Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Syaitan laknatullah sentiasa menggoda dan menghasut anak Adam daripada semua sudut. Tetapi seorang mukmin akan mampu menjawab dengan penuh keimanan kepada Allah SWT segala persolana dan hasutan syaitan. Setiap soalan akan ada jawapannya.
Kenapa aku diuji?
Jawapannya : "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan : 'Kami telah beriman.' sedangkan mereka belum diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta'." (Surah Al-Ankabut ayat 2-3)
Kenapa masih tak dapat apa yang aku impikan?
Jawapannya : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah ayat 216)
Kenapa aku mendapat ujian seberat ini?
Jawapannya : "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Surah Al-Baqarah ayat 286)
Rasa kecewa?
Jawapannya : "Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."
(Surah Ali-Imran ayat 139)
Bagaimana harus aku menghadapinya?
Jawapannya : "Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (mengahadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)." (Surah Ali-Imran ayat 200)
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk."
(Surah Al-Baqarah ayat 45)
Apa yang aku dapat daripada semua ini?
Jawapannya : "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka." (Surah At-Taubah ayat 111)
Kepada siapa aku mengharap?
Jawapannya : "Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal."
(Surah At-Taubah ayat 129)
Aku sudah tak dapat bertahan lagi!
Jawapannya : "...dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusof ayat 12)
Sahabat yang dikasihi,
Ingatlah pada Allah SWT selalu apabila kalian sentiasa diuji dengan bala dan musibah. Setiap sesuatu yang di timpakan ujian kepada kalian mengandungi hikmah yang besar, yakinlah terhadap qadak dan qadar-Nya dan berbaik sangka dengan Allah SWT. Setiap kesusahan dan penderitaan itu terdapat kebaikan dan kebahagiaan.
No comments:
Post a Comment