemah lembut dan bertolak ansur. Budaya melayu juga mengajarkan kita supaya menghormati orang lain dan beradab sopan. Paling mendukacitakan orang yang sanggup mencari aib orang lain adalah berpelajaran tinggi, pakar motivasi, bercakap untuk memperjuangkan Islam dan melayu dan mampu berpidato berapi-rapi mengajak hadirin berakhlak Islam dan memperjuangkan Islam.

Jika kita melayari blog-blog politik di alam maya samaada yang menyokong parti pemerentah atau pembangkang,  kita akan bertembung dengan perdebatan yang mengaibkan satu sama lain. Perkataan maki hamun, sumpah seranah, hina menghina, fitnah memfitnah, mengadu domba, laknak melaknat dan gambar-gambar superimpose (gambar palsu) berleluasa di mainkan oleh pihak-pihak yang bermusuhan.

Apakah perubahan sikap dan akhlak umat Islam sekarang ini sudah berubah? Daripada sikap berlemah lembut dan adab sopan , kasih mengasihi sesama saudara muslim sudah bertukar menjadi ganas, penuh dendam kesumat, hasad dengki dan kebencian yang memuncak? Di mana letak iman mereka sebenarnya? Nabi SAW ada menjelaskan bahawa tidak ada iman bagi mereka yang tidak mengasihi saudaranya sebagaimana mereka mengasihi diri mereka sendiri

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Yang paling dikasihi oleh Allah di antara kamu adalah : mereka yang baik akhlak, yang merendahkan sayapnya (diri), yang suka dengan orang dan yang disukai orang. Manakala yang dimurkai oleh Allah adalah : mereka yang pergi membawa fitnah, yang menceraiberaikan di antara saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah akan kesalahannya” (Hadis riwayat At-Tabharani dan Abu Hurairah r.a.)

Apakah umat Islam yang terlibat itu sudah tidak takut kepada Allah SWT, tidak takut kepada kematian dan seksaan dialam barzakh dan hari akhirat? dan tidak takut kepada seksaan api neraka yang disediakan oleh Allah SWT kepada mereka yang melakukan fitnah, maki hamun, mengadu domba dan hasad dengki?

Adakah mereka menganggap dengan mengeluarkan perkataan maki hamun, sumpah seranah, menyuburkan fitnah , menjadi penyokong fanatik kepada parti dan pemimpin mereka, mereka akan dikasihi oelh Allah SWT dan akan di masukkan kedalam syurga? Nauzubillahiminzalik,

Hakikat sebenarnya mereka sudah tertipu dengan kerja-kerja iblis laknatullah, mereka sudah dikuasai oleh nafsu amarah sehinggakan tidak ada pertimbangan yang waras dan soal dosa pahala di tolak tepi, yang penting bagi mereka rasa puas apabila kutukan dan sumpah seranah dapat dilepaskan kepada musuh mereka. Soal hendak menjadi muflis atau tidak dihari akhirat itu soal lain yang penting apa yang nafsu mereka hajatkan dapat dipenuhi.

Sahabat yang dimuliakan,
Hidup masa kita sebenarnya untuk istiqamah dengan kebaikan dan bersifat tawaduk amat sukar sekali, kita sering di ajak untuk bersama-sama menyuburkan fitnah dan menjadi pemegang saham dosa besar yang sama bagi mereka-mereka yang menyuburkan fitnah dan dosa-dosa besar. Jika kita share sahaja dalam wall gambar-gambar berupa fitnah atau berita-berita palsu hakikat sebenarnya dosa besar yang orang lain buat sama saja kita akan dapat dan tidak dikurangkan walaupun sedikit. Jika kita komen tanda sokong atau 'like' dalam ruang komen yang berunsur fitnah dan megaibkan orang lain maka kita bersubahat dan bertali arus dosa-dosa besar masuk dalam buku catatan kita. Jika ceramah-ceramah mengaibkan orang lain kita sokong dan bersorak dan tepuk tanggan kita juga dapat saham yang sama seperti penceramah tersebut perolehi.

Firman Allah SWT maksudnya :  “Hai orang-orang yang beriman! Kalau datang kepada kamu orang fasik membawa berita, periksalah dengan saksama supaya kamu tidak mencelakakan suatu kaum dengan tidak diketahui, kemudian kamu menyesal atas perbuatan itu”  (Surah Al-Hujurat ayat 6)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu kalian perlulah berhati-hati, jangan mudah percaya dan terpedaya dengan berita fitnah, berita palsu, berita mengaibkan orang lain (jika tidak disertai dengan bukti) dan berita-berita tuduhan zina atau liwat yang tidak membawa 4 orang saksi yang adil samaada terdapat dalam akhbar arus perdana, blog, multi media, radio, television, facebook, E-Mail, SMS, MMS, vedio, VCD, risalah-risalah dan  ceramah-ceramah umum. Kesemua medium penyampai maklumat itu jika kita mudah terpengaruh dan mempercayainya akan memudahkan kita menghimpun dosa-dosa besar yang banyak dan tidak mampu kita tanggung di akhirat nanti kerana amal soleh dan amal ibadah kita terlalu sedikit dan tidak mencukupi untuk bayar balik dosa -dosa fitnah kepada orang yang kena fitnah.

 Abu Zhar Al-Ghiffari berkata, Rasullullah SAW. bersabda maksudnya :”Barangsiapa menyiarkan terhadap orang muslim satu perkataan untuk memalukannya dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat” (Hadis Riwayat Ibnu Abid Dunya)

Bagaimana sikap kita supaya kita terselamat daripada menjadi muflis atau menanggong dosa besar orang lain? Sebagai seorang mukmin kita diminta menjauhkan diri daripada segala bentuk mengumpat , fitnah dan perkara negatif yang cuba dibawa atau ditonjolkan oleh orang lain. Lebih baik dan selamat kita bersanggka baik dengan saudara seagama daripada kita mengiyakan berita negatif tersebut dan kita banyakkan bersahabat dengan orang soleh yang mukmin dan banyakkan masa untuk menuntut ilmu dan sebarkan ilmu yang bermenfaat.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang muflis di kalangan umatku adalah orang yang pada hari kiamat nanti datang membawa pahala solat, zakat dan puasa, namun di samping itu ia membawa dosa mencela, memaki, menuduh zina, memakan harta dengan cara yang tidak benar, menumpahkan darah, dan memukul orang lain.” (Hadis Riwayat Muslim)

Bahaya lidah adalah kerana tersebarnya kebatilan agama yang diakibakan oleh lidah mengucapkan kata-kata yang batil ataupun banyak bicara pada hal-hal yang tidak bermanfaat. Kedua-duanya merosakkan masyarakat dan hubungan baik dengan orang lain.

Biasanya masa pilihanraya yang sudah hampir tiba, pembawa-pembawa fitnah akan menjaja dimerata tempat berita-berita palsu, keaiban musuh politiknya samaada aib yang lama atau baru, gambar-gamabar superimpose tuduhan-tuduhan palsu dan sebagainya, sikap kita masuk telinga kanan keluar telinga kiri, jangan pula kita menjadi agent penyambung cerita, atau mengambil upah sebagai juru cakap kerja yang tidak betul. Ini adalah semata-mata untuk menyelamatkan amalan kita tidak supaya tidak terhapus oleh kerana perbuatan kita bersubahat dengan pembawa fitnah tersebut.

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri kita sendiri dan mengawal lidah, tangan , telinga dan mata kita supaya semuanya kita gunakan untuk membawa kebaikan dan rahmat kepada sekelian alam. Jika kita menulis , share, sokong atau komen pastikan semuanya mebawa manfaat dan dijauhi daripada dosa fitnah, mengumpat atau mengaibkan orang lain. Inilah yang dikatakan amal soleh yang berterusan , bukan sahaja amal soleh itu berbentuk ibadah tetapi kita bermuamalat dengan saudara seagama dengan cara makruf juga amal soleh maka ganjaran besar menanti kita insya Allah.




No comments: