Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 10 adalah menjelaskan persoalan mengenai hukum memberi ucapan perayaan agama lain, mengandung anak luar nikah, menjawab salam, solat ketika sakit, solat berjemaah, waktu memberi nama pada anak, bersin dan menguap, mandi sunat, menutup aurat, mogok lapar, talak, bertaubat dan menghina orang cacat penglihatan.
181. Soalan: Apakah hukumnya memberi ucapan di atas hari kebesaran agama lain seperti krismas atau deepavali kerana ada beberapa pendapat tentang perkara ini. Ada yang membolehkan dan ada juga yang melarangnya?
Untuk menjawab persoalan ini terdapat dua pendapat iaitu pendapat pertama yang mengharamkan dan pendapat kedua yang mengharuskan.
Pendapat Pertama Yang Mengharamkan :
Umat Islam dilarang menyambut atau mengucapkan tahniah atau greeting kepada perayaan agama lain termasuk agama kristian atau deepavali. Mengucapkan merry christmas (selamat hari natal) atau selamat deepavali atau perayaan keagamaan orang-orang kafir adalah haram hukumnya menurut kesepakatan para ulama (ijma).
Islam mengharamkan seseorang muslim membuat apa-apa perbuatan atau ucapan yang mengiktiraf kekufuran atau kesesatan. Termasuk dalam hal ini membesarkan agama lain dengan mengucapkan ucapan yang mengagungkan atau mengiktiraf kekufuran, atau melakukan amalan ibadah yang mempunyai makna menyembah atau menyeru tuhan selain Allah. Maka, apa sahaja tindakan yang membawa kepada maksud yang disebutkan tadi adalah haram jika dilakukan dengan perbuatan atau ucapan. Jika disertai iktikad bahawa apa yang dilakukan itu benar atau betul, maka dia menjadi kafir.
Firman Allah SWT maksudnya : “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. (Surah al-Nahl, ayat 106).
Hal ini sebagaimana dinukil dari Ibn al-Qayyim rahimahullah di dalam kitabnya : "Ahkam Ahl adz-Dzimmah", beliau berkata, "Adapun mengucapkan selamat berkenaan dengan syiar-syiar kekufuran yang khusus bagi mereka adalah haram menurut kesepakatan para ulama, seperti mengucapkan selamat terhadap hari-hari besar mereka dan puasa mereka, walau sekadar mengucapkan contoh, "Semoga hari raya anda di beri kesejahteraan dan kegembiraan" atau kata-kata yang semisal dengannya.
Perbuatan ini, kalaupun orang yang mengucapkannya dapat lari dari kekufuran, maka dia tidak akan lari dari melakukan hal-hal yang diharamkan. Ucapan semacam ini setara dengan ucapannya terhadap perbuatan sujud terhadap Salib bahkan lebih besar dari itu dosanya di sisi Allah. Dan amat dimurka lagi bila memberikan selamat atas minum-minum khamar, melakukan perzinaan dan sebagainya. Banyak sekali orang yang tidak sedikitpun tersisa kadar keimanannya, yang terjatuh ke dalam hal itu sementara dia tidak sedar betapa buruk perbuatannya tersebut. Jadi, barangsiapa yang mengucapkan selamat kepada seorang hamba kerana melakukan suatu maksiat, bidaah atau kekufuran, maka bererti dia telah menghadapi kemurkaan Allah SWT dan kemarahan-Nya.
Mengenai kenapa Ibn al-Qayyim sampai menyatakan bahawa mengucapkan selamat kepada orang-orang kafir berkenaan dengan perayaan hari-hari besar keagamaan mereka haram dan posisinya demikian, kerana hal itu mengandungi persetujuan terhadap syiar-syiar kekufuran yang mereka lakukan dan meredai hal itu dilakukan mereka sekalipun dirinya sendiri tidak rela terhadap kekufuran itu, akan tetapi adalah haram bagi seorang muslim meredai syiar-syiar kekufuran atau mengucapkan selamat kepada orang lain berkenaan dengannya kerana Allah SWT tidak meredai hal itu, sebagaimana dalam firman-Nya. yang bermaksud : "Jika kamu kafir maka sesungguhnya Allah tidak memerlukan (iman) mu dan Dia tidak meredai kekafiran bagi hamba-Nya; dan jika kamu bersyukur, nescaya Dia meredai bagimu kesyukuranmu itu." (Surah Az-Zumar ayat 7)
Jadi, mengucapkan selamat kepada mereka berkenaan dengan hal itu adalah haram, baik mereka itu rakan-rakan sepejabat dengan kita ataupun tidak. Ulama ada berkata, "Reda kepada kufur boleh jatuh kufur."
Pendapat Kedua Yang Mengharuskan :
Majlis Fatwa Eropah (The European Council For Fatwa and Research) yang dianggotai oleh ramai sarjana muslim membolehkan muslim memberikan ucapan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka (Congratulating Non-Muslims on Their Festive Occasions). Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. Ini berteras ayat dalam Surah al-Nisa, ayat 86 .
Firman Allah SWT maksudnya:“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. (Surah al-Nisa, 86).
Pun begitu, mereka tetap mengharamkan muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan.
Fatwa yang sama yang mengharuskan ucapan sempena perayaan agama lain dikeluarkan oleh beberapa ulama lain seperti Dr Yusuf al-Qaradawi dan al-Mustafa al-Zarqa. Antara hujah yang digunakan oleh al-Syeikh Mustafa al-Zarqa adalah hadis Nabi SAW maksudnya :“Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi SAW satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata al-Zarqa: “Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan kemuliaan, tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut” (Fatawa Mustafa al-Zarqa, m.s 356. Damsyik: Dar al-Qalam).
Ertinya, beliau membandingkan mengucapkan selamat sempena hariraya agama lain kepada penganutnya, bukan bererti mengiktiraf akidah mereka.
Islam menyuruh kita mengucapkan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita.
Firman Allah SWT maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. (Surah al-Nisa ayat 86).
Sementara bagi mereka yang melihat ia bukan berunsur mengiktiraf kekufuran agama lain, sebaliknya sekadar melakukan barr ataupun kebaikan kepada penganut agama lain yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama yang berpendapat sebegini mengharuskan ucapan tersebut dengan syarat-syarat tertentu.
Ulama menjelaskan juga bahawa sekiranya kita terdiri daripada pemimpin masyarakat yang berbilang kaum (seperti Perdana Menteri, Menteri Kabinet, ahli Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri dan lain-lain) tidak dapat di elakkan untuk memberi ucapan maka pendapat kedua lebih bersesuaian itu pun sekadar ucapan bukan meraikan perayaan agama mereka. Untuk umat Islam yang lain perlu mengelakkan diri daripada memberi ucapan selamat kepada penganut agama lain semata-mata untuk menjaga akidah kita. Wallahualam.
182.Soalan: Tempoh hari saya dan kawan saya ada membaca mesej kawan saya seorang lagi kerana risau akan keadaan dan tingkah laku dia yang pelik dan kami terkejut membaca mesej tersebut yang menyatakan dia mengandung.Dia mahu gugurkan. Bagaimana kami mahu menolongnya sedangkan kawan saya itu tidak tahu yang kami sudah mengetahui hal tersebut?
Kes mengandung ini adalah akibat daripada pergaulan bebas dan mudah diperdayakan oleh syaitan dan hawa nafsu. Pesan pada kawan yang mengandung (anak luar nikah) jangan buat dosa dua kali, pertama dia sudah terlanjur berzina dan jangan jadi pembunuh pula kerana besar dosanya di sisi Allah SWT. Nasihatkan kepadanya selamatkan kandungannya berilah peluang bayi tersebut untuk hidup, jika tidak mahu membela sendiri tolong berikan pada orang lain yang sanggup membelanya.
Syaitan sangat gembira apabila dapat menjadikan seorang lelaki dan wanita melakukan zina kemudian hasil daripada zina tersebut menyebabkan wanita tersebut mengandungkan anak luar nikah lalu kerana perasaan malu dia sanggup pula melakukan pengguguran (pembunuhan) bayi dalam kandungan. Dengan jenayah bunuh seseorang anak Adam itu akan mendapat laknat Allah dan akan bersama-sama dengan syaitan di neraka.
Allah SWT melarang hamba-Nya untuk menghampiri zina sebagaimana firman-Nya yang bermaksud : "Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, suatu jalan yang buruk." (Surah Al-Israk ayat 32)
Allah SWT melarang hamba-Nya membunuh kerana takut miskin (termasuk juga membunuh kerana takut mendapat malu). Sesungguhnya perbuatan membunuh adalah suatu dosa yang besar.
Firman-Nya yang bermaksud : "Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepadamu. Membunuh mereka itu sungguh suatu dosa yang besar." (Surah Al-Israk ayat 31)
Dalam satu riwayat menyatakan : “Orang yang mati terbunuh , akan datang di hari kiamat dengan mengantungkan kepalanya di salah satu tangannya , sambil memegang pembunuhnya dengan tangan yang lain , sedang darah terus mengalir. Apabila mereka berdua sudah ada di hadapan Allah, maka orang yang terbunuh itu berkata : 'Ya Allah, inilah orang yang telah membunuh aku'. Maka Allah berkata kepada si pembunuh : 'Celakalah engkau', lalu di bawalah orang itu ke neraka.”
183.Soalan: Jika orang bukan Islam memberi salam kepada kita yang beragama Islam, apa yang perlu kita jawab?
Terdapat hadis-hadis yang menunjukkan larangan memberi dan menjawab salam kepada orang bukan Islam seperti berikut: -
Pertama: Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya; “Janganlah memulakan ucapan salam kepada Yahudi dan Nasrani dan jika kamu bertemu dengan mereka di perjalanan, tolaklah mereka ke arah sudut yang sempit.” (Hadis Riwayat Muslim)
Kedua: Dari Qatadah, dari Anas bin Malik r.a. bahawa sahabat Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bertanya kepada baginda: “Bahawa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) memberi salam kepada kami, maka bagaimana kami membalasnya? Baginda menjawab: Jawablah dengan ucapan wa’alaikum.” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, an-Nasai dan Ibn Majah)
Hadis di atas jelas menyatakan bahawa orang Islam tidak boleh memulakan salam kepada Yahudi, Kristian dan orang-orang musyrikin, memadailah dengan ucapan "wa'alaiku" apabila mereka mengucapkan salam kepada kita terlebih dahulu. Ucapan salam menumbuhkan perasaan kasih sayang, tetapi berkasih sayang di antara orang kafir adalah dilarang sama sekali.
Al-Quran menyebutkan bahawa firman Allah SWT yang bermaksud : “Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya...” (Surah al-Mujaadalah, ayat 22).
Sebagai gantinya, ucapan yang menjadi kebiasaan boleh digunakan.Para ulama bersetuju bahawa cara yang dibolehkan menjawab salam orang bukan Islam hanyalah sekadar menyebut ucapan “wa’alika” atau “wa’alaikum” dan ia hendaklah dikhususkan kepada kafir zimmi sahaja (kafir yang tidak bermusuhan dengan orang Islam). (Tafsir al-Mazhari, 2/175)
184.Soalan: Saya mempunyai masalah kesihatan dan jika saya bersolat sendirian saya mampu berdiri tetapi jika berjemaah saya tidak mampu berdiri dan berasa kaki bergetar dan mahu pitam. Apakah yang perlu saya lakukan?
Jika ada masaalah untuk berdiri ketika solat maka Islam beri kelongaran untuk solat duduk. Solat Jumaat wajib dan solat berjemaah dimasjid atau surau sunat yg dituntut. Duduk semasa solat berjemaah dibenarkan jika keuzuran.
Firman Allah SWT maksudnya : "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya."( Surah Al-Baqarah ayat 286)
Sabda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dalam hadis Imran bin Husain radhiyallahu 'anhu:
كَانَتْ بِي بَوَاسِيرُ فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الصَّلَاةِ فَقَالَ صَلِّ قَائِمًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
"Pernah penyakit wasir menimpaku, lalu aku bertanya kepada Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam tentang cara solatnya. Maka baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam menjawab: Solatlah dengan berdiri, apabila tidak mampu, maka duduklah dan bila tidak mampu juga maka berbaringlah” (Hadis Riwayat Bukhari no. 1117)
185.Soalan: Saya datang ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah. Saya tiba ketika imam sudah sujud rakaat pertama lalu saya berjemaah terus. Perlukah saya tambah satu rakaat lagi selepas salam?
Jika sampai ke saf imam sedang sujud pertama, maka wajib tambah satu rekaat, tapi jika dapat rukuk bersama imam dikira dapat rekaat tersebut dan tidak perlu tambah rakaat lagi.
Sabda Nabi SAW :-
مَنْ أَدْرَكَ الرُّكُوعَ فَقَدْ أَدْرَكَ الرَّكْعَةَ
Maksudnya : “Barangsiapa yang mendapa rukuk (bersama Imam) maka dia telah mendapat rakaat” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Menurut Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (23/133), ulama fiqh bersepakat bahawa barangsiapa mendapatkan Imam didalam rukuk maka dia telah mendapat rakaat secara berjemaah sebagaimana dijelaskan didalam hadis diatas. Athar sahabat juga menjelaskan bahawa Ibn Mas’ud, Ibn Umar, Zayed ibn Thaabit berpegang kepada pendapat ini..
186.Soalan: Jika kita sudah tegur isteri kita untuk menutup aurat tetapi dia masih tidak buat adakah dosa dia tetap kita tanggung?
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Berlaku baiklah terhadap kaum wanita lantaran mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok adalah bahagian yang teratas, jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok, maka berlaku baiklah terhadap kaum wanita kamu."
(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Jika kita sudah tegur isteri untuk menutup aurat tetapi dia masih tidak mahu menutup aurat maka dosa itu isteri akan tanggung sendiri, tetapi sebagai suami kita mesti teruskan menasihatinya jangan jemu dan putus asa kerana kesabaran kita berdakwah kepada isteri akan diberikan pahala oleh Allah SWT.
Jika isteri nusyuz (derhaka) suami mestilah melakukan tindakan-tindakan berikut: bersabar menghadapi karenah isteri, memberi nasihat, pisahkan tempat tidur, memukul (pukulan yang ringan untuk mengajarnya). Jika tidak berjaya krisis itu dirujuk kepada hakam untuk mencari penyelesaian. Jika ini juga tidak berhasil pilihan terakhir suami, jika dia mahu, ialah menceraikan isterinya dengan talak satu.
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar." (Surah an- Nisaa ayat 34)
187.Soalan: Ditempat kerja saya ada pekerja pandai menilik orang, maksudnya semua dia boleh nampak luar dan dalam keadaan seseorang itu. Adakah doa untuk menutup keaiban kita dari pada dilihat oleh orang yang tidak berniat baik?
Jangan percaya ada seseorang boleh melihat perkara ghaib atau dia boleh membaca apa yang ada dihati kita. Jika mereka guna jin pun jin tidak akan tahu perkara ghaib. Ini hanya dakwaan dan mainan syaitan saja.
Walaubagimana pun kita tidak menafikan Allah SWT boleh mengurniakan karamah, firasat dan khasaf kepada siapa yang Dia kehendaki tetapi ini berlaku kepada orang mukmin yang benar-benar bertakwa, soleh dan bersih mata hatinya.
Karamah ertinya, kemuliaan. Kekuataan spritual yang diberikan kepada para wali Allah. Karamah menunjukkan sesuatu yang luar biasa dan menakjubkan. Kurniaan yang paling besar ialah berkaitan pengetahuan mengenai Allah SWT. Keadaan luar biasa atau keajaiban adalah takdir Ilahi. Ia bersumber daripada penetapan Ilahi yang selaras dengan sunahtullah kerana ia adalah manifestasi kudrat Ilahi.
Firasat ialah perasaan atau gerakan hati yang benar atau tepat kerana mendapat pimpinan dari Allah SWT sebagiaman sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Takutlah olehmu firasat orang mukmin kerana ia memandang dengan cahaya Allah.” (Hadis Riwayat At Tarmizi)
Kasyaf ertinya ’singkap’ yakni tabir-tabir jadi penghalang atau yang jadi hijab pada mata batin untuk melihat alam ghaib atau rohaniah itu, Allah SWT singkapkan. AllahSWT buka dan perlihatkan.Tabir-tabir penghalang itu adalah sifat-sifat mazmumah yang ada di dalam hati mausia.
Jika kita melihat peribadi atau akhlak seseorang bukan terdiri daripada peribadi seorang mukmin yang soleh lagi warak, suka mengumpat, tidak menjaga solatnya tiba-tiba dia mengaku boleh melihat batin orang lain maka perlu di ingatkan bahawa dia mungkin ada menuntut ilmu sihir atau bersahabat dengan jin. Jauhi orang seperti ini. Dakwaannya sebenarnya tidak tepat hanya menduga-duga sahaja.
Nabi SAW sering mengajar umatnya supaya sentiasa berdoa dengan doa-doa yang mashur yang terdapat di dalam al-Quran dan sunahnya sebagai doa perlindung diri daripada gangguan syaitan dan musibah. Di dalam al-Quran terdapat banyak doa-doa yang diajarkan oleh Allah SWT untuk Nabi SAW ucapkan , untuk para Rasul , orang-orang soleh dan mereka-mereka yang dekat dengan Allah SWT . Salah satu doa tersebut adalah seperti dalam surah at-Taubah ayat 129.
Dari Abu Darda' r.a dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda maksudnya; "Barangsiapa diwaktu pagi dan petang membaca ; 'Hasbiallahu lailahaillahu alaihitawakkaltu wahuwarabbul 'arsilazim' (Cukuplah Allah bagiku; tidak ada tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal. dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy yang agung ' (Surah at-Taubah ayat 129), tujuh kali, maka Allah akan mencukupi apa yang diinginkan dari perkara dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Ibnu Sunni dan Ibnu Asakil secara marfu')
188.soalan: Bilakah waktu yang sesuai hendak memberi nama kepada bayi yang baru lahir?
Ashhabu‘s-sunan telah meriwayatkan dari Samirah. Ia telah mengatakan bahawa; Rasulullah SAW bersabda: ”Setiap anak itu digadaikan dengan aqiqahnya.Disembelihkan (binatang) baginya pada hari ke-tujuh (dari kelahiran)nya, diberi nama dan dicukur kepalanya pada hari (ke-tujuh) itu.”
Hadis ini mengatakan bahawa pemberian nama kepada anak yang baru dilahirkan dilakukan pada hari ketujuh kelahirannya.
189.Soalan: Adakah kita disarankan menutup mulut ketika bersin dan apakah hukumnya jika kita mengeraskan suara ketika bersin dan menguap?
Abu Daud dan At-Tirmidzi meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a: “Apabila Rasulullah SAW bersin, maka baginda menutup mulutnya dengan menggunakan tangan atau kainnya, dan menahan suara dengannya (tangan atau kainnya).”
Menurut hadis lain, Ibnu Sunni meriwayatkan dari Abdullah bin Zubair r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla tidak suka apabila (seseorang) mengeraskan suaranya pada waktu menguap dan bersin.”
Salah satu hak Muslim kepada Muslim yang lain adalah menjawab bersin seseorang apabila dia berkata 'almamdulillah' maka jawapannya adalah dengan mengucapkan do'a 'yarhamukallah' (semoga Allah merahmatimu).
Anas bin Malik r.a. bercerita, ada dua orang bersin dekat Nabi Muhammad s.a.w. Baginda mendoakan (tasymit) seorang daripada keduanya, namun tidak mendoakan seorang yang lain. Ditanya alasannya, Rasulullah SAW. menjawab: “Sebab yang seorang mengucapkan ‘alhamdulillah’, sedangkan yang seorang lagi tidak membacanya.” (Hadis Riwayat Bukhari).
Jadi orang bersin dan tidak membaca alhamdulillah tidak layak didoakan kerana tidak bersyukur nikmat yang Allah s.w.t. kurniakan. Pada hal bersin termasuk antara nikmat daripada Allah yang manfaatnya sangat besar dan mustajab.
Menurut Ibnu Qaiyyim, bersin dapat mengeluarkan wap dari dalam otak yang jika dibiarkan (tidak dimanfaatkan) akan berbahaya. (Kitab Zadul Ma’ad).
Untuk itulah, setelah bersin, dengan membaca hamdalah, sebagai bukti bersyukur kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jika seorang di antara kamu bersin, ucapkanlah `alhamdulillah’ (segala puji bagi Allah). Di samping itu orang yang mendengarnya mendoakan dengan ucapan `yarhamukallah’ (semoga Allah merahmatimu), orang yang bersin tadi membaca doa `yahdikumullahu wa yusilhu balakum’ (semoga Allah memberikan hidayah dan memperbaiki keadaanmu.” (Hadis Riwayat Bukhari).
Apakah dia menguap (tatha’ub)? Menguap bererti layu dan malas. Menguap terjadi kerana minimumnya oksigen dalam tubuh. Biasanya, orang menguap apabila tubuh lelah, malas, bosan, atau mengantuk. Nabi SAW bersabda yang maksudnya : “Menguap itu daripada syaitan. Oleh itu jika menguap, tahanlah sedapat mungkin. Sebab jika orang menguap hingga terucap `ha’ , syaitan tertawa menyaksikannya.” (Hadis Riwayat Bukhari).
Sesetengah orang apabila menguap, ia tidak menutupi mulutnya, syaitan amat menyukai yang demikian, di samping itu juga virus akan keluar dari mulut seseorang yang boleh menyebarkan penyakit. Ulama menganjurkan kita bila sahaja menguap tahan jangan membuka mulut dan terus membaca membaca 'auzubillahiminasyaitanirrajim bismillahirahmanirrahim' supaya syaitan yang datang menganggu dapat dijauhi daripada mentertawakan kita.
Syaitan tertawa gembira dengan tabiat demikian, kerana menyukai kemalasan dan kedunguan, sedangkan agama sangat anti dengan kemalasan dan menganjurkan umatnya untuk giat bekerja dan beramal. Nabi s.a.w pun selalu berlindung daripada sifat kemalasan dan unsur yang negatif.
Sunnahnya orang bersin merendahkan suaranya. Faedahnya ialah ketika orang bersin kebanyakannya membuat suara tinggi yang boleh mengganggu, maka disunnahkan baginya untuk merendahkan suaranya dengan meletakkan tangannya atau pakaiannya ke wajahnya.
Abu Hanifah meriwayatkan: “Bahawa Nabi SAW. apabila bersin baginda menutup wajahnya dengan tangan atau pakaiannya dan dengan demikian baginda merendahkan suaranya.”
Abu Hurairah berkata: “Doakan saudaramu yang bersin sebanyak tiga kali, kalau lebih daripada tiga maka dia sedang selesema.”
Dalam hadis yang disebutkan Abu Musa al-Asya’ari pula, berkata: “Seorang Yahudi bersin di sisi Rasulullah, dia berharap agar Nabi mengucapkan untuknya yarhamukallah, namun yang Nabi ucapkan adalah: `yahdikumullah wa yuslihu balakum.’”
Berdasarkan hadis ini boleh mendoakan ahlu zimmah, apabila mereka bertahmid setelah bersin, dengan doa hidayah dan taufik kepada keimanan, dan tidak mendoakan mereka dengan rahmat dan maghfirah, kerana mereka tidak sesuai untuk doa itu, manakala orang yang bersin di dalam solat boleh bertahmid kepada Allah, namun tidak boleh bagi orang yang mendengarnya mendoakannya dengan mengucapkan yarhakumullah.
190.soalan: Adakah kita dituntut memberi salam kepada anak-anak kecil?
Dalam sebuah riwayat Muslim dikatakan: bahawa Rasulullah SAW berlalu pada anak-anak kecil lalu baginda memberikan salam kepada mereka. Dalam sebuah riwayat Abu Daud dikatakan : “Bahawa Nabi Muhammad SAW berlalu pada anak-anak kecil yang tengah bermain lalu baginda memberi salam kepada mereka.” Menurut riwayat diatas, kita dituntut memberi salam kepada sesiapa pun meskipun anak-anak kecil.
191.soalan: Apakah kita dibenarkan berbisik berdua sahaja didepan orang ketiga di dalam satu majlis?
Asy-Syaikhani meriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jika kalian bertiga, maka janganlah dua orang di antara kalian berbisik-bisik, tanpa mengajak orang ketiga sebab hal itu akan membuatnya (orang ketiga) sedih atau tersinggung.”
Mengapa kita dilarang berbisik-bisik berdua jika situasi kita ketika itu bertiga adalah kerana orang ketiga akan menduga-duga dan merasa sedih lantaran tidak dihiraukan. Islam mengajarkan kita supaya menjauhi segala prasangka buruk yang boleh menimbulkan fitnah.
192.Soalan: Selain mandi wajib,ada berapakah jenis mandi sunat?
Selain mandi wajib, syariat Islam menggalakkan pula melakukan mandi sunat (dapat pahala sunat) bagi seseorang yang mandi kerana menyempurnakan ibadat-ibadat tertentu. Diantaranya ialah:
1. Mandi kerana hendak pergi menunaikan solat Jumaat.
2. Mandi sunat Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha.
3. Mandi sunat selepas memandikan jenazah.
4. Mandi Sunat selepas seseorang memeluk agama Islam jika belum pernah berjunub. Jika pernah berjunub hendaklah mandi wajib.
5. Mandi sunat selepas seseorang itu siuman daripada gila atau sedar dari pengsan.
6. Mandi sunat Ihram (sebelum memakai pakaian ihram) untuk mengerjakan ibadat Haji atau Umrah.
7. Mandi sunat kerana gerhana matahari atau bulan.
8. Mandi kerana berubah bau badan.
9. Mandi sunat untuk musafir yang diharuskan.(bukan untuk melakukan kemaksiatan)
193.Soalan: Apakah hukum wanita yang sekejap memakai tudung dan sekejap tidak memakainya ketika keluar rumah?
Wanita yang membuka aurat ketika keluar rumah dan menampakkan perhiasan dirinya kepada lelaki yang bukan mahram adalah berdosa . Jika mereka sekejap memakai tudung dan sekejab membukanya ketika keluar rumah adalah wanita yang cuba mempermain-mainkan agama dan jahil tentang perintah Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur,ayat 31)
Jika wanita sudah memakai tudung untuk menutup aurat maka mereka perlulah istiqamah dengan pemakaian tudung tersebut . Samaada diluar rumah atau pun di dalam rumah jika di dalam rumah tersebut terdapat lelaki yang bukan mahram.
194.soalan: Adakah kita dibolehkan menjawab salam ketika kita berada di dalam tandas?
Pada suatu ketika Rasulullah SAW sedang membuang air kecil apabila orang memberi ucapan “Assalamualaikum” kepadanya, baginda tidak membalas salam itu. Setelah selesai, baginda meminta maaf kepada orang itu dan menjelaskan ; ”Sesungguhnya saya tidak suka menyebut nama Allah Azza wa Jalla kecuali apabila dalam keadaan suci.”
195.Soalan: Adakah kita dibolehkan mogok (mogok lapar) sebagai tanda bantahan ke atas sesuatu kezaliman?
Mogok yang boleh mendatangkan kemudaratan ke atas diri si perlaku dan orang lain adalah sangat dilarang di dalam Islam. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: ”Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah,ayat 195)
Islam mengajar kita erti kesabaran dengan sentiasa reda atas apa jua dugaan dan bukan dengan cara bermogok terutama jika boleh menjejaskan nyawa. Walaubagiaman pun sekiranya berlaku dipenjara Israil mereka di seksa tanpa peri kemanusiaan mereka boleh melakukan protes dengan mogok lapar kerana darurat supaya dunia tahu bahawa kekejaman tentera zionis menyeksa rakyat Palestin yang tidak berdosa.
196.Soalan: Ada berapakah hukum talak yang terdapat dalam syariat Islam?
Hukum talak terbahagi kepada empat :
1. Wajib :
a) Jika perbalahan suami isteri tidak dapat didamaikan lagi.
b) Dua orang wakil daripada pihak suami dan isteri gagal membuat kata sepakat untuk perdamaian rumahtangga mereka.
c) Apabila pihak kadi berpendapat bahawa talak adalah lebih baik.
d) Jika tidak diceraikan keadaan sedemikian, maka berdosalah suami.
2. Haram :
a) Menceraikan isteri ketika sedang haid atau nifas.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar: Beliau menceraikan isterinya ketika haid di zaman Nabi SAW. Saidina Umar Al-Khattab bertanya kepada Nabi SAW mengenai perkara itu: "Perintahkan supaya beliau rujuk kembali, jangan ceraikan sehingga dia suci."
Berdasarkan nas di atas, hikmah diharamkan Talak Bidie ini adalah kerana ia mendatangkan mudarat kepada isteri dan kaum wanita secara amnya. Ini kerana tempoh edah isteri akan menjadi lebih panjang kerana masa haidnya tidak boleh dikira sebagai permulaan edah.
b) Ketika keadaan suci yang telah disetubuhi.
c) Ketika suami sedang sakit yang bertujuan menghalang isterinya daripada menuntut harta pusakanya.
d) Menceraikan isterinya dengan talak tiga sekali gus atau talak satu tetapi disebut berulang kali sehingga cukup tiga kali atau lebih.
3. Sunat :
a) Suami tidak mampu menanggung nafkah isterinya.
b) Isterinya tidak menjaga maruah dirinya.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seorang lelaki datang menemui Nabi SAW. lalu berkata : Bahawasanya isteriku tidak menolak akan tangan orang yang menyentuhnya, jawab Nabi SAW hendaklah engkau ceraikan isteri engkau itu.”
4. Makruh :
Suami menjatuhkan talak kepada isterinya yang baik, berakhlak mulia dan mempunyai pengetahuan agama.
5. Harus :
Suami yang lemah keinginan nafsunya atau isterinya belum datang haid atau telah putus haidnya.
Perlu diingatkan bahawa para suami hendaklah berhati-hati dengan ungkapan TALAK. Meskipun niatnya hanya lah gurauan semata-mata namun TALAK yang diungkapkan itu tetap akan jatuh.
197. Soalan: Saya sering dikatakan seorang yang mempunyai hati yang keras yang sentiasa ingin menghamburkan kemarahan tanpa tujuan. Apakah yang patut saya lakukan agar hati saya menjadi lembut (tidak cepat marah)?
Kemarahan adalah bara api yang ditanamkan syaitan ke dalam hati manusia, sehingga secara fizikal, kita pun dapat melihat tanda-tanda kemarahan, seperti mata menjadi merah, urat lehernya menegang, tangan gemetar sampai mengeluarkan sumpah serapah. Jika tidak dapat mengendalikan marah, maka manusia akan kehilangan akal yang sihat.
Diriwayatkan oleh Imam Thabrani dari Abu Darda r.a : “Sukakah kamu hatimu menjadi lembut, keinginanmu tercapai? Kasihanilah anak yatim, belailah kepalanya dan berilah ia makanan dari makananmu, nescaya hatimu lembut, cita-citamu tercapai.”
Ada seorang lelaki yang datang menemui Rasulullah SAW.dan mengatakan, “Wahai Rasulullah, ajarkanlah kepada saya sebuah ilmu yang boleh mendekatkan saya ke syurga dan menjauhkan dari neraka.” Maka baginda SAW .bersabda, “Jangan tumpahkan kemarahanmu. Nescaya syurga akan kau dapatkan.” (Hadis Sahih Riwayat Thabrani dari Abu Darda' r.a)
Apabila kita marah maka doa untuk mengawal diri daripada sifat marah bacakan doa ini :
"Ya Allah, sejukkanlah hatiku dengan salji dan kesejukan dan air yang sejuk. Ya Allah bersihkanlah hatiku daripada dosa-dosa sebagaimana Engkau membersihkan baju yang putih daripada kekotoran." (Hadis Riwayat Tirmizi)
198.soalan: Walaupun saya seorang yang beragama Islam, tetapi saya mempunyai masa silam iaitu sering meninggalkan solat fardu, puasa, dan zakat. Saya mengambil tahu hal yang berkaitan soal agama secara sambil lewa sahaja. Tetapi itu semua sebelum saya berubah meninggalkan perkara-perkara masa silam itu. Sekarang, saya mahu berubah, tetapi saya sering dibayangi dosa-dosa masa silam itu. Adakah segala taubat dan penyesalan saya diterima oleh Allah?
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Semua anak Adam (manusia) itu sering membuat kesalahan (dosa) dan sebaik-baik manusia yang membuat kesalahan (dosa) itu ialah orang-orang yang bertaubat." (Hadis Riwayat Tirmizi)
Asalkan saudara meminta ampun dan bertaubat tidak mengulanginya lagi, Allah SWT sudi mengampunkan segala kesalahan saudara selagi tidak mensyirikkan (menyekutukan) Allah SWT dengan yang lain.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Nisa’, ayat 110)
Agama Islam cukup mudah dan indah. Walau banyak manapun kita melakukan kesalahan selagi kita tidak menyekutukan Allah dengan yang lain, selagi itu segala dosa kita diampunkan oleh Allah. Agama Islam itu tidak menyulitkan penganutnya.
Ulama menjelaskan bahawa sesiapa yang pernah meninggalkan solat, puasa dan zakat dia telah berhutang dengan Allah SWT maka wajiblah dia mengqada solat dan puasa atau menjelaskannya secara beransur-ansur hingga selesai . Puasa yang ditinggalkannya jika melepasi tahun berikutnya ada fidyah yang perlu ditunaikan. Jumlah zakat yang tidak ditunaikan jika cukup nisab dan tempuhnya bolehlah di buat kiraan semula dan membayarnya sebanyak 2.5% daripada jumlah simpanan tersebut.
199. Soalan: Apakah kelebihan jika kita suka membahagiakan orang lain walaupun diri kita sendiri dalam keadaan yang duka?
Membahagiakan hati orang lain adalah sifat yang sangat mulia apatah lagi diri kita sendiri dalam keadaan berduka. Sepertimana Rasulullah SAW bersabda dari Aisyah r.a. : “Barang siapa yang memasukkan kebahagiaan ke dalam rumah kaum muslimin, maka Allah tidak akan merelakan pahala untuknya selain daripada syurga.” (Hadis Riwayat Thabrani)
Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi SAW, baginda telah bersabda: "Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan kiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutup keaiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya. Barangsiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan menuju ke syurga. Sesuatu kaum tidak berkumpul di salah sebuah rumah-rumah Allah (iaitu masjid) sambil mereka membaca Kitab Allah dan mengkajinya sesama mereka melainkan suasana ketenangan akan turun ke atas mereka, rahmat akan melitupi mereka dan mereka akan di kelilingi oleh para malaikat dan Allah akan menyebut (perihal) mereka kepada orang-orang yang berada di sisiNya. Barangsiapa yang terlambat amalannya, nescaya nasab keturunannya tidak mampu mempercepatkannya." (Hadis Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas terdapat beberapa kebaikan-kebaiakan yang boleh dijadikan panduan dan iktibar. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :
1. Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan kiamat.
2. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat
3. Barangsiapa yang menutup keaiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat.
4. Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya.
5. Barangsiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan menuju ke syurga
6. Sesuatu kaum tidak berkumpul di salah sebuah rumah-rumah Allah (iaitu masjid) sambil mereka membaca Kitab Allah dan mengkajinya sesama mereka melainkan suasana ketenangan akan turun ke atas mereka, rahmat akan melitupi mereka dan mereka akan di kelilingi oleh para malaikat dan Allah akan menyebut (perihal) mereka kepada orang-orang yang berada di sisiNya.
7. Barangsiapa yang terlambat amalannya, nescaya nasab keturunannya tidak mampu mempercepatkannya
200. Soalan: Saya seorang yang cacat penglihatan (buta). Seringkali saya diejek, dihambur dengan kata-kata nista dan sebagainya. Sedangkan saya tidak pernah pun meminta dijadikan seperti ini (buta). Apakah yang patut saya lakukan untuk saya terus kuat menghadapi tohmahan-tohmahan orang sekeliling?
Allah SWT melarang sesiapa sahaja dikalangan para hamba-Nya yang menghina orang cacat anggota kerana semua kejadian yang berlaku adalah ciptaan Allah SWT. Besar dosanya di sisi Allah SWT jika kita menghina dan mengejek mereka yang kurang bernasib baik. kerana penghinaan tersebut sebenarnya menghina ciptaan Allah SWT. Saudara bersabarlah di atas dugaan ini kerana jika saudara bersabar besar ganjarannya di sisi Allah SWT.
Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (Surah Al-Hujurat ayat 11)
Setiap apa yang diciptakan oleh yang Maha Pencipta adalah suatu rahmat yang penuh dengan hikmah yang tidak diketahui oleh hamba-hamba ciptaan-Nya. Dari Ibnu Umar r.a, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, ”Barang siapa yang ditiadakan penglihatannya oleh Allah (buta), sedang ia bersabar dan menerimanya, maka menjadi Allah (ia berhak) untuk membebaskan kedua matanya dari api neraka.” (Hadis Riwayat Thabrani)
Bersambung..

No comments:
Post a Comment