Tuesday, January 7, 2014

Hukum Zihar Dalam Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,

Apakah dia Zihar?

1. Dari segi bahasa Arab diambil dari perkataan belakang, kerana bentuk zihar pada asalnya adalah seperti berikut : kata  suami kepada isterinya: awak itu dengan saya seperti belakang ibu saya.  Jadi dengan sebab kebiasaan orang Arab Jahiliah menggunakan perkataan “Zihar”.


2. Dari segi istilah syarak bererti : suami menyerupakan isterinya dengan ibunya atau pun seorang yang haram berkahwin dengannya.  Dengan ini menyebabkan isteri itu menjadi haram  kepadanya.  Seperti kata suami kepada isteri: awak  ini saya lihat serupa dengan ibu saya.

Dalil diharamkan Zihar : 

Firman Allah SWT maksudnya  : "Orang-orang yang menzihar isterinya, tidaklah isterinya itu menjadi ibunya tidaklah yang menjadi kepada mereka melainkan perempuan-perempuan yang melahirkan mereka dan sesungguhnya mereka itu menyentuh  perkataan yang mungkar dan dusta." (Surah Al-Mujadalah ayat 2)

Hikmah dI larang Zihar :

Sebagaimana yang diketahui di zaman jahiliah bahawa seorang suami bila berkata kepada isterinya : “awak dengan aku seperti belakang ibuku” ini adalah kerana ia bermaksud untuk mengharamkan isterinya itu hidup bersamanya buat selama-lamanya."

Oleh itu, ini adalah merupakan satu keburukan dan penyeksaan terhadap kaum perempuan.  Syarak telah melarang perbuatan yang  demikian dan menganggap sebagai suatu perkara yang mungkar dan  dusta.  Sebagaimana tersebut dalam ayat di atas.

Perbuatan atau perkataan yang demikian dikatakan satu perkataan mungkar, kerana adalah satu perkara  yang merupakan penyeksaan terhadap kaum perempuan dan pengharaman terhadap sesuatu yang  dihalalkan oleh Allah, ini adalah dilarang kerana oleh syarak.

Perkataan tersebut dikatakan dusta semata-mata adalah disebabkan kerana isteri itu bukanlah ibu dan tidak mempunyai persamaan langsung di antara keduanya.


Walau bagaimanapun syarak tidaklah membiar begitu sahaja tentang perbuatan suami itu malah syarak akan mengambil tindakan terhadap suami yang melakukannya iaitu diwajibkan membayar kifarah, supaya terelak dari mengulangi kembali perbuatan tersebut.  Selepas membayar kifarah, suami boleh kembali semula seperti biasa.  Ini berlainan sekali dari apa yang berlaku di zaman  jahiliah yang  menganggap isteri-isteri yang telah dizihar itu gugur talaqnya sebagai  talaq bain yang tidak boleh dirujuk sama sekali buat selama-lamaya.

Rukun Zihar :

1. Suami 

2. Isteri 

3. Perkara yang diserupakan 

4. Lafaz zihar 

Huraiannya :

1. Rukun Pertama: Tidak disertakan kerana meyakini ianya jelas 

2. Rukun Kedua: Tidak disertakan kerana menyakini kejelasannya 

3. Rukun Ketiga: (Perkara yang diserupakan) 

Untuk mensabitkan rukun ini, beberapa syarat berikut mesti difahami: 
Syarat yang disepakati oleh jumhur ulama :- 

i. Anggota-anggota yang haram dilihat oleh sesama mahram. Contoh punggung, perut, kemaluan di sekitarnya dan yang seumpama dengannya. Penyamaan dengan tangan, kepala, kaki, rambut, dan lain-lain . Demikian pandangan kebanyakan ulama, Ulama Hanbali dan Maliki mensabitkan seluruh anggota sama ada haram dilihat mahupun tidak, semuanya boleh mensabitkan zihar (Al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, 9/7173) Pandangan yang rajih adalah pandangan jumhur. 

ii. Mestilah anggota-anggota ini daripada wanita yang diharamkan berkahwin dengan si lelaki sama ada mahram secara berkekalan (muabbad) atau keturunan (nasab) atau susuan dan musoharah. Seperti Ibu, Anak, Adik beradik, Pak cik, Mak cik dan lain-lain yang berkaitan. Selain pandangan mazhab utama, ia juga pandangan Hasan al-Basri, Ato Abi Rabah, As-Syabi, An-Nakhaie, Al-Awzaie, at-Thawry, Ishak Rahawaih, Abu Ubaid, Abu Thaur. 

Pandangan Imam Syafie dalam 'qawl qadim: Tidak jatuh zihar terhadap semua wanita kecuali ibu dan nenek sahaja kerana ayat berkenaan zihar itu ditujukan khas untuk ibu. 

Tetapi Qawl Jadid Imam Syafie memindanya ijtihadnya dengan mengatakan jatuh zihar kerana wanita yang diharamkan tadi menyerupai pengharaman ibu (al-Muhazzab, As-Syirazi dan al-Majmu, 19/45) 

Manakala yang tidak muabbad seperti wanita asing, adik beradik perempuan bagi isteri dan lain-lain. Tidaklah penyerupaan dengan mereka dianggap zihar. (Lihat Al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arbaah 4/500; Ad-Dusuqi ala syarh al-Kabir 2/439; Ashal al-Madarik 2/169; Kifayatul akhyar 2/71) 

Ulama Maliki menambah bahawa binatang juga termasuk dalam kategori yang tidak boleh disamakan. Kerana asalnya manusia tidak boleh berhubungan jenis dengan binatang. Maliki juga mensabitkan zihar kiranya menyamakan rambut isteri dengan rambut ibu dan lain-lain. Manakala jumhur tidak berpandangan sekian. (Ad-Dusuqi ala syah al-Kabir, 2/439) 

Syarat yang diperselisihkan :- 

Mestilah diserupakan dengan anggota wanita. 

Kiranya ditasybihkan dengan lelaki seperti Belakang atau Punggung kamu seperti belakang atau punggung bapaku. Ulama Hanafi dan Syafie mengatakan TIDAK JATUH ZIHAR. 

Bagaimanapun Ulama Hanbali dan Maliki mengatakan JATUH ZIHAR DENGAN SYARAT MENYAMAKAN DENGAN SEBATANG ANGGOTA YANG TIDAK HALAL DILIHAT SEPERTI PERUT, PEHA, KEMALUAN, PUNGGUNG dan lain-lain yang sama maksud. Kiranya menyamakan dengan kepala bapa, rambut, hidung dan lain-lain, TIDAKLAH DIANGGAP ZIHAR (Lihat ashal al-Madarik 2/170; Juga al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arbaah, 4/499). Semua mazhab mempunyai dalil masing-masing. 

Ulama Syafiiyyah mengatakan kiranya tasybih itu bukan pada bahagian haram dilihat tadi, ia bergantung kepada niat, kiranya ia berniat memuliakan, bangga maka tidaklah jatuh zihar, jika sebaliknya maka jatuh zihar. (Kifayatul akhyar, 2/70) 

4. Rukun Keempat: Sighah (Lafaz Zihar) 

Syarat lafaz untuk untuk sabit zihar adalah :- 

i. Perlu kepada niat, kiranya ia dibuat secara Kinayah (tidak jelas). Sighah Sorihah (terang, jelas) seperti: Punggung dinda benar-benar seperti punggung bonda kanda. Lafaz seperti di atas tidak perlu kepada niat, bahkan jatuh zihar apabila didengari. 

ii. Kinayah pula adalah lafaz-lafaz yang boleh diandaikan bermkasud zihar tapi mungkin juga tidak seperti: Dinda ni seperti bondaku. Lafaz seperti ini kemungkinan bermaksud zihar kemungkinan juga bermaksud memuliakan, hormat, penghargaan dan lain-lain. Maka ia bergantung kepada niat si suami. 

Lafaz ini telah ijma di kalangan ulama tentang sabit zihar. Demikian menurut Ibn Munzir ( Lihat al-Majmu Imam Nawawi yang dilengkapkan oleh Syeikh Najib al-Mutie, 19/44) 

iii. Tidak disyaratkan untuk sabit zihar, mesti menggunakan lafaz yang memberi pengertian semasa. 

Zihar jatuh dengan lafaz yang membawa pengertain semasa seperti : Punggung dinda benar-benar seperti punggung bonda kanda 

Juga jatuh kiranya diikat dengan waktu tertentu seperti : Kiranya dinda masuk ke rumah itu maka perut dinda seperti perut bondaku 

Jatuh zihar juga kiranya disandarkan ke zaman akan datang seperti : Punggung dinda seperti punggung bondaku sehingga awal tahun depan atau perut dinda seperti perut bonda kanda dalam masa sebulan . 

Semua lafaz tadi cukup untuk menjatuhkan hukum zihar. (Rujuk Al-Bidayah al-Mujtahid 2/117; Matolib Uli An-Nuha 5/507 ) 

iv. Mestilah lafaz tadi disandarkan kepada anggota tubuh wanita samada secara juzu atau sepenuhnya. (Bahagian yang diharamkan lihat tadi tanpa boleh di ihtimal lagi). ( Lihat BadaI as-Sanai , 5/2129 ) 

Hukum Selepas Jatuh Zihar :

Setelah cukup syarat dan sabit jatuh zihar maka beberapa hukum berikut sabit : 
Haram menyetubuhi isterinya (yang diziharkan) kecuali setelah dibayar kifarat. Ini adalah pandangan jumhur. Menurut tertibnya kirafat adalah membebaskan seorang hamba, puasa atau memberikan sedekah. Dalilnya adalah daripada 

Firman Allah SWT maksudnya :  "Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan (wanita) yang mengemukakan bantahan kepada engkau tentang suaminya, dan dia mengadukan kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua.  Sesungguhnya Allah adalah al-Sami’ (Maha Mendengar), lagi al-Basir (Maha Melihat).  

Orang yang menzihar isterinya antara kamu, (menganggap isterinya sebagai ibunya), tidaklah mereka (isteri-isteri mereka) itu ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah (wanita) yang melahirkan mereka.  Dan sesungguhnya mereka benar-benar mengucapkan perkataan mungkar dan dosa. Dan sesungguhnya Allah adalah al-‘Afuww (Maha Pemaaf), lagi al-Ghafur (Maha Pengampun).  

Orang yang menzihar isteri-isteri mereka, kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan, maka hendaklah memerdekakan seorang budak sebelum kedua-duanya (suami isteri itu) bercampur. Demikianlah yang diajarkan kepada kamu, dan Allah terhadap apa yang kamu kerjakan adalah al-Khabir (Maha Mengerti/Mengenal).  
Sesiapa yang tidak mendapatkan (budak), maka berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum kedua-duanya bercampur. Maka sesiapa yang tidak kuat hendaklah memberi makan enam puluh orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Dan itulah hukum-hukum Allah, dan bagi orang-orang kafir ada azab yang pedih." 
(Surah al-Mujadilah (58) ayat 1-4)

Manakala istimta (bersedap-sedap, berseronok-seronok), sentuh dengan syahwat sebelum membayar kifarah juga tidak dibenarkan (Tahrim Wasail) di sisi ulama Hanafi dan Maliki ( BadaI as-SanaI, 5/2132; Ashal al-Madarik 2/170) Tetapi ianya harus di sisi ulama Syafie (Lihat Rawdah at-Tolibin 8/270; Fath al-Jawad 2/187; Ianah at-Tolibin 4/37) 

Pandangan yang rajih adalah tidak dibenarkan dengan tahrim wasail, kerana dibimbangi akan tergelincir ke persetubuhan. Pandangan lebih selamat bagi fatwa untuk orang awam. Kiranya sangat yakin tidak akan tergelincir dan tidak dapat menahan kesabaran hingga dibimbangi memudaratkan, maka ketika itu ia menjadi rukhshoh. 

Kesimpulan Jawapan Terhadap Soalan (Mengambil Pandangan yang Rajih) 

1. Hanya jatuh (sabit) Zihar sekiranya menyamakan isteri dengan ibu, nenek, anak dan semua wanita yang diharamkan suami berkahwin dengannya secara kekal sama ada secara Keturunan, Susuan mahupun Musoharah. 

2. Penyamaan anggota tertentu sahaja yang menyebabkan sabit zihar iaitu seluruh atau juzuk dari anggota yang haram dilihat semasa mahram. Penyamaan dengan anggota selain itu tidaklah sabit zihar. 

3. Tidak sabit zihar, kiranya menyamakan anggota isteri dengan mana-mana lelaki. Hanya penyamaan dengan wanita sahaja sabit. Begitu juga menyamakan suara, rupa dan sebagainya. 

4. Istimta dengan isteri yang telah dizihar sebelum membayar kifarah adalah tidak dibenarkan dengan tahrim wasail. Dibimbangi akan terlanjur. 

JUSTERU, MENYAMAKAN RUPA, HIDUNG ISTERI DENGAN RUPA DAN HIDUNG ANAK TIDAKLAH JATUH ZIHAR, BAGIAMANAPUN MENYAMAKAN PUNGGUNG ISTERI DENGAN PUNGGUNG ANAK PEREMPUANNYA, SABIT JATUH ZIHAR. 

Walaupun si suami tidak berniat. Masalah kejahilan tentang hukum ini, mempunyai perbincangan yang lain yang agak panjang, kesimpulannya, menurut  As-Syeikh Prof. Dr. Muhd Uqlah al-Ibrahim, tiada keuzuran terhadap kejahilan. Menjaid kewajiban suami isteri sebelum berkahwin mengetahui hal yang berkaitan dengan hubungan suami isteri. Wallahu a'lam. 

No comments: