Sunday, November 11, 2012

Keperluan Jemaah Islam Dalam Menghayati Islam Sebagai Cara Hidup Sempurna.


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dihadapan kita terlihat ramai orang yang mahu membawa panji-panji slogan Islami, lalu mereka mewujudkan pelbagai pertubuhan dan gerakan. Islam yang syumul , lengkap dan sempurna tidak boleh dilaksanakan sepenuhnya sebagai individu sahaja tetapi ianya perlu digerakkan dalam organisasi yang tersusun rapi. Oleh itu Jemaah Islam adalah satu cara merelisasikan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab." (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

Bagi memastikan perjalanan suatu gerakan Islam itu lancar dan teratur, tiga rangka utama perlu diambil kira di dalam setiap gerakan Islam:

Pertama : Iman Yang Mendalam

Kedua : Perancangan Yang Rapi

Ketiga : Jihad Yang Berterusan

Misi utama dakwah kita adalah menyeru manusia kembali kepada pegangan Islam yang tulin, oleh itu, keimanan dan keteguhan mestilah menjadi “Perancang Utama” bagi menyebarkan syariat Allah. Iman itu tidak boleh hanya berada diawang-awang percakapan sahaja, namun ia mestilah juga direalisasikan dalam amalan kehidupan seharian. Rasulullah SAW memulakan dengan Jemaah Islam di Mekah dan meneruskannya di Madinah sehingga tertegaknya Daulah Islamiah di Madinah. Jemaah yang dipimpin oleh baginda tidak lari daripada tiga asas penting iaitu iman yang mendalam, perancangan yang rapi dan jihad yang berterusan.

Huraiannya :

Pertama : Iman yang mendalam.

Iman  yang mendalam bertugas melahirkan tenaga penggerak bagi individu-individu muslim yang sebenarnya.  Dan sesekali tidak lahir amalan itu kecuali hasil dari desakan dan dorongan Iman.  Iman kepada rukun-rukun Iman, kepada Allah SWT dan rukun-rukun Iman yang  lain, barulah amalan-amalan itu benar-benar jitu dan bersih serta sepenuhnya Islamik dan diredai Allah SWT.

Iman tidak boleh dipisahkan dengan sifat sabar, orang yang beriman akan bersabar dengan dugaan dan ujian daripada Allah S.W.T. kerana hanya orang yang tidak beriman akan berputus asa dengan rahmat Allah S.W.T.

Allah S.W.T berfirman, maksudnya : "Dan berilah khabar gembira kepadaorang-orang yang sabar; (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).

Kedua : Perancangan yang rapi.

Penyusunan yang rapi pula adalah jantung pergerakan, ia dinamakan sistematik. Setiap perancangan yang dibuat mestilah suatu perancangan untuk sebuah organisasi yang lebih besar, iaitu Islam. Kita mengajak ahli-ahli kita untuk komitmen dengan program tarbiah yang telah disusun. Perancangan itu berkitar pada 4 perkara berikut :

1. Fokus (10 Sifat keperibadian muslim)

2. Rancang (Apa saja cara menjayakan fokus)

3. Laksana (Dengan penyusunan rapi berdasrkan perancangan)

4. Pantau (Pantauan kesan terhadap fokus)

Fokus kita adalah tarbiah yang mencakupi 10 sifat keperibadian muslim

1.       Akidah Yang Sejahtera

2.       Ibadah Yang Sahih

3.       Akhlak Yang Mantap

4.       Luas Pengetahuan

5.       Sihat Tubuh Badan

6.       Mampu Berdikari

7.       Mampu Berjuang Melawan Nafsu

8.       Bijak Mengurus Masa

9.       Tersusun Urusannya

10.   Bermanfaat Kepada Orang Lain

Ketiga : Jihad yang berterusan.

Jihad dalam erti kata bersungguh-sungguh memperjuangkan agama Allah mestilah menjadi ciri utama dalam dakwah yang kita kerjakan ini. Ia adalah perjuangan, bukan sekadar mengisi ruang-ruang kosong yang telah dikosongkan oleh orang lain.

Orang yang beriman tidak akan meninggalkan berjihad dijalan Allah S.W.T. kerana amanah berjihad adalah suatu yang difardukan oleh Allah S.W.T kepada orang-orang yang beriman.

Inilah kelebihan yang diberikan kepada orang yang berjihad. Allah juga berfirman yang bermaksud : "Allah memberi kelebihan kepada orang yang berjihad mengatasi orang yang berdiam diri tanpa berbuat apa-apa (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu keuzuran) dengan pahala yang amat besar. "Iaitu beberapa darjat (kelebihan) daripadanya dan keampunan serta rahmat belas kasihan dan (ingatlah) adalah Allah Amat Pengampun lagi Amat Mengasihani." (Surah an-Nisa' ayat 95-96)

Perbezaan antara satu darjat dengan satu darjat yang lain itu ialah antara bumi dan langit. Allah juga berjanji memberi pahala yang sangat besar kerana orang yang berjihad kadang kala teringat kepada anak, isteri, keluarga dan harta sehingga menekan perasaannya di samping menghadapi musuh-musuh yang sentiasa mencari peluang untuk melakukan apa sahaja kepadanya.

Ketiga-tiga metode tersebut mestilah bergerak seiringan, jangan biarkan satupun yang terkebelakang. Ia adalah kekuatan kita yang berpaksikan kepada kebenaran.

 Al-Imam Hasan al-Banna pernah berkata:

“Kekuatan tanpa kebenaran akan hancur dan begitu juga kebenaran tanpa kekuatan juga akan hancur.”

Firman Allah SWT maksudnya : "Ajaklah (manusia) ke jalan (agama) Tuhanmu dengan hikmah (bijaksana)..(Surah an-Nahl ayat 125)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah kita  sama-sama beramal dengan amal soleh dan bersama-sama bergerak dalam Jemaah Islam atau organisasi Islam untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan berdakwah kepada masyarakat. Tugas berdakwah bukan hanya terletak dibahu para ulama dan para ustaz sahaja tetapi kita juga berkewajipan untuk menyampaikan kebenaran walau pun satu ayat daripada ayat -ayat al-Quran dan hadis  atau pun daripada ajaran Islam sediri.



No comments: