Wednesday, July 31, 2013

Soal Jawab Agama Siri 65 (Orang Berilmu, Balasan Untuk Pendakwah, Harta Dunia Dan Lain-lain)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Soal Jawab Agama Siri 65 adalah menjelaskan persoalan balasan orang berilmu tidak hayati ilmunya, balasan kebaikan bagi pendakwah, harta dunia, lemah iman dan menangguhkan kerja.

611. Soalan : Apakah balasan yang akan diterima di akhirat apabila seorang alim (berilmu) yang mengajak manusia kepada kebenaran dan menyuruh meninggalkan kemugkaran sedangkan dirinya sendiri tidak melaksanakannya?

Jawapan :


Dalam perjalanan Israk tersebut, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bertembung dengan beberapa lelaki yang menggigit bara api di dalam mulut mereka.

Baginda bertanya: “(Wahai Jibrail), siapakah mereka?”

Jibrail menjawab: “Mereka itu ialah para khatib di dunia yang menyuruh manusia berbuat kebaikan sedang mereka lupa akan diri mereka sendiri; padahal mereka semua membaca Kitab (al-Quran), tidakkah mereka berakal (untuk memikirkannya)?” 

(Hadis Riwayat Ahmad, hadis no: 12211 dan dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth. Ia merujuk kepada ayat 44 surah al-Baqarah.

Firman Allah SWT yang bermaksud : " Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri, pada hal kamu membaca Kitab (Taurat)? Tidakkah kamu mengerti?"

Perkara di atas tidak hanya khusus kepada para khatib kerana dalam al-Quran Allah Subhanahu wa Ta'ala mengingatkan: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah al-Saff (61) ayat 2-3)

612. Soalan : Apabila kita memperjuangkan agama Allah SWT menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar apakah balasan yang akan kita terima daripada Allah SWT?

Jawpan :

Tidak ada amalan yang paling baik di dunia ini melainkan kita menegakkan agama Allah SWT di muka bumi dengan menyeru manusia kembali beriman dan patuh kepada perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Balasan yang akan diterima adalah syurga.

Dalam rangka kita memperjuangkan agama Islam, sama ada menyebarkannya atau membelanya, kadangkala kita akan menemui cabaran dan kesukaran. Janganlah berputus asa, tetapkanlah keyakinan bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala akan membantu kita dengan cara-cara yang tidak disangka-sangkakan. Allah berjanji:

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Surah Muhammad (47) ayat 07)

Tentu saja janji ini dengan syarat kita telah melakukan segala usaha dan persiapan yang patut kerana Allah juga telah mensyaratkan: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra’d (13) ayat 11)

Jika kita tetap pendirian membela agama Allah SWT semua urusan kita akan dipermudahkan. Di murahkan rezeki, di panjangkan umur di berkati hidup berkeluarga dan dijauhi segala fitnah dan musibah dan di akhirat nanti akan mendapat balasan syurga.

613. Soalan : Apakah pandangan Islam bagi seseorang yang mencari harta dunia sehingga melupakan kewajipan beribadah kepoada Allah SWT.?

Jawapan :


Islam tidak menghalang seseorang mencari harta dunia, carilah sebanyak-banyaknya tetapi dengan syarat jangan lupa melaksanakan solat dan ibadah kepada Allah SWT, jangan lupa membayar zakat dan bersedekah kepada golongan miskin dan jangan sombong dan bermegah-megah dengan harta yang dimiliki. Dengan kekayaan akan mendekatkan diri kita dengan Allah SWT.

Qarun, kaum 'Ad, kaum Samud dan kaum Luth semua mereka maju dengan pembangunan material tetapi mereka engkar dengan perintah Allah S.W.T. yang di bawa oleh para Rasul maka mereka dibinasakan oleh Allah S.W.T.

Sebuk dengan dunia hingga membuang masa dengan kerja-kerja yang tak berfaedah.
Firman Allah s.w.t bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.”
(Surah Al-A’laa: 16-17)


Apabila seseorang sibuk dengan hal-hal dunia seperti hiburan yang melalaikan , hanya memikirkan nak besarkan rumah, perabut yang mahal-mahal, kereta mewah, untuk mengaut keuntungan dan bekerja siang malam , jika kesemua ini menjejaskan berhubungannya dengan Allah, dan membuat seseorang merasa jauh dari kedudukan yang tinggi di akhirat kelak, sebenarnya dia sedang ghairah dan mabuk dengan dunia.

Firman Allah maksudnya :“Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).”  (Surah At-Takaatsur ayat  6)

614. Soalan : Sekiranya seseorang itu malas beribadah, tidak pernah mengingati kematian, tidak rasa bersalah apabila melakukan dosa-dosa kecil atau besar tanda seseorang menjadi futur dan lemah iman?

Jawapan :


Benar, apabila terdapat 3 ciri -ciri diatas iaitu  :

1.  Malas beribadah,
2. Tidak ada perasaan takut mengenai kematian
3. Tidak rasa bersalah apabila melakukan dosa-dosa kecil atau besar.

Adalah tandanya seseorang memiliki iman yang lemah dan sedang futur (tidak takut kepada Allah dan jiwnya sedang sakit)
Huraiannya : 


1. Malas beribadah.

Sering melewat-lewatkan waktu solat. Kadangkala sehingga terlepas waktunya tanpa disedari. Malas solat sunat , berzikir dan membaca al-Quran . Menghabiskan banyak masa untuk tidur, berbual kosong atau melayan hobi yang kurang manfaatnya.
Betapa besarnya dosa orang yang meninggalkan solat atau melalaikan solat hingga luput waktunya. Renungkan hadis Rasulullah S.A.W. di bawah yang menghalang perbuatan tersebut .

Saad bin Abi waqas bertanya Rasulullah S.A.W. mengenai orang yang melalaikan solat maka jawab baginda " Iaitu mengakhirkan waktu solatnya dari waktu asalnya hingga sampai waktu solat lain. Mereka telah mensia-siakan dan melewatkan waktu solatnya, maka mereka diancam dengan Neraka Wail".


2. Tidak ada perasaan takut mengenai kematian. 


Apabila hati tidak langsung mengingati kematian ini bermakna iman sedang ditahap yang lemah. Oleh itu kita digalakkan menziarahi orang mati  dan menziarahi kubur sebagai ubat agar hati dapat mengambil pengajaran daripada kematian. Hati orang mukmin sentiasa mengingati kematian sebagai satu cara untuk membersihkan hatinya.
Daripada Abu Hurairah r.a , Rasulullah S.A.W.  bersabda yang bermaksud :
"Perbanyakkanlah olehmu mengingati sesuatu yang memutuskan segala kelazatan (mati)."
(Hadis Riwayat Tirmizi)


3. Melakukan maksiat samaada kecil atau besar. 


Lebih teruk lagi apabila maksiat sudah menjadi kebiasaan dan bergembira dengan maksiat.
Sabda Nabi S.A.W maksudnya : " Barang siapa di antaramu melihat kemungkaran hendaklah ia merubahnya (mencegah) dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak sanggup, maka dengan  lisannya (nasehat), dan jika tak sanggup juga, maka dengan hatinya (merasa tak  senang dan tak setuju, tinggalkan !) dan itu adalah selemah-lemahnya Iman. " (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).


Berdasarkan hadis di atas jika seseorang itu tidak rasa bersalah dengan maksiat yang dilakukan dan gembira pula maka sebenarnya sedikit pun iman tidak ada didalam hatinya.

615. Soalan : Adakah boleh kita boleh menangguh-nangguhkan kerja dakwah yang sepatutnya kita lakukan dan menyerahkan kepada para ulama dan ustaz sahaja untuk berdakwah?

Jawapan :
 

Tugas dakwah bukan tugas ulama dan ustaz sahaja. Setiap muslim mukmin wajib menjalankan kewajipan dakwah dan tarbiah kerana setiap kita akan disoal apakah tugas dan amanah yang diberikan kepada kita dapat kita jalankan dengan baik dan sempurna.

Apa sahaja kerja yang membawa kebaikan dan amal soleh tidak boleh ditangguh-tangguhkan terutama tugas dakwah dan tarbiah. 


Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Bersegeralah kalian untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia jual agamanya dengan barang perhiasan dunia." (Hadis Riwayat Muslim)





No comments: