بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم
Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Soal Jawab Agama Siri 119 adalah membicarakan persoalan kesesatan ajaran Syiah, , puasa qada' dan puasa sunat, makanan dan minuman penduduk neraka, hati rasa gelisah dan harta milik suami dan isteri.
876. Soalan : Untuk kita mengetahui seseorang itu telah terpengaruh dengan ajaran Syiah yang sesat dan menyesatkan ini apakah tanda-tandanya? Bolehkah ustaz jelaskan beberapa perbezaan besar di antara agama Islam sebenar dengan agama Syiah?
Jawapan :
TANDA-TANDA SESEORANG TELAH DIPENGARUHI / TERJEBAK DENGAN SYIAH
Ciri-ciri di bawah adalah sebahagian dari petanda seseorang yang menganut ajaran Syiah. Berwaspadalah jika anda dapati tanda-tanda sebegini ini tampak mula kelihatan pada orang-orang yang anda sayang.
1. Senantiasa memuja Sayyidina Ali dan melebihkan beliau daripada Sayyidina Abu Bakar & Umar.
2. Memperlekeh dan memandang rendah kepada sahabat-sahabat Nabi SAW.
3. Sering menghimpunkan (jamak) sembahyang Zuhur bersama Asar dan Maghrib bersama Isya’ tanpa sebarang sebab.
4. Kaki tidak dibasuh ketika berwuduk sebaliknya hanya disapu sahaja.
5. Sujud di atas batu Karbala ketika solat.
6. Menepuk paha ketika memberi salam sesudah sembahyang.
7. Tidak mahu makan ikan yang tidak bersisik.
8. Melewatkan berbuka puasa sehingga hampir waktu Isya’.
9. Memarahi orang yang puasa Asyura.
10. Sering memperkatakan tentang keperluan kepada imam zaman ini (Imam Mahdi).
ANTARA AKIDAH SYI’AH YANG MENYELEWENG DAN BERCANGGAH DENGAN AJARAN ISLAM
PENYELEWANGAN PERTAMA :
AGAMA SYI‘AH- Penyelewengan Al-Quran. Golongan Syi’ah terutamanya ulama-ulama yang menjadi paksi kepada agama mereka beri’tiqad bahawa al-Quran yang dihimpunkan oleh sahabat-sahabat r.a. dan berada di tangan umat Islam sekarang telah diselewengkan dan ditokok tambah.
Antaranya Sayyid Ni`matullah al-Jazaairi mengatakan:
“Bahawa tokoh-tokoh Syi‘ah telah sepakat tentang sahihnya hadis-hadis yang sampai ke peringkat mutawaatir yang menunjukkan dengan jelas tentang berlakunya penyelewengan al-Quran (An-Nuuri At-Thabarsi, Fashlu al-Khitaab, hal.
30). Pegangan tersebut adalah berdasarkan kepada lebih daripada dua ribu riwayat sahih daripada imam-imam maksum di sisi mereka yang jelas menunjukkan berlakunya tahrif (penyelewengan) di dalam al-Quran.
AGAMA ISLAM- Ulama-ulama Islam sepakat kepercayaan bahawa al-Quran telah diselewengkan adakan satu kekufuran. Ibnu Qudamah berkata: “Tiada khilaf di kalangan orang-orang Islam pendapat tentang kufurnya orang yang mengingkari al-Quran sama ada satu surah atau satu ayat atau satu kalimah yang disepakati bahawa ia adalah alQuran.” (Lam’ah al-I’tiqad Bab Al-Quran Adalah Kalam Allah jil. 1 hal. 17).
PENYELEWANGAN KEDUA :
AGAMA SYI‘AH- Kepercayaan Bahawa Imam 12 Dilantik Dari Pihak Allah, Mempunyai Sifat-Sifat Kenabian Bahkan Imam Dianggap Lebih Tinggi Daripada Nabi. Dinyatakan dalam Kitab `Aqaid al-Imamiah oleh Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, hal. 72: Akidah Kami Tentang Imam itu Maksum Kami mempercayai bahawa imam-imam itu seperti nabi-nabi, ia wajib maksum dan terpelihara daripada sifat-sifat yang buruk dan keji yang nyata dan yang tersembunyi, semenjak daripada kecil sehinggalah mati, sengaja atau lupa sebagaimana mereka juga terpelihara daripada sifat lupa,tersalah dan lain-lain.
Khomeini menyatakan: “Kita tidak dapat menggambarkan para imam itu mempunyai sifat lupa dan lalai.” (Khomeini, Al-Hukumah Al-Islamiyah, hal. 91)
Khomeini berkata lagi: “Sesungguhnya imam itu mempunyai kedudukan yang terpuji yang tidak sampai kepadanya malaikat yang hampir kepada Allah dan nabi lagi rasul”. (AlHukumah al-Islamiah – hal 52)
AGAMA ISLAM- Maksum adalah sifat khusus para nabi dan rasul. Memberikan sifat tersebut kepada orang lain selain dari mereka bermakna menafikan ‘akidah bahawa Nabi Muhammad SAW. adalah penyudah sekalian nabi-nabi. Allah berfirman: “Nabi Muhammad itu bukan bapa bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan penutup Nabi-nabi.” (Surah Al-Ahzab ayat 40)
PENYELEWANGAN KETIGA :
AGAMA SYI‘AH- Al-Bada.’ Dari segi bahasa al-Bada’ bermaksud nyata sesuatu yang sebelumnya tersembunyi.
Menurut akidah Syi‘ah, al-Bada’ ialah ilmu Allah berubah-ubah berdasarkan sesuatu peristiwa yang berlaku. Dalam kata lain, Allah mengetahui sesuatu perkara hanya selepas berlakunya perkara tersebut. Ini bermaksud Allah jahil atau tidak mempunyai ilmu yang meliputi. An-Naubakhti menyebutkan bahawa Ja’afar bin Muhammad al-Baqir telah menentukan anaknya Ismail sebagai Imam sesudahnya (sebagaimana ketentuan Allah kerana Syi’ah mengatakan imam-imam dilantik dari pihak Allah) dan beliau telah mengisyaratkan kepadanya semasa hidup lagi, tiba-tiba Ismail mati ketika beliau masih hidup. Maka Ja’afar pun berkata: “Tidak pernah berlaku kepada Allah (al-Bada’) berhubung dengan sesuatu seperti mana berlaku kepadanya berhubung dengan Ismail anakku.” (Firaq as-Syiah hal. 84).
AGAMA ISLAM- Ilmu Allah sejak azali adalah meliputi segala sesuatu dan tidak berlaku sebarang perubahan kepadanya mengikut peristiwa yang berlaku kepada manusia. Allah menjelaskan perkara ini di dalam al-Quran alKarim,
Firman Allah SWT maksudnya: “Allah mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan tidak jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati.”(Surah Al-Mukmin ayat 19).
Firman-Nya lagi yang bermaksud : “Dan sesungguhnya Allah ilmunya meliputi segala sesuatu”. (Surah Al-Talaq ayat 12).
PENYELEWANGAN KEEMPAT :
AGAMA SYI‘AH – Taqiyyah (berpura-pura). Taqiyyah merupakan konsep atau ciri penting yang tidak dapat dipisahkan dari ajaran Syi‘ah . Taqiyyah pada hakikatnya adalah “berdusta dan berbohong”. Riwayat-riwayat tentang pentingnya taqiyyah di sisi Syi’ah banyak terdapat di dalam kitab-kitab utama mereka. Antaranya apa yang dikemukakan oleh alKulaini: Abu Umar al-A’jami katanya Ja’far as-Sadiq a.s. berkata kepadaku “Wahai Abu Umar, Sesungguhnya sembilan persepuluh daripada agama itu terletak pada Taqiyyah dan tidak ada agama bagi orang yang tidak mempunyai Taqiyyah dan Taqiyyah itu ada pada tiap-tiap sesuatu, kecuali dalam masalah arak dan menyapu dua khuf (al-Usul Min al-Kafi, jil. 2 hal. 217).” Di antara hakikat taqiyyah ialah apa yang disebutkan oleh Imam Jaa’far As-Sadiq a.s. kepada Sulaiman bin Khalid (perawi hadis): “Wahai Sulaiman! Sesungguhnya engkau berada di atas agama yang sesiapa menyembunyikannya akan dimuliakan oleh Allah dan sesiapa yang menyebarkannya akan dihina oleh Allah.” (Al-Kafi jil. 2, hal. 222)
AGAMA ISLAM – Jujur dan amanah adalah merupakan ciri penting di dalam Islam sehingga ia menjadi salah satu syarat kesempurnaan iman. Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Tidak beriman orang yang tidak mempunyai sifat amanah.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad).
Kerana itu ulama Islam di zaman lampau tidak mahu menerima riwayat yang dikemukakan oleh Syi‘ah kerana mereka mengamalkan Pembohongan. Sehubungan dengan itu Imam Syafie berkata: “Tidak pernah aku melihat golongan yang menurut hawa nafsu yang lebih pembohong dari golongan Syi‘ah .” (Al-Kifayah, hal. 49, asSuyuti, Tadrib Ar-Rawi, jilid 1, hal. 327)
PENYELEWANGAN KELIMA :
AGAMA SYI‘AH – Mengkafirkan Para Sahabat Rasulullah SAW. Akidah ini merupakan salah satu ciri yang tidak dapat dipisahkan dari ajaran Syi’ah dan memisahkannya bermakna meruntuhkan ajaran Syi’ah itu sendiri. Al-Majlisi mengemukakan satu riwayat berbunyi: Kebanyakan sahabat adalah munafik, tetapi cahaya nifaq tersembunyi di zaman nabi. Tetapi apabila wafat Nabi SAW ternyatalah cahaya nifaq itu melalui wasiat Nabi SAW. dan mereka itu kembali murtad”. (Bihar al-Anwar jil. 27, hal 64).
Al-Kulaini meriwayatkan dari Muhammad al-Baqir a.s. katanya: “Para sahabat telah menjadi murtad sepeninggalan Rasullullah SAW kecuali tiga orang dari mereka.” Aku bertanya (kata perawi): “Siapakah yang tiga itu?” Abu Jaafar menjawab: “Miqdad bin al-Aswad, Abu Zar al-Ghifari dan Salman al- Farisi.”(ar-Raudhah Min al-Kafi, jil. 8 hal 245)
AGAMA ISLAM – Keadilan dan kedudukan sahabat yang tinggi adalah jelas berdasarkan al-Quran. Antaranya: “Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar” dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar”.(Surah at-Taubah ayat 100).
Mengingkari yang sahabat adalah adil bererti mengingkari al-Quran.
PENYELEWANGAN KEENAM :
AGAMA SYI‘AH – Menghalalkan Nikah Mut’ah. Nikah Mut’ah adalah sebenarnya perzinaan di atas nama Islam.
Nikah Mut’ah ialah satu bentuk perkahwinan kontrak tanpa wali dan saksi, untuk suatu tempoh waktu tertentu dengan sedikit maskahwin sahaja dengan tiada sebarang tanggungjawab, nafkah, pusaka dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan perkahwinan biasa. (al-Kafi jilid 5, ms 286),
Perkahwinan ini semata-mata berlandaskan nafsu dan untuk berseronok. Boleh dikahwini sehingga seribu wanita (Wasaailu As Syiah jil. 14 hal. 480). Diriwayatkan daripada Muhammad Al-Baqir berkenaan mut’ah katanya: “Ianya bukan termasuk daripada empat (isteri). Mereka tidak diceraikan dan tidak mewarisi. Mereka hanyalah perempuan yang disewakan.” (al-Kafi jilid 5, ms 284).
Tidak menganggap halal mut’ah seolah-olah tidak beriman. Diriwayatkan daripada Muhammad al-Baqir katanya: “Bukan dari kalangan kami orang yang tidak mempercayai raj’ah dan tidak menganggap halal mut’ah kita”. (Man La Yahduruhu alFaqih jil.3 hal 458)
AGAMA ISLAM – Nikah Mut’ah yang diamalkan oleh Syi’ah tiada bezanya dengan perzinaan dan pelacuran di samping merendahkan martabat wanita serendah-rendahnya. Kerana itu ia telah diharamkan oleh Nabi Muhammad SAW buat selama-lamanya sehingga hari kiamat menerusi hadis-hadis sahih sebelum Baginda wafat melalui beberapa orang sahabat dan salah seorangnya adalah Saidina Ali sendiri seperti katanya: “Bahawa Rasulullah SAW. melarang nikah mut’ah pada hari peperangan Khaibar dan melarang juga memakan daging keldai kampung.” (Hadis Riwayat Ibn Majah dan al-Nasa’i)
877. Soalan : Saya ingin tahu adakah boleh saya melakukan dua niat sekali gus (2 dalam 1) iaitu saya niat puasa qada' Ramadan pada masa yang sama saya niat puasa sunat hari Isnin?
Jawapan : Ada dua pembahasan dalam masalah ini,
Pertama, hukum melaksanakan puasa sunat, bagi orang yang masih ada tanggungan puasa qada'.
Sebagian ulama melarang melakukan puasa sunat, hingga dia menyelesaikan qada'nya. Ini merupakan salah satu pendapat Imam Ahmad bin Hambal. Pendapat ini berdasarkan kaedah bahawa amal wajib lebih penting dari pada amal sunat, sehingga qada' puasa Ramadan yang statusnya wajib, harus didahulukan sebelum puasa sunat.
Sementara majoriti ulama (jumhur ulama) berpendapat, bahawa orang yang memiliki tanggungan qada' puasa Ramadan, dibolehkan melaksanakan puasa sunat. Ini merupakan pendapat mazhab Hanafi, mazhab Syafie.
Pendapat yang mengatakan boleh mengerjakan puasa sunat walau pun ada tanggungan puasa qada' Ramadan adalah lebih kuat berbanding pendapat yang melarangnya.
Kedua, Bahawa orang yang hendak puasa sunah 6 hari di bulan Syawal, dia diharuskan menyelesaikan qada' puasa Ramadannya terlebih dahulu, agar dia boleh mendapatkan pahala seperti puasa selama setahun.
Kesimpulan ini berdasarkan hadis dari Abu Ayyub al-Anshari radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda,
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ، كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
Maksudnya : “Siapa yang puasa Ramadan, kemudian dia ikuti dengan 6 hari puasa syawal, maka seperti puasa setahun.” (Hadis Riwayat Muslim 1164)
Pada hadis di atas, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menyebutkan janji pahala seperti puasa setahun dengan 2 syarat: (1) Menyelesaikan puasa Ramadan, dan (2) Puasa 6 hari di bulan Syawal.
Mengingat puasa 6 hari di bulan Syawal dikaitkan dengan selesainya puasa puasa Ramadan, maka tidak mungkin seseorang menggabungkan niat puasa Syawal dengan niat puasa qada' Ramadan. Sebagaimana tidak mungkin seseorang menggabungkan solat sunah ba’diyah dengan solat wajib yang sedang dikerjakan. (Tidak boleh niat dua dalam satu iaitu niat wajib + niat sunat)
Ketiga, Menggabungkan puasa sunat (puasa Asyura, Arafah, Isnin, Kamis) dengan qada' Puasa Ramadan / Puasa Nazar/ Puasa Kaffarah.
Pendapat yang lebih kuat tidak boleh menggabungkan niat puasa qada dengan puasa sunat lainnya.
Dalam Fatawa Syabakah Islamiyah dinyatakan,
فإن من عليه صيام واجب من قضاء رمضان، أو من كفارة، أو نحو ذلك، فلا يصح له أن يجمعه مع صوم التطوع بنية واحدة، لأن كلاً من الصوم الواجب وصوم التطوع عبادة مقصودة مستقلة عن الأخرى، ولا تندرج تحتها، فلا يصح أن يجمع بينهما بنية واحدة
”Orang yang melaksanakan puasa wajib, baik qada' Ramadan, puasa Kaffarah, atau puasa atau lainnya, tidak sah untuk digabungkan niatnya dengan puasa sunat. Kerana masing-masing, baik puasa wajib mahupun puasa sunat, keduanya adalah ibadah yang harus dikerjakan berasingan. Dan puasa sunat bukan turunan dari puasa wajib. Sehingga tidak boleh digabungkan niatnya.” (Fatawa Syabakah Islamiyah, no. 7273) Wallahu a'lam
878. Soalan : Apakah jenis-jenis makanan dan minuman penduduk neraka yang dijelaskan di dalam al-Quran?
Jawapan :
Penduduk neraka merasakan kelaparan, dan Allah SWT menyediakan makanan untuk mereka. Hanya saja, makanan ini akan membuat mereka semakin terseksa. Allah SWT jelaskan dalam al-Quran, bahawa diantara makanan penduduk neraka adalah dhari’ dan zaqqum. Sementara minuman mereka adalah hamim, al-ghislin, dan al-ghassaq.
Allah berfirman,
ليس لهم طعام إلا من ضريع* لا يسمن ولا يغني من جوع
Maksudnya : “Tidak ada makanan bagi mereka selain dari pokok yang berduri ( dhari’), yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar.” (Surah al-Ghasyiyah ayat 6 – 7).
Dhari’ adalah tanaman duri yang dikenal di sekitar Mekah. Sering disebut dengan as-Syibriq. Pohon ini memiliki duri sangat tajam.
Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma mengatakan,
الشبرق: نبت ذو شوك لاطئ بالأرض، فإذا هاج سمي ضريعاً
”Syibriq, pohon berduri yang tumbuh tanpa cabang. Jika telah kering, namanya dhari’. ”
Qatadah mengatakan,
من أضرع الطعام وأبشعه
“Dhari’ adalah makana yang paling membahayakan dan paling mengerikan.” (at-Takhwif min an-Nar, al-Hafidz Ibnu Rajab, hlm. 108).
Makanan ini dihidangkan bagi penduduk neraka, sama sekali tidak mengenyangkan, dan tidak memberikan manfaat sedikitpun. Mereka tidak merasakan kelazatannya, dan juga tidak bermanfaat bagi tubuhnya. Kerana itu, kehadiran makanan ini, adalah sebagai satu seksaan yang AllahSWT berikan kepada mereka. (al-Jannah wa an-Nar, Dr. Umar al-Asyqar, hlm. 87).
Allah SWT juga menceritakan makanan penduduk neraka dalam surat ad-Dukhan,
إِنَّ شَجَرَتَ الزَّقُّومِ . طَعَامُ الْأَثِيمِ . كَالْمُهْلِ يَغْلِي فِي الْبُطُونِ . كَغَلْيِ الْحَمِيمِ
Maksudnya : "Sesungguhnya pohon zaqqum itu, . Makanan orang yang banyak berdosa . Seperti cairan tembaga yang mendidih di dalam perut, seperti mendidihnya air yang sangat panas." (Surah ad-Dukhan ayat 43 – 46).
Kemudian Allah SWT jelaskan di Surah as-Shaffat,
أَذَلِكَ خَيْرٌ نُزُلًا أَمْ شَجَرَةُ الزَّقُّومِ . إِنَّا جَعَلْنَاهَا فِتْنَةً لِلظَّالِمِينَ . إِنَّهَا شَجَرَةٌ تَخْرُجُ فِي أَصْلِ الْجَحِيمِ . طَلْعُهَا كَأَنَّهُ رُءُوسُ الشَّيَاطِينِ . فَإِنَّهُمْ لَآكِلُونَ مِنْهَا فَمَالِئُونَ مِنْهَا الْبُطُونَ . ثُمَّ إِنَّ لَهُمْ عَلَيْهَا لَشَوْبًا مِنْ حَمِيمٍ . ثُمَّ إِنَّ مَرْجِعَهُمْ لَإِلَى الْجَحِيمِ
Maksudnya : "Apakah (makanan syurga) itu hidangan yang lebih baik ataukah pohon zaqqum. Sesungguhnya Kami menjadikan (pohon zaqqum) itu sebagai seksaan bagi orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Dia adalah sebatang pohon yang ke luar dan dasar neraka yang menyala. mayangnya seperti kepala-kepala syaitan. Maka Sesungguhnya mereka benar-benar memakan sebagian dari( buah pohon itu), Maka mereka memenuhi perutnya dengan buahnya (zaqqum ), kemudian sesudah makan (buah zaqqum) mereka mendapat minuman yang bercampur dengan air yang sangat panas, kemudian sesungguhnya tempat kembali mereka benar-benar ke neraka Jahim. (Surah as-Shaffat ayat 62 – 68)
Betapa mengerikannya gambaran pohon zaqqum,
1. Tumbuh dari dasar neraka
2. Dahannya menjuntai panjang
3. Bentuk buahnya sangat buruk, seperti kepala syaitan. Sekalipun orang tidak pernah ketemu wajah iblis, namun mendengar namanya saja, pasti sudah nampak kehodohannya..
4. Makanan ini tidak mengenyangkan dan tidak boleh menghilangkan kelaparan yang dialami penghuni neraka. Namun kerana lapar, merekapun memakannya dengan lahap.
5. Makanan penduduk neraka akan menyebabkan tersedak. Kerana makanan ini tersangkut di kerongkongan. AllahSWT jelaskan,
إِنَّ لَدَيْنَا أَنْكَالًا وَجَحِيمًا . وَطَعَامًا ذَا غُصَّةٍ وَعَذَابًا أَلِيمًا
“Kerana sesungguhnya pada sisi Kami ada belenggu-belenggu yang berat dan neraka yang menyala-nyala. dan makanan yang menyumbat di kerongkongan dan azab yang pedih.” (Surah al-Muzammil ayat 12 – 13)
6. Setelah perutnya penuh dengan zaqqum, makanan ini mendidih dalam perutnya. Seperti minyak yang mendidih di dalam kuali.
7. Merekapun merasa kesakitan dan berusaha mencari minuman. Merekapun segera menuju al-Hamim, air mendidih yang sangat panas.
8. Mereka meminum Hamim itu, hingga putus usus-ususnya.
Allah SWT berfirman,
وَسُقُوا مَاءً حَمِيمًا فَقَطَّعَ أَمْعَاءَهُمْ
Maksudnya : ”Mereka diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong ususnya.” (Surah Muhammad ayat 15).
Minuman dari darah dan nanah
Selain Hamim (air mendidih), penduduk neraka juga mendapatkan minuman darah dan nanah
Allah SWT berfirman,
فَلَيْسَ لَهُ الْيَوْمَ هَاهُنَا حَمِيمٌ. وَلَا طَعَامٌ إِلَّا مِنْ غِسْلِينٍ.لَا يَأْكُلُهُ إِلَّا الْخَاطِئُونَ
“Maka tiada seorang temanpun baginya pada hari ini di sini. Dan tiada (pula) makanan sedikitpun (baginya) kecuali dari darah dan nanah . Tidak ada yang memakannya kecuali orang-orang yang berdosa” (Surah al-Haqah ayat 35 – 37)
Di ayat lain, Allah SWT berfirman,
لَا يَذُوقُونَ فِيهَا بَرْدًا وَلَا شَرَابًا . إِلَّا حَمِيمًا وَغَسَّاقًا.جَزَاءً وِفَاقًا
Maksudnya : "Mereka tidak merasakan kesejukan di dalamnya dan tidak (pula mendapat) minuman, selain air yang mendidih dan nanah. Sebagai pambalasan yang setimpal".
(Surah an-Naba' ayat 24 – 26).
Dr. Umar al-Asyqar menjelaskan,
والغسلين والغساق بمعنى واحد، وهو ما سال من جلود أهل النار من القيح والصديد، وقيل: ما يسيل من فروج النساء الزواني ومن نتن لحوم الكفرة وجلودهم، وقال القرطبى: هو عصارة أهل النار
Al-Ghislin dan al-Ghassaq memiliki makna sama, iaitu darah dan nanah yang keluar dari tubuh penghuni neraka. Ada juga yang menjelaskan, cairan yang keluar dari faraj wanita pezina dan nanah bangkai orang kafir. Al-Qurthubi mengatakan, Minuman itu adalah perasan tubuh penghuni neraka. (al-Jannah wa an-Nar, hlm. 89)
Subhanallah… betapa mengerikannya makanan dan minuman neraka. Semoga Allah melindungi kita dan keluarga kita darinya. Amiin
879. Soalan : Kenapa hati saya masih gelisah,tidak tenteram, rasa gundah gulana...walaupun selepas saya bersembahyang. Adakah Allah SWT sedang menguji saya atau sebaliknya. Apa pandangan ustaz.?
Jawapan :
Kegelisahan dan hati tidak tenang adalah ujian Allah SWT supaya kita dekatkan diri kepadaNya. Jauhi dosa-dosa besar atau dosa-dosa kecil kerana dosa adalah satu faktor hati menjadi gelisah dan tidak tenteram dan hati boleh menjadi hitam dan sukar menerima petunjuk Allah SWT apabila melakukan maksiat. Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan sesuatu dosa, terbentuklah bintik hitam pada hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu. Dan apabila dia terus melakukan dosa, bertambahlah bintik hitam itu pada hatinya, sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut Allah SWT di dalam kitabNya: "Sesekali tidak, bahkan apa yang mereka kerjakan itu telah menutup hati mereka." (Surah Al-Muthaffifin ayat 14) " (Hadis Riwayat al-Baihaqi)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Ketahuilah di dalam jasad itu ada segumpal daging, apabila dia baik maka baiklah seluruh jasad, dan apabila dia buruk maka buruklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itu adalah hati.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, dari Nu’man bin Basyir)
Perkara ini pernah ditanya oleh seorang lelaki kepada Ibnu Mas'ud (sahabat Rasulullah SAW) Dalam sebuah hadis dinyatakan, pada suatu ketika datanglah seseorang kepada Ibnu Mas’ud r.a, untuk meminta nasihat. “Wahai Ibnu Mas’ud,” ujarnya. “Berilah nasihat yang dapat dijadikan ubat bagi jiwaku yang sedang dilanda dukacita dan kegelisahan. Dalam beberapa hari ini aku merasa tidak tentram. Jiwaku selalu gelisah dan fikiran pun terasa kusut masai. Makan tak selera, tidur pun tak nyenyak.” Mendengar hal itu, Ibnu Mas’ud kemudian menasihatinya. “Kalau penyakit seperti itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, iaitu :
1. Pergi ke tempat orang yang membaca al-Quran, kau baca al-Quran atau dengarkanlah baik-baik orang yang membacanya; atau
2. Pergilah ke majlis pengajian yang mengingatkan hati kepada Allah; atau
3. Carilah waktu dan tempat yang sunyi, kemudian berkhalwatlah untuk menyembah-Nya.
Misalnya di tengah malam gelap gelita, ketika orang-orang sedang tidur nyenyak, engkau bangun mengerjakan solat malam, memohon ketenangan jiwa, ketentraman fikiran, dan kemurnian hati kepada-Nya. Seandainya jiwamu belum juga terubat dengan cara ini, maka mintalah kepada Allah agar diberi hati yang lain kerana hati yang kau pakai itu bukanlah hatimu.”
Setelah orang itu kembali ke rumahnya, diamalkanyalah nasihat Ibnu Mas’ud tersebut. Dia pergi mengambil air wuduk. Setelah itu, diambilnya al-Quran, kemudian dibacanya dengan hati yang khusyuk. Selesai membaca al-Quran, ternyata jiwanya berubah menjadi sejuk dan tenteram. Fikirannya pun menjadi tenang, sedangkan kegelisahannya hilang sama sekali."
880. Soalan : Bolehkah mencampur harta milik suami dan isteri? Harta suami dan isteri yang tercampur bagaimana zakatnya?
Jawapan :
Pertama, Islam menghargai harta seseorang, selama mana harta itu diperolehi dengan jalan yang halal dan tidak bercampur dengan harta yang haram.
Baik itu harta milik lelaki atau pun wanita, milik suami atau pun isteri. Semua orang mempunyai hak pemilikan penuh terhadap harta peribadinya.
Dalam al-Quran, Allah SWT telah membezakan antara harta suami dan harta isteri.
Perkara tersebut diungkapkan dalam pembahasan pembagian warisan. Allah SWT berfirman,
وَلَكُمْ نِصْفُ مَا تَرَكَ أَزْوَاجُكُمْ إِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُنَّ وَلَدٌ فَإِنْ كَانَ لَهُنَّ وَلَدٌ فَلَكُمُ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْنَ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِينَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ وَلَهُنَّ الرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْتُمْ إِنْ لَمْ يَكُنْ لَكُمْ وَلَدٌ فَإِنْ كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ الثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُمْ مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ
Maksudnya : “Kalian wahai para suami, berhak mendapatkan warisan seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh para isteri, jika isteri tidak mempunyai anak. Namun, Jika isterimu itu mempunyai anak, maka kamu berhak mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya. Warisan itu dibagi sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat dan sesudah dibayar hutangnya. Para isterimu berhak memperoleh warisan seperempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Namun, jika kamu mempunyai anak, maka isterimu hanya berhak memperoleh seperdelapan dari harta yang kamu tinggalkan. Warisan itu dibagi sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat dan sesudah dilunasi hutang-hutangmu.” (Surah An Nisa' ayat 12)
Dalam ayat tersebut, Allah SWT membezakan antara harta suami dan harta isteri. Si suami baru berhak menguasai harta isterinya kalau isterinya sudah meninggal itupun dalam jumlah tertentu yang ditetapkan syariat. Begitu juga si isteri.
Tidak boleh dinafikan bahawa Isteri juga memiliki harta yang dapat diperoleh dari bekerja, ataupun dari mas kawin, atau warisan orang tuanya dan dari sumber-sumber lainnya.
Bahkan Allah SWT melarang para suami untuk mengambil kembali harta yang pernah diserahkan kepada isterinya, seperti pemberian berupa maskawin.
Allah SWT berfirman,
وَإِنْ أَرَدْتُمُ اسْتِبْدَالَ زَوْجٍ مَكَانَ زَوْجٍ وَآتَيْتُمْ إِحْدَاهُنَّ قِنْطَارًا فَلَا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا
Maksudnya : “Dan jika kamu ingin mencerai isterimu dan menikahi wanita lainnya, sedang kamu telah memberikan kepada isterimu itu harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali dari isterimu itu sedikit pun dari harta yang sudah kamu berikan.” (Surah. an-Nisa' ayat 20)
Kerana harta itu sudah sepenuhnya milik si isteri. Isteri-lah yang berhak membelanjakannya atau mensedekahkannya sesuai keinginannya walaupun tanpa seizin suami. Suami hanya berhak meminta harta isterinya, itupun jika si isteri redha memberikannya pada suami.
Allah SWT berfirman,
وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا
Maksudnya : “Berikanlah maskawin kepada wanita yang kamu nikahi berupa pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika isterimu menyerahkan kepada kamu sebagian dari maskawin itu dengan senang hati, maka terimalah dan nikmati pemberian itu dengan senang hati. (Surah an-Nisa' ayat 4)
Kedua, Suami-isteri mencampurkan harta mereka dalam satu tabungan.
Pembahasan sepert ini dibahas oleh ulama dalam masalah “zakat harta bersama” atau harta gabungan.
Iaitu, bila dua orang atau lebih menggabungkan harta mereka. Kalau dihitung harta persaorangan dari mereka maka nisab belum tercapai untuk dibayar zakat. Tetapi apabila digabungkan, maka jumlahnya mencapai nisab. Kemudian harta ini diuruskan dan diperlakukan seakan-akan harta yang satu. Maksudnya, ketika harta ini diurus oleh pihak ketiga misalnya, setiap pengeluaran dan keuntungan yang mengalir dianggap harta gabungan juga.
Dalam hal ini, terdapat perbezaan pendapat antara para ulama. Apakah harta gabungan yang sudah mencapai nisab dikenakan zakat? ataukah tidak wajib zakat, jikalau harta perseorangan yang ikut serta dalam gabungan tersebut belum sampai nisabnya.?
Dengan kata lain, sampai tidaknya nisab harta, apakah ditinjau dari sisi jumlah harta yang terkumpul atau dari sisi pemilik harta tersebut?
Pendapat yang kuat menurut hemat kami adalah, yang menyatakan bahawa nisab harta zakat selain dari hewan ternak, maka dihitung dari jumlah yang dimiliki oleh pemilik harta tersebut.
Contoh: Apabila kita perkirakan nisab zakat harta adalah RM13,000. Bila ada 3 orang menghimpun modal untuk usaha masing-masing RM 10,000 , maka gabungan harta tersebut yang berjumlah RM 30,000. Walaupun tampaknya sudah lebih dari nisab, namun jika dilihat dari bahagian masing-masing yang bergabung, wang mereka belum sampai nisab, maka gabungan harta tersebut belum dikenakan zakat, kerana belum sampai nisab.
Pendapat ini yang dinilai kuat oleh Syaikh Muhammad bin Sholeh Utsaimin, disebutkan oleh beliau dalam kitabnya Syarh Mumti’ jilid 6 hal 66.
Dengan demikian, bila suami dan isteri keduanya mempunyai pendapatan tetap, kemudian menggabungkan wang mereka berdua dalam satu tabungan. Maka wajib tidaknya zakat dalam harta tabungan itu tergantung sampai tidaknya nisab dari harta masing-masing mereka.
Caranya seharusnya mereka berdua menghitung jumlah harta mereka masing-masing. Mungkin saja wang yang dimasukkan suami lebih banyak daripada si isteri. Sehingga kemungkinan besar harta suami lebih cepat mencapai nisab dibandingkan harta isteri.
Ketahuilah bahawa dalam harta peninggalan suami atau pun isteri ada harta yang diwarisi oleh orang lain, seperti orang tua suami atau isteri. Untuk itu, jalan terbaik adalah dengan mengetahui jumlah harta masing-masing walaupun tidak terlalu detail, asalkan penghitungan ini tidak melahirkan sengketa dan pertikaian antara keluarga.
Jangan sampai terjadi penguasaan isteri terhadap harta suaminya ketika suaminya sudah meninggal dunia. Begitu juga sebaliknya jika isteri meninggal, jangan sampai suami menguasai seluruh harta isteri. Dengan dalih harta ini adalah milik bersama. Kerana, harta bersama pun boleh diketahui bahagian masing-masing jika dibuat kiraan dengan teliti. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment