Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Salah satu sifat yang dibenci oleh Allah SWT adalah sifat mazmumah, kerana sifat ini adalah dimiliki oleh musuh-musuh Allah SWT terutama iblis laknatullah. Selain daripada iblis laknatullah, al-Quran menceritakan raja kepada segala kesombongan manusia adalah Firaun dan Qarun. Firaun sombong kerana kekuasaannya menjadi Raja Mesir dengan memiliki bala tentera yang kuat dan hebat, sedangkan Qarun sombong kerana kekayaan hartanya yang melimpah ruah dan gedung-gedung simpanan emas yang besar. Kedua-dua mereka dibinasakan oleh Allah SWT dengan kematian yang hina.
Imam Al-Ghazali r.a. telah menggariskan sepuluh sifat-sifat mazmumah (sifat tercela) di dalam kitab Arbain Fi Usuluddin iaitu :
Pertama : Banyak Makan
Kedua : Banyak bercakap.
Ketiga : Marah.
Keempat : Hasad.
Kelima : Bakhil.
Keenam : Cintakan kemegahan.
Ketujuh : Cintakan dunia .
Kelapan : Bangga Diri.
Kesembilan : Ujub ( Hairan Diri ).
Kesepuluh : Riyak ( Menunjuk-nunjuk ).
Huraiannya :
Pertama : Banyak Makan.
Banyak makan (syarrut ta'am) dan minum adalah amalan yang tidak baik darisegi akhlak mukmin kerana jika seseorang itu banyak makan dan minum yang berlebih-lebihan itu menyebabkan seseorang itu malas dan lemah merta membawa kepada banyak tidur. Ini menyebabkan kita lalai daripada menunaikan ibadah dan zikrullah.
Tubuh kita memerlukan makanan untuk membolehkannya berfungsi. Manusia tidak boleh hidup tanpa makanan tetapi bukanlah dengan cara makan berlebih-lebihan. Ini kerana makanan memberi manusia tenaga bukan sahaja untuk bekerja tetapi juga untuk membesar, membiak, dan melaksanakan segala proses kelangsungan hayat.
Setiap anggota yang terlibat dalam pemproses makanan yang dimakan oleh seseorang individu itu ialah seperti mulut, farinks, esophagus, gaster, usus kecil dan juga usus besar. Manakala organ aksesori sistem pencernaan pula ialah gigi, kelenjar, liur, pundi hempedu, dan pancreas. Setiap organ ini mempunyai tugasnya yang tersendiri dalam memastikan setiap makanan yang masuk ke dalam perut kita tidak membawa bahaya kepada perut kita khususnya.
Manakala makanan yang baik dan seimbang amatlah diperlukan untuk kelangsungan hayat dan kesihatan tubuh badan. Namun makanan yang seimbang sahaja belum mencukupi bagi mereka yang betul-betul ingin menjaga kesihatan, mereka juga perlu manjaga kuantiti makanan yang diambil pada sesuatu masa itu. Seseorang yang makan terlalu banyak atau mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak boleh menimbulkan pelbagai penyakit yang memudaratkan tubuh badan, terutama pada bahagian perut. Sesungguhnya hal ini merupakan faktor kemalasan, kuat tidur dan mengabaikan ibadah bagi sesetengah individu tersebut.
Firman Allah SWT dalam al-Quran pada Surah Al-A’raf ayat 31 yang bermaksud :
“Makan dan minumlah, tetapi janganlah berlebihan, sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berlebih-lebihan.”
Makan dan minum yang berlebih-lebihan adalah ditegah kerana perbuatan tersebut dianggap sebagai satu pembaziran. Islam melarang pembaziran, kerana pembaziran adalah saudara syaitan. Salah satu keburukan amalan banyak makan dan minum adalah mudah mendapat berbagai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis , sakit jantung, ghout dan lain-lain lagi .
Kedua : Banyak bercakap.
Di dalam Islam Rasulallah SAW menasihatkan umatnya supya berdiam saja sahaja kalau tiada yg bermanfaat hendak dikatakan atau diucapkan atau diceritakan kepada orang lain. Dalam hadis Nabi SAW di nyatakan bahawa bercakap yang tidak berfaedah akan membawa akibat buruk di hari akhirat nanti.
Dari Isa b Thalhah hadis dari Abi Hurairah r.a berkata: "Telah bersabda Rasulallah SAW : 'Sesungguhnya seorang lelaki (atau perempuan) nescaya bercakap-cakap dengan beberapa kalimah (yang dicakapkannya) tidak melihat (yakni, perasan) dia akan bahaya kata-katanya itu yang menjerumuskannya (kerana kata-kata itu) selama 70 tahun (yakni, diseksa selama) dalam neraka.' (Hadis Riwayat Termidzi)
Oleh yang demikian, jadikanlah tabiat harian kita mulai hari ini jangan banyak bercakap, jangan suka berbual-bual kosong atau mengumpat dan menceritakan keburukan orang lain kerana tidak tahu bahawa perbualan kita itu akan mendapat dosa, dan kita terjerumus ke dalam neraka kerana sepatah kata selama 70 tahun. Ingatlah sehari di akhirat adalah bersaman dengan 1,000 tahun kiraan waktu dunia!
Dari al-Mughirah r.a, dari Nabi SAW baginda bersabda (maksudnya) : "Allah telah melarang keras (mengharamkan) kamu menderhakai ibu, melarang membuat kikir dan mengubur anak perempuan. Tuhan benci kamu jika kamu terlalu banyak berbicara begitu begini, terlalu banyak bertanya serta membuang-buang harta tidak pada tempatnya."
(Hadis Riwayat Bukhari)
Ketiga : Marah.
Sifat pemarah (ghadhab) adalah satu sifat tercela apabila marah bukan pada tempatnya.
Fiirman Allah SWT yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh” (Surah Al-A'raaf ayat 199)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)" (Hadis Riwayat Baihaqi)
Sabda Nabi SAW lagi yang bermaksud : "Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Perasaan marah hanya boleh dilahirkan untuk menjaga hak dan kebenaran. Mempertahankan Islam apabila Islam dihina atau diperlekehkan begitu juga melahirkan rasa marah apabila orang kafir cuba menghina peribadi Rasulullah SAW.
Keempat : Hasad.
Hasad dengki adalah sifat tercela yang dimiliki oleh seorang individu yang menginginkan nikmat yang diperolehi oleh orang lain hilang atau berpindah kepadanya.
Seseorang yang bersifat dengki tidak ingin melihat orang lain mendapat nikmat atau tidak ingin melihat orang lain menyerupai atau lebih daripadanya dalam sesuatu perkara yang baik. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kepada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain.
Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacita dan iri hati kepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah dan hasutan yang membawa kepada bencana dan kerosakan.
Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Waspadalah terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu." (Hadis Riwayat Abu Daud)"
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Di dalam hati mereka ada beberapa penyakit, lalu Allah menambah penyakit itu, dan untuk mereka itu azab yang pedih kerana mereka telah berdusta.” (Surah al-Baqarah ayat 10)
Salah satu penyakit rohani yang cukup akrab menghinggapi orang Islam ialah penyakit hasad dengki. Penyakit ini adalah sifar mazmumah yang boleh menjadi sebagai kaya bakar yang akan membakar (menghapuskan) amal-amal soleh seseorang.
Kelima : Bakhil.
Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud , "Maafkanlah kesalahan orang yang murah hati (dermawan).Sesungguhnya Allah melihat tangannya jika dia terjatuh.Seorang pemurah hati dekat kepada Allah,dekat kepada manusia dan dekat kepada Syurga.Seorang yang bodoh tapi murah hati (dermawan) lebih di sukai Allah daripada seorang alim (tekun beribadah) tapi bakhil" (Hadis Riwayat at Tabrani)
Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Tidak akan berkumpul dalam hati seorang hamba bersifat bakhil dan keimanan"
Saidina Abu Bakar r.a berkata : "Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan iaitu:
Pertama : Ia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau;
Kedua : Hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau;
Ketiga : Hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula atau;
Keempat : Adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan secara berfoya-foya pada jalan yang tidak berguna"
Keenam : Cintakan kemegahan.
Perasaan inginkan kemegahan dan pangkat kebesaran menjadikan perbuatan seseorang itu tidak ikhlas kerana Allah. Akibat daripada sifat tersebut boleh membawa kepada tipu helah sesama manusia dan boleh menyebabkan seseorang itu membelakangkan kebenaran kerana menjaga pangkat dan kebesaran.
Firman Allah SWT :
أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ {1} حَتَّى زُرْتُمُ الْمَقَابِرَ {2} كَلاَّ سَوْفَ تَعْلَمُونَ {3} ثُمَّ كَلاَّ سَوْفَ تَعْلَمُونَ {4} كَلاَّ لَوْ تَعْلَمُونَ عِلْمَ الْيَقِينِ {5} لَتَرَوُنَّ الْجَحِيمَ {6} ثُمَّ لَتَرَوُنَّهَا عَيْنَ الْيَقِينِ{7} ثُمَّ لَتُسْئَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ {8}
Makasudnya :“Bermegah-megahan telah melalaikan kamu,[1] sampai kamu masuk ke dalam kubur.[2] Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu),[3] dan janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui. [4] Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin,[5] niscaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahannam,[6] dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan ‘ainul yakin,[7] kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu ).[8]” (Surah at-Takatsur ayat 1-8)
Allah SWT melarang para hamba-Nya bermegah-megahan samaada bermegah dengan harta kekayaan, mempunyai ramainya anak-anak yang berjaya, pangkat kedudukan, keturunan dan memiliki ilmu pengetahuan.
Ketujuh : Cintakan dunia .
Cinta dunia adalah sesuatu yang sangat berbahaya. Perhatikan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Kalau begitu, bergembiralah dan berharaplah memperoleh sesuatu yang melapangkan diri kalian. Demi Allah, bukan kemiskinan yang aku khawatirkan akan menimpa diri kalian. Akan tetapi, aku kahwatir jika dunia ini dibentangkan untuk kalian sebagaimana ia dibentangkan untuk orang-orang sebelum kalian sehingga kalian berlomba sebagaimana mereka berlomba, dan akhirnya kalian hancur sebagaimana mereka hancur.” (Hadis riwayat Muslim (2961) dan al-Bukhari (6425), dan Ibnu Abi ad-Dunya dalam kitab tentang Zuhud hal. 73)
Firman Allah SWT maksudnya : “Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Surah Al-Hadid (57) ayat 20)
Kelapan : Bangga Diri. (Takabbur)
Orang yang takabbur itu memandang dirinya lebih mulia dan lebih tinggi pangkatnya daripada orang lain serta memandang orang lain itu hina dan rendah pangkat.
Sifat takabbur ini tiada sebarang faedah malah membawa kepada kebencian Allah dan juga manusia dan kadangkala membawa kepada terkeluar daripada agama kerana enggan tunduk kepada kebenaran.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:“Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawaduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain”.(Hadis Riwayat Muslim)
Islam menuntut umatnya beramal dengan sifat tawadduk dan hormat menghormati sesama Islam dengan demikian akan lahirlah sebuah masyarakat Islam yang harmoni.
Kedudukan orang Islam disisi Allah adalah sama sahaja tarafnya. Oleh sebab itu Islam melarang umatnya melakukan kezaliman dan hendaklah menjauhkan sifat-sifat keji seperti membesar diri, bermegah dan sebagainya. Islam melarang umatnya bersifat bangga diri, kerana mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi, tetapi hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain dan jangan merendahkan orang lain, kerana semulia mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.
Kesembilan : Ujub (Hairan diri)
Orang yang bersifat ujub adalah orang yang timbul di dalam hatinya sangkaan bahawa dia adalah seorang yang lebih sempurna dari segi pelajarannya, amalannya, kekayaannya atau sebagainya dan ia menyangka bahawa orang lain tidak berupaya melakukan sebagaimana yang dia lakukan. Dengan itu, maka timbullah perasaan menghina dan memperkecil-kecilkan orang lain dan lupa bahawa tiap-tiap sesuatu itu ada kelebihannya.
Firman Allah SWT maksudnya : “Dia (Qarun) berkata: 'Sesungguhnya aku hanya diberi (harta itu), semata-mata kerana ilmu yang ada padaku." (Surah al-Qashash ayat 78)
Qarun bersifat ujub kerana dia merasakan bahawa harta yang banyak yang dia miliki adalah hasil daripada kepandaiannya mengumpulkan harta dan perniagaan yang dia usahakan, sedangkan asalnya dia adalah seorang yang miskin dan tidak memiliki apa-apa kepandaian. Berkat daripada pertolongan dan doa Nabi Musa a.s yang menyebabkan Allah SWT mengurniakan harta yang banyak kepadanya. Ini adalah ujian daripada Allah SWT untuk melihat adakah Qarun hendak bersyukur dan taat kepada-Nya. Ujub yang dimiliki Qarun adalah rasa bangga dengan nikmat yang ada tanpa mengaitkan dengan pemberian daripada Allah SWT.
Begitu banyak nikmat yang diterima seorang hamba, tetapi ia lupa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang telah memberinya nikmat itu. Sehingga hal itu menggiringnya kepada penyakit ujub, ia membanggakan dirinya yang sebenarnya tidak patut untuk dibanggakan.
Kesepuluh : Riak ( Menunjuk-nunjuk ).
Riak ialah penyakit hati yang paling ditakuti Rasulullah SAW menimpa umatnya kerana ia boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, hatta ketika menunaikan solat yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas.
Setiap amalan yang dilakukan dengan tujuan menunjuk-nunjuk akan hilanglah keikhlasan dan menyimpang dari tujuan asal untuk beribadah kepada Allah semata-mata.
Orang yang riak adalah sia-sia segala amalannya kerana niatnya telah menyimpang disebabkan inginkan pujian daripada manusia. Buat sesuatu amalan bukan kerana Allah SWT.
Kerisauan itu dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Riak ialah memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan mendapat pujian serta perhatian orang lain seperti solat dan puasa.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajal? Kami katakan: Tentu. Baginda bersabda: Syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya kerana melihat seseorang memandangnya." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita jauhi daripada sepuluh sifat-sifat mazmumah yang dinyatakan di atas. Sesungguhnya sifat-sifat tercela tersebut akan menghapuskan amalan-amalan yang kita lakukan kepada Allah SWT. Alangkan ruginya jika kita beramal berpuluh-puluh tahun lamanya tetapi amalan tersebut diiringi dengan sifat mazmumah di atas maka ianya tidak diterima oleh Allah SWT dan akan menjadi debu-debu yang berterbangan. Oleh itu pastikan amalan yang kita lakukan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan bukan untuk mencari kemegahan dan kepentingan duniawi.
No comments:
Post a Comment