Saturday, June 30, 2012

Wanita Solehah Hak Yang Perlu Di Rebut


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah." (Hadis Riwayat Muslim)

Sabda baginda lagi yang bermaksud : "Tidak aku tinggalkan suatu fitnah sesudahku lebih merbahaya kepada kaum lelaki melainkan godaan wanita."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitulah kedudukan wanita, tidak kira samaada ia sebagai anak gadis, sebagai isteri atau sebagai ibu. Apabila ia seorang yang solehah, maka mereka merupakan sebaik-baik kedudukan di antara seisi dunia. Tetapi jika sebaliknya, mereka merupakan suatu fitnah yang merbahaya kepada dunia. Walaupun mereka tidak berniat untuk membuat fitnah, tetapi wanita itu sendiri dengan kehadirannya boleh membawa fitnah jika tidak dipandu dan dikawal oleh syariat.

Masakan tidak, memandangnya saja boleh menimbulkan fitnah jika tubuhnya tidak dibaluti pakaian yang menutup aurat. Melangkah saja ia boleh mendatangkan fitnah jika ia melangkah tanpa mengikut peraturan syariat.

Sahabat yang dimuliakan,
Allah SWT. tidak mengenakan sedemikian kawalan yang ketat keatas mereka jika mereka tidak sedemikian bahaya.Bukankah Rasulullah SAW. telah mengingatkan tentang wanita dalam sabdanya yang bermaksud : "Wanita adalah alat perangkap (yang digunakan oleh) syaitan." (Hadis Riwayat Asy-Shihaab)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia. “Mereka ialah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun; Maryam binti Imran, ibunda Isa; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah SAW  dan Fatimah binti Muhammad,”(Hadis Riwayat Bukhari)

Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah SWT, meskipun hidup sebumbung bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada Allah SWT.

Maryam pula simbol wanita dalam ibadatnya dan ketinggian darjat ketakwaannya kepada Allah SWT serta mampu memelihara kesucian diri dan kehormatannya ketika mengabdikan dirinya kepada Allah SWT di mihrab (tempat ibadah)

Khadijah pula simbol isteri setia tanpa mengenal penat lelah mendampingi suaminya menegakkan panji-panji kebenaran Islam, berkorban jiwa dan harta bendanya serta rela menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan pada bahu Rasulullah SAW. Baginda merasai cukup sedih dengan kematian isterinya yang tercinta.

Fatimah pula adalah simbol pelbagai dimensi wanita yang solehah; anak yang solehah dan taat kepada ayahnya; isteri yang setia kepada suaminya serta ibu yang bijaksana membesarkan putera puterinya. Malah, dialah panduan segala wanita dan juga seorang wanita mithali yang wajar dijadikan ikutan Muslimah.

Isteri solehah juga akan bersifat amanah terhadap harta benda suaminya, di samping menjaga maruahnya. Ketika ketiadaan suaminya, seorang isteri solehah memelihara dirinya dan maruahnya seperti tidak boleh keluar rumah tanpa izinnya, tidak boleh menerima tetamu yang tidak dikenali dan sebagainya.

Ketaatan dan sifat beramanah seorang isteri solehah ini banyak dijelaskan oleh firman Allah yang bermaksud: “… perempuan yang solehah mestilah taat dan memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya dengan perlindungan Allah…”
(Surah an-Nisaa’, ayat 34)

Isteri solehah juga adalah isteri yang sentiasa menyempurnakan keperluan suaminya, di samping memelihara keredaannya pada setiap masa. Ini kerana keredaan suami menjadi anak kunci utama yang melayakkannya menjadi penghuni syurga penuh kenikmatan.

Apa yang paling penting ialah isteri solehah adalah pendidik dan pengasuh terbaik kepada anaknya, selain penyejuk hati ibu bapa, biarpun ibu bapanya sudah meninggal dunia, melalui sedekah doa dan amalan kepada kedua-dua orang tuanya.

Maka amatlah wajar bagi wanita memahami kedudukan mereka, supaya mereka boleh berusaha mendapatkan kedudukan mereka sebagai perhiasan dunia yang terbaik, yang solehah, yang dapat memberi ketenteraman kepada gelora yang melanda masyarakat manusia.

Maka amatlah wajar juga wanita ini berusaha memadamkan segala fitnah yang mungkin timbul, yang mengiringi mereka ke mana saja mereka pergi.

Wanta solehah juga tidak seharusnya tertipu dengan rentak tari musuh-musuh Islam di dalam apa yang dinamakan "memperjuangkan hak wanita', sehingga mengenapikan peraturan-peraturan yang telah Allah SWT aturkan untuk kita.

Di barat, kaum wanita mereka menuntut hak yang mereka namakan "Women's Liberation", tetapi wanita Islam sudah lama disuruh mencapai tahap wanita solehah.Itulah hak mereka yang Rasulullah SAW. sifatkan sebagai "sebaik-baik perhiasan di dunia". Adalah amat malang jika wanita Islam terikut-ikut dengan "Women's Liberation" tetapi gagal menilai ketinggian dan kemuliaan "wanita solehah".

Sahabat yang dikasihi,
Wanita seharusnya menyedari bahawa tugas, tanggungjawab dan peranan mereka adalah berat, sukar untuk dilaksanakan dan sulit untuk di selesaikan tanpa panduan dan pemahaman yang benar-benar ikhlas dan mendalam. Sedarlah, bahawa jalannya sukar untuk menjadi suatu perhiasan yang terbaik atau untuk memiliki pangkat solehah itu, tapi usaha ke arah itu adalah wajib dibuat.

Juga sedarlah, bahawa diri wanita itu adalah senjata syaitan yang paling ampuh untuk melahirkan kerosakan kepada lelaki khasnya dan masyarakat amnya, dan senjata ini telah terbukti berkesan jika diikuti rentetan sejarah kehidupan manusia sejak penciptaan Nabi Adam a.s. Dari itu, berwaspadalah dan teruskan usaha mengejar anugerah syurga yang dijanjikan Allah SWT kepada wanita-wanita yang solehah. Kalian mampu untuk mendapat anugarah yang mulia ini iaitu " Wanita solehah sepanjang zaman"

No comments: