Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap makhluk Allah SWT dimuka bumi ini telah dijamin oleh Allah SWT akan rezekinya. Samaada banyak atau sedikit, cepat datangnya atau lambat semuanya bergantung kepada ketentuan daripada Allah SWT. Sebagai hamba-Nya yang bersyukur dan reda dengan ketentuan takdir-Nya, seorang mukmin itu akan sentiasa berdoa, berusaha dan bertawakal, dan tidak akan kecewa daripada rahmat Allah SWT jika diuji dengan kegagalan atau kesusahan.
Perlu diingat bahawa rezeki yang di kurniakan oleh Allah SWT kepada kalian bukan sahaja berbentuk wang ringgit, harta dunia atau pangkat kedudukan, tetapi rezeki daripada Allah SWT akan datang dalam berbagai bentuk. Sebaik-baik rezeki yang dikurnaiakan oleh Allah SWT kepada para hamba-Nya adalah rezeki berbentuk nikmat iman dan Islam, nikmat taufik dan hidayah-Nya dan keberkatan dalam kehidupan. Nikmat berjihad di jalan Allah SWT dengan melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Inilah bentuk rezeki yang terbaik dan tidak ada lagi rezeki yang lebih baik daripada itu.
Firman Allah SWT maksudnya : "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (Surah Ali-Imran ayat 110)
Termasuk rezeki daripada Allah SWT apabila kalian dijauhkan daripada penyakit, sihat tubuh badan dan sihat akal fikiran untuk berfikir dan memberikan idea yang baik dan bernas dan bekerja mencari nafkah, kerana berapa ramai saudara-saudara kita yang terlantar dihospital tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri melainkan mendapat bantuan daripada waris atau jururawat yang bertugas.
Sahabat yang dimuliakan,
Setiap pasangan yang berkahwin pasti berhajat kepada cahaya mata kerana anak-anak adalah penyeri dalam kehidupan berumah tangga. Keluarga yang belum dikurniakan zuriat keturunan walaupun telah berkahwin beberapa tahun akan mengalami kesunyian, kerana jika dibandingkan kehidupan sebahagian sahabat-sahabat yang lain walaupun baru berumah tangga sudah mempunyai cahaya mata.
Ingatlah sebenarnya anak juga adalah rezeki daripada Allah SWT yang diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Jika kalian telah lama berkahwin tetapi masih belum dikurniakan anak maka banyakkan bersabar dan terus berdoa dan berikhtiar sebaik mungkin. Terdapat juga sebahagian daripada kita mengalami keguguran semasa mengandungkan anak sulung . Kadangkala boleh berlaku beberapa kali keguguran tanpa disangka-sangka mungkin disebabkan terjatuh atau mendapat gangguan sihir daripada jin-jin yang mengeram di dalam rahim wanita.
Di dalam al-Quran terdapat dua kisah para Nabi yang dikurniakan zuriat keturunan dalam usia yang lanjut baru dikurniakan cahaya mata oleh Allah SWT iaitu Nabi Ibrahim a.s. (anaknya Nabi Ishak a.s.) dan Nabi Zakariah a.s. (anaknya Nabi Yahya a.s.)
Doa Nabi Ibrahim a.s.
Maksudnya : "Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!" (Surah Shaffat ayat 100)
Doa Nabi Zakaria a.s.
Firman Allah SWT :
رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ - الأنبياء/89
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakariya, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat) dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi". (Surah al-Ambia ayat 89)
Firman Allah SWT :
رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاء- آل عمران/38
"Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaKu dari sisiMu zuriat keturunan Yang baik; Sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan." (Surah Ali-Imran ayat 38)
Selain daripada berdoa untuk mendapatkan anak yang soleh dan solehah, Allah SWT menyuruh kita banyakkan beristighfar memohon ampun daripada Allah SWT .
Nabi Nuh ‘alaihis salam pernah berkata kepada kaumnya sebagaimana dikatakan oleh Allah dalam al-Quran:
فَقُل فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (١٠) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا (١١) وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا
Maksudnya : “Maka aku katakan kepada mereka, “Beristighfarlah kepada Rabb-mu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan melengkapkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun, dan mengadakan pula di dalamnya sungai-sungai.” (Surah Nuh (71) ayat 10-12)
Imam al-Qurthubi dan Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahumallah menyebutkan sebuah atsar dari al-Hasan al-Basri rahimahullah:
ان رجلا شكى إليه الجدب فقال استغفر الله وشكى إليه آخر الفقر فقال استغفر الله وشكى إليه آخر جفاف بستانه فقال استغفر الله وشكى إليه آخر عدم الولد فقال استغفر الله ثم تلا عليهم هذه الآية
Maksudnya : “Bahawasanya seorang lelaki mengadu kepadanya tentang musim kemarau yang sedang terjadi. Maka al-Hasan al-Basri pun mengatakan, “Beristighfarlah (mohon ampunlah) kepada Allah.”
Kemudian datang pula orang lain mengadu kepada beliau tentang kefaqirannya. Maka al-Hasan al-Basri pun mengatakan, “Beristighfarlah kepada Allah.”
Kemudian datang lagi yang lain pula mengadu kepada beliau tentang kekeringan tanamannya. Maka al-Hasan al-Basri pun mengatakan, “Beristigfarlah kepada Allah.”
Kemudian datang lagi yang lain mengadu kepada beliau kerana masih tidak memiliki anak. Maka al-Hasan al-Bashri pun mengatakan, “Beristighfarlah kepada Allah.”
Kemudian al-Hasan al-Basri pun membacakan surah ini (Surah Nuh (71) ayat 11-12) kepada mereka.” (Tafsir al-Qurthubi, 18/302-303. Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 11/98)
Sahabat yang dihormati,
Jika ada diantara kalian pernah menjalani keguguran yakinlah itu adalah takdir daripada Allah SWT ada hikmah yang tersirat di dalamnya . Peristiwa ini semuanya adalah ujian Allah SWT kepada mereka yang bersabar. Berkemungkinan besar bayi yang ada di dalam kandungan tersebut tidak cukup sifatnya jika di lahirkan atau jika dilahirkan nanti akan mengundang masaalah kepada ibu bapanya maka dengan sifat Allah SWT Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang dan Maha Mengetahui maka kandungan tersebut digugurkan. Jika diteliti di dalam Surah al-Kahfi bagaimana Nabi Khaidir telah membunuh seorang kanak-kanak di dalam perjalanan bersama Nabi Musa a.s. kerana jika dibiarkan hidup anak tersebut akan menyesatkan kedua ibu bapanya.
Sebahagian daripada kita diuji dengan kematian anaknya semasa kecil lagi kerana sakit atau berlaku kemalangan. Maka ibu bapa bersabar dengan kematian kepada anak-anaknya maka janji Allah SWT adalah syurga.
Allah SWT berfirman: "Dan berilah khabar gembira kepadaorang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).
Dari Abu Hurairah radhiallahu anhu bahwa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda kepada para wanita Anshar:
Maksudnya : “Tidaklah salah seorang dari kalian ditinggal mati oleh tiga orang anaknya, lalu ia sabar & mengharap pahala dari Allah, kecuali pasti ia akan masuk syurga.” Lalu berkatalah seorang wanita dari mereka, “Bagimana jika dua orang saja?” Rasulullah bersabda, “Meskipun dua orang.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari no. 1249 & Muslim no. 4767)
Sahabat yang dikasihi,
Sentiasalah kalian bersabar di dalam semua situasi dan keadaan kehidupan, kerana tidak rugi jika kalian bersabar . Sesungguhnya Allah SWT akan memberikan pahala yang besar tanpa terhitung banyaknya. Orang yang sentiasa bersabar dengan musibah yang menimpanya ketika di dunia maka di akhirat nanti terdapat seruan untuk memanggil mereka untuk memasuki syurga Allah SWT kerana kesabarannya ketika di dunia.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda didalam Hadis Qudsi: Allah SWT berfirman yang maksudnya :"Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hamba-Ku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar). "(Hadis Riwayat Imam Bukhari).
No comments:
Post a Comment