Tuesday, October 29, 2013

Tafsir Surah As-Sajdah Ayat 16

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,

Firman Allah SWT :

تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ (16) 

Maksudnya : "Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka".(Surah as-Sajdah (32) ayat 16)

Asbabun Nuzul ayat 16

Anas r.a meriwayatkan , bahawa ayat ini diturunkan sebagai pujian kepada para sahabat yang menunggu solat 'atama (solat Isyak yang dilakukan di akhir malam)" (Hadis Sahih Riwayat Tirmidzi)

Pada ayat ini Allah SWT menerangkan tanda-tanda lain lagi bagi orang-orang yang beriman, iaitu mereka mengurangi tidur, mereka sering bangun di pertengahan malam melakukan solat malam, berdoa kepada Allah SWT mengharapkan agar dihindarkan dari siksaan-Nya dan menafkahkan sebagian dari rezeki yang telah mereka peroleh dari Allah. 

Banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW yang menerangkan keutamaan dan manfaat solat malam itu, terutama untuk beribadat kepada Allah SWT untuk menambah kekuatan iman di dalam dada. 

Solat Tahajud dapat mengangkat manusia ke tempat yang terpuji, sebagaimana 
Allah SWT berfirman: 

ومن الليل فتهجد به نافلة لك عسى أن يبعثك ربك مقاما محمودا 

Maksudnya : "Dan pada sebagian malam hari bersolat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji"(Surah al-Isra' (17) ayat 79) 

Pada ayat yang lain Allah SWT menerangkan bahwa solat dan membaca al-Quran di malam hari itu dapat menguatkan jiwa sehingga jiwa itu akan dapat menerima sesuatu yang lebih berat dan besar dari-Nya. 

Allah SWT berfirman: 

ياأيها المزمل قم الليل إلا قليلا نصفه أو انقص منه قليلا أو زد عليه ورتل القرءان ترتيلا إنا سنلقي عليك قولا ثقيلا إن ناشئة الليل هي أشد وطئا وأقوم قيلا 

Maksudnya : "Wahai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah untuk solat di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) seperduanya atau kurangilah dan seperdua itu sedikit atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat, sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan". 
(Surah al-Muzzammil (73) ayat 1-6) 

Diriwayatkan oleh lbnu Jarir Al Hakim dan Ibnu Mardawaihi bahawa Mu'az bin Jabal bertanya kepada Rasulullah SAW :

يا نبي الله أخبرني عما يدخلني الجنة ويباعدني عن النار. قال: لقد سألت عن عظيم وإنه يسير على من يسره الله تعالى عليه. تعبد الله ولا تشرك به شيئا وتقيم الصلاة وتؤتي الزكاة وتصوم رمضان وتحج البيت. ثم قال: ألا أدلك على أبواب الخير, الصوم جنة, والصدقة تطفئ الخطيئة, وصلاة الرجل في جوف الليل; ثم قال: تتجافى .. إلى آخرها. 

Maksudnya : "Ya Nabi Allah, beritahukanlah kepadaku perbuatan yang dapat memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku dari api neraka. Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya engkau benar-benar telah menanyakan sesuatu yang besar, sesungguhnya perbuatan itu mudah dilakukan oleh orang yang dimudahkan Allah baginya: "Engkau menyembah Allah, tidak memperserikatkan-Nya dengan sesuatupun, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa pada bulan Ramadan, berhaji ke Baitullah", kemudian Rasulullah meneruskan sabdanya: "Mahukah engkau aku tunjukkan kepadamu pintu kebaikan? Puasa itu adalah perisai, sedekah menghapuskan kesalahan, dan solat pada pertengahan malam, kemudian baginda membaca: "Tatajafa... sampai akhir". (Hadis Riwayat Ibnu Jarir, Hakim dan Ibnu Mardawaih) 

Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ibnu `Abbas berkata: maksud "lambung mereka jauh dari tempat tidur mereka" ialah beribadat kepada Allah adakalanya bangun dengan mengingat Allah, adakalanya solat, berdiri, duduk atau tidur, mereka selalu mengingat Allah.

Sahabat yang dikasihi,
Betapa besarnya fadilah solat Tahajud sehingga Allah SWT memuji para hamba-Nya yang berdoa di akhir malam dan memohon keampunan kepada Allah SWT

Dari Abu Hurairah bahwasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Rabb kita turun ke langit dunia pada setiap malam iaitu ketika sepertiga malam terakhir. Dia berfirman: 'Siapa yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan, siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku berikan, dan siapa yang yang memohon ampun kepadaKu, maka akan Aku ampuni' ” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah hadis dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” ( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)

No comments: