Friday, August 31, 2012

Amalan Mengadakan Majlis Rumah Terbuka Di Pandang Mulia Di Sisi Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Di dalam kita menyambut dan meraikan hari lebaran Eidul Fitri di bulan Syawwal maka kita akan bertemu umat Islam yang berkemampuan berlumba-lumba mengadakan rumah terbuka (open house). Samaada hartawan, ahli politik, ahli perniagaan, Jabatan kerajaan, syarikat swasta dan tidak terkecuali juga guru-guru dan individu-individu yang berkemampuan akan mengadakan rumah terbuka dan menjemput saudara-mara, sahabat handai, jiran tetangga dan anak-anak yatim untuk menghadiri jamuan yang disediakan.

Amalan mengadakan majlis rumah terbuka yang diamalkan dalam masyarakat kita pada hari ini merupakan satu perkara baik yang wajar dipraktikkan bagi golongan yang berkemampuan. Amalan mulia ini, meskipun bukanlah satu syariat yang diwajibkan oleh Islam sempena Eidul Fitri, namun jika ianya dilakukan menurut garis panduan umum syarak, maka insya Allah ia boleh jadi satu ibadah yang menguntungkan pelakunya di akhirat kelak.

Seperkara lagi yang perlu diingatkan dalam penganjuran majlis rumah terbuka ialah dari segi undangan tetamu yang hadir. Sewajarnya penganjur menjemput tetamunya yang terdiri daripada pelbagai peringkat atau taraf hidup, sama ada yang kaya, sederhana atau yang kurang berkemampuan dan anak-anak yatim.
 
Penganjur tidak boleh mengutamakan tetamu terhormat sahaja sedangkan golongan miskin atau berpendapatan rendah dipinggirkan. Hal ini dapat dikiaskan dengan penganjuran majlis walimah urus (undangan majlis kenduri kerana pernikahan). 
 
Rasulullah SAW melarang kita meminggirkan golongan kurang berkemampuan dalam majlis jamuan makan. Sewajarnya, golongan inilah yang diberi keutamaan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seburuk-buruk makanan adalah makanan walimah, yang mana di dalam walimah tersebut tidak mengundang orang yang memerlukan (fakir), dan hanya mengundang orang yang tidak memerlukan (orang kaya).” (Hadis Riwayat Bukhari).
 
Sahabat yang dimuliakan, Jika dilihat dari sudut yang positif, majlis rumah terbuka menyediakan ruang yang luas bagi umat Islam untuk melakukan amalan yang dituntut oleh Islam. Amalan ziarah-menziarahi, menghubungkan tali silaturrahim sesama insan, bermaaf-maafan, dan menjamu para tetamu yang hadir, kesemuanya ini merupakan amalan yang dianjurkan oleh Islam. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya muslim apabila menziarahi saudara muslimnya, maka dia sentiasa dalam khurfah syurga sehingga dia pulang”. Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah itu khurfah syurga?”. Jawab Baginda: “Memetik buahnya (dari syurga)”. (Hadis Riwayat Muslim).

Menjamu para tetamu dengan makanan yang terbaik merupakan amalan para Rasul. Hal ini sepertimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran ketika menceritakan perihal Nabi Ibrahim yang memuliakan tetamu yang bertandang ke rumahnya. 


Firman Allah yang bermaksud: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!’’, Ibrahim menjawab: “Salam sejahtera kepada kamu!” (sambil berkata dalam hati) : “Mereka ini orang-orang yang tidak dikenali.” Kemudian dia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silakanlah makan.” (Surah al-Dzariyat, ayat 24-27).


Amalan yang  dituntut dalam Islam adalah menghubungkan silaturahim , ziarah menziarahi dan bermaaf-maafan sesama saudara muslim dan peluang yang ada ini di gunakan sebaik mungkin untuk bertaaruf, berkasih sayanag dan bertukar-tukar fikiran. Cara ini juga cara terbaik untuk mengumpulkan saudara mara jauh dan dekat untuk mengeratkan lagi tali persaudaraan dan ikatan kekeluargaan.

Sahabat yang dihormati,
Penganjuran majlis rumah terbuka juga memberi peluang kepada umat Islam untuk mempamerkan keindahan Islam yang menggalakkan setiap umatnya menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat bukan Islam. Islam tidak pernah melarang kita menjemput masyarakat bukan Islam untuk hadir ke majlis umat Islam dan menjalinkan hubungan baik dengan mereka. 


Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah ayat 8).

Namun, dalam mengadakan majlis rumah terbuka ini, kita wajib menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang secara jelas dilarang oleh Allah SWT. Antaranya, janganlah majlis itu diadakan dengan tujuan untuk bermegah-megah dan bangga diri. Berlebih-lebihan dalam sambutan atau menunjuk-nunjuk dalam penganjuran keraian sehingga menjadi beban kepada diri sendiri dan keluarga adalah dilarang oleh Islam.

Selain itu, penganjur juga perlu bijak dalam menguruskan majlis agar tidak berlaku pembaziran. Pembaziran adalah perkara yang dilarang oleh Allah SWT. 


Firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah kamu membelanjakan hartamu dengan boros dan melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Israk ayat 26-27).

Majlis rumah terbuka juga mesti dijauhkan daripada menjadi medan pergaulan bebas antara para tetamu yang bukan mahramnya. Pergaulan bebas serta percampuran secara melampau antara lelaki dan perempuan boleh mengundang majlis yang asalnya untuk mendapat rahmat Allah SWT, boleh bertukar menjadi majlis yang mengundang kemurkaan Allah SWT. 


Golongan wanita terutamanya, sama ada tuan rumah mahupun tetamu majlis rumah terbuka, wajib menjaga aurat mereka, sepertimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada... (mahram mereka)...” (Surah al-Nur ayat 31).

Begitu juga dengan selingan hiburan di majlis rumah terbuka biarlah hiburan yang sopan dan tidak melalaikan, umpamanya nanyian nasyid yang memuji kebesaran Allah SWT dan lagu-lagu Aidilfitri menceritakan kemerian dan bersyukur dengan kedatangan Aidilfitri tidak di larang oleh Islam. Islam tidak sekali-kali menghalang umatnya untuk bergembira, selagi mana ia tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan syarak. 


Islam itu agama fitrah yang tidak sekali-kali bersifat jumud dan asing daripada fitrah manusia. Keharusan untuk bergembira di hari raya mencerminkan keindahan Islam di mata orang lain. Rasulullah SAW pernah menjelaskan hal ini dalam sabdanya yang bermaksud: “Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Dalam keadaan lain, Saidatina ‘Aishah berkata: “Rasulullah masuk ke rumahku (pada hari raya), dan ketika itu aku bersama dua budak perempuan yang sedang menyanyikan lagu peperangan Bu’ats. Baginda terus berbaring di atas tempat tidur sambil memalingkan wajahnya. Ketika Abu Bakar masuk ke rumahku, dia memarahiku dan berkata: “Pada pandangan Rasulullah, (nyanyian) itu adalah seruling syaitan.” Mendengar kata-kata itu maka Rasulullah menemui Abu Bakar dan berkata kepadanya: “Biarkanlah mereka.” (Hadis riwayat Bukhari). 


Namun begitu perlu difahami bahawa muzik atau nyanyian yang melalaikan dan terdedah aurat adalah dilarang.

Sahabat yang dikasihi,

Di dalam kita sebuk menghadiri undangan untuk hadir dirumah terbuka janganlah pula kita tinggalkan amalan sunat yang sangat di tuntut dalam Islam iaitu puasa sunat enam hari di bulan Syawwal. Besar ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT bagi mereka yang berjaya menunaikan ibadah puasa sebulan Ramadan dan ditambah dengan berpuasa selama enam hari di bulan Syawwal. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa berpuasa Ramadan kemudian diikuti puasa enam hari di bulan Syawwal, pahalanya seperti puasa setahun”. (Hadis Riwayat Muslim).


Kalian perlulah bijak membahagikan masa supaya ibadah sunat yang sangat di tuntut ini tidak dibiarkan berlalu dan gagal dilaksanakan di bulan Syawal ini dan pada masa yang sama tidak pula mengecewakan tuan rumah yang menjemput kalian di rumah terbuka yang di adakan olehnya.

Sekiranya, kita dijemput untuk menghadiri majlis makan seperti majlis rumah terbuka ini, seeloknya kita tidak berpuasa sunat pada ketika itu. Hal ini berdasarkan sebuah hadis Rasulullah SAW, daripada Abu Sa’id al-Khudri, yang bermaksud: “Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah SAW. Maka Baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah SAW pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian Baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti (jika mahu).” (Hadis Riwayat al-Baihaqi).

Berdasarkan hadis ini, jelas kepada kita bahawa pelaksanaan ibadah sunat itu perlu dilakukan dengan ilmu, dan bukan dengan penilaian sendiri, agar ibadah tersebut menepati keutamaan yang digariskan oleh Islam.



Kesimpulan yang boleh kita rumuskan bahawa penganjuran majlis rumah terbuka sepertimana yang telah menjadi tradisi umat Islam di Malaysia , Indonesia dan Singapura adalah satu amalan yang baik dan wajar diteruskan. Namun, seperti yang telah di jelaskan, ianya perlu dilakukan dengan mengambil kira beberapa perkara, agar penganjuran majlis ini diberkati oleh Allah SWT kerana menepati ketetapan syarak, serta jauh daripada perkara-perkara yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. Semoga dengan penganjuran majlis ini, silaturrahim umat Islam makin utuh, dan perkara inilah yang menjadi ciri-ciri orang yang beriman. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia menyambung silaturahim.” (Hadis riwayat al-Bukhari).