Thursday, August 15, 2013

Orang Mukmin Sentiasa Mengingati Kematian Kerana Jalan Untuk Membersihkan Hati.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Menjelang kematian setiap anak Adam, dia pasti mengalami apa yang disebut sakratul maut. Di istilahkan sebagai sakrah kerana pada saat itu, empunya diri berada di sempadan antara hidup dan mati. Dia berada dalam keadaan mabuk kepayang. Antara sedar dan tidak. Dia berasa sakit yang amat sangat pada seluruh anggota tubuhnya serta rasa dahaga yang tidak terkira.

Kata alim ulama, mereka yang sedang nazak dan akan mati, pandangan matanya kelam, dan seluruh ingatan serta memorinya akan memutarkan kejadian demi kejadian yang berlangsung sepanjang hayatnya. Ibarat 'DVD' yang sudah melalui proses 'rewind'.

Di saat itu, Malaikat Maut yang biasa kita dengar namanya sebagai Izrail berdiri di hadapan peminjam nyawa yang bakal dipanggil pulang itu. Izrail bersikap bengis dan kasar pada setiap penderhaka atau mereka yang semasa hidupnya tak fikir nak buat amalan baik dan menurut perintah Allah. Izrail akan berlembut dan ramah terhadap mereka yang soleh, dan mereka yang melaksanakan sunnah Rasulullah SAW.

Tatkala si penderhaka melihat bahawa lembaran hidupnya lebih banyak maksiat dan kejahatan dia pun berteriak-teriak melolong-lolong. Tetapi teriakan dan rintihannya itu tidak dapat didengar oleh orang lain. biarpun ramai sanak saudara dan rakan taulan berada dikelilingnya. Hanya dirinya sahaja yang tahu. Al-Quran ada mengambarkan keadaan ini. Firman Allah SWT maksudnya : "Tidak! Apabila (nyawa) telah sampai ke kerongkong dan dikatakan (kepadanya) , 'Siapa yang dapat menyembuhkan?'. Dan dia yakin bahawa itulah waktu perpisahan (dengan dunia), dan bertaut betis (kiri) dengan betis (kanan), kepada Tuhanmulah pada waktu itu kamu dihalau." (Surah al-Qiyamah ayat 26-30).

Pada saat itu tidak ada siapa yang dapat menolong samaada ayah, emak, anak, adik beradik, guru, sahabat atau siapa sahaja yang bertaraf makhluk.

Inilah saat yang sangat mengejutkan dan mengerikan ibarat melihat panahan petir sewaktu hari sedang panas terik. Saat itu simati akan teringat terhadap ancaman Allah yang berupa Neraka Jahannam, yang mungkin pernah didengar atau dibaca sebelum saat nazaknya. Firman Allah SWT maksudnya : "Dan pada hari itu, diperlihatkan Neraka Jahanam ; dan pada hari itu ingatlah kalian akan tetapi tidak berguna lagi mengingati itu baginya. Dan dia berkata , 'Alangkah baiknya kiranya aku dahulu mengerjakan amal soleh untuk hidupku ini. Maka pada hari itu tiada seorang pun yang menyeksa seperti seksaan-Nya dan tiada seorang pun yang mengikat seperti ikatan-Nya" (Surah al-Fajr ayat 23-26)

Sahabat yang dimuliakan,
Kematian merupakan saat berakhirnya riwayat kehidupan kalian maknanya terputuslah perhubungan kalian dengan apa sahaja yang nyata di alam ini. Kalian akan tinggalkan keluarga, anak-anak, harta, saham, pangkat, perniagaan dan kemasyhuran (glamor). Maka buku catitan mengenai segala amal perbuatan kalian tertutup sudah, dan menanti masa untuk diperiksa samaada menerima ganjaran atau hukuman. Allah telah merakam dan menghitung semuanya dengan sangat teliti sehingga tidak ada satu perkara pun yang ketinggalan, hatta amal sebesar atom sekalipun.

Bagi orang-orang yang ingkar dengan ajaran Allah, baik mereka yang mengaku Islam atau mereka yang tidak memeluk Islam, kematian menjadi saat yang sangat mengejutkan. Gundah gulana apabila mereka sekali teringat akan mati, seperti orang hilang peduman.Berbeza pula pada diri orang-orang mukmin, dia tidak takut dan kelam kabut dengan kematian. Malah dia menerima kematian itu suatu proses yang tabie (natural) dan mesti dilalui.

Apabila kalian mengisi masa dan waktu dengan iman dan amal soleh dan melaksanakan sunnah Rasulullah SAW dengan penuh ikhlas dan menjauhi maksiat dan permusuhan, hati dan jiwa kalian akan merasa lebih tenang untuk menghadapi saat kematian. Sunnah Nabi SAW yang paling besar adalah sunnah berdakwah dan mendirikan jamaah atau negara berasaskan syariat agama. Sunnah berdakwa bermakna menjadikan diri mentaati suruhan Allah dan turut mengajak orang lain mentaati Allah.

Sekiranya sepanjang hidup kalian sentiasa bertaubat dan sentiasa berhati-hati menjaga suruhan agama, serta melaksanakan sunnah berdakwah, sebagaimana janji al-Quran (janji Allah) merekalah akan mendapat saat kematian yang baik (husnul khatimah). Saat kematian merupakan panggilan kehormatan bagi orang-orang beriman seumpama ini. Allah SWT menyambutnya dengan berfirman yang bermaksud : "Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Rabbmu. Masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam Syurga-Ku." (Surah al-Fajr ayat 27-30)

Sahabat yang dikasihi,
Rasulullah SAW pernah berpesan bahawa orang yang sebenarnya cerdik ialah orang yang mengingati mati, lalu dia mempersiapkan diri untuk menghadapi saat-saat itu. Jadi apabila tiba masanya dia tidaklah kelam kabut atau menyesal berpanjangan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Surah al-Anbiyak ayat 35)

Justeru, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah mereka tiada masalah yang perlu difikirkan dalam hidup. Tidakkah dia terfikir bagaimana kesudahannya nanti apabila saat dia akan bertemu Allah?.

Takdirnya esok hari terakhir Allah 'pinjamkan' nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?

Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat kematian. Oleh itu marilah sama-sama kita muhasabah diri sendiri dan membuat persiapan di atas kematian yang akan datang bila-bila masa. Dengan kita sentiasa mengingati kematian akan membuatkan hati kita sentiasa bersih daripada mabuk dunia yang sementara ini. Di samping perbanyakkan amal soleh, kita perlu juga persiapkan tiga bekalan yang akan ditinggalkan nanti yang akan memberi saham ketika di alam barzakh.

Sebagiana Nabi SAW bersabda maksudnya : "Apabila mati seorang anak Adam, putuslah amalnya melainkan tiga perkara, iaitu : sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anaknya yang soleh yang mendoakan dia." (Hadis Riwayat Musilm)

No comments: