Monday, October 29, 2012

Penghayatan Kepada Kalimah Lailahaillallah Menjauhkan Seseorang Daripada Syirik Kepada Allah SWT

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kalimah yang dibawa oleh setiap Rasul dan Nabi utusan Allah SWT kepada setiap umat  dan untuk manusia seluruhnya adalah kalimah, "LAILAHAILLALLAH" yang bermaksud : "Tiada illah (tuhan) selain Allah.

Kalimah ini sebenarnya bererti ‘aku mengetahui, berikrar, mengakui dan mempercayai bahawa sesungguhnya sembahan yang benar dan berhak disembah ialah Allah SWT sahaja manakala selain daripada-Nya sama sekali tidak benar dan tidak berhak disembah. Aku berikrar dengan hatiku, menyatakan dengan lidahku dan aku membuktikan dengan perbuatanku.’

Kelebihan kalimah "LAILAHAILLALLAH" ini apabila seseorang telah melafazkannya bererti dia telah berubah daripada syirik kepada iman, daripada hina kepada mulia. Dengan sebab pengakuan terhadap kalimah ini dia telah diberikan tanggungjawab bahawa segala urusan duniawi dan ukhrawi, memimpin rakyat, menjalankan pemerentahan, tidur, bangun, belajar, mengajar, berniaga, berkebun, bertani, berkahwin, mengurus rumah tangga dan semua yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredaan daripada Allah SWT. Dia tidak boleh lari daripada perintah dan larangan Tuhannya.

Semua umat Islam tahu kalimah ini dan sering diucapkan setiap hari. Apabila kita solat kalimah ini sering diulang-ulangkan ucapannya iaitu ketika membaca tahyat awal dan tahyat akhir.

Tetapi tahukah kalian apa maksud illah (tuhan) dalam kalimah ini.?

Dalam al-Quran Surah Taha ayat 14, firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya Aku ini Allah, tidak ada illah (tuhan) selain Aku"

Definisi illah sebagai tuhan  yang sebenarnya yang difahami oleh orang arab zaman dahulu yang menyebabkan mereka menentang kuat Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. ialah  illah bukan sekadar tuhan atau sembahan,  illah adalah tempat mengadu , berdoa, meletakkan pengharapan, tempat tertumpahnya kasih sayang, tempat berkongsi suka dan duka, tempat meminta, tempat meraih cinta dan segala-galanya,  illah yang difahamkan oleh orang arab pada zaman itu amat mendalam.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan mereka mengambil dari selain Allah tuhan-tuhan (illah-illah) agar mereka mendapat pertolongan.” (Surah Yassin (36) ayat 74)

Firman Allah SWT maksudnya : " Dan mereka telah memilih tuhan-tuhan (illah-illah) selain Allah agar tuhan-tuhan itu menjadi pelindung bagi mereka." (Surah Maryam (19) ayat 81)

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan maksud illah di atas terdapat beberapa amalan-amalan manusia yang telah menjadi syirik kerana mengambil illah-illah (tuhan-tuhan ) lain selain daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan dia mengampuni dosa yang selain syirik bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya."  (Surah an-Nisaa (4) ayat 116)

Amalan-amalan tersebut adalah seperti berikut :

1.  Menyembah dan menjadikan patung-patung berhala sebagai illah (tuhan).

Amalan syirik ini berlaku di dalam agama hindu, buddha, Jepun dan lain-lain.
Firman Allah SWT maksudnya : "Yang mereka sembah selain Allah itu, tidak lain hanyalah berhala, dan (dengan menyembah berhala itu) mereka tidak lain hanyalah menyembah syaitan yang durhaka." (Surah an-Nisaa (4) ayat 117)

2. Menyembah pendita/ rahib-rahib sebagai ilah. Berlaku dalam agama Yahudi dan Kristian

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka menjadikan orang-orang alim (pendita Yahudi) dan rahib-rahibnya (Nasrani) sebagai tuhan selain Allah...”.(Surah at-Taubah (9) ayat 31).

Imam Asy-Syaukani dalam tafsirnya menyatakan bahawa,  “Sesungguhnya mereka mentaati para pendeta/rahib mereka terhadap perintah dan larangan mereka. Para pendeta/rahib itu diletakkan pada kedudukan sebagai 'tuhan-tuhan' kerana mereka ditaati sebagaimana tuhan ditaati.” (Asy-Syaukani, II/452).

Pengertian dan pemahaman ayat di atas adalah sesuai dengan penjelasan yang diberikan oleh  Rasulullah SAW kepada Adi Bin Hatim. Dalam kes tersebut, Adi bin Hatim (yang  ketika itu sebagai seorang Nasrani) telah berkata :

"Aku pernah datang berjumpa Rasulullah dengan memakai rantai salib yang diperbuat daripada perak di leherku. Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Adi, lemparkanlah patung itu daripada lehermu!”. Kemudian aku melemparkannya. Setelah itu, baginda membacakan ayat: Ittakhadzu ahbarahum wa ruhbanahum min duni Allah…(hingga akhir ayat). Aku berkata, 'Sesungguhnya kami tidak menyembah mereka (pendeta dan rahib)'. Lalu Rasul membantah, 'Bukankah para pendeta dan rahib itu mengharamkan apa yang telah Allah halalkan, lalu kalian mengharamkannya. Mereka juga menghalalkan apa yang telah Allah haramkan, lalu kalian menghalalkannya?' . Aku menjawab, 'Memang benar.' Baginda bersabda, 'Itulah bentuk penyembahan kalian kepada para pendeta dan para rahib kalian.'” (Hadis Riwayat ath-Thabrani daripada Adi Bin Hatim).

3. Menjadikan manusia sebagai illah (tuhan) apabila mengagungkan dan mengutamakan undang-undang ciptaan manusia berbanding undang-undang Allah SWT.

Firman Allah SWT maksudnya : “Apakah hukum (undang-undang) jahiliah yang mereka kehendakkan dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin.” (Surah al-Ma’idah (5) ayat 50)

Meletakkan undang-undang ciptaan manusia (hukum jahiliah) ditempat tertinggi dan mengatakan undang-undang ini paling baik dan menafikan dan merendahkan undang-undang Allah SWT (hukum hudud, qisas dan diyat). Dan mengatakan undang-undang Allah sebagai zalim , tidak sesuai, jumud (jika dilaksanakan ramai tangan orang Islam kudung, habis batu dijalan raya jika dijalankan hukum rejam dalam kes zina) maka ucapan seperti ini secara jelas jatuh murtad dan sama hukumnya seperti hadis Adi bin Hatim di atas menjadikan manusia yang mengubal undang-undang itu sebagai illah (tuhan).

4. Menjadikan adat istiadat sebagai illah (tuhan) apabila mengutamakah adat istiadat (yang berlawanan dengan hukum syarak) lebih tinggi daripada hukum Islam yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunah.

Sesiapa yang mengambil adat istiadat (amalan datuk nenek moyang) yang kurafat dan syirik. Adat istadat tersebut bertentangan dengan syariat Islam dan dia mempertahankannya dengan mengatakan, "biar mati anak jangan mati adat" adalah berdosa besar dan boleh jatuh syirik, kerana Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tiada taat kepada makhluk pada perintah maksiat Al-Khaliq (AIlah)." (Hadis Riwayat Ahmad dan Hakim)

Sabda Nabi SAW maksudnya : "Tidak ada kepercayaan adanya jangkitan , tidak ada kesialan , tidak ada hal - hal tak baik kerana burung hantu ,  dan kesialan bulan Safar ." 
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

Firman Allah SWT :

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَىٰ مَا أَنزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ قَالُوا حَسْبُنَا مَا وَجَدْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا

أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ شَيْئًا وَلَا يَهْتَدُونَ

Maksudnya : "Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (al-Quran), dan kepada Rasul-Nya (al-Sunah)”, mereka menjawab: “Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya”. Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?" (Surah al-Maidah (5) ayat 104)

Contoh : Ada adat mengutamakan anak perempuan lebih daripada anak lelaki dalam pembahagian harta pusaka, buang ancak, semah dengan darah ayam/kambing, mandi tolak bala bulan Safar , tabur beras kunyit (adat hindu) dan sebagainya.

5. Menjadikan bomoh sebagai illah (tuhan) apabila mempercayai bomoh yang menggunakan jin kafir dan syaitan sebagai perantaraan (menggunakan ilmu sihir) kononnya boleh mendatangkan mudarat dan menfaat. Percaya dan yakin kata-kata bomoh tersebut dalam perkara ghaib dan mengamalkan pula ilmu sihir dan jampi-jampi yang  yang pelik-pelik dan syirik.

Di dalam hadis sahih dari Nabi SAW yang bermaksud, “Barangsiapa yang datang datang berjumpa tukang tilik (bomoh) dan dia mempercayai apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad.” (Hadis Riwayat Imam al-Bazzar dan Abu Abu Dawud)

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barang siapa yang mendatangi tukang tilik (bomoh) dan ditanya mengenai sesuatu maka tidak diterima solatnya selama 40 hari (Hadis Riwayat Muslim)

6. Mengambil dan menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan (illah).

Orang yang hidup hanya mengikut hawa nafsunya tanpa melihat dosa dan pahala adalah mereka yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan (ilah). Walaupun kebenaran ada dihadapan mata tetapi matanya buta melihat kebenaran (walaupun matanya tidak buta), telinganya pekak untuk menerima Islam (walaupun telinganya boleh mendengar) dan hatinya buta (tidak dapat melihat dengan mata hati)

Firman Allah SWT maksudnya : "Apakah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai illah (tuhan) nya? Dan Allah membiarkannya sesat padanya atas pengetahuannya, dan Dia (Allah) mengunci pendengaran dan hatinya, dan dijadikan-Nya (Allah) penutup atas penglihatannya. Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?." (Surah al-Jasiyah (45) ayat 23)

 7. Membuat sesuatu amalan bukan kerana Allah SWT tetapi untuk mendapat pujian dan sanjungan manusia, maka amalan tersebut tidak diterima oleh Allah SWT kerana berlaku syirik kecil. Secara tidak langsung manusia yang diharapkan pujian telah menjadi illah (tuhan) disamping Allah.

Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling aku takut menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal? Kami katakan: Tentu. Baginda bersabda: Riak, syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya apabila mengetahui seseorang memandangnya." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Riak ialah menampakan ibadah dengan niat mendapat perhatian atau pujian manusia. Menampakkan amal soleh agar dilihat oleh manusia lain agar dirinya mendapatkan pujian, kedudukan atau penghargaan atau keuntungan duniawi.

8. Bergantung kepada doktor dan ubat apabila sakit tidak bergantung kepada Allah SWT.

Secara tidak langsung doktor dan ubat telah menjadi illah (tuhan) kerana seolah-olah ada kuasa penyembuhan.

Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya:”Bahawa Allah telah menurunkan penyakit dan ubat dan dijadikan kepada setiap penyakit ada ubatnya, berubatlah tetapi jangan berubat dengan benda-benda yang haram.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Kita boleh berusaha ketika sakit iaitu berjumpa doktor dan mendapatkan ubat yang sesuai dalam rangka ikhtiar dan berusaha tetapi perlu di sertakan dengan berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT. Perlu diingatkan bahawa semua penyembuhan adalah dengan izin Allah SWT dan Dialah yang memberikan penyembuhan. Jika ubat itu yang menyembuhkan penyakit kenapa ramai orang yang sakit tetapi tidak boleh sembuh dengan ubat tersebut. Jika kita yakin sepenuhnya bahawa ubat dan doktor yang memyembuhkan ini bermakna kita telah syirik kepada Allah SWT.

9. Bergantung dan yakin kepada usaha-usahanya, ilmunya, hartanya dan kepakarannya yang boleh mendatangkan rezeki dan berjaya dalam hidup. Dengan pergantungan ini seseorang telah menjadikan usaha, ilmu , harta dan kepakaran sebagai illah (tuhan)
Apabila manusia tidak yakin kepada rahmat dan rezeki daripada Allah SWT sebenarnya dia adalah orang yang sombong, bongkak dan takbur. Sifat ini amat dibenci oleh Allah SWT, contoh yang jelas adalah Qarun berbangga dengan kekayaannya, apabila di minta oleh Nabi Musa a.s . untuk membayar zakat beliau enggan dan berkata kekayaannya adalah kerana kepandaiannya mencari harta. Akhirnya beliau ditelan bumi kerana keangkuhan dan kesombongannya.

Sahabat yang dikasihi,
Berdasarkan huraian di atas terdapat sembilan perkara manusia boleh jatuh syirik kerana mengambil perkara-perkara lain sebagai tuhan-tuhan yang disembah di samping Allah SWT.

Jika seseorang telah melakukan syirik akbar untuk perkara 1,2,3,4 dan 5 seseorang perlulah mengucapkan semula dua kalimah syahadah dan bertaubat nasuhah kepada Allah SWT kerana perbuatan yang dilakukan telah merosakkan akidahnya. Kalimah LAILAHAILLALLAH yang diucapkan sebelum ini telah terbatal.

Untuk kesalahan perkara 6, 7, 8 dan 9 perlulah bertaubat  dan banyakkan beristighfar kepada Allah SWT untuk membersihkan syirik kecil yang telah dilakukan terhadap Allah SWT.

Jika kalian meninggalkan kesembilan perkara d atas hakikat sebenarnya kalian telah melaksanakan tuntutan kalimah syahadah LAILAHAILLALLAH. Hati dan jiwa kalian akan bersih dan sejahtera daripada syirik dan kalian akan berada di dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT.










No comments: