Saturday, January 19, 2013

Siapakah Akan Menjadi Suami Kepada Wanita Ahli Syurga?


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah, 
Dalam Islam pembentukan keluarga bahagia sakinah mawadah adalah satu tuntutan dan ianya adalah salah satu daripada ciri-ciri baitul muslim . Keakraban di antara ahli keluarga, hubungan di antara suami-isteri, ibu bapa dengan anak-anaknya bukan sahaja setakat hubungan di dunia tetapi ianya berkekalan hingga ke syurga, jika semua mereka layak untuk memasuki syurga Allah SWT.

Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman maksudnya :" Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya." (Surah al-Thur ayat 21)

Ayat di atas secara jelas menjelaskan kelebihan dua hala di dalam hubungan  ibu-bapa  dan anak cucu mereka di akhirat kelak. Orang-orang yang beriman akan ditempatkan di dalam syurga bersama dengan ibu-bapa serta anak cucu mereka sebagai salah satu bentuk nikmat dan hiburan kepada mereka.

Bahkan Allah akan mengangkat darjat ibu bapa yang soleh kerana doa anak-anak mereka, begitu juga meninggikan darjat anak- cucu disebabkan amal soleh ibu bapa (Tafsir Ibn Kathir)). Menurut Imam al-Razi, ayat ini juga menjadi bukti bahawa kasih sayang ibu bapa yang beriman berterusan sehingga ke akhirat (Tafsir al-Razi).

Walaubagaimanapun nikmat ini hanya dikhususkan kepada ibu bapa  dan anak cucu yang sama-sama beriman dan mati di dalam iman sahaja.

Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat beberapa persoalan mengenai pasangan suami isteri ketika di dunia adakah mereka akan bertemu semula di syurga seandainya kedua-duanya memasuki syurga? 
Seandainya amalan soleh isteri tidak sebanding dengan amalan soleh suaminya, apakah di syurga isteri tersebut boleh minta kepada Allah SWT ditempatkan bersama-sama suaminya ketika di dunia dahulu pada tingkat syurga yang sama ?

Berdasarkan  rujukan hadis, pendapat para ulama, dan sebagainya, selagi keduanya adalah hamba Allah yang baik dan soleh, maka kemungkinan besar Allah SWT akan menempatkan keduanya dalam tempat yang sama. Kerana, asalnya isteri seseorang di dunia akan ditempatkan juga kelak menjadi isterinya di akhirat, walaupun amalan  isteri tidak begitu banyak dengan amalan suaminya.

Nabi SAW bersabda maksudnya : ” Seorang lelaki datang kepada Rasulullah lalu bertanya, ” Ya Rasulullah, bagaimana menurut tuan seseorang yang mencintai suatu kaum namun dia tidak boleh menjakau ( amalan soleh ) mereka ? ” Lalu Rasulullah menjawab, ” Seseorang itu akan bersama dengan orang yang dia cintai “( Hadis Riwayat Bukhari No. 5703 dan Muslim No. 2640 )

Diriwayatkan dari Rasulullah SAW bahawa baginda ditanya , "Seorang wanita yang telah bernikah (berkahwin) dengan lebih dari dua atau tiga laki-laki, bersama siapakah ia tinggal di antara mereka di syurga?" Maka, baginda menjawab, "Ia akan memilih yang paling mulia akhlaknya."

Dalam suatu hadis yang lain terdapat penjelasan bahawa seorang wanita muslimah, akan menjadi isteri bagi suaminya yang terakhir ketika di dunia. Oleh kerana itu, isteri-isteri Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam, tidak boleh di kawini orang lain sepeninggal baginda, kerana mereka akan menjadi isteri-isteri baginda di akhirat.

Muawiyah bin Abi Sufyan pernah melamar Ummu Darda, namun dia enggan berkahwin dengannya. Dan dia berkata, “Aku pernah mendengar Abu Darda berkata, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda, “Wanita itu untuk suaminya yang terakhir.” 

Sedangkan aku tidak menginginkan pengganti Abu Darda.”

Dalam lafazh lain disebutkan,

اَيُّمَا امْرَأَةٍ تُوُفِّيَ عَنْهَا زَوْجُهَا فَتَزَوَّجَتْ بَعْدَهُ فَهِيَ ِلآخِرِ أَزْوَاجِهَا

“Wanita mana saja yang ditinggal mati suaminya, lalu dia menikah lagi setelahnya, maka dia milik suaminya yang terakhir.”  (Di nilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jamik dan di dalam al-Silsilah al-Sahihah no. 1281)


Terdapat beberapa soalan siapakah suami untuk wanita di syurga ?

Bagi para muslimah, mungkin belum jelas  lagi siapa suami mereka nanti  di syurga?

Terdapat enam keadaan wanita di dunia :

1. Dia meninggal dunia sebelum berkahwin.

2. Dia meninggal dunia setelah di ceraikan suaminya dan dia tidak berkahwin lagi sampai meninggal dunia( menjadi ibu tunggal sampai meninggal dunia)

3. Dia sudah berkahwin, dia masuk syurga sedangkan suaminya tidak bersamanya di syurga.

4. Dia meninggal dunia setelah berkahwin samaada suaminya kawin lagi sepeninggalnya atau pun tidak, yakni jika dia meninggal dunia terlebih dahulu sebelum suaminya.

5. Suaminya meninggal terlebih dahulu, kemudian kemudian dia tidak berkahwin lagi sampai meninggal dunia.

6. Suaminya meninggal dunia terlebih dahulu, lalu dia berkahwin lagi selepas habis idah.

Untuk menjawab enam persoalan di atas huraiannya adalah seperti berikut :

Jawapan untuk soalan 1,2 dan 3 wanita tersebut masuk syurga tanpa suami. Allah SWT akan kawinkan (nikahkan) dia dengan lelaki ahli syurga yang sama keadaannya iaitu lelaki yang meninggal dunia sebelum berkahwin atau lelaki yang bercerai dengan isterinya dan dia tidak kawin lagi sampai meninggal dunia atau lelaki yang dapat masuk syurga sedangkan isterinya tidak dapat masuk ke syurga bersamanya.

Abu Hurairah berkata Rasulullah SAW bersabda (maksudnya) : ”Tidak ada seorang bujangan di dalam syurga “ (Hadis Riwayat Muslim no. 2834)

Syaikh Ibnu Utsaimin berkata dalam Al-Fatawa jilid 2 No 177, jawabanya di ambil daripada ayat al-Quran berbentuk umum,  firman Allah SWT maksudnya : ”Di dalamnya kalian memperoleh apa yang kalian inginkan dan memperoleh ( pula) di dalamnya apa yang kalian minta. Turun dari Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. “ 
(Surah Fushshilat ayat 31)

Dan juga firman Allah SWT maksudnya : ”Dan didalam syurga itu terdapat segala apa yang di ingini oleh hati dan sedap ( di pandang ) mata dan kalian kekal di dalamnya “
(Surah Az-Zukhruf ayat 71)

Seorang wanita, jika dia termasuk ke dalam penghuni syurga akan tetapi dia belum berkahwin atau suaminya tidak termasuk ke dalam penghuni syurga, ketika dia masuk ke dalam syurga maka disana ada laki-laki penghuni syurga yang belum berkahwin. Mereka mempunyai isteri di kalangan bidadari. Dan mereka juga mempunyai isteri - isteri dari kalangan wanita dunia jika mereka berhajat. 

Demikian pula  perihal wanita jika mereka masuk ke syurga dalam keadaan tidak bersuami atau dia sudah bersuami di dunia akan tetapi suaminya tidak masuk ke dalam syurga. Maka dia (wanita tersebut) jika dia ingin berkahwin, maka pasti dia akan mendapatkan apa yang dia inginkan, berdasarkan  ayat di atas bersifat umum.

Dan beliau (Syaikh Ibnu Utsaimin)  juga berkata ” Jika dia ( wanita tersebut) belum berkahwin ketika di dunia, maka Allah SWT akan kawinkan dengan laki-laki yang dia senangi di syurga. Maka kenikmatan di syurga, tidaklah terbatas kepada kaum lelaki sahaja, tapi bersifat umum untuk kaum lelaki dan wanita. Dan diantara kenikamatan-kenikmatan tersebut adalah perkahwinan. “

Adapun wanita dalam keadaan soalan ke 4 atau ke 5, maka dia akan menjadi isteri di syurga kepada suaminya di dunia. (suaminya dapat masuk ke syurga)

Soalan ke 6, wanita yang kematian suami tetapi berkahwin dengan lelaki lain. Apabila seorang wanita ketika di dunia memiliki dua atau lebih suami, maka kelak di syurga dia dipersilakan untuk memilih siapa di antara suami-suaminya yang dia inginkan untuk menjadi pendampingnya di syurga, asalkan suaminya itu tergolong dari Ahli Syurga. Satu lagi pendapat mengatakan bahawa dia akan bersama suaminya yang terakhir. 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud :”Wanita itu milik suaminya yang paling akhir “
( Hadis Riwayat Abu Asy-Syaikh dalam Tarikh hal 270 dari sahabat Abu Darda dan disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Ash-Shohihah: 3/275/1281 )

Dan juga berdasarkan ucapan Hudzaifah kepada isteri beliau,” Jika kamu mahu menjadi isteriku disyurga, maka janganlah kamu menikah (berkahwin) lagi sepeninggalku, kerana wanita di syurga milik suaminya yang paling terakhir di dunia. Kerananya, Allah mengharamkan para isteri Nabi untuk menikah lagi sepeninggal baginda kerana mereka adalah isteri-isteri baginda di syurga. “( Hadis Riwayat Al-Baihaqi:7/69/13199 )

Sahabat yang dikasihi,
Wanita sayugianya menyedari bahawa tugas, tanggungjawab dan peranan mereka adalah berat, sukar untuk dilaksanakan dan sulit untuk di selesaikan tanpa panduan dan pemahaman yang benar-benar ikhlas dan mendalam. Sedarlah, bahawa jalannya sukar untuk menjadi suatu perhiasan yang terbaik atau untuk memiliki pangkat solehah itu, tapi usaha ke arah itu adalah wajib dibuat.

Juga sedarlah, bahawa diri wanita itu adalah senjata syaitan yang paling ampuh untuk melahirkan kerosakan kepada lelaki khasnya dan masyarakat amnya, dan senjata ini telah terbukti berkesan jika diikuti rentetan sejarah kehidupan manusia sejak penciptaan Nabi Adam a.s. Dari itu, berwaspadalah dan teruskan usaha mengejar anugerah syurga yang dijanjikan Allah kepada wanita-wanita yang solehah.

Terdapat di dalam kitab 'Uqud Al-Lujan' bahawa Nabi SAW  bersabda maksudnya : Empat wanita yang menjadi penghuni Syurga :

Pertama : Wanita yang menjaga dirinya daripada perkara yang haram dan ia tetap berbakti kepada Allah (mematuhi hukum Allah).

Kedua : Wanita yang banyak keturunan (melahirkan banyak anak ) lagi penyabar serta ia menerima sahaja pemberian Allah itu dan ia sabar dengan kehidupan yang serba kurang (qanaah) dan apa sahaja yang diberikan suaminya.

Ketiga : Wanita yang bersifat pemalu. Apabila suaminya pergi (keluar menjalankan tugas) ia menjaga dirinya dan tetap beramanah dengan harta suaminya. Jika suaminya pulang ia menjaga mulutnya daripada berkata yang boleh menguriskan hati suaminya.

Keempat : Wanita yang kematian suami dan ia mempunyai anak, dan ia tetap menjaga diri dan terus menerus menjaga dan mendidik anaknya (yang yatim) dan ia tidak bersedia untuk berkahwin kerana takut anak-anaknya terbiar."

Demikianlah gambaran daripada hadis-hadis Nabi s.a.w. tentang kelebihan darjat kaum wanita dan betapa mudahnya mereka mendapat darjat yang tinggi itu di sisi Allah serta betapa mudahnya jalan yang dibuka oleh Allah untuk memasuki Syurga.

No comments: