Sunday, September 2, 2012

Hayati 10 Perkara Untuk Menjadi Hamba Allah Yang Cemerlang

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kecemerlangan adalah satu tanda kejayaan di dalam apa urusan yang di lakukan di dunia ini. Setiap manusia akan berusaha untuk mencapai kecemerlangannya dalam setiap urusan yang di usahakannya. Seorang pemimpin negara inginkan cemerlang dalam menguruskan keperluan  hidup rakyat jelata. Begitu juga hajat ibu bapa mengharapkan kecemerlangan anak-anaknya dalam pelajaran sehingga mendapat kejayaan.

Jika ukuran kejayaan bergantung kepada kecemerlangan di akhir usha seseorang, maka apakah pula ciri-ciri  kecemerlangan seorang hamba Allah di sisi Tuhannya?

Jika di kaji secara menyeluruh kecemerlangan seorang hamba Allah mesti memiliki 10 perkara (nilai-nilai murni) barulah boleh dinilai cemerlang di sisi Allah SWT.

Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Bersifat warak dan meninggalkan perkara yang syubhat.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh kedalam perkara kesamaran jatuhlah ia kedalam yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkan-Nya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosakkalah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedua : Memelihara penglihatan.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya;.." (Surah an-Nur ayat 31)

Abu Darda berkata, bersabda Nabi SAW maksudnya : “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin di hari kiamat daripada husnul Khulq (akhlak yang baik).”
(Hadis Riwayat Tirmidzi)

Ketiga : Memelihara Lidah

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidaklah dihumbankan muka manusia kedalam neraka itu sebagai hasil tuaian (buruk) lidahnya”
(Hadis Riwayat Tarmizi)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang jelik budi pekertinya serta kotor lidahnya.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Dalam hadis yang diriwayatkan Tirmidzi dan Ibnu Majah, Abu Hurairah menceritakan apabila Rasulullah SAW ditanya sebab terbesar yang membawa seseorang masuk syurga, Rasulullah menjawab: “Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” Apabila ditanya pula sebab terbesar yang membawa manusia masuk neraka, maka Rasulullah menjawab, “Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan.”

Keempat :Bersifat Pemalu.

Daripada Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Iman itu lebih daripada 70 cabang, yang terbaik daripadanya ialah mengucapkan La ilaha illallah (Tiada tuhan yang patut disembah kecuali Allah SWT) dan yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang menyakiti ditengah jalan, dan malu itu satu cabang daripada iman”.
(Hadis Riwayat Muslim, bab menerangkan bilangan cabang iman, bil. 153)

Dari Salim bin Abdullah r.a dari ayahnya, katanya: "Nabi SAW lalu di hadapan seorang Ansar yang sedang mencela saudaranya kerana saudaranya itu pemalu. Maka sabda Rasulullah SAW  kepadanya: "Biarkanlah dia! Sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman.(Hadis Riwayat Bukhari)

Kelima : Bersifat Lembut dan Sabar

Firman-Nya lagi yang bermaksud :“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu?”. (Surah an-Nur ayat 22)

Dari Abdullah bin Mas'ud r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Keenam : Bersifat Benar dan Jujur.

Rasulullah Sallallahu’ Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seorang lelaki yang sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta”.
(Hadis Riwayat Muttafaqun ‘alai)

Ketujuh : Bersifat rendah diri.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah (sedikit) sifat takbur.” (Hadis Riwayat Muslim)

Daripada Harithah bin Wahab r.a  katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidakkah aku akan memberitahu kamu tentang ahli-ahli syurga? Iaitu orang-orang yang lemah dan dipandang hina (oleh manusia), kalau dia bersumpah kepada Allah nescaya Allah mengabulkan sumpahnya, tidakkah aku akan memberitahu kamu tentang ahli-ahli neraka? Iaitu setiap orang yang kasar perangai atau bersikap kasar, angkuh dan sombong”. 
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelapan : Menjauhi sangka buruk dan mengumpat.

Dan Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Wahai golongan yang beriman dengan lidahnya sahaja, sedang iman belum memasuki hatinya, janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam yang lain dan janganlah kamu mengintai-intai keburukan mereka, kerana sesiapa yang mengintai-intai keburukan saudaranya, Allah akan membongkar keburukannya sekalipun ia berada di dalam rumahnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Jabir dan Abu Sa'id menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, " Awaslah dari mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras dari zina. Sesungguhnya seseorang itu berzina ia bertaubat, maka Allah SWT. menerima taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpat."(Hadis Riwayat Ibn Abid Dunya)

Kesembilan : Bersifat pemurah.

Firman Allah SWT maksudnya  “Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah) maka pahalanya itu untuk diri kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredaan Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan nescaya kamu akan diberikan pahalanya dengan cukup sedang kamu sedikitpun tidak dianiayai”. (Surah al-Baqarah ayat 272)

Kesepuluh : Qudwah Hasanah (Suri teladan yang baik)

Selain dari sifat-sifat yang disebutkan di atas, seorang mukmin mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai. Segala tingkah lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, cara pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya. Membina diri menajdi suri teladan merupakan peranan besar yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah " ( Surah al-Ahzab ayat 21)

Sahabat yang dikasihi,
Jika kalian mampu memenuhi 10 ciri-ciri kecemerlangan di atas insya Allah kalian akan menjadi hamba Allah yang cemerlang disisi Allah SWT. Jika kurang salah satu daripadanya terdapat kecacatannya dan tidak akan sempurna menjadi insan soleh dan bertakwa. Oleh itu teruskan usha-usaha kalian memperbaiki akhlak kalian dan memenuhi ciri-ciri kecemerlangan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.



3 comments:

kaseh suci said...

assalam..minta share ya..utk memperbaiki diri kearah yg lbh baik..:)

nur said...

assalamualaikum...

Mohon share tuan di blog saya..

NORAISHAH AISHAH said...

Saya pun banyak berbuat dosa saya mengharap keampunan dari allah swt dn doakan saya di kalagan orang yang beriman yer.